DASAR penjajah memberikan keutamaan kepada kaum lain dengan menggalakkan mereka tinggal di bandar demi kepentingan pihak British untuk memudahkan segala urusan jual beli. Pada masa sama industri bijih timah dan getah berkembang, maka secara perlahan-lahan orang Melayu terpaksa akur dengan keadaan hidup yang semakin terhimpit memaksa mereka berpindah ke luar bandar kerana taraf hidup semakin meningkat, sekali gus tidak lagi mampu bersaing dengan kaum lain kerana tiada modal, kemahiran dan pengalaman berniaga.
Maka tinggallah orang Melayu di kampung dengan mengamalkan cara hidup pertanian tradisional berbekalkan tulang empat kerat untuk 'survival'.
Peralihan cara hidup ini turut menjejaskan peluang pendidikan anak Melayu ke sekolah Inggeris. Pendidikan yang ada di luar bandar atau kampung pada masa itu hanya setakat Darjah Enam di sekolah Melayu. Sekali lagi orang Melayu jauh ketinggalan dari segi pendidikan.
Orang Melayu terus dipinggirkan, dipandang sepi dan hidup dalam penuh kedaifan. Jurang ekonomi kian melebar antara kaum. Begitu juga pendidikan anak Melayu tidak mendapat tempat di hati British.
Selepas kemerdekaan pada era 60-an, kerajaan banyak menumpukan pelaksanaan dasar untuk mengurangkan jurang perbezaan ini, tetapi tidaklah begitu berjaya sehingga berlakunya Tragedi 13 Mei 1969.
Kerajaan darurat yang diketuai Tun Abdul Razak Hussein mewujud dan memperkenalkan pelbagai dasar dan program membaiki jurang perbezaan antara orang Melayu dan bukan Melayu atas asas untuk mewujudkan perpaduan.
Prinsip Rukun Negara diperkenalkan dan diisikan pula dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilancarkan pada 1970 selaras pelancaran Rancangan Pembangunan Ekonomi Kedua (1971-1975).
DEB bertujuan membasmi kemiskinan tidak kira bangsa dan agama, juga memperbaiki jurang perbezaan ekonomi dari segi pendapatan, pekerjaan dan harta. Ia bererti mewujudkan tindakan menyusun semula ekonomi dan struktur masyarakat supaya pengagihan harta antara orang Melayu dan bukan Melayu lebih saksama.
Tindakan yang dirancang dan diambil termasuk, kerajaan Persekutuan dan negeri serta agensi kerajaan hendaklah memainkan peranan yang lebih aktif untuk campur tangan (interventionist role) bagi menentukan orang Melayu memperoleh peluang memasuki sektor moden dan institusi baru.
Jadi, institusi baru ditubuhkan seperti Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) pada peringkat negeri, syarikat di bawah Mara, Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA), Pernas, Lembaga Padi atau Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama). Malangnya, pada 80-an dan 90-an sebahagian besar badan itu sama ada dihapuskan atau diswastakan, sekali gus ia tidak lagi boleh berfungsi mengikut tujuan asalnya.
Rangka dasar itu hendaklah bersesuaian dan mampu menghasilkan pertumbuhan ekonomi yang tinggi. Keadaan ini boleh membantu membasmi kemiskinan dan pengagihan pendapatan dengan lebih saksama.
Tindakan perlu diambil untuk mewujudkan aktiviti ekonomi yang boleh menghasilkan banyak pekerjaan supaya mencapai keadaan guna tenaga penuh. Selain itu, usaha membangunkan keupayaan orang Melayu, antaranya mengadakan program dalam bidang pendidikan dan latihan perlu dilaksanakan supaya mereka dapat mengambil bahagian dalam proses pembangunan.
Lebih daripada itu, semua orang Malaysia diberi pelajaran bagi maksud mewujudkan asas sistem nilai hidup sama bagi generasi muda dengan harapan dapat mencapai perpaduan negara dan integrasi kaum.
Pokoknya, DEB dibentuk bertujuan mengubahkan keadaan sosial dan ekonomi dengan harapan mewujudkan masyarakat Malaysia yang mampu melupakan jurang perbezaan antara kaum bagi negara melangkah ke depan.
Ketika DEB dilancarkan pada 1970, modal (ekuiti) Bumiputera cuma pada kadar 2.4 peratus, tetapi pada 1990 ia bertambah kepada 19.3 peratus. Dari segi nilai, modal Bumiputera bertambah dari RM47 juta kepada RM20.9 bilion pada 1990 dan 2002 ia bertambah kepada RM73.2 bilion.
Penambahan modal ini berikutan penubuhan syarikat pelaburan seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Lembaga Urusan dan Tabung Haji . Namun, pada 2002 iaitu 12 tahun selepas 1990, modal saham Bumiputera turun kepada 18.7 peratus.
DEB tamat pada 1990, tetapi disambung dengan Dasar Pembangunan Nasional (NDP) dengan disokong prinsip Wawasan 2020 bagi maksud mengeluarkan profesional, ahli sains dan ahli teknologi. Hasrat NDP lebih kurang sama DEB. Jumlah profesional Bumiputera bertambah dari 21 peratus pada 1990 kepada 30 peratus pada 2002.
Sejak DEB dilancarkan kadar kemiskinan turun dari 52 peratus pada 1970 kepada lima peratus pada 2002. Kadar kemiskinan di luar bandar turun dari 59 peratus kepada 11 peratus pada tempoh sama.
Sungguhpun, taraf ekonomi Bumiputera dapat ditingkatkan, kita tidak mencapai kejayaan sepenuhnya. Jika dibandingkan dengan bangsa lain, Bumiputera masih jauh tertinggal di belakang.
Pendapatan keluarga Bumiputera lebih rendah daripada pendapatan keluarga orang Cina. Jumlah profesional Melayu banyak bertambah, tetapi masih tertinggal berbanding bangsa lain.
Malah, kadar pertumbuhan pelaksanaan ekonomi orang bukan Melayu lebih cepat daripada orang Melayu. Oleh itu, umpamanya apabila ekonomi negara tumbuh pada kadar 8 peratus pada awal 1990, orang bukan Melayu mendapat lebih banyak faedah kerana mereka lebih cekap dan mampu.
Orang Melayu masih perlu dibantu dan perlu ada agenda tertentu untuk membangunkan mereka dengan lebih teratur dan tersusun.
Segala kuasa yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dipakai dan dilaksanakan dengan saksama. Pada 2005, satu dasar baru diperkenalkan iaitu Misi Nasional, untuk meningkatkan ekonomi dan mempertahankan pertumbuhan ekonomi sekurang-kurangnya 6 peratus
Justeru, sempena ulang tahun kemerdekaan negara ke-52 ini, banyak perkara yang perlu direnungkan. Isu pokok iaitu kemunduran dan ketinggalan ekonomi Bumiputera dalam negaranya sendiri, selain itu isu membasmi kemiskinan, meningkatkan penyertaan dan penguasaan Bumiputera dalam bidang ekonomi moden perlu difikirkan.
Secara keseluruhan, penyertaan masyarakat Bumiputera dalam bidang perniagaan, perdagangan dan perindustrian negara masih pada tahap rendah berbanding pembabitan masyarakat bukan Bumiputera.
Keadaan pada tahun mendatang memerlukan tahap daya saing tinggi daripada sesiapa saja yang menjalankan kegiatan perdagangan dan perindustrian. Era globalisasi akan mengakibatkan negara menjadi lebih terbuka dan terpaksa bersaing di arena antarabangsa. Persediaan perlu dipertingkatkan. Satu perkara penting yang perlu diberi perhatian ialah masalah pembentukan masyarakat Bumiputera berbudaya niaga dan berbudaya usahawan.
Masyarakat Bumiputera di bandar tidak memperoleh tradisi perdagangan atau perindustrian masyarakat bandar yang dibolot masyarakat bukan Bumiputera, menunjukkan pergantungan mereka kepada bekerja makan gaji sama ada dengan kerajaan atau swasta. Orientasi sikap perlu ditekankan.
Paling penting ialah usaha membawa golongan miskin keluar daripada kemiskinan. Pelbagai strategi dan program yang ada untuk menambah pendapatan boleh diteruskan. Hakikat bahawa kadar kemiskinan yang dijangka dalam tempoh DEB dapat dicapai menunjukkan strategi lampau masih sesuai.
Justeru, strategi yang ada kini diteruskan tetapi perlu menekankan 'kesampaian' dan keberkesanan program kepada kumpulan sasaran yang tepat dan dikenal pasti.
Justeru, badan baru perlu ditubuhkan di bawah Akta Mara 1966 yang sudah lengkap dan tidak lagi perlu dibahaskan di mana-mana. Ini adalah untuk memastikan orang Melayu berupaya menceburkan diri dalam kegiatan perniagaan. Ini bermakna kerajaan perlu mempertingkatkan pentadbiran Mara secara radikal
Pembangunan tanah simpanan Melayu, tanah Baitulmal dan tanah kerajaan di bandar boleh diuruskan oleh mana-mana badan baru yang diwujudkan itu, dengan tujuan memperbaiki kedudukan orang Melayu di bandar.
Inflasi dalam bidang hartanah di bandar dalam tempoh 20 tahun lalu memberi impak kepada ketidakmampuan orang Melayu untuk terus menetap di bandar, jauh sekali menceburkan diri dalam urusan perniagaan. Mereka perlu diberi bantuan sewajarnya oleh kerajaan kerana tanpa campur tangan sukar bagi tanah berkenaan dibangunkan untuk tujuan komersial dan kawasan perumahan.
Kelemahan pemasaran hasil pertanian, perikanan dan ternakan boleh diatasi dengan memperkemaskan sistem pengurusan Fama dan melebarkan sayap operasinya. Orang Melayu di luar bandar bukan malas bercucuk tanam, tetapi mereka tidak memiliki rangkaian pemasaran yang cekap dan berkesan untuk memasarkan hasil tanaman, perikanan dan ternakan mereka.
Kerajaan juga perlu mewujudkan banyak aktiviti yang berupaya menggalakkan penyertaan orang Melayu dalam kegiatan ekonomi, termasuk dalam projek mega yang sedang dijalankan.
Banyak perkara, projek dan dasar sedang dan akan dilaksanakan perlu diperhalusi dan diurus dengan teliti dengan memastikan orang Melayu terus diberi peluang bukan saja untuk meraih sedikit keuntungan tetapi juga diberi pendedahan untuk menimba pengalaman.
Kerajaan perlu memfokuskan perhatian kepada peruntukan Perlembagaan Artikel 153 dan menetapkan kementerian tertentu bertanggungjawab mencari idea dan inisiatif bagi melaksanakannya dan memantau dengan lebih berkesan. Peruntukan undang-undang ini adalah satu-satunya usaha untuk memperbaiki keadaan ekonomi orang Melayu yang dipertahankan ketika mencapai kemerdekaan.
Kesimpulannya, tindakan memperbaiki ekonomi Bumiputera secara tegas perlu dilaksanakan segera, jika tidak, kedudukan ekonomi Bumiputera akan terus menjurus kepada tahap lebih teruk pada masa akan datang, apatah lagi pada era dan suasana persaingan akibat ekonomi globalisasi.
Suara Politik
Taminsari
"Maka tinggallah orang Melayu di kampung dengan mengamalkan cara hidup pertanian tradisional berbekalkan tulang empat kerat untuk 'survival'"
BalasPadamKerana mereka ini rata2nya masih kukuh berpegang pada amanat jihad Hadi Awang..
Orang melayu terutama penduduk luar bandar yang termakan dengan amanat Jihad Hadi Awang ini...lebih penting "survival" politik dari kehidupan mereka.
wassallam apbs.
hari ini apa kurangnya..cuba kita bandingkan harga rumah di sekitar lembah kelang??? x ramai melayu yg mampu..
BalasPadamkomposisi kaum pasti x seimbang lihat sahaja di bukit bintang.bukit kiara..seputeh..duta..sekitar KLCC..
harap kjaan dapat lihat masalah ini dgn lebih serius..x kan nk harapkan org melayu utk tinggal di PPR je..
org melayu pulak, bangun lah dr dibuai mimpi, kejarlah dan rebutlah peluang kejayaan di bumi bertuah ini..jgn asik nk dengki je bile tgk saudara kita yg lain berjaya..