Khamis, Ogos 27, 2015

Tony Pua didesak ambil peranan tangani isu DEIG?


Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua digesa menjalankan tanggungjawab sebagai anggota panel Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk menyiasat penubuhan Darul Ehsan Investment Group (DEIG).

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, Tony sebelum ini ‘cukup bersemangat’ dan bersungguh-sungguh dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sekali gus perlu melakukan perkara sama dalam kes DEIG.

“Saya yakin beliau akan dapat melakukan perkara yang sama lebih-lebih lagi ini melibatkan dana berjumlah RM30.3 bilion,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis penghantaran kumpulan pertama sebanyak 277 jemaah haji dari negeri ini, Kedah dan Perak di Hotel Tabung Haji di sini hari ini.


Sebelum ini, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), Faekah Husin mempersoalkan kemampuan syarikat berkenaan untuk menjana keuntungan besar kerana perlu membayar cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) selepas didaftar.

Isu berkenaan mula tercetus selepas beberapa wakil rakyat termasuk daripada DAP ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-­baru ini mendesak supaya penubuhan syarikat berkenaan dikaji semula atas beberapa faktor.

Reezal Merican yang juga Timbalan Menteri Luar berkata, siasatan itu penting bagi rakyat khususnya masyarakat Sela­ngor memandangkan melibatkan khazanah dan wang negeri berkenaan.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan PKR Selangor akan menunjukkan ketelusan dan kejujuran dalam menguruskan dana tersebut.

Mengulas lanjut, Reezal Merican berkata, kerajaan PKR Selangor perlu bersikap telus dalam isu ber­kenaan kerana melibatkan kepen­tingan rakyat.

“Saya yakin Tony akan melakukan apa yang sepatutnya dan tidak wajar ada pilih kasih kerana syarikat berkenaan berkaitan dengan kerajaan negeri,” katanya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: