Jumaat, Jun 12, 2009

Suara Jumaat : Adab bermasyarakat perkukuh ikatan ukhuwah.

SETINGGI manapun cita-cita dan semurni manapun tujuan, tidak dapat tidak, usaha menegakkan kalimah Allah adalah kerja berkumpulan dan bersama, bukannya mudah untuk dicapai secara bersendirian. Hubungan sesama masyarakat Islam diikat melalui ukhuwah Islamiah atau persaudaraan Islam. Walaupun keturunan berbeza, tahap kekayaan tidak sama, bahasa dan pelbagai warna kulit, mereka diikat dengan satu ikatan akidah.

Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu, dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat." (Surah al-Hujurat, ayat 10)

Persaudaraan bukan sekadar hubungan biasa setakat bertegur sapa antara satu sama lain, atau bertukar-tukar juadah di bulan Ramadan semata-mata, tetapi menuntut kepada pelaksanaan beberapa hak.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Perumpamaan orang mukmin itu daripada sudut kasih sayang adalah seumpama satu jasad yang apabila sakit satu anggota badan, maka seluruh anggota lainnya akan turut merasa sakit dan berjaga malam."

Dalam menjaga ikatan persaudaraan ini, Islam menyusun atur beberapa adab bagi memastikan ukhuwah Islamiah itu selari dengan tuntutan syarak. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Seorang Muslim itu adalah bersaudara dengan seorang Muslim yang lain, janganlah ia menzalimi dan menganiaya serta mencela saudara muslimnya. Setiap Muslim dengan Muslim yang lain adalah haram darahnya ditumpahkan, harta dan maruahnya tidak boleh dimusnahkan."

Islam juga memerintahkan supaya menjaga kehormatan saudara muslimnya. Sehubungan itu, perasaan orang Islam lain mesti dijaga. Maka, Islam mengharamkan perbuatan mengumpat dan mendedahkan aib orang lain, mencari keburukannya, berburuk sangka atau memulaukannya.

Sifat mazmumah adalah antara faktor yang memutuskan perhubungan, merobek simpulan kasih sayang, menyemai perasaan benci dalam hati dan melebarkan rasa permusuhan sesama manusia.

Allah berfirman yang bermaksud: "Wahai orang beriman, janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka, dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka, dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain, dan janganlah pula kamu panggil memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan itu menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman, dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang yang zalim." (Surah al-Hujurat, ayat 11)

Dalam ayat selanjutnya, Allah berfirman yang bermaksud: "Wahai orang beriman, jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat), maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan itu) dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah penerima taubat lagi Maha Mengasihani." (Surah al-Hujurat, ayat 12)

Perbuatan mungkir dalam berjanji dan khianat akan membawa kepada mudarat sangat besar dan melumpuhkan rasa saling percaya mempercayai antara sesama mukmin. Kesannya, seseorang itu tidak lagi dipercayai kata-katanya di masa akan datang, amalannya dipertikaikan, malah boleh dianggap sebagai orang yang hilang nilai keimanan dalam dirinya.

Allah berfirman yang bermaksud: "Wahai orang beriman, janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)." (Surah al-Anfaal, ayat 27)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tidak sempurna seseorang yang tidak beramanah dan tidak sempurna agama mereka yang tidak menunaikan janji."

Islam menganjurkan amalan tawaduk dan merendah diri sesama orang Islam bersaudara serta menjauhkan rasa sombong dan bongkak. Masyarakat Islam yang berkasih sayang tiada istilah takbur dalam dirinya.

Hal ini dinyatakan dalam firman yang bermaksud: "Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang." (Surah al-Isra', ayat 37)

Aspek utama yang tidak harus diabaikan dalam menjamin keamanan hidup bermasyarakat ialah tolong menolong dan bekerjasama, kerana kesan amalan mulia itu sangat bermanfaat. Pepatah Melayu ada menyebut, "yang berat sama dipikul dan ringan sama dijinjing".

Prinsip itu bertepatan dengan panduan wahyu seperti disebut dalam al-Quran yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan, dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya)." (Surah al-Maidah, ayat 2)

Semoga setiap individu dalam komuniti Muslim dapat menghayati secara teori dan praktikal sistem nilai mahmudah yang dianjurkan Islam dalam usaha membentuk masyarakat menjunjung dasar berkasih sayang antara satu sama lain.

Suara Jumaat
Taminsari

Tiada ulasan:

Catat Ulasan