Ahad, Mac 29, 2015

Mat Sabu ditahan polis 
di Butterworth


GEORGE TOWN – Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu ditahan polis di sebuah restoran di Sungai Dua, Butterworth dekat sini malam tadi, kata Timbalan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa.

Beliau berkata, Mohamad atau lebih dikenali Mat Sabu ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di restoran itu selepas menghadiri mesyuarat Pas negeri kira-kira pukul 12.20 tengah malam.

“Semasa tangkapan, Datuk Mohd. Salleh Man (anggota Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir) ada bersama Mat Sabu, sebelum beliau dibawa ke Balai Polis Seberang Jaya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi ketika dihubungi Bernama mengesahkan penahanan Timbalan Presiden Pas itu, bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut.

“Penahanan itu dilakukan oleh pasukan polis dari Bukit Aman dan sebaik ditahan di Sungai Dua, beliau (Mat Sabu) dibawa ke Balai Polis Seberang Jaya dan seterusnya ke Balai Polis Daerah Dang Wangi (Kuala Lumpur) bagi siasatan di sana,” katanya.

Ditanya Mat Sabu ditahan berkaitan siasatan kes apa, Abdul Rahim enggan mengulas sambil menyatakan ia bukan berkaitan dengan kes di Pulau Pinang.

Difahamkan penahanan Mat Sabu dipercayai mempunyai kaitan dengan cadangan mengadakan perhimpunan haram di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur hari ini. –BERNAMA

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: