WAKIL Pakatan Harapan yang diketuai DAP, Lim Kit Siang mencelah sebelum Abdul Hadi Awang membentangkan RUU 355 di Dewan Rakyat, kelmarin. Pembentangan oleh Presiden Pas itu tertangguh hampir 35 minit apabila beberapa ahli Parlimen Pakatan Harapan menggunakan pelbagai hujah memetik Peraturan Mesyuarat bagi menghalang pembentangan itu.
APABILA Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia memutuskan Rang Undang-undang (RUU 355) diluluskan untuk perbahasan pada sidang dewan yang akan datang, beberapa ahli Parlimen Pakatan Harapan bagaikan ‘terkena histeria’ dan bersikap seperti kanak-kanak tadika.
Mereka menjerit ke arah Pandikar yang sedang meninggalkan dewan persidangan dengan pelbagai kata-kata termasuk menyatakan sidang hari itu hanya untuk Pas dan UMNO. Ternyata mereka tidak dapat menerima hakikat akhirnya Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berjaya membentangkan rang undang-undang tersebut.
Selama beberapa bulan sejak awal tahun lalu lagi, pembangkang khususnya DAP dan PAN tidak dapat ‘tidur lena’ apabila isu RUU 355 dibangkitkan. Mereka melakukan pelbagai usaha untuk menggambarkan bahawa pembentangan RUU itu bertujuan membolehkan hukum hudud dilaksanakan.
Walaupun amat menyedari RUU 355 bertujuan memperkasakan bidang kuasa mahkamah syariah dan melibatkan hanya orang Islam, tetapi puak-puak DAP dan PAN sengaja menutup mata dan memekakkan telinga bagi menerima fakta tersebut.
Sehubungan itu mereka mempertingkatkan ‘serangan’ ke atas Pas, UMNO dan memburuk-burukkan RUU 355 sebaik sahaja Abdul Hadi membentangkannya kali pertama pada 26 Mei 2016. Bagaimanapun perbahasan ditangguhkan dan beliau membentangkan versi yang disemak semula pada November 2016.
Berikutan itu parti-parti dalam Pakatan Harapan yang diketuai oleh DAP cuba mencari helah bagaimana mahu menggagalkan pembentangan dalam sesi sidang Dewan Rakyat kali ini, mereka ‘berpesta’ apabila Barisan Nasional (BN) memutuskan tidak akan membentangkan rang undang-undang itu sebaliknya menyerahkan kepada Abdul Hadi berbuat demikian.
Keputusan BN itu dianggap detik terbaik untuk mereka menyebarkan propaganda politik bahawa Pas ditipu oleh UMNO dan RUU 355 adalah hipokrasi politik tertinggi kedua-dua parti berkenaan.
Namun dalam keghairahan tersebut mereka terlupa firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 54 yang bermaksud: “Dan mereka merancang (tipu daya), Allah juga merancang (membalas tipu daya), dan Allah sebaik-baik perancang (membalas tipu daya).”
Akhirnya tepat pukul 12 tengah hari kelmarin, Abdul Hadi bangun membentangkan rang undang-undang berkenaan selepas segala usaha terakhir beberapa ahli Parlimen khususnya daripada DAP dan PAN menghalang pembentangan berkenaan gagal.
Beberapa ahli Parlimen daripada Pas dilihat sebak dan menitis air mata. Perasaan itu wujud memandangkan mereka terpaksa menempuh pelbagai kesukaran dan ranjau sebelum RUU tersebut dibentangkan.
Semua itu berlaku bukanlah kerana RUU 355 boleh menghuru-harakan negara, tetapi ia ‘dihuru-harakan’ oleh sikap tidak bertanggungjawab DAP dan PAN yang cuba mengaitkannya dengan pelaksanaan hukum hudud. Malang sekali demi kemaruk undi dan bimbang kehilangan sokongan politik, parti-parti tersebut sanggup memutarbelitkan fakta.
Namun begitu apa yang membanggakan dalam kalangan ahli Parlimen beragama Islam khususnya UMNO mereka memberi sokongan padu kepada pembentangan Abdul Hadi manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) khususnya Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menunjukkan sikap positif.
Berdasarkan senario politik di sidang Dewan Rakyat itu, ia seharusnya memberi isyarat dan pengajaran kepada seluruh umat Islam di negara ini, itulah akibatnya apabila kita berpecah-belah.
Perasaan hormat dan gerun kepada ahli politik dan parti yang bertunjangkan orang Melayu serta Islam sudah semakin terhakis. Kalaulah RUU 355 yang jelas-jelas ‘eksklusif’ melibatkan umat Islam ditentang habis-habisan bagaimanakah dengan soal-soal lain yang menyentuh kepentingan orang Melayu secara keseluruhannya?
Apa yang mendukacitakan, tentangan itu diketuai oleh DAP - sebuah parti yang cukup berkuasa dalam Pakatan Harapan. Mereka disokong penuh oleh ‘pak turut-pak turut’ dalam PAN. Pemimpin kedua-dua parti ini sehati sejiwa untuk bangkit bersama menentang RUU 355.
Atas sebab itulah, ‘drama’ di sidang Dewan Rakyat tersebut seharusnya menyedarkan sebahagian orang Melayu mengenai perangai sebenar DAP dan bagaimana pula mereka memanipulasikan sepenuhnya perpecahan dalam kalangan umat Islam khususnya akibat berbeza fahaman politik.
Umat Islam tidak harus melihat RUU 355 sekadar satu pembentangan atau membuat andaian jahil bahawa ia mainan politik UMNO dan Pas. Biarlah tafsiran ini hanya dilakukan oleh puak-puak atau parti yang sanggup ‘menyembah’ DAP demi mahu meraih secebis kuasa.
Sebaliknya umat Islam perlu melihat ia sebagai peringatan daripada Allah SWT untuk menyedarkan kita betapa dahsyatnya natijah jika terus berpecah-belah hanya kerana memiliki ideologi politik berbeza.
Seperkara lagi, RUU 355 juga adalah ujian kepada seluruh ahli Parlimen beragama Islam untuk membuat pilihan sama ada mereka akan menyokong usaha memartabatkan mahkamah syariah atau terus mengikut rentak politik DAP.
Majoriti ahli Parlimen Islam adalah golongan cerdik pandai dan ada antara mereka mempunyai latar belakang undang-undang. Oleh itu janganlah memperbodohkan diri dengan bersekongkol dengan DAP.
Abdul Hadi sudah menjelaskan segala-galanya ketika membentangkan RUU berkenaan. Oleh itu bukalah minda dan lapangkan hati untuk menyokong rang undang-undang tersebut.
Janganlah biarkan fikiran terus dibelenggu oleh politik kepartian yang sempit dan menjadi ‘alat’ kepada puak lain untuk melemahkan agama Islam.
Suara Politik
Belantan
Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan. - Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. -
Isnin, April 10, 2017
Azmin sedia disiasat semula berhubung kes pemilikan harta?
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata beliau sedia disiasat semula berhubung dakwaan harta luar biasa yang dimilikinya sewaktu menjadi Setiausaha Sulit Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, 22 tahun lalu.
Beliau sentiasa terbuka dan akan memberikan kerjasama penuh kepada mana-mana pihak termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pemilikan harta itu.
“Terpulang kepada mereka (sekiranya mahu menyiasat semula). Ia bukan benda baharu, sebelum ini pun SPRM telah melakukan siasatan terhadap pentadbiran kerajaan negeri dan kepimpinan (kerajaan negeri),” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bantuan kewangan kepada pesawah padi Parit 10 Sungai Besar, di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Pengarah SPRM Selangor, Datuk Wan Ramli Wan Abdullah semalam bahawa kes itu akan dibuka semula sekiranya terdapat bukti baharu walaupun ia telah ditutup oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada 1997.
Baru-baru ini pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa SPRM membuka semula kertas siasatan kes pemilikan harta luar biasa Mohamed Azmin yang didakwa ditutup oleh BPR tanpa alasan munasabah.- BERNAMA
Suara Politik
Belantan