Isnin, Ogos 06, 2012

UNISEL dan kerajaan negeri digesa selesai segera isu kebajikan pelajar?



Pentadbiran Universiti Selangor (Unisel) yang gagal membayar kos pengurusan asrama dan kampus induk di Bestari Jaya dekat sini sehingga berbulan-bulan lamanya dipertikaikan sedangkan pelajar membuat pembayaran yuran melalui pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS), Datuk Sohaimi Shahadan berkata, apabila lebih 3,000 pelajar Unisel tidak dapat mendaftar ke asrama masing-masing seperti dijadualkan, ini menunjukkan pihak pentadbiran universiti tidak mempunyai satu sistem pengurusan kewangan yang baik dan berkesan.

''Jadi, kita gesa pihak Unisel dan kerajaan negeri menjelaskan pelan tindakan segera mereka bagi menyelesaikan masalah tersebut. Sebelum ini kerajaan negeri menyatakan mempunyai dana untuk diberikan kepada pelajar termasuk Geran Selangorku.

''Jadi mengapa mereka tidak gunakan wang itu, lebih baik bantu pelajar daripada memberikan bantuan untuk membayar kos guaman Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini.

Beliau mengulas laporan akhbar bahawa kira-kira 3,000 pelajar Unisel bakal berdepan dengan masalah mendapatkan tempat tinggal berikutan pengurusan kolej kediaman enggan membenarkan mereka menduduki asrama masing-masing bermula hari ini.

Sohaimi berkata, pihaknya turut meminta Kementerian Pengajian Tinggi campur tangan bagi membela nasib pelajar tersebut agar tidak menjadi mangsa kepada kepincangan pengurusan pentadbiran Unisel.

''Seperti yang kita dedahkan sebelum ini, terlalu ramai mempunyai kaitan dengan orang politik dalam Unisel sehingga pengurusannya menjadi pincang,'' katanya.

Sementara itu, Pengerusi Sekretariat Orang Muda Selangor (Serang), Budiman Mohd. Zohdi turut menyelar pentadbiran Unisel kerana gagal memastikan kebajikan pelajarnya apabila gagal memastikan bayaran pengurusan dan penyelenggaraan asrama serta kampus induk dibayar mengikut waktu yang ditetapkan.

''Kita persoalkan ke mana wang PTPTN yang dipotong daripada pelajar bagi bayaran asrama tersebut?," katanya.

Pekerja pengurusan asrama lancar mogok

Nasib kira-kira 3,500 pelajar Universiti Selangor (Unisel) yang sepatutnya mendaftar masuk ke asrama masing-masing di kampus Bestari Jaya, Ijok dekat sini sejak awal bulan ini masih belum mendapat kepastian.

Meskipun pihak pentadbiran universiti menganjakkan tarikh kemasukan kepada 8 Ogos ini, pelajar belum tentu dapat memasuki asrama masing-masing selagi syarikat konsesi pengurusan asrama tidak membenarkan pelajar tersebut mendaftar masuk.

Ini kerana, sehingga kini seramai 50 pekerja pengurusan asrama berkenaan dikatakan mogok’sejak semalam kerana tidak dibayar gaji ekoran Unisel mempunyai tunggakan kos pengurusan asrama selama lapan bulan dan tunggakan pengurusan kampus induk selama 17 bulan.

Bagaimanapun, Naib Canselor Unisel, Prof. Dr. Anuar Ahmad ketika dihubungi berkata, sebenarnya tidak timbul sebarang masalah kemasukan pelajar ke asrama memandangkan pihaknya menetapkan mereka boleh berbuat demikian Rabu ini.

Anuar enggan mengulas lanjut perkara tersebut dan sekadar menjawab saya tidak pasti’ kepada persoalan yang dikemukakan mengenai masalah berkenaan.

Kita pasti tiada sebarang masalah akan berlaku bagi pelajar untuk mendaftar masuk ke asrama pada 8 Ogos ini. Soal masalah tunggakan bayaran kos pengurusan asrama itu saya tidak pasti, itu kena tanya Bendahari universiti," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.


Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia hari ini yang mendedahkan maklumat sumber mengenai kira-kira 3,000 pelajar Unisel bakal berhadapan masalah mendapatkan tempat tinggal berikutan pengurusan kolej kediaman enggan membenarkan mereka menduduki asrama.

Dalam pada itu, sumber syarikat konsesi berkata, setakat ini belum ada tanda-tanda para pekerja asrama akan hadir bekerja memandangkan mereka menghadapi masalah kewangan yang teruk kerana tidak dibayar gaji sejak berbulan-bulan lamanya.

Tegasnya, memandangkan bangunan asrama di kampus induk masih di bawah pengurusan syarikat konsesi berdasarkan konsep ‘Bina, Kendali, Pindah (BOT)’, para pekerja mungkin menimbangkan untuk datang bekerja sekiranya Unisel membuat sedikit pembayaran tunggakan mereka itu.

Sebenarnya bukan kerana terdapat arahan daripada syarikat yang menyebabkan para pekerja ‘mogok’ sejak semalam tetapi kerana mereka sudah tiada duit lagi, hendak isi minyak motosikal pun sudah tidak boleh.

Apatah lagi hari raya sudah semakin dekat. Pekerja semakin tertekan dan moral kami sudah jatuh," katanya.

Sumber itu berkata, sebenarnya sudah banyak kali masalah tunggakan dibawa kepada pengetahuan pihak pentadbiran universiti dan juga kepada pejabat Menteri Besar bagi mendapatkan penyelesaian.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: