Ahad, Oktober 12, 2014

Pemimpin DAP, PKR tidak peduli bantahan Pas, Azmin baru sedar penganjur degil?

Status yang dimuat naik oleh Wong Chen (kanan) di dalam akaun Facebook miliknya, semalam.

Kehadiran beberapa pemimpin kanan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) ke acara Oktoberfest di pusat beli-belah One Utama, Petaling Jaya malam tadi menunjukkan mereka seolah-olah tidak menghormati pendirian Pas yang membantah penganjuran pesta arak tersebut.

Pengerusi Biro Pelaburan dan Perdagangan PKR, Wong Chen yang menghadiri acara berkenaan menjelaskan, tindakan mereka itu adalah untuk mempertahankan hak golongan yang meminum arak.

"Saya tidak minum arak tetapi saya percaya bahawa kedua-dua golongan yang meminum arak dan yang tidak minum mempunyai hak masing-masing.

"Cuma jangan paksa orang lain mengikut kemahuan anda," katanya menerusi status pada laman Facebook beliau hari ini.

Menurut beliau, antara pemimpin pakatan pembangkang yang menghadiri acara Oktoberfest ialah Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua; Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo; Ahli Majlis Pimpinan PKR, R. Sivarasa; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Gasing, R. Rajiv dan ADUN Damansara Utama, Yeo Bee Yin.

Dewan Ulama Pas sebelum ini membantah sekeras-kerasnya penganjuran acara Oktoberfest dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pihak penganjur kerana mempromosi pesta arak itu secara terbuka walaupun tidak mempunyai permit.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat Pas, Nasrudin Hassan menegaskan, pihak penganjur secara terang-terangan menyinggung sensitiviti umat Islam yang masih dalam suasana sambutan Hari Raya Aidiladha.

Azmin baru sedar penganjur degil

Menyedari 'kedegilan' penganjur pesta arak, Oktoberfest untuk memenuhi syarat-syarat ditetapkan, Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali mengingatkan mereka supaya mematuhinya.

Menurutnya, setakat semalam, penganjur masih belum mendapat kelulusan daripada polis dan Jabatan Kastam untuk meneruskan pesta itu.

"Sehingga semalam, saya dimaklumkan oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), mereka (penganjur) belum dapat kelulusan.

"Sebelum datang (mohon kelulusan) ke MBPJ, mereka perlu dapat kelulusan daripada polis dan kastam," katanya.


Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri perhimpunan bersama penjawat awam daerah Kuala Langat, di sini hari ini.

Semalam, Mohamed Azmin bertegas membenarkan penganjuran Oktoberfest di pusat beli-belah One Utama, Petaling Jaya pada hujung minggu ini.

Jelasnya, kerajaan negeri memberi laluan kepada pesta tersebut diteruskan memandangkan penganjur telah memenuhi semua syarat ditetapkan.

Pesta arak Oktoberfest bermula sejak 24 September lalu di beberapa lokasi di Selangor dan kemuncak acara itu diadakan dari 10 hingga 12 Oktober ini di tempat letak kereta pusat beli-belah One Utama.

Ditanya sama ada status pesta berkenaan adalah haram sekiranya gagal memenuhi kesemua syarat, Mohamed Azmin enggan mengiyakan soalan tersebut.

Sebaliknya beliau mahukan penganjur supaya tidak memandang ringan perkara berkenaan.

"Saya tidak mahu membuat hukuman awal. Biarkan mereka (penganjur) lalui kesemua proses permohonan.

"Penganjur mesti mendapat kelulusan daripada semua pihak termasuk polis, kastam dan pihak berkuasa tempatan," ujarnya.-UMO

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: