Khamis, September 03, 2015

Bai’ah: Ramai wakil rakyat Pas tangguh hasrat?


Ramai wakil rakyat dan pemimpin Pas berhasrat untuk menyertai Parti Pekerja Malaysia walaupun terpaksa menangguhkan seketika penghijrahan tersebut kerana Bai'ah yang dilafazkan masing-masing.

Pengerusi Parti Pekerja Malaysia, Mohamad Sabu atau Mat Sabu mengakui perkara itu dan wakil-wakil rakyat Pas terutamanya dari Kelantan akan merujuk pakar-pakar agama terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan kerana ia melibatkan lafaz talak tiga tersebut.

"Ramai wakil rakyat Pas berminat menyertai Parti Pekerja tetapi masih takut untuk keluar parti kerana terikat dengan bai'ah dan taklik talak tiga bagi mereka di Kelantan," katanya selepas menyampaikan ceramah parti itu di Kampung Belimbing, Tanah Merah, kelmarin.

Turut hadir, Ahli Parlimen Kuala Krai yang juga Ahli Jawantankuasa Parti Pekerja, Dr. Mohd. Hatta Ramli, Naib Pengerusinya, Hasanuddin Mohd. Yunus dan Pengerusi Parti Pekerja negeri, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

Ketika ditanya mengenai jumlah sebenar wakil rakyat yang didakwa bakal berhijrah itu, Mat Sabu hanya menegaskan, jumlahnya cukup besar.

"Saya tak boleh sebutlah berapa ramai wakil rakyat Pas akan sertai Parti Pekerja, tetapi ramailah. Cuma menunggu sikit 'clearance' (pencerahan) pasal bai'ah.

"Apabila sudah jelas (bai'ah) nanti ramailah yang akan sertai. Mereka juga sudah nilai pandangan ulama Mesir, Yusuf al-Qaradawi dan beberapa ulama lain mengenai soal itu,"katanya.

Harapan Baru yang merupakan serpihan Pas telah mengambil alih Parti Pekerja untuk bergerak sebagai sebuah parti politik seterusnya membentuk pakatan pembangkang baharu bersama DAP dan PKR.

Dengan pengambilalihan tersebut, 10 wakil rakyat Pas iaitu masing-masing lima ahli Parlimen dan Adun yang berada dalam senarai kepemimpinan Parti Pekerja, secara automatik terbatal keahlian dalam Pas.

Antara pemimpin serta wakil rakyat Pas yang menyertai parti itu ialah Mohd. Hatta, Ahli Parlimen Kota Raja, Dr. Siti Mariah, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad dan Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr. Mujahid Yussof Rawa.

Dalam perkembangan yang sama, Mat Sabu mengulangi harapannya untuk memastikan hasrat 50,000 ahli menjelang 16 September ini, akan tercapai.

"Kita tidak pernah memaksa mana-mana pihak untuk menyertai Parti Pekerja dan ia dilakukan secara sukarela. Sesiapa sahaja, Pas, Umno pun boleh masuk menyertai parti ini," katanya.

Suara Politik
Belantan

1 ulasan:

NutCrakcer berkata...

Bukan nak tangguh. Tapi nak cari alasan yang konon boleh di buat benteng.