Selasa, Disember 27, 2016

Khairuddin gesa Muhyiddin bersihkan nama?


Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin mesti membersihkan namanya daripada dakwaan terlibat dalam skandal dengan isteri orang.

Bekas ahli PPBM, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, parti itu tidak boleh kelihatan seolah-olah mengamalkan dasar pilih kasih.
“Sekiranya Anina Saadudin tidak dilantik ke jawatan Ketua Srikandi PPBM disebabkan oleh viral kes skandal seks beliau, ramai rakyat di peringkat akar umbi turut bertanya tentang kedudukan skandal Muhyiddin dengan isteri orang pada suatu masa dahulu.

“Selaku Presiden PPBM, Muhyiddin juga tidak seharus­nya dikecualikan daripada membersihkan namanya dalam isu sama yang membelenggu imej­nya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada 2 September lalu, Pre­siden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah menggesa Muhyiddin memfailkan saman terhadap peguam, Stanley Clement Agustin dan bekas isterinya, Datuk Nika Gee Siew Yee kerana membabitkan nama bekas Timbalan Perdana Menteri itu dalam kes perceraian berprofil tinggi pasangan berkenaan.


Terdahulu pada 2 Jun lalu, penganalisis politik, Raja Petra Kamarudin melalui portal Malaysia Today, www.malaysia-today.net mendakwa, seorang lelaki membuat Akuan Bersumpah (SD) berhubung skandal antara Muhyiddin dan iste­rinya.

Sementara itu, berhubung isu Anina, Setiausaha Agung PPBM, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh menjelaskan, parti berkenaan masih belum me­nubuhkan sayap Srikandi.

Beliau memberitahu, penubuhan sayap adalah di bawah bidang kuasa Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM justeru isu kedudukan Ani­na sebagai Ketua Srikandi PPBM tidak seharusnya ditimbulkan.

“Anina kekal sebagai Ahli MPT PPBM yang dipertanggungjawabkan untuk menyelaraskan ke­giatan Srikandi sehingga sayap parti ditubuhkan secara rasmi,” katanya.

Semalam, portal Free Malaysia Today melaporkan, Anina mendakwa beliau disingkirkan daripada jawatan tersebut berikutan isu perbualan intim dengan seorang lelaki melalui aplikasi WhatsApp yang menjadi viral dalam media sosial baru-baru ini.

Suara Politik
Belantan

Jumaat, Disember 16, 2016

Sultan Muhammad V solat Jumaat di Masjid Negara?


Sultan Muhammad V yang baharu melafaz sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 Selasa lalu, hari ini berangkat menunaikan solat Jumaat di Masjid Negara.

Ia diimamkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang turut bertindak sebagai khatib. Turut menyertai Sultan Muhammad V menunaikan solat di situ ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed serta kira-kira 10,000 jemaah yang lain.

Ketika menyampaikan khutbah khas bertajuk 'Yang di-Pertuan Agong: Tonggak Kedaulatan Islam', Asyraf Wajdi berkata institusi raja di negara ini mendapat tempat istimewa dalam strata masyarakat kerana ia menjadi tonggak kepada keadilan dan kestabilan hidup rakyat.

Raja, katanya, diumpamakan sebagai 'pohon' yang memayungi rakyat dengan cara memimpin, melindungi dan menjaga kebajikan mereka.

"Rakyat pula disamakan dengan 'akar' yang bertanggungjawab menumpahkan taat setia kepada raja dan tidak sesekali menderhaka selama mana mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya," katanya.


Asyraf Wajdi berkata keunikan sistem pemerintahan raja berperlembagaan yang diamalkan menjadi tonggak kepada kekuatan dan perpaduan ummah di negara ini.

Malah, menurutnya, struktur kepimpinan negara dalam keadaan stabil dan jauh lebih baik daripada sesetengah negara umat Islam lain yang sentiasa bergolak dan sebahagiannya huru-hara.

"Raja berperlembagaan bukan saja menjadi lambang sebuah negara berdaulat, bebas dan merdeka tetapi ia juga lambang perpaduan rakyat berbilang kaum," katanya.

Dalam khutbahnya, Asyraf Wajdi turut melahirkan keyakinan terhadap pelantikan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 dan sebagai Ketua Negara dan agama untuk terus memperjuang kedaulatan agama Islam. Institusi raja juga, kata Asyraf Wajdi, adalah sumber kekuatan rakyat dan tempat rakyat mencari perlindungan, keadilan serta memberikan kecintaan dan taat setia.

"Marilah kita bersatu padu mendokong dan menjunjung institusi raja berperlembagaan serta memainkan peranan dalam agenda perpaduan.

"Tanamkanlah di dalam jiwa kita rasa tanggungjawab untuk memberikan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada baginda sebagai pemerintah negara.

"Marilah kita merafak sembah, menjunjung kasih taat setia kepada baginda sepanjang takhta pemerintahan. Semoga Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda dikurniakan taufik dan hidayah serta kekuatan untuk meneruskan pemerintahan," katanya.

Sultan Muhammad V, 47, menggantikan Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada Isnin lalu.

Suara Politik
Belantan

Khamis, Disember 15, 2016

Permohonan semakan Anwar ditolak?


Mahkamah Persekutuan berpendirian bahawa ti­dak berlaku salah laksana keadilan dalam rayuan kes liwat II Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memerlukan sabitan dan hukuman penjara lima tahun kerana meliwat Mohd. Saiful Bukhari Azlan, disemak dan diketepikan.

Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin berkata, keputusan panel terdahulu yang mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014 adalah selamat kerana tidak dipengaruhi oleh pihak-pihak lain termasuk Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Beliau yang mengetuai panel lima hakim bersidang berpenda­pat, hujahan pembelaan tiada me­rit apabila menyatakan bekas Ketua Pembangkang itu tidak diadili secara saksama apabila PMO bertindak mengedarkan kenyata­an media sejurus selepas keputusan diumumkan.

Menurutnya, afidavit yang di­ikrarkan oleh Pengarah Bahagian Media PMO, Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad tidak menunjukkan wujud komunikasi di antara pejabat itu dengan Mahkamah Persekutuan yang mem­bolehkan tanggapan umum dibuat bahawa keputusan telah diketahui lebih awal.

Kata beliau, sama ada PMO ber­tindak betul mengeluarkan kenya­taan media sejurus selepas keputusan diumumkan, bukan terletak di bawah kawalan mahkamah untuk menghalangnya.

Sehubungan itu, mahkamah ter­tinggi negara tidak perlu me­ngambil pendirian yang bercanggah dengan panel terdahulu yang menolak rayuan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Anwar, 69, disabitkan meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 31, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di ibu negara di antara pukul 3.10 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Ketika membacakan penghakiman bertulisnya selama 45 minit, Hakim Zulkefli turut berpuas hati bahawa mahkamah tidak bertindak berat sebelah berhubung tindakan peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pendakwaan membuat jerayawara (road show) mengenai kes itu.

Menurut beliau, pelantikan Muhammad Shafee selaku pihak ketiga oleh Peguam Negara, menolak dakwaan bahawa Jabatan Peguam Negara mengamalkan pendakwaan terpilih.

Hakim Zulkefli menyatakan demikian sewaktu menolak permohonan Anwar agar kuorum berkenaan menggunakan budi bica­ranya menyemak dan mengetepikan ke­­­putusan terdahulu di bawah Ka­e­dah 137 Kaedah-Kaedah Mah­ka­mah Persekutuan 1995.

Penghakiman itu diumumkan dalam mahkamah yang penuh sesak dengan ahli keluarga dan penyokong Anwar yang hadir mengikuti prosi­ding tersebut. Kes liwat itu berlarutan selama lapan tahun ekoran laporan polis yang dibuat oleh Mohd. Saiful Bukhari pada 28 Jun 2008.

Keputusan sebulat suara itu turut dicapai oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Ri­chard Malanjum, Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Abu Samah Nordin dan Tan Sri Zaharah Ibrahim. Walau bagaimanapun, Hakim Malanjum tidak hadir hari ini kerana menghadiri urusan keagamaan berikutan kematian ibu saudaranya di Kota Kinabalu, Sabah.

Oleh yang demikian, Anwar kekal dipenjara lima tahun dan perlu menghabiskan baki hukuman selama tiga tahun dua bulan (38 bulan) sejak mula menjalani hukuman pada 10 Februari tahun lalu selepas rayuannya ditolak oleh panel terdahulu.

Walau bagaimanapun, bekas wa­kil rakyat pembangkang itu hanya menjalani hukuman selama setahun enam bulan lagi dan dijangka dibebaskan sekitar Jun 2018 selepas mendapat remitan satu pertiga daripada tempoh hukuman asal.

Di bawah sistem pelaksanaan hukuman di penjara, seseorang banduan layak mendapat remitan (diskaun) iaitu satu pertiga daripada jumlah hukuman sekiranya Jabatan Penjara Malaysia berpuas hati dengan tahap pemulihan banduan ketika menjalani hukuman.

Anwar dalam reaksi ringkas­nya kepada pemberita sejurus mah­kamah menangguhkan sidang ber­kata, keputusan tersebut bukan pengakhiran kerana beliau akan berbincang dengan para peguam untuk mengambil langkah perundangan lain bagi mengetepikan keputusan tersebut.

Suara Politik
Belantan

Selasa, Disember 13, 2016

Sultan Muhammad V lafaz sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong

Sultan Muhammad V berkenan melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-244 (Khas) sempena Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-15 di Istana Negara hari ini.

Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V hari ini melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara, di sini.

Turut melafaz sumpah memegang jawatan ialah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong. Kedua-dua baginda dipilih oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-243 (Khas) di Istana Negara, 14 Okt lepas, bagi tempoh lima tahun bermula hari ini.

Sultan Muhammad V, 47, menggantikan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 semalam.

Upacara di balairung seri hari ini bermula dengan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-244 (Khas) sempena Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan oleh kedua-dua Seri Paduka Baginda.

Suara Politik
Belantan

Isnin, Disember 12, 2016

Ramai Pemimpin DAP Tidak Tahu Berbahasa Kebangsaan?


Apa ertinya menjadi warganegara Malaysia jika tidak tahu berbahasa kebangsaan? Di beberapa negara lain jika tidak tahu berbahasa kebangsaan negara tersebut maka seseorang itu mungkin tidak layak diberi keistimewaan menjadi warganegara.

DAP patut buka kelas berbahasa kebangsaan bukan beli alat terjemah bahasa. Lagu DAP sudah dipuji oleh Mahathir. Alangkah baik kalau DAP ajak semua ahli ahli PPBM mengajar DAP berbahasa Melayu.

Tidak ada guna kalau lagu sahaja berbahasa Melayu tetapi ahli ahli DAP dan pemimpinnya tidak pandai bercakap dan faham bahasa Melayu. Lagu itu hanyalah alat propaganda semata mata. Lagu itu hanyalah alat untuk dapat undi sahaja.

Kalau sekadar beli alat terjemah, itu sesuatu yang memalukan. Bagaimana ahli ahli parlimen DAP hendak bercakap dalam Dewan Rakyat? Bahasa kebangsaan harus diucap dalam Dewan Rakyat bukan menggunakan alat terjemah bahasa.

Bukan sekadar tidak boleh bercakap, malah tidak faham bahasa kebangsaan. Ini sesuatu yang serius untuk seseorang yang bergelar warganegara Malaysia. Bahasa adalah jambatan perpaduan.

Ini buktinya DAP tidak berminat untuk belajar bahasa kebangsaan. Tidak minat untuk bercakap dan bertutur bahasa kebangsaan. Memalukan sungguh. Tidak layak seseorang itu menjadi ahli dewan rakyat jika tidak tahu bahasa kebangsaan.

Parlimen harus tidak membenarkan mereka yang tidak tahu bercakap dalam bahasa kebangsaan menjadi ahli parlimen. Undang undang dan syarat kelayakan menjadi calon parlimen harus dipinda. Apa guna jadi rakyat Malaysia, kalau tidak boleh bercakap bahasa kebangsaan.

Suara Politik
Belantan

Sabtu, Disember 10, 2016

Sultan Selangor sempurnakan Istiadat Menyembahkan Air Doa Selamat

pc-10-of-15

SHAH ALAM, 8 DIS: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyempurnakan Istiadat Menyembahkan Air Doa Selamat sempena sambutan Hari Keputeraan baginda ke-71.
Baginda menyempurnakan istiadat berkenaan di Balai Singgahsana, Istana Bukit Kayangan, di sini dengan disaksikan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Majlis isitiadat turut disaksikan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, anggota kerabat Diraja Selangor, barisan Exco Negeri dan dif kehormat lain.
Air Doa Selamat itu dipersembahkan kepada Sultan Selangor oleh adinda baginda, Tengku Panglima Besar Selangor, Tengku Abdul Samad Shah.
Sultan Selangor bakal menyambut Hari Keputeraan ke-71, pada 11 Disember ini (Ahad).

Suara Politik
Belantan