Ahad, Mei 31, 2015

Sindir Hadi: Mat Sabu buka ruang pada parti lawan?


PASIR MAS - Tindakan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang membuat kritikan terbuka dan sindiran ke atas Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuka ruang kepada pihak lawan untuk menyerang kepimpinan seterusnya melemahkan perpaduan parti.

Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob berkata, kritikan terbuka itu boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap kepimpinan Pas dan ia sepatutnya dibuat secara dalaman.

"Sebagai Timbalan Mursyidul Am, saya nasihatkan supaya apa-apa jua masalah dalaman parti jangan didedahkan kepada umum dan seboleh-bolehnya diselesaikan secara tertutup," katanya.

Terdahulu, Ahmad yang merupakan Menteri Besar Kelantan merasmikan Majlis Sambutan Jubli Perak Kelantan Membangun Bersama Islam Zon Utara di Stadium Mini Pasir Mas di sini, hari ini.


Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan, Datuk Abdullah Yaakob, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi, Datuk Hanifa Ahmad.

Sebuah akhbar hari ini melaporkan, Mohamad atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu secara terbuka mengkritik dan menyindir Abdul Hadi ketika menyampaikan ceramah 'Kukuhkan Pakatan Pembangkang, Tumbangkan BN', di Tumpat.

Mat Sabu mengkritik kegagalan Abdul Hadi menawan Terengganu dan menyindir Ahli Parlimen Marang itu yang mahu keluar daripada pakatan pembangkang.

Tegasnya, Pas tidak mampu mencapai kemenangan dalam pilihan raya sekiranya tidak mendapat bantuan parti lain dalam pakatan pembangkang.

Ahmad berkata, Pas membuka ruang ahli untuk melontarkan pandangan terhadap parti melalui muktamar yang bakal berlansung tidak lama lagi.

"Kita ada ruang untuk bagi pandangan, dengar dulu ucaptama dari Presiden kemudian bahaslah dengan memberikan cadangan serta idea kearah memperkukuhkan parti bukannya menghancurkan," katanya.

Suara Politik
Belantan

Sabtu, Mei 30, 2015

Mee Kari ada tulang babi?

Sekadar gambar hiasan

IPOH – Sebuah kedai yang menjual mee kari di Ipoh dikatakan tidak halal kerana menggunakan tulang babi dalam kandungan kuah kari.

Memetik laporan sebuah portal, premis yang dimaksudkan adalah kedai Mee kari Merdeka Garden yang terletak di Jalan Labrooy, Ipoh.

Terdapat ura-ura menyatakan pegawai agama telah melakukan operasi mengejut di premis tersebut dan mengesahkan perkara itu.

Difahamkan, ramai pelanggan yang terdiri daripada orang Melayu yang suka makan di gerainya sejak dahulu lagi tanpa mengambil kira soal halal dan haram.

Bagaimanapun, pemilik gerai tersebut menafikan dakwaan itu melalui akhbar Kosmo! 26 Mac yang lalu.


Menurut pengusahanya, Lai Sang Hung, 75, dia telah difitnah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan ini merupakan kali kedua dirinya difitnah selepas kes 2013.

Lai menjelaskan, semua bahan-bahan yang digunakan untuk menghasilkan makanan tersebut mempunyai logo dan diperakui halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

"Saya yakin, mesti ada orang yang tidak senang dengan perniagaan saya tetapi pelanggan-pelanggan Melayu masih datang makan sini dan percaya sama saya," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Penguat Kuasa JAIPK, Ahmad Nizam Amiruldin menafikan serbuan telah dilakukan ke premis berkenaan.

"Kami tidak melakukan sebarang serbuan ke atas premis ini seperti yang didakwa. Kedai itu milik orang bukan Islam, tiada sebab untuk kami berbuat demikian," katanya.

Jelas sekali gerai itu tidak mempunyai sijil halal yang diberikan oleh JAKIM. Pengusahanya hanya memberikan jaminan menggunakan bahan-bahan yang disahkan halal oleh JAKIM namun tidak pernah memohon sijil Halal dari JAKIM.

Kenyataan Pegawai JAIPK juga jelas, gerai itu bukan milik peniaga Islam dan adalah lebih baik umat Islam tidak berkunjung dan menjamah makanan di premis yang tidak mempunyai sijil halal.

Jabatan Agama Islam sentiasa mengigatkan umat Islam supaya sentiasa berwaspada mengenai soal halal dan haram makanan dan minuman.

Suara politik
Belantan

Jumaat, Mei 29, 2015

Aidil Zafuan hanya mampu beri Rita Rudaini RM20 sehari?


Pemain pertahanan bola sepak pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohd. Aidil Zafuan Abd. Razak mengaku di Mahkamah Tinggi Syariah, dia hanya mampu memberi RM20 sehari sebagai perbelanjaan makan dan minum kepada bekas isterinya, pelakon Rita Rudaini.

Aidi berkata jumlah tersebut adalah RM10 untuk perbelanjaan makan dan minum pada sebelah siang dan RM10 pada sebelah malam.

Ketika ditanya peguam syarie, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Zain yang mewakili Rita tentang perbelanjaan sarapan dan minum petang untuk Rita, Mohd. Aidil Zafuan berkata, dia jarang bersarapan dan tidak makan lewat malam.

Mohd. Aidil Zafuan, 27, juga menyifatkan jumlah sebanyak RM43 sehari yang dicadangkan Mohd. Zaidi sebagai perbelanjaan makan dan minum untuk bekas isterinya itu adalah di luar kemampuannya.

Rita Rudaini Mokhtar, 39, sebelum ini memohon tuntutan nafkah yang meliputi sarapan, makan tengah hari, minum petang dan makan malam yang berjumlah RM50 sehari.

Mohd. Aidil Zafuan juga menegaskan dia hanya mampu memberi RM1,000 sebagai perbelanjaan tersebut setiap bulan berbanding RM1,500 sebulan yang dituntut Rita.

Dia berkata demikian semasa disoal balas oleh Mohd. Zaidi dalam prosiding perbicaraan tuntutan tunggakan nafkah berjumlah RM102,000 yang difailkan Rita pada 20 Januari tahun lalu.

Rita mengemukakan tuntutan itu bagi tempoh 20 bulan dari tarikh Mohd. Aidil Zafuan yang diwakili peguam syarie, Rushdan Sujak Rafie, meninggalkannya pada Januari 2012 hingga dia diceraikan pada Ogos 2013.

Tuntutan tersebut meliputi makan dan minum sebanyak RM30,000, bil utiliti (RM12,000), pakaian dan keperluan diri (RM10,000), kos pengangkutan (RM20,000) dan sewa rumah (RM30,000).

Dalam pada itu, Mohd. Aidil Zafuan juga mengaku sepanjang tempoh 20 bulan tersebut dia tidak pernah membeli bahan mentah untuk dimasak oleh Rita, tidak pernah membawanya makan di luar ataupun membeli pakaian untuk bekas isterinya itu.

Namun dalam afidavit keterangan bertulis pemain bola sepak kebangsaan itu, dia memberitahu telah memperuntukkan RM2,000 atau RM3,000 sebulan selain RM4,000 setiap kali musim perayaan untuk Rita dan anak-anaknya sejak tinggal berasingan.

Katanya, dia akan memaklumkan melalui telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Rita jika telah memasukkan sejumlah wang dalam akaun milik pelakon itu namun tiada maklum balas daripadanya sama ada telah menerima wang berkenaan.

Mohd. Aidil Zafuan berkata, bekas isterinya itu tidak pernah memaklumkan kepadanya sama ada wang berkenaan tidak mencukupi untuk perbelanjaan dan keperluannya.

Dalam pada itu, ketika disoal peguam sama ada Mohd. Aidil Zafuan tahu bahawa Rita tidak menghalalkan nafkah yang tidak diberi olehnya, pemain JDT itu berkata dia tidak tahu.

Hakim Syarie Mawardi Che Man yang mendengar prosiding kes tersebut menetapkan perbicaraan bersambung 14 September ini.

Terdahulu beliau menetapkan 1 Julai untuk hujahan kedua-dua pihak bagi kes tuntutan mutaah RM300,000 oleh Rita.

Suara Politik
Belantan

Rabu, Mei 27, 2015

Jakim jelas punca tarik sijil halal Secret Recipe?


Punca sebenar penarikan Sijil Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terhadap Syarikat Secret Recipe adalah disebabkan faktor kebersihan dan bukannya penggunaan produk haram seperti yang disebarkan di laman sosial.

Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim, Hakimah Mohd Yusoff berkata, penarikan tersebut disebabkan berlakunya pelanggaran terhadap Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia yang melibatkan kesalahan kebersihan yang serius.

“Penarikan ini tidak disebabkan kesalahan penggunaan bahan haram dalam pemprosesan produk.

“Bahagian Hab Halal telah memanggil syarikat terbabit dan syarikat berkenaan telah berjanji akan melakukan tindakan segera berhubung kesalahan yang dilakukan sehingga mengakibatkan Sijil Halal Malaysia mereka ditarik balik,” katanya menerusi sebuah kenyataan, hari ini.


Menurut Hakimah lagi,pihaknya sentiasa menitik beratkan soal kebersihan dalam proses pembuatan dan pemprosesan makanan di negara ini.

Meskipun Sijil Halal bagi syarikat Secret Recipe ditarik balik, jelas Hakimah, syarikat itu masih boleh memohon semula sijil tersebut.

“Penarikan Sijil Pengesahan Halal Malaysia berkuatkuasa pada 7 Mei lalu. Bagaimanapun penarikan tersebut tidak menghalang syarikat itu untuk memohon semula sijil sekiranya tindakan pembetulan telah dibuat dan mematuhi piawaian pensijilan halal negara ini.

“Pihak Jakim akan membuat penilaian semula terhadap permohonan tersebut berdasarkan pemeriksaan dan pematuhan ke atas Malaysia Standard 1500:2009 dan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia 2014,” katanya lagi.

Suara Politik
Belantan

Khamis, Mei 21, 2015

Rohingya: Mengapa Aung San Suu Kyi berdiam diri?


Presiden Myanmar, Thein Sein dahulunya mencadangkan supaya etnik minoriti Rohingya yang tinggal di Myanmar selama beratus tahun ‘ditempatkan’ semula di luar negara.

Meskipun usul itu ditolak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Presiden Thein memperkenalkan polisi domestik yang tidak mengiktiraf etnik Rohingya sebagai bukan warganegara.

Susulan polisi itu, warga Rohingya mula diusir dan sehingga kini menjadi pelarian di serata negara Asean.


Pemenang anugerah Nobel dan pemimpin pembangkang, Aung San Suu Kyi terus mendiamkan diri mengenai isu ‘penghapusan etnik’ Rohingya ini.

Suu Kyi pernah menimbulkan kontroversi berikutan wawancaranya dalam akhbar the Guardian pada Julai 2012. Ahli politik berusia 69 tahun ini mengatakan bahawa dia tidak mengetahui sekiranya etnik Rohingya boleh dianggap sebagai penduduk Myanmar.

November tahun yang sama Suu Kyi dalam temubual berita India menyifatkan dia mahu mengambil jalan tengah dan berusaha ke arah perdamaian.



Sepanjang minggu ini, dianggarkan lebih 6,000 pendatang asing etnik Rohingya yang terdiri daripada wanita, kanak-kanak dan warga emas menjadi pelarian selepas meninggalkan Myanmar menggunakan bot.

Persoalan yang timbul di laman Twitter tentunya mempersoal Suu Kyi yang terus mendiamkan diri, seakan-akan tidak mahu campur tangan dalam malapetaka kemanusiaan ini.

Suara Politik
Belantan

Isnin, Mei 18, 2015

Kenapa Presiden Pas tidak boleh dicabar?


KOTA BHARU - Pas bukan seperti parti politik lain yang bebas mempertandingkan jawatan presiden dengan alasan demokrasi dan hak dibenarkan oleh perlembagaan.

Pengarah Jabatan Pilihanraya Dewan Ulama Pas Kelantan, Mohd Asri Daud berkata, rujukan dalam pemilihan ketua parti mengikuti sistem Syura dan Nizham Ikhtiar Al-Khalifah bukannya perlembagaan parti semata-mata.

“Pencabar jawatan Presiden Pas dalam Muktamar Pas Pusat Jun depan masih boleh membuat keputusan untuk tidak bertanding dan peluang menarik diri masih terbuka sehingga 19 Mei ini.
“Bagaimanapun jawatan lain selain Presiden terbuka kepada calon-calon yang dicadangkan oleh kawasan dan pastinya mereka mempunyai kelayakan,” katanya.

Mohd Asri yang juga Bendahari Dewan Ulama Pas Pusat berkata, dalam ilmu Harakah Islamiyyah (HI) terdapat susunan dan tertib anggota yang diambil kira dalam pelantikan kepimpinan tertinggi di mana hanya Ustaz Mursyid yang sewajibnya memegang amanah sebagai khalifah.

Tambahnya, sebagai contoh Syeikh Said Hawwa yang menamakannya dengan Wali Mursyid mempunyai pandangan dan gerak kerjanya diterima di peringkat dunia dan dia turut memimpin HI di peringkat dunia.

“Dari sudut amalan dan rohani pula, dia telah mencapai tahap tidak melakukan dosa dengan sengaja, ternyata muwasofat ini ada pada Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang memimpin Pas sebagai HI di Malaysia ketika ini,” katanya.

Katanya, mengikut disiplin HI berdasarkan sunnah pemilihan Khalifah, tiada siapa yang boleh cabarnya selagi ketua tidak hasrat letak jawatan dan tidak berbuat kesalahan.

Suara Politik
Belantan

Ahad, Mei 17, 2015

Dr M isytihar tidak sokong Najib lagi?


IPOH - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengisytiharkan tidak lagi menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana didakwa lemah dalam mentadbir negara.

Beliau berkata, pelbagai langkah telah diambil bagi menasihati Najib namun perkara itu dilihat tidak memberi kesan yang positif terutama membabitkan soal kepimpinan dan pentadbirannya.

“Saya sudah berunding, nasihat dan beri pandangan kepada beliau namun ia semacam tak memberi kesan.

“Oleh itu, saya telah tulis surat mengatakan saya tidak boleh lagi sokong beliau dan buat pengetahuan semua (hadirin) Najib tidak (pernah) maklumkannya (mengenai surat) kepada sesiapa,” katanya pada program Bicara Negara Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad di sebuah hotel di sini, hari ini.

Mahathir berkata, tindakannya menolak kepimpinan Najib itu juga berpunca daripada kegagalan perdana menteri itu mendengar keluhan akar umbi dan rakyat jelata.

“Saya tahu ada pihak akan marah bila saya katakan perkara ini namun ingin saya tegaskan kepimpinan Najib tidak sama sepertimana arwah bapanya, Tun (Abdul) Razak yang sanggup menyelusurkan segenap kampung bertanyakan hal rakyat,” katanya.

Beliau berkata, ahli Umno terutamanya pimpinan tertinggi perlu berani menegakkan kebenaran sekali gus menggugurkan Najib daripada mengetuai Kabinet dan parti.

“Umno perlu gugurkan Najib demi tanggungjawab bangsa, agama dan negara selain tidak sesekali boleh membiarkan sokongan kepada seseorang individu menidakkan sokongan kepada agama, bangsa dan negara.

Selain itu, katanya, beliau tidak menolak Umno dan BN akan tumpas dalam PRU14 sekiranya pakatan itu mengekalkan Najib selaku Perdana Menteri.

“Mungkin, dan saya fikir Umno itu akan lenyap terus ditelan zaman,” katanya.

Suara Politik
Belantan

Isnin, Mei 11, 2015

Tabung Haji jual semula tanah di TRX?


Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) mengambil keputusan menjual semula tanah di pusat kewangan, Tun Razak Exchange (TRX) yang dibeli daripada 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) bagi mengelakkan fitnah berpanjangan dan menjaga nama baik institusi berkenaan. Keputusan itu dibuat atas nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pagi semalam.

Pengumuman itu dibuat dalam satu sidang akhbar oleh Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan turut dihadirioleh Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Tan Sri Ismee Ismail, Timbalan Pengarah Urusannya, Datuk Johan Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang juga ahli lembaga pengarah Tabung Haji, Prof. Emeritus Tan Sri Dr . Abd. Shukor Husin.

Berikut merupakan sedutan transkripsi Abdul Azeez yang membuat penjelasan tentang isu pembelian tanah di TRX.

SAYA mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang hadir pada hari ini untuk satu sesi yang semua negara sedang nantikan. Apakah serangan-serangan dalam dua tiga hari ini tidak ada jawapan langsung daripada pengurusan Tabung Haji?

Alhamdulillah, hari ini kita hendak memberi sedikit penjelasan terhadap apa yang sedang berlaku. Kita semua sedia maklum, Tabung Haji merupakan institusi yang dihormati dan disegani oleh seluruh umat Islam di dalam dan luar negara.

Sudah 52 tahun Tabung Haji diwujudkan. Inilah kali pertama dalam sejarah polemik politik yang dikaitkan dengan Tabung Haji kerana membeli sebidang tanah di Kuala Lumpur iaitu TRX.

Saya dan semua ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji terkilan dan amat sedih dengan tohmahan-tohmahan yang dilemparkan kepada Tabung Haji terhadap pelaburan di TRX tersebut.

Pertama sekali, saya ingin menjelaskan tweet saya yang telah dipesongkan oleh pelbagai pihak. Saya tweet, tidak betul seperti: “TH akan mengeluarkan kenyataan secepat mungkin.”?

Saya kata tidak betul apabila Benchmark, one of the blogger yang mana kita sudah buat laporan polis pun, polis sedang siasat siapa Benchmark ini. Benchmark ini mengeluarkan kenyataan di sini.

Tabung Haji has entered into a deal to purchase 2 plots of TRX land from 1MDB for a total sum of RM772 million cash. Tabung Haji is using depositors money and not government funds. According to a set of documents made available to us...”

Ini yang dia buat laporan. Dia kata, dia dapat dokumen Tabung Haji, dia mengaku terima dokumen tersebut, harga pembelian dan sebagainya. Keduanya, kita dikatakan beli tanah, RM194 juta.

Saya maksudkan tidak betul yang ini dan kita telah bincang waktu itu, bahawa Tabung Haji minta Ketua Pegawai Eksekutif menjawab yang mana dia sebagai ketua dalam syarikat.

Dalam konteks ini kita dapati dalam perbincangan ini, Tan Sri Ismee Ismail tidak pernah ada dalam mesyuarat pembelian tanah TRX kerana beliau adalah ahli lembaga pengarah 1MDB.

Oleh kerana itu, beliau tidak masuk dalam semua perbincangan yang dikendalikan oleh Datuk Johan Abdullah sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif.

Bila tweet saya dikatakan esok, Datuk Johan bagi kenyataan penjelasan kita beli satu tanah, dia (penulis blog) kata Aziz tipu, Aziz menafikan dan macam-macam tohmahan yang ditambah. Jadi tidak betul. Saya nak jelaskan, saya kata tidak betul. Saya bukan kata tidak benar.

Kalau tidak benar, betullah. Tidak betul, esok pengurusan Tabung Haji akan memberikan sidang akhbar segera. Keesokannya, saya ingat pada Rabu malam. Pada hari Khamis tersebut, Datuk Johan Abdullah buat sidang akhbar dan buat laporan polis terhadap Benchmark.

Dia hendak tahu mana nak dapat dokumen-dokumen ini dan pihak polis dah buka kertas siasatan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan kita akan tahu siapa penyangak daripada Tabung Haji atau daripada mana-mana yang memberi dokumen atau yang membocorkan dokumen, itu satu!

Keduanya, rundingan penjualan tanah ini dibawa kepada TH Properties pada April 2013. Satu kertas kerja dihantar oleh pihak 1MDB kepada TH Properties Sdn. Bhd., untuk menawarkan jualan sebanyak RM220 juta waktu itu, ditawarkan untuk penjualan tanah tersebut pada 2013.

Setelah setahun mereka melaksanakan kerja-kerja penyiasatan dan sebagainya. Pada Mei 2014, TH Properties dan lembaga pengarah telah meluluskan untuk dicadangkan kepada Tabung Haji membeli kawasan kediaman dengan harga RM210 juta pada waktu itu.

Setahun selepas itu, kita berbincang, dan di pihak kami, ahli lembaga pengarah tiga kali kita dapat kertas ini sehingga kita muktamadkan perjanjian tersebut pada bulan April 2015.

Maknanya, 2013, 2014, 2015...barulah termaktub pembelian tanah tersebut dengan bukan harga yang disebutkan dalam blog itu. Dia kata, kita beli RM194 juta, itu tidak betul. Walaupun penilaian telah dibuat oleh jurunilai profesional Jones Lang Wootten, yang membuat penilaian semua SOP yang kita buat melalui TH Properties dan bawa kepada kita (pengurusan).

Lepas pengurusan pergi ke panel pelaburan (IP), IP menyiasat dan meneliti sehingga mendapatkan jurunilai profesional itu dan baru bawa naik ke ahli lembaga pengarah.

Kami yang (ahli lembaga pengarah) terakhir. Itu pun tiga kali ahli lembaga pengarah melihat dokumen tersebut. Daripada 2013, 2015 baru sampai kepada kami.

Cara ahli lembaga pengarah melaksanakan tanggungjawab, dengan amanah yang diberikan kepada kami, jika satu ahli lembaga pengarah tolak, kita akan tolak semua.

Jadi, masa itu, ahli lembaga pengarah tidak ada yang tidak hadir, cuma, Tan Sri Ismee sahaja abstain kerana tidak mahu ada konflik kepentingan dan yang lain semua hadir dalam mesyuarat tersebut.

Kita putuskan pembelian tanah ini boleh dibuat kerana kita bayar harga tersebut dan pulangan kepada unjuran potensi pulangan keuntungan ialah sembilan peratus setahun.

Untuk selama tiga tahun, kita akan dapat 27 peratus. Maknanya, keuntungan kepada Tabung Haji adalah RM178 juta yang mana keuntungan Tabung Haji akan dapat melalui pembelian tanah tersebut. Kita beli banyak tanah. bukan satu ini sahaja. Kita ada banyak tanah yang dibeli. Purata tiap-tiap bulan kita ada beli tanah untuk pembangunan.

Oleh kerana tanah ini dibeli daripada 1MDB, ini yang menjadi masalah kepada Tabung Haji. Tetapi saya mahu jelaskan di sini. Setelah kita melihat banyak pandangan dalam laman web, blog, Telegram dan macam-macam. Tidak ada sama sekali ini adalah bail out. Tidak betul, bail out tidak berlaku kerana kalau kita hendak bail out, menelan RM30 bilion hingga RM40 bilion.

Ini kita beli tanah. Saya kena terangkan kepada pakcik-pakcik, makcik-makcik yang merupakan pendeposit di luar bandar yang percaya kepada Tabung Haji. Tabung Haji tidak pernah menipu mereka. Malah, dari zaman dahulu, daripada empat, lima, enam, hari ini Tabung Haji sudah boleh bayar 8.5 peratus, tidak termasuk lagi dengan zakat. Kalau dengan zakat, kita boleh bayar 11 peratus pulangan kepada pendeposit yang semuanya orang Islam dalam negara kita.

Jadi, apa yang sedang berlaku dalam dua hari ini adalah saya fikir satu polemik politik yang mengaitkan Tabung Haji. Kita tidak bail out, saya nak menjelaskan di sini, apa yang disebut dalam blog Benchmark, tidak betul.

Seterusnya, mulanya pada April 2013, kenapa Tabung Haji hendak beli tanah ini? Kita mengambil peluang sebagai sebuah agensi dimiliki bumiputera Islam untuk memiliki aset dalam kawasan pembangunan TRX. Hanya terakhir, satu sahaja lagi tanah terbaik dalam Kuala Lumpur, sebelah KLCC (Kuala Lumpur City Centre). Yang mana kita merasakan dalam semua lapisan laporan yang kita dapat, ini tanah yang sangat bernilai tinggi, sebagai institusi Islam untuk pergi ke situ.

Dalam Kuala Lumpur ini, tidak banyak kepunyaan institusi Islam atau bumiputera. Oleh itu, kita mahu masuk. Potensi pulangan pelaburan baik, unjuran sembilan peratus setahun dan lokasi pelaburan hartanah itu berpotensi tinggi kerana stesen Mass Rapid Transit (MRT) terbesar. Dua laluan terdapat di situ.

Terdapat akses langsung, dari MEX, Smart dan DUKE, laluan pejalan kaki, kawasan Bukit Bintang, KLCC dan insentif-insentif cukai khas yang diberikan kerajaan kepada kita.

Proses yang kita buat itu memanglah proses penilaian pelaburan melalui pelbagai peringkat daripada proses ketekunan wajar, perundangan, memenuhi syariah dan kewangan, penilaian risiko, panel pelaburan, lembaga pengarah akhirnya baru pergi kepada menteri.

Maknanya, dalam tempoh tiga tahun baru sampai kepada menteri untuk buat kelulusan, satu proses yang amat teliti dan menyeluruh.

Insya-Allah. Saya juga nak bagi tahu di sini tidak ada konflik kepentingan antara kita dengan 1MDB. Kita beli ini, macam kita beli tanah orang biasa. Kita beli tanah orang Melayu, bukan Melayu, biasa kita beli tanah.

Dan hari ini, kalau kita melihat keadaan sekarang harga getah jatuh, harga kelapa sawit jatuh, yang boleh mendapatkan unjuran untuk kita memberi dividen yang tinggi ialah hartanah.

Itu sebabnya, apatah lagi kita mendapat pekeliling daripada Kementerian Kewangan bahawa kita tidak boleh beli tanah di luar negara.

Walaupun Tabung Haji ada pelaburan hartanah di United Kingdom, Australia, sedangkan kita bangunkan bangunan-bangunan yang canggih di Australia. Kita ada di Mekah, Madinah, Arab Saudi dan sebagainya dan ini bukan perkara yang baru.

Ini juga bukanlah macam yang digembar-gemburkan dalam beberapa blog ataupun media sosial yang tidak bertanggungjawab yang mengatakan letak gambar seorang wanita yang ingin mengeluarkan wang deposit dari Tabung Haji.

Setiap duit yang makcik letak, RM1 dalam Tabung Haji, dijamin penuh oleh kerajaan Malaysia. Duit makcik tidak boleh dicuri, tidak boleh diambil sewenang-wenangnya. Itu dalam Akta Tabung Haji.

Dalam akta itu juga, kita boleh berniaga, boleh melabur dan boleh beli hartanah. Cara nak beri penjelasan mudah seperti yang dinyatakan itu, bukan seperti gaya kita ambil duit makcik yang nak pergi Mekah.

Sudah ada dalam rangkaian kita. Sudah ada 15 peratus daripada duit RM56 bilion kita sudah letak peruntukannya untuk hartanah dan pembangunan.

Dan hari ini, kita baru pakai tidak sampai pun 10 peratus, masih ada RM5.6 bilion peruntukan untuk kita beli hartanah, tanah dan sebagainya. Bukan ambil duit pendeposit yang nak pergi haji tahun ini, tidak.
Saya kena tekankan di sini, ini adalah satu polemik politik mereka cuba nak kaitkan Tabung Haji.

Jadi, Tabung Haji dalam konteks ini, saya nak bagi jaminan. Saya faham semua pihak termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri takut duit ini untuk bail out, takut duit ini disalah guna.

Tanah ini kita tidak beli dua. Signature Tower kita tidak beli. Kita beli sebuah dengan harga yang berpatutan. Mereka (penulis blog) tanya balik, kenapa kita beli harga mahal.

Sebenarnya kita ikut harga pasaran. Kita dah buat perkiraan pulangan pelaburan (Return of Investment-ROI). Mereka juga sudah melakukan infrastruktur. Kalau dahulu, di situ ada kuarters kerajaan, boleh tengok dalam blog gambar baharu dan gambar lama. Gambar lama dahulu, ada kuarters dan pelbagai yang perlu diselesaikan dengan infrastruktur dan utilitinya.

Hari ini, pihak 1MDB sudah selesaikan sehingga peringkat development order (arahan pembangunan) sudah tersedia. Cuma, Tabung Haji datang, kita beli, kita beri pelan kita. Apabila kita bagi pelan untuk pembangunan, dan lepas itu, dia bangunkan bangunan tersebut.

Pengalaman Tabung Haji, Alhamdulillah, TH Properties Sdn. Bhd., sudah banyak melaksanakan projek seperti ini. Jadi, bukan satu perkara baharu atau tanah pertama Tabung Haji beli.

Saya nak tekankan kepada makcik-makcik yang di kampung termasuk kampung saya di Baling. Rakyat risau ke mana duit itu pergi. Saya kena jelaskan. Kita tidak bayar 1MDB untuk saja-saja. Kita sudah beli tanah.

Sekarang, tanah ini ada pada kita dengan pelbagai jaminan, dengan geran-geran tanah yang lain banyak diberikan kepada kita. Jadi, pembelian tanah ini sah tidak ada penipuan, malah kita pun terima banyak panggilan telefon, minta penyiasatan dibuat, kita alu-alukan.

Kita alu-alukan badan-badan berkanun boleh datang menyiasat, sebab kita bukan nak tipu. Bukan nak berselindung apa-apa. Kita bukan diarah atau disuruh, kita beli atas sebab commercial decision yang boleh menguntungkan Tabung Haji supaya dapat kita memberi pulangan dividen secara syariah compliance kepada rakyat atau pendeposit-pendeposit.

Saya nak tekankan di sini dua perkara, seluruh rakyat kena faham dan kena tahu. Bila ada tohmahan-tohmahan yang begitu dahsyat mengkritik Tabung Haji pada sehari dua ini. Saya nak beritahu, saya nak jelaskan, pada tahun ini, kita nak melaksanakan ibadah haji, kosnya adalah RM17,270. Makcik di Baling, makcik di Padang Terap, makcik di Yan, makcik di Kelantan, pakcik di Sabah, Sarawak, sesiapa sahaja nak pergi haji, kena bayar RM17,270.

Tabung Haji hanya mengenakan caj sebanyak RM9,980. Perbezaannya adalah RM7,290 seorang. Ini akan disubsidikan oleh Tabung Haji.

Macam mana Tabung Haji nak bagi subsidi ini sekiranya kalau kita tidak boleh melabur dalam hartanah, perladangan dan sebagainya. Mana kita nak dapat. Bayangkan dalam keadaan hari ini, negara yang agak muram dari sudut kewangannya, Tabung Haji membuat keputusan menaikkan caj sebanyak RM3,000. Katalah Tabung Haji naikkan caj RM3,000, sebagai contoh. Apa yang akan berlaku? Kasihan kepada rakyat.

Jadi, untuk tahun ini, Tabung Haji kena siapkan subsidi minimum RM120 juta. Sebab apa? Kalau dikira, kali ini, 22,320 orang dapat pergi haji, kali dengan RM7,290, lebih kurang RM160 juta lebih. Tetapi, tidak semua pergi dengan muassasah. Ada yang pergi dengan pakej.

Pergi pakej, mereka bayar sendiri. Ini untuk makcik pakcik dari kampung, kita subsidi untuk mereka, tahun ini sahaja, minimum RM120 juta. Untuk dapatkan wang ini, kita kena berniaga, kena melabur dari sudut hartanah menepati kehendak syariah, ini termaktub dalam akta Tabung Haji. Memang sudah sedia ada, satu!.

Keduanya, saya dan rakan-rakan ahli lembaga pengarah lebih terkilan dan sedih kerana dahulu, Tabung Haji bayar dividen enam peratus, 5.5 peratus, lima peratus, 4.7 peratus. Ini terdahulu.

Alhamdulillah, dengan berkat semua menyokong usaha Tabung Haji, dengan dirahmati Allah, kebetulan saya menjadi pengerusi, dan rakan-rakan ahli lembaga pengarah ada, Alhamdulillah, hari ini Tabung Haji pada 2013, kita boleh bayar enam campur dua, jadi lapan peratus. Tahun 2014, kita bayar 6.25 peratus campur dua peratus, jadi 8.25 peratus.

Saya nak jelaskan kepada sahabat-sahabat. Untuk kita bayar 2014, kita perlu untung RM3.248 bilion untuk membayar dividen ini. Bayangkan kalau kita tidak berniaga. Kalau letak duit, Tabung Haji nak pergi Mekah, balik habis tak akan dapat apa-apa.

Ramai pak long, mak long, pakcik, makcik malah ada orang biasa dan ada yang bekerja dengan kerajaan pun letak gaji di Tabung Haji, sebab mereka melihat letak di Tabung Haji ni berkat dan dibayar zakat. Tahun sudah, hampir 11 peratus pulangan, dividen yang diberi.

Untuk meneruskan kecemerlangan ini, kami kena lakukan perniagaan. Kami kena buat perkara-perkara yang sedemikian rupa. Dalam konteks hari ini, yang menjadi viral dan menakutkan adalah memberi pandangan yang agak tidak betul. Sehingga pemandu teksi pun tahu Tabung Haji bail out 1MDB. Sampai begitu sekali viral menular ke kampung dan kepada pemandu teksi.

Hanya pembelian ini berkaitan 1MDB. Kalau kita beli bangunan dengan Tan Cheng Kong Company atau kita beli dengan Ramasamy Company, contohnya, tidak pernah ada masalah. Kita biasa beli tanah dengan orang India, Cina dan Melayu.

Yang penting, kita beli tanah pembangunan yang ada unjuran keuntungan yang menepati cita rasa Tabung Haji. Kita nak buat apa-apa pun, paling tidak enam peratus pulangan, sebab untuk mencapai 8.25 peratus dan sebagainya. Jadi kita kena laksanakan perniagaan ini. Oleh sebab itu, saya merayu kepada semua pihak jangan kaitkan Tabung Haji dalam kancah politik mana-mana pihak.

Kita hendak laksanakan ibadah ini, kita anggap sebagai ibadah, sejak kami berada di sini, tidak pernah rugi dan tidak pernah TH Properties ada sejarah rugi.

Dua tahun, bayangkan dalam konteks kes ini, sejak April 2013, proposal ini masuk dan April 2015, perkara ini selesai. Maknanya dua tahun sebelum sampai ke lembaga pengarah pun sampai tiga kali.

Kami hari ini, semua lembaga pengarah boleh tanya pada masing-masing. Kalau seorang tolak, kami semua pun tolak. Kami punya keputusan, lazimnya persepakatan bersama kerana kita tidak mahu ada dalam kalangan kita merasakan pelaburan yang kita buat yang mematuhi syariah ini bermasalah pada masa akan datang.

Dalam konteks ini, saya tahu bahawa ini adalah serangan politik. Saya sedar saya seorang ahli politik. Saya seorang ahli UMNO yang mempengerusikan Tabung Haji. Ada pihak yang tidak senang dengan saya. Saya ahli UMNO dalam konteks parti saya. Dalam kerjaya saya, saya sentiasa bersandarkan habluminallah habluminannas.

Saya sudah pergi banyak negara yang bergolak hancur, kerana ini, unsur-unsur politik. Saya fikir apa yang saya dan rakan-rakan semua buat hari ini adalah bersandarkan untuk Tabung Haji mendapatkan kecemerlangan dividen. Itu yang sedang kita lakukan.

Saya bukan pengerusi eksekutif yang ada kuasa. Kita ni adalah ahli lembaga pengarah yang mana sistem yang dilakukan pengurusan, pengurusan akan bawa kepada kami dan dan kami diberi maklumat dan kita bincang. Kita teliti, kita perhalusi. bukan satu kali buat keputusan, dalam konteks ini, tiga kali baru kita buat keputusan.

Oleh sebab itu, jangan salah tafsir, dan jangan terus menuduh kerana kita beli bangunan ini, Segala kebaikan yang dibuat oleh Tabung Haji selama 52 tahun ini, takkanlah kerana beli satu tanah ini, kita sudah rugi.

Kalau beli tanah sudah rugi, kalau ada penipuan, ada rasuah, boleh kaitkan kami. Baru beli, unjurannya pun RM178 juta hampir RM180 juta kita akan dapat.

Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) mengambil keputusan menjual semula tanah di pusat kewangan, Tun Razak Exchange (TRX) yang dibeli daripada 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) bagi mengelakkan fitnah berpanjangan dan menjaga nama baik institusi berkenaan.

Keputusan itu dibuat atas nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pagi semalam. Pengumuman itu dibuat dalam satu sidang akhbar oleh Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan turut dihadiri oleh Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Tan Sri Ismee Ismail, Timbalan Pengarah Urusannya, Datuk Johan Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang juga ahli lembaga pengarah Tabung Haji, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abd. Shukor Husin.-UMO

Suara Politik
Belantan

Selasa, Mei 05, 2015

Protes pencalonan Wan Azizah?

Mazli Saring (depan, tengah) bersama ahli-ahli PKR mengadakan demonstrasi aman mempertikaikan Wan Azizah Wan Ismail bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh di Pusat Komersial Permatang Pauh, Pulau Pinang, semalam.

PERMATANG PAUH - Kira-kira 30 ahli akar umbi Parti Keadilan Rakyat (PKR) di bawah naungan Suara Akar Umbi Keadilan (SAUK) hari ini mempertikaikan pencalonan Presiden parti, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon di Parlimen berkenaan.

Rasa tidak puas hati mereka itu disuarakan dalam demonstrasi aman di Pusat Komersial Permatang Pauh, di sini petang ini yang turut mempertikai pencalonan semula Wan Azizah selepas melepaskan jawatan sebagai ahli Parlimen di kerusi berkenaan pada 2008.

Presiden Penaja SAUK, Mazli Saring berkata, ahli-ahli pertubuhan itu belum melupakan alasan Wan Azizah lima tahun lalu yang melepaskan kerusi Parlimen Permatang Pauh kerana mahu memberi tumpuan kepada keluarga terutama cucu-cucu beliau.

“Saya antara orang yang bekerja kuat demi memastikan Penasihat Parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim menang dalam PRK pada 2008 selepas Kerusi Parlimen Permatang Pauh dikosongkan isterinya, Wan Azizah.

“Jadi kenapa sekarang setelah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Wan Azizah dicalonkan semula sedangkan ramai ahli parti tidak bersetuju dengan pencalonan beliau ini,” katanya kepada pemberita selepas bantahan aman itu.

Mazli yang juga ahli PKR Cabang Kuala Selangor menambah, dalam keadaan sekarang Wan Azizah sepatutnya memainkan peranan sebagai Presiden parti demi memperbetulkan segala kepincangan dalaman.

“Adakah cabang parti di Permatang Pauh ketika ini tidak mempunyai seorang pemimpin yang layak sehingga Presiden parti sendiri terpaksa bertanding?

“Kita bertindak bukan untuk menjatuhkan parti sebaliknya membawa suara-suara ahli akar umbi bagi memberi isyarat kepada pucuk pimpinan agar tidak mengambil pendekatan salah yang akhirnya memberi kesan buruk pada parti,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Penaja SAUK, Nasiruddin Mohammad menegaskan, PKR sebenarnya berhadapan dengan pelbagai masalah dalaman yang sehingga kini tidak diselesaikan.

“Baru-baru ini kita bertemu dengan masalah wujudnya ahli parti yang bukan warganegara. Bagaimana keahlian boleh diberi kepada mereka yang hanya memiliki taraf penduduk.

“Selain itu, masalah lain yang sehingga kini gagal diatasi pucuk pimpinan adalah seperti pemilihan parti yang secara tidak langsung telah memburukkan imej PKR di mata rakyat,” ujarnya.

Tegasnya, SAUK akan turun padang bertemu ahli PKR di Permatang Pauh bagi meningkat kese­daran mereka terhadap pendekatan tidak wajar yang diambil pucuk pimpinan parti sekali gus menolak Wan Azizah sebagai calon.-UMO

Suara Politik
Belantan

Isnin, Mei 04, 2015

PKR bidas demonstrasi Pas?


PERMATANG PAUH – Parti Keadilan Rakyat (PKR) membidas tindakan penyokong Pas yang berdemonstrasi dan melaungkan slogan Hancur PKR sebagai tanda protes semalam.

Naib Presidennya, Nurul Izzah Anwar berkata, adalah sukar pihaknya menemui ahli Pas pada setiap peringkat untuk memberi penjelasan tentang kemelut yang berlaku membabitkan kedua-dua parti sebelum ini.

Katanya, ahli Pas di Permatang Pauh yang masih membantah PKR perlu merujuk kepada kenyataan rasmi yang dikeluarkan pimpinan parti itu.

"Kita tidak boleh puaskan hati semua tetapi perbincangan sudah dibuat sebelum ini dan rujuk kenyataan berkenaan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam sekumpulan penyo­kong Pas yang mendakwa mereka pengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh pada 7 Mei ini berdemonstrasi selepas solat Jumaat di hadapan Masjid Batu di sini dan mengancam akan memprotes secara diam dengan tidak keluar mengundi calon PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Protes itu sebagai reaksi kepada penghinaan PKR kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang susulan pembentangan draf undang-undang syariah (hukum hu­dud) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada bulan lepas.

Sementara itu, Naib Ketua (Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dr. Afif Bahardin pula mempersenda bantahan semalam sambil mempersoalkan ada­kah mereka itu benar-benar ahli Pas.

Katanya, ini kerana kain rentang yang dibawa kumpulan berkenaan mirip se­perti yang digunakan oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).

Sementara itu, Nurul Izzah ketika ditanya tentang ketiadaan pemimpin Pas dalam sidang akhbar harian mereka sejak minggu lalu mendakwa, jemputan sudah dihantar.

Katanya, walaupun pemimpin Pas tidak hadir, namun terdapat wakil DAP yang berada bersama-sama mereka setiap hari ketika sidang akhbar.

Suara Politik
Belantan

Ahad, Mei 03, 2015

Menanti "nilai" 'Nenek Kipas' Wan Azizah?


Menjelang hari-hari terakhir kempen Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh pada Khamis ini, PKR seperti berasa selesa untuk menang dengan mudah. Dari awal begitulah keyakinan mereka kerana Permatang Pauh adalah wilayah PKR.

Bagi PKR, DAP dan disokong oleh segelintir pemuka Pas, calon mereka Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail adalah aset yang tiada taranya. Wan Azizah adalah harga mati walaupun dibantah oleh akar umbi Pas.

Bagi mereka, seperti selalunya bantahan akar umbi dan kumpulan ulama Pas boleh diuruskan dengan mudah menerusi mekanisme biasa - tahaluf siyasi. Selama ini pun Pas terbukti boleh digula-gulakan dengan slogan adil dan saksama serta jalan ke Putrajaya.

Di atas kertas setakat ini, Wan Azizah masih men­dahului. Mungkin atas faktor itu mereka bergerak suam-suam kuku sehingga ada jurukempen DAP dilaporkan mengancam untuk menarik diri kerana kecewa dengan kesungguhan jentera PKR.

Tanpa manifesto khusus, PKR terlebih bangga mem­pertaruhkan rekod Wan Azizah dan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tetapi pengundi sendiri tertanya-tanya apa sebenarnya sumbangan Wan Azizah selama menjadi wakil rakyat sama ada di Permatang Pauh dahulu dan sejak setahun lalu di Kajang.



Mungkin atas faktor keupayaan calon ini yang di­per­tikaikan, maka diuar-uarkan dalam ceramah Men­te­ri Besar Selangor, Azmin Ali dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bahawa kedua-dua pemimpin negeri ini akan saling menjaga kawasan yang diwakili oleh Wan Azizah.

"Kalau Azmin kata nak jaga Kajang, saya juga akan jaga Permatang Pauh untuk Kak Wan," kata Guan Eng da­lam satu ceramah yang dari satu aspek membayangkan kemampuan sebenar Wan Azizah.

Analisis awal yang tergambar dalam pilihan raya ke­cil kali ini selain untuk mengangkat semula "seorang" bo­neka yang menolak hudud dan mengaibkan pimpinan ter­tinggi sekutu, ialah selama ini jentera PKR hanya ber­gantung kepada kekuatan akar umbi Pas.

Di wilayah mereka sendiri, ceramah PKR dan DAP di merata-rata tempat hambar tanpa gegaran takbir simpatisan Pas. Tidak benarlah momokan PKR dan DAP selama ini kononnya Pas yang akan kehilangan le­bih banyak kerusi jika meninggalkan pakatan pem­bangkang.

Berdehem

Lihatlah baru sahaja akar umbi Pas berdehem mahu la­kukan boikot, jentera paka­tan pembangkang sudah lin­tang-pukang. Jelaslah jen­te­ra PKR ha­nya di awang-awangan, gah di forum dan seminar.Yang selama ini berpanas dan berhujan meraih undi ialah jentera Pas.

Jadi, pilihan raya kecil ka­li ini bakal memberi mesej kepada PKR dan DAP supaya menghormati Pas selayaknya. Pilihan raya ini bakal menye­darkan PKR dan DAP supaya tidak terus-terusan bersikap biadab.


Ini supaya, kelak mereka ti­dak mudah menghina pimpi­nan ulama yang selama ini menjadi paksi kewujudan Pas. Supaya, kelak mereka tidak suka-suka menghumban per­jua­ngan asas hukum hudud Pas. Supaya, kelak mereka ti­dak lagi menakut-nakutkan Pas dengan ugutan dan anca­man.

Nyatalah jika sikap keras para ulama dan akar umbi ini dipertahankan, Pas akan muncul sebagai sebuah entiti politik yang bermartabat dan bermaruah di mata rakyat khu­susnya umat Islam dan ju­ga PKR dan DAP.

Tiada siapa boleh meng­hen­tikan autokratik dan egoi­s­tik PKR dan DAP. Hanya ahli Pas dan simpatisan parti ini yang boleh melakukannya. Ha­nya mereka yang boleh mengangkat semula maruah Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang telah diaibkan oleh PKR dan DAP.

Dengan anggaran kekuatan ahli dan simpatisan berjumlah 10,000 orang di Permatang Pauh, Pas boleh mengajar keangkuhan PKR dan DAP ini. Bayangkan keangkuhan mereka, untuk memohon maaf sesama parti sekutu pun menjadi satu masalah besar.

Amat menarik untuk dilihat di Permatang Pauh yang menjadi kubu kuat PKR ini akan menentukan nilai sebenar Wan Azizah. Apakah nilainya masih seperti dulu, seperti sebelum Pas menolak beliau sebagai calon Menteri Besar Selangor atas alasan tidak layak?

Semakin hari mendekati tarikh penting 7 Mei ini, nilai Wan Azizah dilihat semakin menurun. Benar, beliau masih mendahului dan berkemungkinan akan sekali lagi menang, tetapi dijangkakan dengan majoriti lebih rendah di bawah 5,000 undi.

Hal ini juga banyak bergantung kepada kesungguhan jentera BN yang kali ini menampakkan semangat yang berbeza. Dalam kepayahan menjelaskan peri pentingnya cukai barang dan perkhidmatan (GST) kepada kelang­sungan negara yang telah dimanipulasikan oleh pakatan pembangkang, jentera BN dilihat terus gigih.

Dengan MIC berjanji untuk memaksimumkan pero­lehan undi daripada kira-kira 3,000 pengundi India, se­mua ini tidak mustahil untuk berlaku. MCA dan Gerakan pula tidak perlu melakukan banyak kerja, kecuali me­yakinkan 4,000 ahli mereka sendiri untuk mengundi Suhaimi Sabudin.

Kemudian, nantinya kita akan sama-sama menentukan nilai sebenar seorang Wan Azizah.

Amat menarik untuk dilihat di Permatang Pauh yang menjadi kubu kuat PKR ini akan menentukan nilai sebenar Wan Azizah. Apakah nilainya masih seperti dulu, seperti sebelum Pas menolak beliau sebagai calon Menteri Besar Selangor atas alasan tidak layak? Semakin hari mendekati tarikh penting 7 Mei ini, nilai Wan Azizah dilihat semakin menurun.

Oleh : Zulkiflee Bakar

Suara Politik
Belantan