Khamis, Oktober 02, 2014

Dah mula dah...!!! Anwar campur tangan pentadbiran Azmin?


Dendam politik Anwar Ibrahim terhadap Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ternyata tidak berkesudahan apabila beliau mengarahkan Menteri Besar Selangor, Azmin Ali mendedahkan kepincangan serta keputusan meragukan yang dibuat oleh Abdul Khalid ketika memegang jawatan berkenaan.

Ketika menyampaikan ceramah di sini, malam tadi, Anwar juga mengambil kesempatan mendedahkan satu persatu kesalahan yang didakwa dilakukan bekas Menteri Besar Selangor itu.

"Pada hari terakhir, beliau sempat memecat saya sebagai Penasihat Ekonomi Selangor walaupun elaun yang layak diterima untuk jawatan berkenaan tidak dibayar sedangkan saya bekerja dan pergi ke luar negara untuk mempromosikan peluang pelaburan di negeri Selangor," katanya.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, antara perkara yang akan didedahkan Azmin termasuklah perjanjian air yang ditandatangani dengan Kerajaan Persekutuan, pembinaan Lebuh Raya Kinrara-Damansara (Kidex) dan pembinaan loji rawatan air Langat 2 yang didakwanya menguntungkan pihak ter­tentu sahaja.

"Azmin dan Exco baharu yang dilantik akan meneliti semula perjanjian yang ditandatangani sebelum ini. Abdul Khalid telah membuat beberapa keputusan dan tidak berbincang dengan kita walaupun saya sudah berkali-kali menegurnya," katanya.


Anwar berkata, beliau juga mahukan Azmin mengkaji semula kenaikan elauan yang diterima Menteri Besar seperti diumumkan Abdul Khalid dan kenaikan cukai pintu yang mendapat rungutan pelbagai pihak.

Sementara itu, Anwar mahukan pentadbiran Azmin tidak mengulangi sikap kedekut Abdul Khalid yang tidak membelanjakan wang rizab negeri yang mencecah RM3 bilion.

"Baguslah jika ada wang banyak tetapi saya pernah beritahu dia (Abdul Khalid), jalan raya di Shah Alam masih berlubang dan kenapa tidak guna wang itu untuk membaikinya. Dalam hal ini, Pulau Pinang mengambil pendekatan berbeza dengan membelanjakan semua duit berkenaan untuk selenggara jalan," katanya.

Beliau berkata, walaupun ada pihak yang mungkin berasa kurang senang dengan arahan supaya pendedahan berkenaan dibuat, beliau mahu ia dilaksanakan untuk kepentingan rakyat Se­langor.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan beliau tidak mahu bercakap lanjut tentang krisis Menteri Besar Selangor yang berlaku baru- baru ini kerana ia akan 'menguris' rakan-rakan dalam pakatan pembangkang.

Sementara itu, kepulangan Anwar ke kubu kuatnya sempena sesi ceramah Hapuskan Akta Hasutan di sini malam tadi dengan harapan akan disambut ribuan penyokong tidak kesampaian apabila jumlah yang hadir terlalu sedikit.


Anwar yang tiba kira-kira pukul 10 malam di Tapak Pasar Seberang Jaya kelihatan tidak ceria sejurus turun dari kereta selepas menyedari kehadiran penyokong yang mengecewakan walaupun cera­mah berkenaan turut menampilkan ramai 'tokoh besar' pembangkang seperti Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu; Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, RSN Rayer.

Anwar yang sebelum ini sibuk 'menyelesaikan' isu kemelut Menteri Besar Selangor kali terakhir pulang ke kawasan Parlimennya pada 31 Ogos lalu bagi menghadiri program di Guar Perahu ternyata tidak dapat menyembunyikan perasaan kecewa apabila secara terbuka menegur PKR Cabang Permatang Pauh supaya lebih agresif membuat hebahan tentang program melibatkan beliau.

Katanya, kehadiran penyokong yang rendah iaitu sekitar 200 orang pada program berkenaan mengecewakan kerana banyak isu penting yang mahu dijelaskannya.

"Di sini saya mahu tegur jentera supaya selaraskan promosi program kerana difahamkan penyokong di Guar Perahu dan kawasan sekitar tidak tahu mengenai program kita pada malam ini," katanya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: