Sabtu, Januari 24, 2009

Hudud Pas Berbanding Hudud ALLAH...!!!

AGAMA Islam Pas menjadi semakin popular dalam masyarakat Melayu. Hukum Hududnya diyakini sebagai hukum agama yang suci. Ulamanya pula ditaati seperti Allah dan rasul-Nya.

Kekalutan ini lahir daripada input yang mengelirukan mengenai tugas rasul Allah yang sebenar. Para ulama tidak menjelaskan seperti yang dijelaskan Allah iaitu tugas rasul hanyalah untuk menyampaikan al-Quran kepada umat. Firman Allah 5:92 yang berbunyi “Ketahuilah bahawa atas rasul Kami hanyalah untuk menyampaikan yang jelas (al-Quran)" tidak disampaikan kepada orang Melayu.

Mereka terus membisu dengannya walaupun Allah menyebut mesej itu sekali lagi dalam ayat al-Quran 24:54. Lantas, Islam ajaran ulama bukanlah Islam yang disampaikan oleh rasul.

Rasul mengikuti satu syariat yang termaktub dalam Perintah daripada Allah -
“Kemudian Kami membuat kamu di atas satu syariat daripada Perintah; maka ikutlah ia” (45:18) - dan dalam Perintah itu juga dinyatakan bahawa hanya Allah sahaja yang berhak mensyariatkan atau menetapkan hukum untuk agama-Nya. Tiada yang lain, selain daripada Dia, diizinkan berbuat demikian. Mereka yang ingkar dan yang memandai-mandai menggubal sendiri hukum agama dikategorikan-Nya pula sebagai sekutu Allah (42:21), dan dosa ini tidak diampun.

Namun manusia, kerana kefasiqan mereka, terus menggubal peraturan atau hukum agama. Lalu lahirlah pelbagai peraturan dan hukum yang berlainan daripada apa yang diwahyukan. Hukum Hudud adalah satu daripadanya.

Perkataan hudud bermakna had atau batas, dan juga ordinan. Ia sering disebut dengan kata hudud Allah di dalam al-Quran dan kata ini bersangkutan dengan peraturan atau hukum. Maka hudud Allah boleh dimaksudkan sebagai had bagi sesuatu hukuman, atau hukuman yang maksima, bagi sesuatu kesalahan yang ditetapkan Allah.

Perkataan ini disebut sebanyak 14 kali di dalam 9 buah ayat al-Quran. Satu daripada ayatnya berbunyi,

“Itulah hudud (had-had) Allah; janganlah mencabulinya. Sesiapa mencabuli had-had
Allah, mereka itulah orang-orang yang zalim” (2:229).

Oleh yang demikian hukuman daripada Allah, atau hukuman dalam Islam yang sebenar, adalah bersifat tidak zalim. Walaupun terdapat hukuman bunuh (qisas) dalam agama Allah, namun Dia memperingatkan agar dipertimbangkan nyawa pesalah supaya dapat diselamatkan. Firman-Nya,

“Dalam qisas ada kehidupan untuk kamu, wahai orang-orang yang mempunyai minda,
supaya kamu bertakwa” (2:179).

Tidak pula dengan Hukum Hudud Pas. Padanya bau zalim begitu ketara. Beberapa contoh akan dikemukakan di sini, dipetik daripada “Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 – Kerajaan Negeri Kelantan”, hasil karya ulama Pas yang disucikan oleh ramai orang Melayu.

Contoh pertama ialah hukuman untuk mencuri:

“Sesiapa yang melakukan sariqah (mencuri), melainkan dalam keadaan yang
dinyatakan dalam seksyen 7, hendaklah dihukum dengan hukuman hudud seperti
berikut:

(a) bagi kesalahan pertama dengan dipotongkan tangan kanannya;

(b) bagi kesalahan yang kedua dengan dipotongkan kaki kirinya; dan

(c) bagi kesalahan-kesalahan yang ketiga dan berikutnya dengan dipenjarakan
selama tempoh yang difikirkan patut oleh Mahkamah untuk menjadikan pesalah
itu sedar dan sesal.” (Bahagian I, perenggan 6)

Hukuman ini mengatasi hudud Allah yang hanya menyuruh potong tangan. Itulah had hukuman yang ditetapkan Allah bagi pencuri. Firman-Nya,

“Dan pencuri lelaki dan pencuri perempuan, potonglah tangan keduanya sebagai
satu balasan ke atas apa yang mereka mengusahakan, dan hukuman contoh daripada
Allah; Allah Perkasa, Bijaksana” (5:38).

Itulah juga hukuman maksima yang dijatuhkan oleh rasul ke atas pencuri kerana dia menuruti perintah Tuhan berbunyi,

“Dan Kami menurunkan kepada kamu Kitab dengan yang benar, yang mengesahkan Kitab
sebelumnya, dan mengawalnya. Maka hakimkanlah antara mereka menurut apa yang
Allah menurunkan, dan janganlah mengikuti keinginan mereka untuk mengabaikan
yang benar yang datang kepada kamu” (5:48).

Contoh kedua ialah hukuman bagi kesalahan merompak:

“Sesiapa melakukan hirabah (merompak) hendaklah dihukum dengan hukuman hudud
seperti berikut:

(a) dihukum bunuh dan selepas itu disalibkan, jika mangsa kesalahan itu dibunuh
dan hartanya atau harta orang lain diambil;

(b) dihukum bunuh sahaja, jika mangsa kesalahan itu dibunuh dengan tidak ada apa-
apa harta yang telah diambil;

(c) dihukum potong tangan kanan dan kaki kirinya, jika harta sahaja yang diambil
dengan tidak menyebabkan kematian mangsa atau mencederakannya; tetapi
sekiranya harta-harta diambil dan kecederaan dilakukan ke atas mangsanya,
maka diyat atau irsy hendaklah dibayar sebagai tambahan kepada hukuman
potong tangan dan kaki .....” (Bahagian I, perenggan 9).

Yang paling sumbang dalam hukum hudud Pas ini ialah perbuatan menyalib dan memotong tangan dan kaki pesalah. Dalam al-Quran tindakan menyalib dan memotong tangan dan kaki hanya diharuskan semasa dalam peperangan, iaitu ke atas musuh Islam yang memerangi. Firman-Nya,

“Sesungguhnya balasan ke atas orang-orang yang memerangi Allah dan rasul-Nya, dan
yang berusaha di bumi untuk membuat kerosakan - mereka dibunuh, atau disalib,
atau tangan-tangan mereka dan kaki-kaki mereka dipotong berselang-seli, atau
mereka dibuang daripada bumi. Itulah suatu kerendahan bagi mereka di dunia; dan
di akhirat, bagi mereka azab yang besar” (5:33).

Al-Quran ada juga menyebut mengenai hukuman memotong tangan serta kaki dan kemudian disalib di pohon palma yang dilakukan bukan dalam peperangan. Akan tetapi, hukuman ini adalah amalan Firaun, seorang musuh Islam yang zalim pada zaman Nabi Musa (7:124, 20:71 dan 26:49).

Sementara hukuman salib tanpa memotong mana-mana bahagian anggota disebut sebagai hukuman orang kafir zaman Nabi Isa (4:157) dan raja semasa zaman Nabi Yusuf (12:41).

Mengenai hukuman bunuh pula, yang diharuskan Allah, ia tidak sahaja terhad ketika dalam peperangan (2:191) tetapi juga dalam kes pembunuhan biasa. Namun kuasa diberi kepada saudara si mati untuk melaksanakan hukuman tersebut. Firman-Nya,

“Wahai orang-orang yang percaya, ditetapkan bagi kamu ialah pembalasan (qisas),
mengenai orang yang dibunuh ….. tetapi, jika sesuatu dimaafkan kepadanya oleh
saudaranya, maka hendaklah mengikutinya dengan baik, dan hendaklah bayarannya
dibuat dengan baik. Itu adalah satu keringanan bagi kamu daripada Tuhan kamu,
dan satu pengasihan; dan sesiapa mencabuli sesudah itu, baginya azab yang pedih”
(2:178).

Contoh ketiga ialah hukuman bagi penzina:

“(1) Jika pesalah yang melakukan zina itu mohsan, maka pesalah itu hendaklah
dihukum dengan hukuman rejam, iaitu dilontar dengan batu yang sederhana
besarnya sehingga mati.

(2) Jika pesalah yang melakukan zina itu ghairu mohsan, maka pesalah itu
hendaklah dihukum dengan hukuman sebat sebanyak seratus kali sebatan dan
sebagai tambahan hendaklah dipenjara selama satu tahun.” (Bahagian I,
perenggan 11)

Hukuman ini jauh melebihi had yang ditetapkan Allah yang berbunyi “Perempuan yang berzina, dan lelaki yang berzina, sebatlah tiap-tiap seorang daripada mereka dengan seratus sebatan,” (24:2). Itu sahaja.

Menurut al-Quran, hukuman merejam batu adalah amalan orang kafir zaman dahulu kala seperti zaman Nabi Nuh, Ibrahim, Shuib dan zaman beberapa orang pemuda yang mencari perlindungan di dalam gua atau al-kahfi. Nabi Musa juga takut direjam oleh Firaun.

Menurut catatan sejarah pula, hukuman merejam batu hingga mati kepada pesalah dalam hal agama telah dimulakan oleh seorang ulama Yahudi bernama Uzair (9.30) yang hidup kira-kira 2,000 tahun sebelum al-Quran diturunkan. Apapun, hukuman ini adalah hukuman jahiliah, dan Tuhan telah bertanya,

“Adakah putusan jahiliah yang mereka menginginkan? Dan siapakah yang lebih baik
putusannya daripada Allah bagi kaum yang yakin?” (5:50).

Contoh keempat ialah hukuman bagi kesalahan liwat:

“Sesiapa melakukan kesalahan liwat, hendaklah dihukum dengan hukuman yang sama
seperti yang ditetapkan bagi zina.” (Bahagian I, perenggan 17)

Penggubal hukuman ini jelas tidak menyedari mengenai kewujudan hudud Allah bagi perempuan dan lelaki yang sedemikian rupa nafsu seksnya. Diturunkan di bawah ini dua ayat al-Quran yang berkaitan:

1. “Dan perempuan-perempuan kamu yang melakukan kesumbangan, panggillah empat
antara kamu untuk menyaksikan terhadap mereka; dan jika mereka menyaksikan,
tahanlah mereka di dalam rumah-rumah mereka sehingga kematian mematikan
mereka, atau Allah mengadakan bagi mereka satu jalan” (4:15).

2. “Dan apabila dua orang antara kamu (lelaki) melakukannya (kesumbangan), maka
hukumlah keduanya; tetapi jika mereka bertaubat, dan membetulkan, maka
berpalinglah daripada keduanya; Sesungguhnya Allah adalah Yang Menerima
Taubat, Pengasih” (4:16).

Contoh kelima ialah kesalahan meminum arak:

“(1) Syurb adalah kesalahan meminum arak atau sebarang minuman yang memabukkan;
dan sesiapa yang melakukan kesalahan ini, sama ada dia mabuk atau tidak, dan
tanpa mengira kuantiti yang diminumnya hendaklah dikenakan hukuman sebat yang
tidak lebih daripada lapan puluh kali sebatan dan tidak kurang daripada empat
puluh kali sebatan.” (Bahagian I, perenggan 22)

Firman-Nya: “Sesungguhnya Kami menurunkan kepada kamu Kitab dengan yang benar supaya kamu menghakimkan antara manusia dengan apa yang Allah memperlihatkan kepada kamu” (4:105).

Oleh kerana hukuman bagi peminum arak tidak dijelaskan di dalam al-Quran, maka rasul tidak menjatuhkan sebarang hukuman mengenainya. Sebaliknya pula dia menyampaikan ayat-ayat Tuhan yang menyatakan amalan itu adalah dosa besar (2:219), kotor, amalan syaitan dan minta dijauhkan (5:90), di samping menyebabkan permusuhan dan kebencian antara manusia, dan minta berhenti daripada meminumnya (5:91). Dengan nasihat ini orang yang takut kepada Tuhan tentu berhenti daripada minum arak.

Contoh keenam dan terakhir ialah hukuman bagi kesalahan murtad:

“(3) Sesiapa yang disabitkan melakukan kesalahan irtidad (murtad), hendaklah
sebelum dijatuhkan hukuman ke atasnya dikehendaki oleh Mahkamah supaya
bertaubat dalam tempoh yang tidak kurang daripada tiga hari setelah dia
didapati salah.

(4) Sekiranya dia enggan bertaubat dan masih lagi berterusan dengan pendiriannya
terhadap perbuatan yang dilakukan atau perkataan yang disebutkan itu, maka
Mahkamah hendaklah mengisytiharkan hukuman bunuh ke atasnya dan memerintahkan
supaya hartanya sama ada diperolehi sebelum atau selepas dia melakukan
kesalahan itu dirampas untuk dipegang bagi keperluan Baitul-Mal:”(Bahagian
I, perenggan 23)

Ini merupakan satu lagi hukuman yang dipelajari daripada ulama jahiliah bernama Uzair yang Allah gelar “anak Tuhan” (9:30) kerana memandai-mandai membuat hukum agama. Allah sendiri akan menghukum orang murtad seperti yang tersurat di dalam firman-Nya yang bermaksud,

“Wahai orang-orang yang percaya, sesiapa antara kamu yang berpaling (murtad)
daripada agamanya, maka Allah akan mendatangkan satu kaum yang Dia mencintai,
dan mereka mencintai-Nya; rendah diri terhadap orang-orang mukmin, keras
terhadap orang-orang yang tidak percaya; mereka berjuang di jalan Allah, dan
tidak takut akan celaan mana-mana pencela. Itulah pemberian Allah; Dia
memberinya kepada siapa yang Dia mengkehendaki; dan Allah Merangkumi,
Mengetahui” ( 5:54 ).

Seperti itu juga akan terjadi kepada orang Melayu jikalau mereka tidak kembali kepada ajaran Islam sebenar yang terkandung di dalam al-Quran. “Apa, adakah aku akan mencari sebarang hakim selain Allah? Dan Dia yang menurunkan kepada kamu Kitab yang cukup jelas; ….. maka janganlah kamu termasuk orang-orang yang ragu-ragu” (6:114).

Yang hina lagi keji adalah dari kita yakni manusia...Dan yang terbaik dan termulia adalah datangnya dari ALLAH...

Isuhot
Taminsari

5 ulasan:

  1. Salam Taminsari,

    Jika manusia menurut hukum hudud yang sebenar, takde seorang pun yang berani nak buat kesalahan. Itu pun yang paling ringan dalam segala hukum di dunia ini. Belum lagi masuk alam akhirat.

    Selagi nyawa masih dikandung jasad, selagi itulah manusia tidak akan lepas dari menyalahi undang-undang Allah, maka hukum-hukum ditetapkanNya adalah jelas agar manusia dapat menjadikannya sebagai panduan ketika menghadapi semua jenis permasalahan dalam kehidupan sosial kita.

    Agama tidak boleh diubah. Begitu juga undang-undang Allah. Tidak boleh dikurangkan apatah lagi ditokok tambah. Bahaya menokok tambah boleh membawa kepada kerosakan aqidah.

    Jangan lah kita bersikap GHULUW (berlebih-lebihan) dalam agama kerana ianya telah diberi amaran oleh Rasulullah S.a.w dalam hadith yang bermaksud, “Hati-hatilah kalian dari ghuluw (berlebih-lebihan) dalam agama, kerana binasanya orang-orang yang sebelum kalian disebabkan kerana ghuluw dalam agama.” (HR. Ahmad, An-Nasai, dan Ibnu Majah, hadits ini dishahihkan oleh Ibnu Taimiyyah dalam Iqtidla’ hal. 106 dan disepakati oleh Syaikh Al-Albani dalam Ash-Sahihah 1283, dishahihkan pula oleh Syaikh Ali Hasan dalam Ilmu Ushulil Bida’ hal. 84)

    Bagaimanakah keadaan ini dalam masyarakat kita sekarang? Adakah wujud perilaku yang bermula dengan melebih-lebih dalam hal-hal yang berkaitan agama? Kita tidak mengatakan sesiapa. Cukuplah sekadar memberi gambaran terhadap apa yang berlaku - hudud Allah sudah dipolitikkan. Wallahualam.

    BalasPadam
  2. Hmm, memang patutlah DAP bantah hudud Pas. itulah saya dah agak, agama islam suatu agama yang takkan menganiaya orang. lainlah kalau islam Pas.

    BalasPadam
  3. salam..saya sebenarnya bangga dengan Belantan kerana berusaha memahami hukum hudud. Tiada hukum yang paling baik selain hukumNya.

    Maka apabila kata-kata saya ini janggal terhadap Belantan, rujuklah pada ahli agama adakah kata-kata saya ini menyeleweng atau tidak.

    Saya ingin mengulas satu-satu tentang hudud Allah yang dikatakan hudud PAS, tetapi masa pula tidak mengizinkan untuk saya mengulas dengan panjang. Insyallah selepas peperiksaan, atau belantan boleh rujuk pada ahli ilmuan yang lain(saya tidak mengatakan saya ahli ilmuan).

    Saya mengulas secara umum:

    pertamanya, Belantan hanya menggunakan rujukan Quran. Tidak merujuk pada Hadith. Juga tidak merujuk pada perbuatan sahabat, salafusalih, pendapat mazhab empat mazhab yang muktabar.

    kaduanya, Belantan memberikan ayat Quran tetapi hakikatnya itu hanya tafsir Quran ke Bahasa Melayu. Merujuk pada tafsir Bahasa Melayu sahaja tidak dapat menguatkan hujah dalam sesuatu hukum. Malahan mungkin terbatal. Kita sedia maklum, Quran diturunkan dalam Bahasa Arab, maka sekiranya ingin membuat penolakan terhadap sesuatu yang telah dibincangkan di dalam Bahasa Arab, maka tidak boleh tidak mesti berbahasa Arab. Sebagai contoh;huruf "و". Dalam bBm ia bermakna "dan". Sekiranya kita perhatikan dalam BA, ia tidak hanya dimaksudkan "dan" sahaja. Malahan huruf "و"ini dikelaskan حرف atau اسم.Dalam dua kelas tersebut masing-masing mempunyai pembahagiannya. Senang saya ceritakan, Tafsir terjemahan BM itu adalah benar tetapi untuk mengeluarkan hukum hakam adalah perlu merujuk pada asal bahasa Quran tersebut.

    ketiganya, tafsir BM dan penerangan Belantan tidak merujuk pada mana-mana kitab tafsir(tafsir bukan beerti tafsir ke Bahasa Melayu). Hukum hakam Islam itu bukan datang dari pemikiran sendiri, tapi merujuk pada ahli ilmu.

    keempatnya, Belantan merujuk cerita-cerita yang janggal sekali untuk didalilkan bersama hukum hudud. Mengapa tidak katakan tawaf di kabah menyamai orang-orang Hindu yang menyembah batu(berhala)?. Tidakkah kabah itu dari batu?. Tidakkah orang yang solat itu menghadap batu kabah itu?.

    Insyallah, sekiranya Belantan menantikan tulisan saya tentang kesalahan dalam tulisan-tulisan ini, tungguhlah sehingga saya menunaikan perkara yang wajib dahulu. Sekiranya hendak cepat, rujuklah pada ahli ilmu.

    saya takut, tulisan ini akan mengelirukan orang dan menyebabkan Belantan mendapat saham di akhirat tanpa dijangka.

    Saya adalah saudara seislam awak dan awak adalah saudara seislam saya. Maka, sekiranya ada kesalahan, tegur menegurlah..

    BalasPadam
  4. seharapnya hudud PAS dapat dilaksanakan dikelantan terutamanya .. sebelum TG Nik Aziz menghembuskan nafas yang terakhirnya,,. Tidakkah akan timbul perasaan kecewa yang teramat,,.. jika impian perlaksaan Hudud PAs tidak tercapai....
    tak sesusah membeli toyota camry.. untuk melaksanakan hudud..
    sebarang masalah yang timbul... mahkamah adalah tempatnya... PAS memiliki ramai pakar2 undang2.. apa yang ditunggu lagi..

    BalasPadam
  5. salam.saya x arif sgt bab hudud ini.

    cuma jika ada ahli bpn dapat menjawabnya dgn ilmiah maka ia dpt mengelakkan salah sangka dan silap faham.

    kita kena hati hati isu agama dan harapnya jika ada ahli agama yang mahir bolehlah mengemukakan pandangan.

    usaha belantan wajar dipuji.dan jika ada salah ia tidak bermakna dia sengaja.

    yang bagus ialah ruang komen saudara menjadi medan percambahan ilmu demi menerangkan yang haq dan melawan yang batil.

    kita tunggu reaksi saudara kita yg lain.

    wafauqa kullu zi ilmin alim

    salam.

    BalasPadam