Jumaat, Mei 07, 2010

Pengkhianat : Zaid digesa mohon maaf secara terbuka kepada Sultan!

Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Selangor hari ini mendesak Penyelaras pakatan pembangkang, Zaid Ibrahim memohon maaf secara terbuka kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam tempoh 24 jam.

Ketua Wira Perkasa Malaysia, Armand Azha Abu Hanifah berkata, kenyataan yang dibuat oleh Zaid itu adalah melampau dan tidak menghormati institusi Kesultanan Melayu. Sehubungan itu, katanya, gabungan NGO Selangor turut mendesak kepimpinan tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk mengambil tindakan ke atas Zaid.

"Jika kepimpinan tertinggi PKR tidak mengambil tindakan terhadap beliau, kami akan menganggap kenyataan Zaid adalah pendirian rasmi dari PKR dan keseluruhan kerajaan pakatan pembangkang,'' katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan perhimpunan secara aman di hadapan ibu pejabat PKR di sini hari ini bagi membidas kenyataan Zaid dalam blognya yang mempersendakan titah perintah Sultan Selangor supaya tidak menggunakan masjid dan surau sebagai tempat berpolitik.

Dalam kenyataan itu, Zaid mendakwa kenyataan titah Sultan Selangor bersifat peribadi dan bukan arahan rasmi kerana tidak merujuk kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Tambah Zaid, perlembagaan menetapkan sultan tidak boleh mengeluarkan perintah secara terus, sebaliknya disalurkan melalui Majlis Agama Islam negeri terlebih dahulu dan bermesyuarat sebelum mewartakan keputusan itu sebagai peraturan sah.

Sementara itu, Penasihat Undang-undang Majlis Gabungan NGO Pembela Negara, Mohd. Khairul Azam Abd. Aziz menyifatkan pandangan Zaid sebagai seorang peguam adalah salah dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, Perlembagaan Persekutuan menyatakan dengan jelas bahawa sultan adalah ketua kepada Hal Ehwal Agama Islam di negeri yang bersultan. "Menurut perlembagaan, sultan sememangnya bertindak ikut nasihat kecuali dalam beberapa hal sultan di negeri boleh bertindak secara bersendirian mengikut budi bicara baginda tanpa perlu merujuk kepada sesiapa.

"Apa-apa tugas baginda sebagai Ketua Agama Islam, baginda boleh bertindak secara bersendirian dengan budi bicaranya,'' katanya. Sejumlah 30 orang yang terdiri daripada 16 NGO terlibat dalam perhimpunan itu. Antaranya adalah Gabungan Graduan Melayu Muda, Persatuan Kebajikan Islam Selangor dan Pertubuhan Pembela Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu : Laporan polis terhadap Zaid Ibrahim

UMNO Bahagian Subang membuat laporan polis bagi menggesa siasatan dijalankan terhadap Zaid Ibrahim kerana didakwa menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melalui satu artikel yang disiarkan dalam blognya.

Laporan tersebut dibuat oleh Naib Ketuanya, Abd. Raof Abdullah di Balai Polis Kota Damansara di sini, pada pukul 12.15 tengah hari ini. Abd. Raof ketika ditemui berkata, kenyataan dibuat oleh Penyelaras Pakatan Rakyat itu jelas menghina Sultan Selangor dan dikhuatiri boleh memecah- belahkan perpaduan umat Islam di negara ini.

“Kami, UMNO Bahagian Subang amat dukacita dengan kenyataan dikeluarkan oleh Zaid itu dan mahu polis menjalankan siasatan terhadapnya kerana ia jelas menderhaka kepada Sultan. “Ini kerana dalam perlembagaan ada menyatakan bahawa raja-raja Melayu memiliki kuasa mutlak dalam urusan agama Islam dan adat Melayu di mana semua negeri dan rakyat harus patuh,” ujarnya.

Menurut Abd. Raof, Rukun Negara juga mengandungi fasa mengenai Kesetiaan Raja dan Negara yang menjelaskan bahawa raja Melayu merupakan payung kepada masyarakat dan negeri.

Ini bermakna, katanya, dakwaan Zaid bahawa titah Sultan Selangor yang tidak membenarkan masjid dijadikan tempat berkempen politik semasa Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor baru-baru ini merupakan pendapat peribadi baginda, adalah tidak benar.

Sehubungan itu, tegasnya, Zaid wajar memohon maaf di atas kenyataan biadapnya terhadap Sultan. Zaid dalam kenyataan melalui blognya, myzaidibrahim.wordpress.com. yang dipetik dan disiarkan oleh sebuah akhbar hari ini mendakwa perlembagaan menetapkan sultan tidak boleh mengeluarkan perintah secara terus.

Sebelum itu : Lucutkan gelaran Datuk

UMNO Bahagian Cheras mencadangkan gelaran Datuk kepada Zaid Ibrahim dilucutkan kerana beliau begitu biadab terhadap Sultan Selangor dengan menghina dan mencerca titah baginda secara terbuka.

Ketuanya, Datuk Syed Ali Alhabshee berkata, tindakan Zaid itu begitu keterlaluan dan seolah-olah menggambarkan Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai seorang sultan yang tidak berpelajaran.

Tambah Syed Ali, ia juga secara tidak langsung memberi keaiban kepada kedudukan institusi raja-raja Melayu. ''Saya berharap anugerah Datuk yang telah diberikan kepada Zaid ditarik balik kerana dia sudah menderhaka kepada sultan.

''Zaid seolah-olah ingin memberitahu seluruh dunia bahawa raja-raja Melayu hari ini adalah warisan sistem feudal yang tidak cerdik serta tidak berpelajaran,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zaid melalui entri terbaru dalam blognya, myzaidibrahim.wordpress.com dipetik sebagai berkata, titah Sultan Selangor itu bukan satu arahan, perintah atau 'decree' kerana dalam sistem raja berperlembagaan, sultan tidak boleh mengeluarkan arahan atau perintah seperti zaman raja-raja Melaka dahulu.

Beliau merujuk kepada isu Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang melanggar arahan Sultan Selangor yang tidak membenarkan masjid dan surau digunakan sebagai tempat berkempen.

Menurut Syed Ali, kenyataan terbuka Zaid memberi gambaran bahawa fungsi sultan atau raja-raja Melayu sebagai ketua agama di setiap negeri sudah tidak boleh diguna pakai lagi ketika ini.

''Fasa 3 (2) dalam Perlembagaan Persekutuan sendiri telah menyatakan bahawa kedudukan raja sebagai ketua agama Islam terhadap negeri dan segala jajahan takluknya. ''Justeru, segala hak, keistimewaan, hak kedaulatan dan kuasa yang dinikmati sebagai ketua agama Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negeri tidak boleh disentuh,'' katanya.

Jelas Syed Ali, Sultan Selangor sememangnya bertanggungjawab untuk memelihara masjid dan surau di negerinya daripada disalahgunakan oleh pihak tertentu yang dilihat cenderung menjadikan tempat itu sebagai gelanggang politik.

Tambah beliau, Zaid sebenarnya tidak dapat menerima hakikat kekalahannya di Hulu Selangor dan cuba membabitkan pihak istana bagi menghalalkan segala perlakuan politiknya. ''Inilah sifat seorang penderhaka dan sewajarnya gelaran Datuk yang dianugerahkan oleh raja atau sultan kepada beliau ditarik balik,'' katanya.- SBUM

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: