Khamis, April 15, 2010

PRK P94 Hulu Selangor : Percaturan 'tiga anak Pak Ibrahim'!

SEORANG pemimpin muda Pas ketika ditanya apakah akan berlaku jika Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletakkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim sebagai calon dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor, beliau menjawab, 'pembangkang sudah kalah di pusingan awal.'

Kenyataan itu dibuat kerana pemimpin muda tersebut amat memahami sentimen di dalam Pas yang sudah pasti tidak selesa apabila Zaid yang sebelum ini pernah menentang pelaksanaan hukum hudud perlu dibantu untuk mencapai kejayaan dalam pilihan raya berkenaan.

Untuk rekod, Zaid pernah menyaman kerajaan negeri Kelantan yang meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 beberapa tahun lalu dengan alasan ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Bagaimanapun, Zaid menarik balik saman tersebut.

''Pas tidak terlibat dalam memilih calon kerana segala-galanya terletak di tangan PKR, mereka yang buat keputusan. Oleh itu, suka atau tidak suka, Pas hanya perlu menyokong sahaja," katanya dalam pertemuan dengan penulis di sebuah restoran di Kuala Lumpur kelmarin beberapa jam sebelum Zaid disahkan sebagai calon PKR.

Sememangnya pemilihan Zaid agak mengejutkan ramai pihak bukan sahaja di kalangan ahli pakatan pembangkang, malah di luar parti pun turut tertanya-tanya apa keistimewaan Zaid sehingga beliau mampu menjadi pilihan utama kepada pucuk pimpinan PKR berbanding dengan beberapa calon yang disebut-sebut sebelum ini.

Antara mereka ialah Ketua Angkatan Muda Keadilan, Samsul Iskandar; bekas calon PKR pada pilihan raya umum 1999, Dr. Halili Rahmat dan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamad.

Bagaimanapun, ternyata sekali Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan disokong oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mahu Zaid bertanding. Ia kerana menurut sumber, Anwar mahu 'menghantar semula' Zaid ke Parlimen.

Mengulas perkara ini, penganalisis politik, Ahmad Masrizal Muhammad berkata, pilihan raya kecil itu adalah pilihan raya yang merupakan 'talian hayat' kepada pakatan pembangkang yang mana kemenangan mampu meningkatkan semula sokongan rakyat terhadap pembangkang yang dilihat kebelakangan ini sudah semakin suram.

''Oleh itu, perletakan Zaid sebagai calon dilihat sebagai satu usaha terdesak yang cuba untuk mengambil kesempatan terhadap keinginan rakyat yang sememangnya dari awal inginkan calon Melayu sebagai wakil Parlimen mereka," katanya ketika dihubungi. Beliau berkata, dari sudut strategik, sebenarnya PKR telah melakukan satu perjudian besar dan terlalu berisiko apabila meletakkan Zaid memandangkan beliau boleh dianggap sebagai calon yang disifatkan sebagai berprofil tinggi.

''Jika beliau mengalami kekalahan dalam pilihan raya ini, maka sudah pastilah arena beliau dalam politik pembangkang arus perdana juga akan terjejas. Kelibat beliau sebagai seorang yang disegani dan mendapat sokongan penuh para pemimpin PKR sudah pasti akan dinilai dan dipersoalkan semula oleh ahli terutamanya tentang kerelevanannya dalam pimpinan PKR pusat sendiri," katanya.

Berdasarkan pandangan Ahmad Masrizal ini, ia menyaksikan pertarungan pembangkang di Hulu Selangor lebih kepada percaturan 'tiga anak Ibrahim' iaitu Anwar Ibrahim, Khalid Ibrahim dan Zaid Ibrahim. Ketiga-tiga mereka bertanggungjawab menyusun strategi untuk mempertahankan kerusi berkenaan yang sebelum ini dimenangi dengan majoriti tipis iaitu 198 undi. Di atas pentas Anwar akan menabur janji, di bilik gerakan Khalid menyusun strategi dan di lapangan Zaid menagih undi.

Penulis difahamkan, PKR tidak mahu mengikut rentak Barisan Nasional (BN) yang mengesahkan akan meletakkan calon dari MIC kerana begitu yakin bahawa undi orang Melayu akan memihak kepada mereka, biarpun siapa juga calon PKR. Namun begitu satu fakta yang harus diperingatkan Zaid pernah mempersoalkan status orang Melayu sewaktu berucap dalam persidangan Law Asia 2008 apabila menyifatkan konsep ketuanan Melayu menyebabkan berlakunya pembaziran sumber, tenaga dan masa yang penting dalam menangani isu sebenar di negara ini.

Oleh itu, meletakkan Zaid sebagai calon bukanlah satu percaturan terbaik kecuali PKR merasakan kalau pun kalah, ia tidak akan mendatangkan apa-apa kesan atau maksudnya, tiada apa-apa yang merugikan. Ini kerana Zaid bukan orang Kuala Kubu Baharu tetapi orang Kota Bahru, Kelantan. Jadi, beliau masih boleh bertanding di Kelantan dalam pilihan raya umum akan datang kalau tewas di Hulu Selangor.

Ini berbeza jika PKR meletakkan anak tempatan, kalau calon itu tewas sudah tentulah ia menjejaskan kredibiliti calon tersebut sekali gus menyulitkan PKR untuk mempertaruhkannya pada pilihan raya umum akan datang.

Pemilihan Zaid yang pernah bercuti selama enam bulan daripada aktiviti PKR pada Oktober lalu juga, sudah tentulah mewujudkan persoalan mengenai apa yang hendak dilakukan oleh Pas dalam membantu jentera pembangkang di Hulu Selangor. Ini kerana sanggupkah mereka memenangkan seorang individu yang suatu ketika dahulu pernah menentang apa yang hendak dilaksanakan oleh parti tersebut.

''Itulah masalahnya tetapi kita akan tetap bekerja keras kerana apa yang penting kita ingin memastikan jentera Pas menang, walaupun PKR mungkin kalah dalam pilihan raya ini," kata pemimpin muda parti itu.

Sememangnya, jentera Pas menjadi harapan PKR dan DAP untuk menggerakkan kempen. Penulis diberitahu awal-awal lagi, parti itu sudah menempah berpuluh-puluh buah rumah di kawasan Parlimen berkenaan untuk dijadikan pusat gerakan, itulah semangat parti yang memperjuangkan hukum hudud tersebut.

Malangnya jentera Pas yang akan bekerja siang dan malam untuk memastikan kemenangan seorang calon yang mungkin sebahagian besar ahli parti itu tidak begitu menyenanginya. Kalau mereka hendak mengharapkan jentera PKR atau DAP, ia pasti mengecewakan.

Oleh itu, pemimpin-pemimpin Pas perlu bersedia untuk memberi jawapan yang bernas jika ditanya mengenai hubungan parti itu dengan Zaid sebelum ini termasuklah sanggupkah mereka menambah seorang lagi Ahli Parlimen dalam pembangkang yang sudah pasti tidak akan 'selari' dengan dasar yang diperjuangkan oleh Pas.

Tetapi bak kata seorang pemimpin Pas kepada penulis, mempertahankan kerusi yang dimenangi oleh Pas adalah lebih mudah berbanding kerusi PKR kerana di dalam PKR, terlalu banyak masalah. Bagaimanapun, BN tidak boleh memandang remeh cabaran pembangkang dengan hanya berasaskan kepada pertimbangan bahawa calon PKR adalah orang luar atau merasakan Hulu Selangor adalah kubu kuat BN atau tidak digemari oleh Pas.

Tambahan pula difahamkan Anwar dan Khalid bertindak meletakkan Zaid setelah mereka dikatakan mendapat isyarat daripada sebahagian besar pengundi Cina di Hulu Selangor yang mahukan Zaid, selain ada sentimen kekecewaan di kalangan sesetengah orang Melayu yang mahukan UMNO bertanding.

Semua fakta ini seharusnya memberi peringatan kepada BN bahawa perjuangan di kawasan yang dikatakan kubu kuat mereka bukanlah semudah yang disangka biarpun BN berpeluang untuk merampas kembali kerusi tersebut. - UM
Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan:

Catat Ulasan