Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan. - Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. -
Rabu, Julai 08, 2009
Artikel Pilihan : Berfikir Waras Mengenai Masa Depan !
Ahli politik boleh terus bertelagah untuk mengekalkan kuasa atau mengambilalih kuasa. Drama politik akan berterusan dengan pemain yang didukung oleh ketamakan, keangkuhan dan kedegilan. Politik akan terus menguasai kehidupan rakyat. Mahu tidak mahu kita semua menjadi sebahagian daripada percaturan politik yang lebih besar.
Harus diingat kita tidak boleh bernafaskan politik semata-mata. Apa lagi untuk menjamin makanan terhidang di atas meja dengan hanya berdebat isu politik. Realitinya ialah kita harus meneruskan hidup. Ahli politik, selain bertelagah dan bercakaran, harus juga mengingatkan amanah yang dipertanggungjawabkan pada mereka - untuk menjadikan negara ini lebih baik dan memastikan kemakmuran pada semua.
Di tengah suasana politik tidak menentu kita berdepan dengan situasi ekonomi yang sama tidak menentunya. Kejatuhan pasaran saham, tumbangnya beberapa syarikat pinjaman raksasa di Amerika Syarikat (AS) dan kenaikan harga minyak mentah yang mendadak, mempunyai kesannya pada ekonomi global. Kita tidak terkecuali. Kesan kenaikan harga barang tidak boleh dipandang ringan. Kadar inflasi mencecah lebih 8 peratus, tertinggi dalam lebih tiga dekad di negara ini.
Elok sangat jika kita merenung nasib dan kedudukan orang Melayu dan umat Islam amnya. Kita bukan berada pada kedudukan yang kuat. Kita lemah dan ketinggalan. Dalam bidang ekonomi, kekuatan ekonomi orang Melayu bukan sekadar diukur daripada pemilikan ekuiti semata-mata tetapi keupayaan mereka terbabit dalam pelbagai kegiatan perniagaan. Usaha melahirkan Masyarakat Perniagaan dan Perusahaan Bumiputera (MPPB) masih jauh dan berliku. Dalam dunia niaga orang Melayu masih memerlukan perlindungan dan bantuan.
Ada orang yang mudah mengatakan orang Melayu akan gagal kerana mereka tidak punya minda berniaga. Ini satu penghinaan pada orang Melayu. Orang Melayu hanya perlukan bimbingan dan peluang. Menganggap mereka malas dan mudah berserah juga satu andaian yang tidak berasas. Kita boleh melihat usaha niaga Melayu di pasar tani, pasar malam, pasar lambak, pasar Ramadan dan sebagainya, yang jelas membuktikan usaha yang keras dan tekun. Itu hanya cerminan daripada lapisan yang paling bawah dalam hierarki usaha niaga orang Melayu. Orang Melayu yang menjadi pemilik syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia merupakan cerita yang lain.
Pada waktu sama, orang Melayu menafikan hakikat kuasa beli di tangan mereka. Umpamanya bulan Ramadhan mendedahkan kuasa itu. Mana-mana kedai makan, restoran makanan segera dan kafé canggih berdepan dengan pengurangan dari 70 hingga 80 peratus jumlah pelanggan. Seramai 13.5 juta orang Melayu boleh menentukan pola dan corak pembelian, juga memastikan jatuh bangun sesuatu perkhidmatan dan syarikat pengeluar barangan.
Begitu juga orang Melayu boleh mewujudkan rangkaian niaga yang utuh sekiranya mahu. Sayangnya orang Melayu hanya boleh sepakat dalam mengendalikan khairat kematian dan pakatan pinggan mangkuk, dalam hal yang membabitkan konsortium dan rangkaian, mereka jarang sepakat. Koperasi kilang padi di kampung pun selalunya hidup segan mati tak mahu. Kedai runcit milik orang Melayu di tengah masyarakat Melayu pun tidak boleh bertahan. Demikianlah semangat rangkaian di kalangan kita.
Hari ini tidak banyak orang yang mahu bercakap perpaduan Melayu. Bagi mereka itu alasan untuk menghalalkan sokongan pada satu-satu parti. Perpaduan Melayu menjadi ungkapan yang mulai dipersenda. Tidak mengapalah bersekongkol dengan mana-mana pihak yang berlainan kepentingan asalkan matlamat akhirnya memperoleh atau mengekalkan kuasa. Orang Melayu sudah menjadi apologetik hinggakan konsep ketuanan Melayu menjadi momok bagi mereka. Realiti sejarah tidak lagi penting kerana hari ini kita harus berkompromi dengan siapa saja. Biarlah kita yang sakit hati asalkan jangan orang lain.
Demikianlah sindrom Melayu baru yang melanda kita. Semua ini kerana kita lemah. Lemah kita kerana kita tidak bersatu. Sekiranya bersatu menjadi kesalahan dalam konteks hari ini, maka orang Melayu harus menerima hakikat bahawa mereka lambat laun akan hilang di dunia. Hari ini untuk mengajak pada perpaduan sudah menjadi semacam kesalahan.
Kita juga nampaknya melupakan hakikat bahawa orang Islam semakin tertekan. Di mana-mana di dunia, kedudukan umat Islam penuh dengan pancaroba dan kekecewaan. Memang benar kuasa dinar baru boleh membeli hartanah termahal di AS, kelab bola sepak di England atau bank yang besar. Tetapi berapa ramaikah daripada 1.3 bilion umat Islam yang mampu melonjakkan kedudukan mereka akibat kekuatan kuasa dinar dari Asia Barat itu?
Rata-rata negara-negara Islam yang dijajah masih tidak menentu. Afghanistan tidak banyak berubah. Atas alasan memburu Osama bin Laden, nyawa rakyat yang tidak berdosa menjadi korban. Iraq masih bergolak. Saddam Hussein tidak ada tetapi kemakmuran dan keamanan tidak wujud di Iraq. Rakyat Palestin masih ditindas dengan teruknya. Tembok besar memisahkan Tebing Barat menyesakkan kehidupan rakyat. Itu belum lagi kekangan ke atas kebebasan rakyat Israel beragama Islam di Baitulmaqdis. Orang Islam takut untuk pergi ke masjid, kerana sesiapa yang berbuat demikian tiga kali berturut-turut boleh dilabelkan fundamentalis dan tempatnya ialah di penjara Israel.
Masihkah kita mahu bercakaran sesama sendiri dalam keadaan sedemikian? Orang Melayu masih menganggap diri mereka selamat? Orang Islam masih angkuh mempertahankan kekecilan mereka? Lihatlah di sekeliling kita. Kemiskinan di kalangan rakyat masih perlu ditangani. Dispariti pendapatan di antara orang Melayu dengan kaum lain masih ketara. Dispariti pendapatan di antara desa dan kota masih menonjol. Pendedahan teknologi masih terbatas di bandar. Anak kita tidak berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum lain.
Orang Melayu tidak mengutamakan pusat komputer dan perpustakaan mini di penempatan baru. Keutamaan mereka ialah untuk mencari kesalahan sesama sendiri bukan membantu anak yang memerlukan tuisyen yang baik, pusat sumber yang berkualiti serta perpustakaan mini di kawasan perumahan.
Penghuni rumah berpendapatan rendah tidak pernah mahu bersatu hati mengadakan tempat untuk anak sekolah belajar secara selesa dan dengan bantuan pembimbing yang betul. Ada persatuan ibu bapa dan guru yang lebih asyik bertelagah mengenai yuran tambahan RM5 daripada melihat secara lebih jauh kebajikan anak di sekolah. Mereka patut belajar daripada keberkesanan persatuan sedemikian di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC).
Semuanya menuntut kita berfikir secara waras dan serius, apakah yang terbaik untuk kita, anak kita, bangsa kita dan agama kita. Buat sementara ini pedulikanlah keributan yang lain. Pada hari-hari yang mendatang ini elok sangat kita memikirkan nasib kita dalam konteks realiti hari ini... Apakah yang mahu kita sediakan untuk generasi hari ini dan masa depan? Perpecahan, riuh rendah, ketidakstabilan? Sama-samalah kita fikirkan ..!
Suara Politik
Taminsari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan