Isnin, September 28, 2015

Ada kira-kira pakatan pembangkang tanpa Pas?


September akan diingati oleh Pas sebagai bulan pengkhianatan. Selepas 16 September yang menyaksikan pemimpin serpihan Pas membentuk parti sendiri Parti Amanah Negara (Amanah), pada 22 September lalu mereka membentuk sebuah pakatan pembangkang baharu yang menyisihkan Pas.

Dari awal desas-desus pembentukan pakatan baharu, Pas memang menunjukkan sikap berbeza. Mereka bertegas tidak mahu menjalin kerjasama dengan pengkhianat dan juga DAP, parti yang sejak lama dicurigai.

Dalam keadaan begitu hanya PKR yang kelihatan bersungguh-sungguh mahu membawa Pas ke dalam bahtera baharu kononnya untuk menyelamatkan Malaysia itu.

Perbincangan pun diatur untuk mempertemukan parti-parti pembangkang dan NGO sealiran dalam satu perbincangan meja bulat.

Beberapa hari sebelum pertemuan meja bulat diadakan, Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail mengadakan pertemuan khusus dengan pimpinan Pas.

Yang umum tahu tentulah PKR akan sedaya upaya memujuk Pas menyertai pakatan baharu itu, sekurang-kurangnya agar tidak berlaku pertembungan tiga penjuru dalam pilihan raya kelak.

Tetapi seperti ada sesuatu yang disembunyikan, Pas tidak dimaklumkan tentang agenda sebenar meja bulat 22 September itu. Jadilah pertemuan PKR dengan pimpinan Pas umpama wayang penglipurlara sahaja.

Pas merasakan firasat mereka terbukti benar. Mereka betul untuk tidak menyertai pakatan baharu. Kemusykilan Pas itu diumumkan melalui satu kenyataan Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Pas mengesan ada pihak tertentu yang tergesa-gesa mengumumkan kelahiran gabungan baharu itu, Pas melihat dakwaan mereka itu lebih terserlah dan seolah-olah dibenarkan melalui pengisytiharan serta-merta kerajaan Pulau Pinang sebagai kerajaan Pakatan Harapan oleh DAP Pulau Pinang.

"Tindakan sepantas kilat itu telah menambat persepsi di minda rakyat mengenai siapa sebenarnya perancang utama di dalam pakatan yang baharu ini," kata pemimpin Pas ini yang selalunya menunjukkan sikap diplomasi apabila berhadapan dengan DAP dan PKR.

Apakah maksud kias Tuan Ibrahim ini? Tuan Ibrahim menjelaskan Pas langsung tidak dimaklumkan tentang adanya persidangan meja bulat pembangkang dalam pertemuan dengan PKR pada 15 September lalu.


Persidangan meja bulat pembangkang dimaklumkan kemudian, dan pada awalnya diberi gambaran sekadar perbincangan isu melibatkan kepentingan rakyat.

"Namun apa yang berlaku tenyata persidangan itu mempunyai agenda lain," kata Tuan Ibrahim. Kenyataan Pas itu disusuli dengan dakwaan wujudnya konspirasi terancang menyisihkan Pas dalam pakatan baharu.

DAP yang dilihat menakhoda pakatan itu bersama PKR dan Amanah seperti sengaja mahu menyisihkan Pas.

Belum pun bersama, Pas sudah merasa mereka dikhianati. Sentiasa ada agenda dalam agenda. Entah apa lagi agenda tersirat yang belum terdedah kepada umum.

Tidak berprinsip

Masalahnya, Pas juga yang kelihatan terhegeh-hegeh dan boleh diterjemah sebagai tidak berprinsip. Hanya Pas yang menganggap Pakatan Rakyat belum musnah.

Hujahnya, masih ada kerjasama dengan PKR sedangkan parti itu terang-terangan bermain kayu tiga.

Malangnya Pas merelakan sahaja pasangannya, PKR berlaku curang dengan DAP dan Amanah. Hari ini berkasih-kasih dengan DAP dan Amanah, esok bermanja-manja di riba Pas.

Yang ternampak menaruh harapan tinggi dengan pakatan baharu ini ialah DAP dan parti baharu asuhan mereka, Amanah.
PKR masih ragu-ragu walaupun Datuk Seri Anwar Ibrahim telah sekali lagi, digula-gulakan dengan jawatan Perdana Menteri.
Pakar strategi DAP, Liew Chin Tong dalam kenyataannya menegaskan bahawa tanpa Pas, pakatan baharu itu masih mampu menarik sokongan pengundi Melayu.

Ahli Parlimen Kluang itu malah melihat Pas tidak berupaya untuk menarik minat orang Melayu bandar dan pengundi bukan Melayu jika tidak kerana kumpulan progresifnya yang kini telah keluar daripada parti Islam itu.

Jadi, kehadiran Amanah akan dipergunakan untuk menawan 30 hingga 40 kerusi marginal yang selama ini dikuasai UMNO.
Kerusi itu kebanyakannya separa bandar di pantai barat Semenanjung dan bercampur-campur dari segi komposisi etniknya.

Inilah kira-kira DAP. Mereka tak peduli pun soal pertembungan tiga penjuru. Nampaknya PKR lebih yakin bersama dengan DAP dan Amanah dalam mengharungi pilihan raya umum kelak.

Maka, berterusanlah PKR bermain silap mata dengan Pas kerana tujuannya mahu mengekalkan kekuasaan kerajaan PKR di Selangor. Percayalah; lambat-laun Pas akan ditinggal jua oleh PKR.

Kini, setelah tertubuhnya pakatan baharu itu mereka akan lebih fokus untuk menggerakkan gelombang antikerajaan. Hasrat mereka mahu membenamkan UMNO untuk selama- lamanya.

Gelombangnya telah dirasai. Kita kini seakan-akan berada dalam mood pilihan raya. Rakyat juga yang terjebak hinggakan apa juga usaha pemulihan ekonomi mahu disabotaj.

Ada pihak yang sengaja mahu menggagalkan pemulihan ekonomi negara kerana dari segi politik bakal menganggu gerakan songsang pihak yang satu lagi.-UMO

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: