Khamis, Disember 10, 2015

UMNO harus cekal hadapi cabaran?


Pergolakan dalam parti politik adalah hal yang lazim berlaku. Ibarat berlayar di lautan, ribut sering datang. Nakhoda harus cekal dan kapal akan sampai ke pelabuhan dengan selamat. UMNO juga sering menghadapi ribut sejak ditubuhkan. Kecekapan nakhoda kapal dan keyakinan anak kapal menyebabkan UMNO terus mampu meneraju negara.

UMNO sering menghadapi krisis. Kemahiran mengurus krisis perlu ada dalam kalangan pemimpin dan pengikut. Pemimpin dan ahli UMNO jangan mudah terjebak dengan perangkap yang dipasang oleh orang lain. Orang UMNO jangan mudah melatah dengan persepsi dan tohmahan orang lain hingga menyebabkan syak wasangka sesama sendiri terjadi.

Sejak merdeka UMNO terus cekal mengurus negara. Kemajuan yang berlaku kini adalah hasil perjuangan UMNO dan Barisan Nasional. Rahsianya taat kepada pemimpin, patuh kepada keputusan yang diambil, akur kepada jalan menyelesaikan masalah dan tunduk kepada hala tuju perjuangan memartabatkan bangsa, agama dan negara.

Pihak di luar UMNO berhempas pulas cuba menumbangkan UMNO dengan pelbagai tohmah dan fitnah. Tapi UMNO masih tegak berdiri. Yang mengalami kegoncangan adalah Pas yang sudah memutuskan tahalluf siyasinya dengan Pakatan Rakyat. Pas kini berpecah dua dan menganggap Parti Amanah Negara (Amanah) sebagai pengkhianat. Mereka bakal bertarung dalam Pilihan Raya Umum (PRU-14) nanti dan bakal menguntungkan UMNO.


Yang menghadapi keresahan adalah Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana perjuangannya masih lagi ingin memartabatkan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Tanpa dukungan Pas di Selangor, kerajaan Selangor akan goncang. Mohamed Azmin Ali perlukan dukungan jentera Pas di Gombak dan Bukit Antarabangsa supaya survival politiknya terjadi.

DAP terus menggunakan Mohamad Sabu sebagai “lembu-laga” untuk menjatuhkan UMNO. Pas juga sedang menghentam Mohamad Sabu kerana menuduh Pas diresapi kumpulan militan Negara Islam (IS). DAP harap Amanah boleh menggantikan Pas kerana cita-cita DAP menggunakan PKR dan Amanah adalah untuk mengambil alih negara.

Orang UMNO di segenap peringkat kena tahu Pas telah berjaya menyingkirkan parasit atau dedalu yang sekian lama menumpang dalam organisasinya dengan cita-cita yang tersendiri dalam muktamar lalu. Kumpulan pro-Anwar tidak pernah sekata dalam fahaman dan ideologi perjuangan kini mengumpul diri dalam Amanah. Percayalah Amanah bakal pecah selepas PRU-14 nanti.

Hal-hal di atas disebutkan kerana UMNO mempunyai ramai musuh. Jangan jadikan diri sendiri memusuhi parti sendiri kerana perpecahan UMNO terhubung langsung dengan nasib negara dan generasi akan datang.


Jangan izinkan diri terjebak dengan permainan persepsi dan tohmah media sosial yang digerakkan oleh pembangkang. Lakukan tabayyun atau kaji selidik atau terima maklumat daripada pihak yang berautoriti supaya sangka buruk tidak terjadi.

Bayangkan sekiranya UMNO tersungkur dalam PRU-14 nanti nasib bangsa, agama dan negara akan tersungkur sama. Bolehkah diharap DAP, PKR dan Amanah membela nasib bangsa, agama dan negara pada masa depan. Nasib orang Melayu di Pulau Pinang menjadi bukti.

Masalah dalaman parti tetap ada kerana UMNO dikendalikan oleh manusia. Manusia adalah lemah dan perlukan kekuatan. Tetapi cari kebijaksanaan supaya ular yang dipukul mati, kayu yang memukul tidak patah dan tanah tempat memukul tidak lembah.

Apa yang sedang berlaku dalam UMNO ibarat lintasan ribut. Ribut akhirnya akan berhenti. Bila berhenti yang rebah, cantas saja. Yang condong cuba ditegakkan dan yang teguh berdiri itulah saf perjuangan yang sudah teruji.

Moga-moga perhimpunan agung UMNO kali ini menjadi gelanggang untuk merapatkan saf kepimpinan dan kepengikutan di samping berbicara dengan matang, telus dan tulus di samping memperkukuh hala tuju perjuangan memenangi PRU-14 untuk bangsa, agama dan negara.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: