Kalau kita semua masih ingat tentang Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat pernah berkata bahawa dialah yang paling layak memimpin negara ini kerana pendidikannya yang merangkumi bidang tauhid, tasauf dan fikah. Ini menjadikannya seorang yang beriman, senang dengan isu-isu falsafah dan undang-undang Islam.
Pendek kata, Nik Aziz adalah seorang ulama, iaitu seorang yang telah menjalani pendidikan mendalam di bidang agama. Untuk mengukuhkan lagi pendapatnya ini, dia dilaporkan telah berkata bahawa Nabi Muhammad s.a.w adalah ulama yang pertama. Tetapi, Nabi Muhammad s.a.w adalah seorang yang paling istimewa kerana baginda dipilih Allah untuk membawa perutusan-Nya kepada manusia sejagat.
Nabi junjungan kita itu adalah perantaraan dan melalui baginda wahyu-Allah disampaikan. Inilah mengapa al-Quran, dimana di dalamnya segala wahyu ini dijilidkan, disanjung sebagai kitab yang paling suci oleh umat Islam. Oleh yang demikian, mengapakah Mursyidul Am Pas ini menyamakan Nabi Muhammad s.a.w dengan seorang ulama? Bolehkah kita membuat rumusan bahawa para ulama sekarang menganggap diri mereka setaraf dengan Rasulullah?
Pas telah bersusah payah membina imej Nik Aziz untuk menjadikannya satu mitos yang mempunyai sifat seolah-olah ajaib. Mereka yang termakan dengan usaha Pas ini bukan sahaja memandang Nik Aziz sebagai seorang guru tetapi juga seorang “ Wali Allah ” yang mampu menyembuhkan penyakit mereka. Rawatan yang diberikannya tidak sama seperti yang diberikan oleh seorang doktor. Kuasanya menyembuhkan penyakit ini dianggap ajaib.
Memandangkan hal sebegini, bolehkah kita memutuskan bahawa Nik Aziz sendiri telah termakan dengan propaganda dan putar belit partinya? Maklumlah dia juga manusia biasa seperti kita semua dan sama seperti kita, dia juga mudah termakan dengan puji-pujian. Namun begitu apa yang lebih penting adalah pendapat yang dipegangnya mengenai kebolehan istimewa yang ada pada para ulama, bahawasanya merekalah paling layak memimpin sebuah negara bangsa moden.
Adakah mungkin mereka yang terlatih hanya di bidang agama sahaja benar-benar mampu menangani pelbagai masalah pembangunan baik sosial mahupun ekonomi dalam dunia yang semakin global? Bolehkah solat hajat saja seperti yang dilakukan oleh Pas di Kelantan dalam usaha mereka untuk terus memegang kuasa di situ, menentukan kewibawaan ekonomi negara dan keutuhan politik kita? Islam tidak boleh diguna sebagai alasan untuk kelumpuhan Pas sebagai pemerintah.
Falsafah Islam yang bersifat sejagat seperti yang terdapat di dalam al-Quran menjadi pemangkin kepada satu sistem yang mampu mengatasi segala cabaran ang timbul dalam zaman moden ini.
Islam menyeru supaya kita menghormati semua bangsa dan interaksi di arena antara bangsa atau kaum di dunia ini berlandaskan segala yang membina dan bukan yang membinasakan. Ini jelas menunjukkan bahawa Islam tidak memerintahkan supaya rupa bentuk sesebuah masyarakat itu semestinya serumpun dan ia juga mengalu-alukan globalisasi dalam erti kata sebenar.
Kecenderungan terhadap musyawarah sebagai satu institusi permuafakatan yang tidak ubah sama seperti apa yang terdapat dalam sesebuah demokrasi, meletakkan Islam jauh di hadapan sekularisme cetusan zaman Kesedaran Eropah.
Kecekapan ekonomi setiap individu sebagai tunjang kehidupan manusia juga dituntut oleh Allah. Bukankah Islam merupakan agama tunggal dalam tradisi monotheisme yang tidak mempunyai hari rehat, yakni Sabbath?
Mencari rezeki secara halal tidak boleh dipisahkan dari iman. Ini sudah tentu memberi Islam kelebihan dari segi cara hidup zaman kini di mana ekonomi adalah tulang belakang setiap ummah. Dan, apabila sistem keadilannya lebih suka melihat keadaan di mana seorang bersalah terlepas dari kehakiman supaya yang tidak bersalah pun tidak akan menanggung keazaban kesilapan pengadilan, ini tidak syak lagi meletakkan Islam pada tahap moral yang paling tinggi sekali berbanding dengan sistem-sistem keadilan lain.
Rasulullah s.a.w memanglah seorang pemimpin yang agung. Di bawah baginda Islam telah berkembang dan selepasnya pula meluas ke seluruh dunia. Tetapi adalah lebih arif jika kita mengingati bahawa baginda tidak menghabiskan masa baginda terperosok di menara gading mengharungi segala teks baik suci mahu pun tidak, asyik cuba menghafal segala yang dibaca.
Sebaliknya sebagai seorang anak yatim baginda telah terpaksa bekerja dari kecil lagi, sebagai gembala. Kemudian baginda telah diamanahkan oleh isteri baginda, Siti Khadijah r.a untuk mengepalai rombongan dagangannya. Baginda telah melalui jalanan pedagang di Semenanjung Arab yang pada masa itu adalah berbahaya. Baginda tidak syak lagi tidak pernah lari daripada kebenaran yang berakar umbi di alam zahir ini. Namun demikian jiwan baginda tidak pernah tercemar dengan segala dakyah kehidupan duniawi. Sebaliknya baginda begitu merendah diri hingga langsung tidak terlintas dalam fikirannya kemungkinan dipilih menjadi seorang Rasul.
Malangnya Nik Aziz bukan sahaja tidak mempunyai kewibawaan memimpin dari segi ekonomi, sosial dan politik, dia juga sekarang ini nampaknya seolah-olah sudah hilang sifat merendah diri. Prestasinya yang paling menyedihkan sebagai Menteri Besar langsung tidak mencerminkan dakwaan bahawa dialah yang paling cekap memimpin.
Sudah lebih 18 tahun Nik Aziz mengepalai kerajaan Kelantan.
Kemampuannya yang dilaung-laungkan itu jelas terbukti tidak benar jika ekonomi negeri itu yang sudah lumpuh diambil sebagai contoh. Paling sedih lagi jika kita lihat dari segi di mana di kalangan orang Melayu, orang Kelantanlah yang memang mashyur dengan kebolehan berniaga mereka. Keadaan ini diburukkan lagi oleh penghijrahan keluar rakyat Kelantan ke kawasan-kawasan bandar untuk mencari peluang kerja dan berniaga. Sementara itu Kelantan dibiarkan terbiar, merana di bawah pembangunan tidak terancang.
Memang diakui bahawa Kerajaan Persekutuan juga patut dipersalahkan. Tetapi jika dakwaan terutamanya yang dibuat oleh Nik Aziz itu benar, bahawa para ulama memang dididik dalam ilmu memerintah, apakah sangat rintangan yang mampu dilontarkan oleh pemimpin Persekutuan yang dituduh tidak cekap.
Tidakkah tepat kalau rakyat menganggap mereka yang mengakui dirinya paling cekap memimpin itu mampu mengatasi segala rintangan dan dengan itu mengaibkan para menteri kabinet yang terdiri daripada doktor, peguam, pakar ekonomi dan lain-lain yang berpendidikan sempit ini? Nampaknya, tidak. Tahap kemiskinan di Kelantan yang semakin bertambah jelas membayangkan kegagalan Pas sebagai pemerintah.
Jika diterima sekalipun dakwaan bahawa Kelantan dibiar kebuluran tanpa pembiayaan Persekutuan, tidaklah mungkin negeri ini berkembang sekurang-kurangnya dari segi social? Mengapa tidak berlaku inovasi yang mampu merintis jalan timbul daripada usaha pemerintahan mereka yang paling cekap memerintah ini? Al-Quran adalah sumber dari mana timbulnya teori masyarakat paling sempurna. Ia memetakan jalanan organisasi satu bentuk sosial makmur yang berlandaskan sifat-sifat penyayang, pemurah dan setiakawan sebagi ibadat.
Bagaimanakah mungkin sekumpulan ulama yang terlatih dalam seni kepimpinan, kononnya menurut lunas-lunas al-Quran, tidak dapat menggunakan pendidikan istimewa mereka ini untuk mewujudkan satu masyarakat Islam yang sesungguhnya Muslim?
Dari segi politiknya pula rekod Pas sememangnya menyedihkan. Berulang kali pemimpin Pas tersilap kata, dan mengatakan bahawa Tuhan mencarut dalam al-Quran, satu kenyataan yang menghina Tuhan dan Islam, hinggalah menyamakan ulama dengan Nabi Muhammad s.a.w. dan membenarkan puak Kristian menggunakan khalimah Allah dan bahasa Malaysia dalam lenerbitan buletin gereja?
Mengapakah terdapat jurang perbezaan yang sebegini besar di antara lunas-lunas al-Quran dan prestasi Pas sebagai kerajaan? Dari teladan Pas, kesimpulannya bahawa bidang ilmu yang didakwa berupaya mendidik para pelajarnya dengan ilmu seni memerintah yang luas lagi mendalam, sebenarnya tidak mengandungi sukatan pelajaran yang telah berkembang menurut peredaran zaman. Oleh yang demikian besar kemungkinan bahawa para ulama adalah mangsa pendidikan yang ketinggalan zaman.
Suara Politik
Taminsari
Sudah tentu hanya ada seorang sahaja pemimpin...lain kena ikutla...Kalau semua nak jadi pemimpin sebab kononnya mengikut slogan 'We are all leaders' maka jadilah mcm UMNO.. 'cah keting' tak habis..
BalasPadamSalam Taminsari.
BalasPadamNik Aziz semakin melampau hina UMNO!
PEMIMPIN UMNO sebenarnya memang kuat sabar. Walaupun Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat dalam satu ceramah di Manek Urai Kelantan menyamakan UMNO dengan ajaran sesat yang sama tarafnya dengan ajaran sesat Ayah Pin, mereka tetap sabar. Pemuda UMNO Kelantan telah membuat laporan polis atas ucapan Nik Aziz itu.
Menyamakan UMNO dengan ajaran sesat dan Ayah Pin adalah suatu penghinaan yang keterlaluan. Dalam sejarah, perbuatan pemimpin Pas menghukum dan menghina UMNO sesuka hati bukanlah baru.
Tahun 1959 muncul seorang ahli Pas dikenali sebagai Tok Guru Haji Omar Daud dari Pasir Mas, Kelantan, mengkafirkan UMNO. Haji Omar adalah Ahli Jawatankuasa Ulama Pas dan Wakil Rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri Bandar Pasir Mas. Beliau pernah ditahan di bawah ISA kerana perbuatannya itu.
Pada tahun 1963 Dewan Ulama Pas Kelantan telah mengeluarkan fatwa menghukumkan orang Islam yang bekerjasama dengan bukan Islam sebagai kafir. Fatwa tersebut berbunyi: ‘‘Orang Islam yang berkongsi dengan orang-orang kafir untuk memerintah negara menjadi kafir atau haram.”
Tahun 1978 Dewan Ulama Pas Kelantan dalam perjumpaan di Pondok Pasir Tumbuh, Kelantan, selepas Pas keluar daripada Barisan Nasional (BN), membangkitkan semula hukum kafir terhadap UMNO. Dewan Ulama Pas Kelantan itu menuduh UMNO kafir.
Tahun 1979 Tok Guru PAS di Pondok Pasir Tumboh, Kelantan, Haji Mustafa Abu Bakar mengeluarkan fatwa semasa berceramah di sebuah surau di Hulu Besut mengkafirkan ahli UMNO.
Disebut di mahkamah bahawa beliau didapati menuduh “orang-orang UMNO dalam Barisan Nasional (BN) hukumnya murtad” dan “orang UMNO dalam Barisan Nasional tidak sah dijadikan imam sembahyang”. Juga ‘‘sembelihan orang UMNO Barisan Nasional tidak boleh dimakan”; “tidak sah akad nikah sekiranya jurunikah itu orang Barisan Nasional” dan “kalau tidak bersefahaman antara suami isteri jika salah seorang Pas yang satu Barisan Nasional nescaya hukumnya tertalaklah antara suami isteri dan jika bersetubuh juga hukumnya zina, kalau dapat anak hukumnya anak zina.”
Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang juga pernah dalam fatwanya tahun 1982 menghukum kafir kepada orang UMNO iaitu apa yang disebut sebagai ‘Amanat Hadi’. Semua orang telah maklum dan tidak perlu dijelaskan lanjut mengenai amanat dan hukum yang dibuat oleh Hadi itu.
Nik Aziz bukan sahaja suka membuat tuduhan yang bukan-bukan kepada orang UMNO bahkan beliau sendiri pernah mengeluarkan kenyataan melampau terhadap agama Islam Yang Maha Suci, seperti Tuhan juga samseng, Tuhan mencarut, sanggup bekerjasama dengan syaitan untuk kemenangan dan sebagainya.
Namun kata-katanya yang cukup menyinggung perasaan umat Islam itu tenggelam begitu sahaja dimamah zaman, walaupun ia cukup melampaui batasan ajaran Islam.
Semasa ajaran Ayah Pin berada di peringkat yang cukup kritikal, Pas yang menjadi kerajaan di Terengganu tidak mengambil tindakan tegas untuk menghapuskan ajaran sesat itu. Pelbagai binaan wujud di perkampungan Ayah Pin di Hulu Besut.
Apabila Barisan Nasional mengambil alih semula Kerajaan Terengganu barulah ‘cerek gergasi’, ‘perahu Nabi Nuh’, ‘payung kuning’ dan sebagainya yang dibina sekitar tahun 2001 hingga 2003 (di zaman pemerintahan Pas) telah dirobohkan oleh Kerajaan BN-UMNO Terengganu.
Lantaran itu wajarkah UMNO disamakan dengan ajaran sesat Ayah Pin dan Pas ajaran yang betul dan tiada cacat celanya.
Sesungguhnya Nik Aziz semakin melampau apabila merasakan tiada siapa boleh mengambil tindakan ke atasnya.
Semuga Pok Nik di beri petunjuk supaya bertaubat dan kembali kejalan yang benar.
W/sallam
Salam..
BalasPadamMohon Nik Aziz cermin diri
KENYATAAN Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat baru- baru ini yang menyifatkan UMNO sebagai sama dengan komunis adalah sangat keterlaluan kerana menyamakan parti yang telah banyak berjasa kepada agama, bangsa dan negara dengan pengganas yang memporak perandakan negara.
Adakah wajar UMNO, sebuah parti yang menjadi tunggak pemerintahan negara dan terbukti telah banyak menyemarakkan syiar Islam, disamakan dengan komunis yang bukan sahaja menentang Islam tetapi telah membunuh, menyiksa serta memusnahkan harta benda tanpa sekelumit rasa belas kasihan.
Komunis telah mendatangkan mala petaka kepada negara ini, menggugat kehidupan rakyat dan berusaha menghancurkan negara demi mencapai cita-cita menjadikan Parti Komunis Malaya (PKM) sebagai paksi memerintah negara ini.
Tiada apa pun kebaikan komunis walau sebesar hama, melainkan penderitaan dan kepayahan berpanjangan yang mereka semaikan kepada negara dan rakyat sehingga darurat terpaksa diisytiharkan.
Selama 12 tahun darurat dari tahun 1948 sehingga 1960, banyak usaha ditumpukan ke arah pembasmian kuncu-kuncu komunis sehingga pembanguan negara dan program-program untuk kesejahteraan rakyat serta pembangunan ekonomi tergendala.
Malah selepas darurat, bahana durjana komunis terus berpanjangan. Ramai anggota tentera dan polis, juga orang awam, terkorban akibat kekejaman komunis yang tidak berhati perut. Kekejaman komunis tidak dapat digambarkan dengan kata-kata dan perbuatan mereka tidak dapat dimaafkan.
Justeru adakah wajar UMNO sebagai sebuah parti yang didokong oleh orang Islam, dan yang telah terbukti begitu komited dengan perjuangan membangun dan meninggikan syiar Islam, memakmurkan serta membela nasib rakyat pelbagai kaum, disamakan dengan komunis yang tidak berhati perut dan tidak mengakui Islam? Ini satu penghinaan yang langsung tidak berasas.
Nik Aziz dianggap sebagai Tuan Guru dan ulama. Tetapi sayang kata-kata beliau langsung tidak mempamerkan kemuliaan sejajar dengan gelaran pada dirinya. Kata-kata beliau langsung tidak berhemah dan semata-mata berdasarkan politik serta ikut sedap mulut.
Kita sama-sama tahu bahawa Islam adalah agama rasmi negara. Kerajaan yang berteraskan UMNO telah banyak membina masjid dan syiar Islam sentiasa dipertingkatkan. Jika UMNO itu komunis adakah ini semua akan dilakukan? Adakah kita akan dapat hidup aman dan maju seperti yang kita kecapi hari ini, termasuk Nik Aziz sendiri?
Malah kemajuan dan kejayaan Malaysia sebagai negara Islam juga diakui oleh banyak negara luar, termasuk negara Islam lain. Ini membuktikan UMNO bukan sahaja telah berjaya memartabatkan negara daripada segi sosio-ekonomi, tetapi pembangunan dan kemajuan syiar Islam juga mencuri perhatian negara luar.
Perkara ini semua tidak akan berlaku jika UMNO itu seperti komunis. Fahamilah wahai Tuan Guru. UMNO sebenarnya lebih banyak membangunkan syiar Islam dibandingkan dengan Pas sendiri. UMNO lebih praktikal memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air, bukan hanya bercakap kosong seperti Pas.
Saya bermohon agar Tuan Guru dan Pas berhenti menuduh dan melabelkan UMNO semata-mata kerana kepentingan politik, semata-mata untuk menyedapkan hati penyokong yang mudah percaya dan menjadi ‘pak turut’. Berhati-hatilah berkata kerana fikir itu pelita hati.
Dulu Pas kata UMNO kafir, sekarang kata komunis. Jika Pas benar-benar parti Islam seperti yang didakwa, ia tidak harus membuat dakwaan liar terhadap insan seagama yang akibatnya meletakkan Pas pada mertabat yang rendah. Cerminlah diri.
W/Sallam