Isnin, Oktober 20, 2008

Kewajaran Majlis Peguam Mempersoalkan “ Suara Melayu “ Utusan Malaysia DiPertikai!

Orang Melayu tertanya-tanya apabila Majlis Peguam Malaysia ( MPM ) mengadakan satu forum untuk membincangkan tentang ‘ Kontrak Sosial ‘ baru-baru ini. Banyak pihak menyelar tindakan Majlis Peguam yang membincangkan kontrak sosial kerana ia seolah-olah memperlekehkan orang Melayu. Mengapa MPM mahu mempersoalkan Kontrak Sosial sedangkan ianya telah lama dipersetujui oleh semua kaum semasa pembentukan Malaysia.

Penulis membangkitkan isu ini apabila Majlis Peguam Malaysia ( MPM ) mendakwa akhbar Utusan Malaysia melancarkan perang terhadapnya melalui liputan dan laporan mengenai forum kontrak sosial yang dianjurkannya, baru-baru ini.

Mengapa MPM melalui pengerusinya, Ambiga Sreevinasan tidak mahu mengetahui atau sengaja melupakan apakah pengorbanan yang telah dilakukan oleh orang Melayu untuk memberikan tempat kepada kaum Cina dan India supaya mereka dapat memulakan kehidupan mereka disini semasa pembentukan Persekutuan Tanah Melayu. Kalau MPM hendak mengungkit hal berkenaan Kontrak Sosial, mengapa tiada kedengaran ucapan terima kasih kepada orang Melayu yang memberi peluang kepada kaum Cina dan India untuk menjadi warganegara di Tanah Melayu ( Malaysia )? Adakah MPM melalui pengerusinya hendak menjadi seperti kacang lupakan kulit ataupun seperti madu diberi, tapi tuba yang dibalas.

Asas pembentukan negara ini berpaksikan kepada ‘ Kontrak Sosial ‘ yang telah dipersetujui semasa negara ini merdeka bahawa kepimpinan kerajaan perlu diketuai oleh orang Melayu Islam dan Islam adalah ugama rasmi . Bahasa Kebangsaan iaitu Bahasa Melayu sebagai penyatu kaum-kaum di negara ini, hak-hak istimewa Melayu dan juga hak-hak politik, ekonomi dan sosial kaum bukan bumi dijamin oleh perlembagaan, serta kerjasama parti-parti politik antara kaum-kaum terbesar melalui gagasan BN serta adanya pengiktirafan terhadap DPK dan DEB oleh pelbagai kaum semasa pembentukannya dahulu. Mengapa hendak di pertikaikan lagi.

Jangan ingat anda semua di MPM yang arif mengetahui dengan pelbagai selok belok undang-undang, bebas melakukan apa sahaja dengan mengadakan forum untuk mempertikaikan ‘ Kontrak Sosial ‘ tanpa memikirkan sensitiviti orang Melayu. Orang seperti anda semua sebenarnya sedang menghiris perasaan orang Melayu di Malaysia.
Dan apabila orang Melayu marah, anda menyalahkan ‘ Utusan Malaysia ‘ pula.

Anda jangan lupa akhbar Utusan Malaysia adalah suara orang Melayu. Utusan Malaysia tidak melancarkan perang terhadap MPM melalui liputan dan lapuran mengenai forum ‘ Kontrak Sosial ‘ yang dianjurkan oleh MPM baru-baru ini. MPM lah yang sebenarnya yang mengajak orang Melayu ‘ melancarkan perang ‘ terhadap MPM. Anda sebenarnya masih bernasib baik kerana orang Melayu masih lagi rasional tidak melakukan demostrasi, tetapi meluahkan rasa ketidakpuasan hati mereka melalui akhbar Utusan Malaysia. Sebab itu jika MPM mengatakan Utusan Malaysia melancarkan serangan terhadap MPM, sebenarkan itu adalah rasa marah orang Melayu. Jangan ingat orang Melayu akan berdiam diri apabila hak-hak mereka sudah mula dipertikaikan oleh bukan Melayu.

Mengapakah MPM dikurniakan dengan seorang sempit akal fikiran seperti pengerusinya, Ambiga Sreevinasan? Marahkan nyamuk, kelambu di bakar. Marahkan orang Melayu, akhbar Utusan Malaysia pula jadi mangsanya. Adakah disebabkan oleh adanya lapuran polis, membuatkan Ambiga tak senang duduk. Kemudian mahukan kerajaan menghapuskan pula Akta Hasutan kerana pada pendapatnya Akta Hasutan akan mengekang masyarakat daripada membincang atau mendebatkan isu-isu tertentu di negara ini. ‘‘Akta Hasutan tidak harus dilaksanakan kerana ia dianggap satu undang-undang yang bodoh. England juga sudah lama tidak menggunakan akta tersebut,’’ kata Ambiga.

Adakah dengan mengadakan forum ‘ Kontrak Sosial ‘ baru-baru ini sebagai satu ujikaji bagi Ambiga untuk melihat samada kerajaan akan mengambil tindakan terhadap MPM kerana ianya boleh dianggap sebagai satu hasutan. Dan apabila melihat ‘ ujikaji ‘ ini membangkitkan kemarahan orang Melayu , mahukan pula Akta Hasutan dihapuskan supaya dengan penghapusan ini akan banyak lagi forum seumpama itu akan dapat diadakan. Sebagai seorang pengerusi Majlis Peguam Malaysia, ( MPM ) adakah beliau tahu apakah tujuan utama Akta Hasutan diwujudkan di sebuah negara majmuk seperti Malaysia. Kemakmuran dan keamanan yang kita semua kecapi selama 51 tahun ada disebabkan oleh Akta Hasutan ini. Penulis yang rendah akal mindanya ini pun tahu akan keberkesanan Akta ini. Inikan pula seorang peguam terkenal seperti Ambiga Sreevinasan.

Kalau Ambiga merasakan Akta Hasutan ini satu undang-undang yang bodoh, penulis rasa eloklah Ambiga membuat permohonan untuk menjadi warganegara British. Tak guna lagi anda tinggal dinegara ini. Niat anda sudah dapat dibaca. Nasihat kepada peguam-peguam di MPM, buatlah kerja-kerja yang di amanahkan kepada anda semua dengan lebih berkesan dan efisyen. Banyak lagi kes-kes tergendala yang belum selesai. Tak payahlah lagi kalau rasa tak puas hati nak buat lagi perarakan untuk menuntut keadilan seperti yang anda semua telah lakukan tidak lama dulu di Putrajaya. Malu rasanya orang-orang ‘ berkolar putih ‘ seperti anda membuat perarakan seperti itu. Anda seolah-olah merendahkan martabat anda sendiri. Kalau rasa-rasa nak berpolitik, letaklah jawatan! Jangan campur adukkan kerjaya anda dengan politik.

Ingat, orang Melayu berdiri teguh dibelakang Utusan Malaysia. Kami melahirkan rasa ketidakpuasan kami mengenai pelbagai isu melalui akhbar Utusan Malaysia. Jika anda menuduh akhbar Utusan Malaysia ‘melancarkan perang ‘ terhadap Majlis Peguam, samalah juga dengan anda menuduh orang Melayu ‘ melancarkan perang ‘ terhadap MPM. Orang Melayu tidak akan berdiam diri jika hak-hak mereka di bincang dan di persoalkan. Jangan jadikan Majlis Peguam sebuah pertubuhan ‘ elit ‘ sehingga tidak boleh ditegur.

Taminsari
Shah Alam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan