Sabtu, Jun 30, 2012

Slogan 'UMNO Tolak Islam' Jadi Kempen Pilihanraya PAS Untuk Tarik Pengundi!



UMNO tolak Islam! dijadikan oleh Pas sebagai bahan kempen memikat pengaruh. Seperti dulu Nik Abdul Aziz Nik Mat menyebut undi Pas masuk syurga. Sekarang ini undi Pas dapat pahala. Dapat pahala belum tentu masuk syurga. Ketentuan masuk syurga dan dapat pahala adalah ketentuan Allah.

Apa maksud Islam dalam politik Pas? Islam bagi Pas adalah dalam ceramah dan pidato. Ceramah yang menghina orang lain, melontarkan gelaran-gelaran yang hodoh, banyak yang berbaur fitnah dan analisis yang dangkal, nafsu amarah yang tinggi yang menghasilkan rasa taksub yang hebat dan dendam kesumat yang panjang.

Setiap kali maki hamun dilakukan terhambur sahutan takbir berulang-ulang walaupun ia dengan maksud menghina orang lain dan melakukan tuduhan tanpa menyelidik.

Kemudian orang ramai balik ke rumah selepas mendengar pidato yang berapi-api. Apa perancangan yang dilakukan selepas itu? Apakah Pas mengatur strategi untuk mengatur kerja-kerja dakwah secara bijaksana dengan penuh kasih sayang?

Yang berlaku adalah orang Pas mengatur strategi menguasai masjid dan surau. Mudahlah penceramah-penceramah Pas berceramah ikut cara politik dan menyebabkan konflik berlaku di kalangan anggota jemaah dan masyarakat setempat. Orang yang tidak suka cara orang Pas berceramah memilih untuk tidak datang ke masjid. Apakah ini cara yang diajar oleh Islam?

Selain ceramah, apakah Pas mengatur gerak kerja ekonomi untuk meningkatkan ekonomi umat Islam supaya mampu menyaingi ekonomi orang bukan Islam. Islam bukan sekadar ceramah.

Maksud ibadah dalam Islam membangunkan kekuatan ekonomi. Dan apakah ada pakatan bekerjasama dalam pembangunan ekonomi? Atau Pakatan hanya ada dalam politik.

Pas dan anggota pakatan yang lain sedang menjalin kerjasama politik. Apakah dasar Pas mengenai negara Islam diterima oleh DAP? Apakah dasar DAP ke arah sosialis demokratik selari dengan falsafah negara Islam? Apakah dasar PKR yang cenderung kepada faham liberal dan pluralis boleh selari dengan Pas. Islam apa yang hendak dibawa oleh Pas dalam pakatan?

Apakah pakatan sekadar ingin kuasa dan menang pilihan raya kemudian dasar yang bakal didukung adalah saling bercanggah. Inikah cita-cita perjuangan Pas?

Lalu jalan paling ampuh untuk memenangi pilihan raya kali ini ialah menuduh UMNO menolak Islam! Kempen dulu menuduh UMNO parti kafir kerana berkawan dengan orang bukan Islam. Hari ini dalam tahalluf siasinya atau kerjasama politik boleh pula dengan DAP. Pas terpaksa menelan kata-katanya kepada UMNO dulu walaupun pahit.


UMNO adalah parti orang Islam. Implikasi tuduhan UMNO tolak Islam adalah mengatakan secara tidak langsung orang UMNO adalah kafir. Sama jugalah seperti dulu mengkafirkan orang UMNO menjadi strategi Pas mempertajamkan hubungan sesama Islam.

Hadis Rasulullah SAW memberi pesan supaya jangan mengkafirkan seseorang bimbang tuduhan itu akan kembali semula kepada diri penuduh.

UMNO seperti juga Pas ada kekuatan dan kelemahan. Untuk mengatakan UMNO tolak Islam dan tidak memperjuangkan Islam adalah suatu strategi melampau. Ia bukan lahir dari hati yang ikhlas dan rasa syukur yang tinggi.

Apakah dengan membangunkan sektor ekonomi Islam seperti bank Islam, takaful, pajak gadai Islam, memperkemas sistem zakat dan haji, memperkukuh kaedah suku' dan wakaf sesuatu yang tidak berasaskan syariah dan menolak Islam?

Apakah dengan membangunkan sistem pendidikan seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, memperkemas pendidikan Islam seperti program Jawi, al-Quran, Arab, Fardu Ain (JQAF) dan Sekolah Menengah Agama Kebangsaan, Sekolah Agama Integrasi, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan bercanggah dengan ajaran Islam?

Apakah banyak biasiswa diberi kepada anak orang Islam untuk belajar bidang kepakaran di dalam dan di luar negara (termasuk anak-anak Pas) sesuatu yang tidak syarie. Apakah membangun Darul Quran untuk membolehkan generasi muda menjadi huffaz sesuatu yang bercanggah?

Apakah dalam sektor sosial bantuan diberikan kepada golongan fakir dan miskin dalam pelbagai bentuk tidak dianjurkan oleh Islam. Apakah dengan membina prasarana untuk kemudahan orang awam sesuatu yang tidak dibenarkan oleh Islam.

Dan selama lebih 50 tahun pembangunan dan perubahan terjadi, ia berlaku dalam pemerintahan kerajaan yang ada dan tunggaknya adalah UMNO. Apakah dengan sedikit contoh yang diberi ia menepati slogan politik UMNO tolak Islam!

Memang benar UMNO sebagai sebuah parti politik yang dikendalikan oleh manusia ada kekuatan dan kelemahannya. Bagi penulis kelemahan itu mesti diperbaiki tetapi kejayaan yang ada perlu diakui.

Pas tidak mengakui langsung kebaikan dan manfaat yang dibawa oleh UMNO kepada negara dan rakyat. Pendekatan itu adalah tidak Islamik. Seperti juga bandingannya terhadap manusia. Ada kebaikan dan keburukan dalam hidup manusia. Jiwa dai' dan murabbi sentiasa mengiktiraf kebaikan manusia itu dan cuba menyuburkannya supaya akhirnya kemungkaran bakal hilang.

Pada UMNO banyak kebaikan yang dilakukan dan ada kelemahan yang terjadi. Muhasabah dengan rasa keinsafan yang tinggi bakal menjadikan kita orang yang lebih baik, bersyukur dan berterima kasih.-UMO

Suara Politik
Taminsari

1 ulasan:

QalamQabut berkata...

Pantang tok nenek aku tengok orang selit iklan komerSIAL seperti Global Products & Services Review ni.

Tak jadi dah aku nak komen pasal topik.