Jumaat, April 17, 2015

Hapuskan sabotaj dalam parti!


“Kekuatan kita hanya akan menjadi sesuatu kenyataan sekiranya kita padu dalam parti kita. Kalau kita padu dan kita tak berbalah sesama kita tiada unsur-unsur sabotaj dalam parti dan sebagainya, saya yakin insya-Allah kita boleh menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 yang akan datang.’’

Itulah petikan pandangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika diwawancara dalam edisi Soal Jawab TV3 pada Khamis lalu.

Sememangnya, mana-mana juga pihak boleh memberi peringatan dan pandangan berhubung peluang UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam sesuatu pilihan raya tidak kira sama ada pilihan raya kecil mahupun pilihan raya umum tetapi akhirnya yang akan menentukan parti tersebut mampu mendapat sokongan atau tidak ialah rakyat.

Tetapi zaman sudah berubah, sokongan rakyat tidak akan dilakukan secara membuta tuli. Rakyat kini semakin kritis dan bijak menilai kedudukan sesebuah parti politik. Di atas kertas BN dan UMNO jauh lebih baik berbanding pakatan pembangkang yang disertai DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas. Soalnya kenapakah dari semasa ke semasa sokongan kepada BN semakin merosot?

Bermula pada 2008, seterusnya 2013, BN kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen. Perak pernah jatuh seketika ke tangan pembangkang begitu juga Kedah manakala di Kelantan sehingga ke hari ini UMNO bagaikan terus bermimpi untuk menguasai negeri itu.

Masalahnya bukanlah UMNO atau BN itu tidak kuat tetapi acap kali dalam pilihan raya berlaku perpecahan dalaman atau istilah popularnya sabotaj oleh pemimpin dan ahli parti itu sendiri. Apa yang lebih malang sabotaj ini tidak berlaku dalam komponen BN lain sebaliknya hanya dalam UMNO.

Lebih memalukan sabotaj juga tidak berlaku dalam pakatan pembangkang biarpun mereka dilihat berbalah sesama sendiri namun dalam pilihan raya mereka akan bersatu. Walaupun seseorang pemimpin itu tidak dipilih sebagai calon atau orang yang mereka sokong tidak menjadi calon namun mereka sama sekali tidak akan mensabotaj parti. Tetapi bagaimana dengan UMNO?

Perlu diakui `penyakit sabotaj’ ini masih berlaku dan terus wujud bagaikan sakit yang tiada ubatnya. Atas sebab itulah Najib memberi pandangan tersebut. Walaupun Najib bersikap terbuka menerima segala kritikan ke atas parti di bawah pimpinannya dan berusaha menangani kritikan itu tetapi kesudahannya perpaduan dalam parti juga bakal menjadi penentu kemenangan dalam pilihan raya.

Sabotaj tidak akan berlaku jika seseorang pemimpin atau ahli di sesuatu kawasan sayangkan parti. Di hadapan pemimpin utama mereka beria-ia menyatakan akan menyokong sesiapa juga calon yang dipilih tetapi di belakang mereka melakukan pengkhianatan berdasarkan sikap `kalau aku tak dapat, kau pun tak dapat’, soal yang kalah ialah parti bukannya perhitungan utama.

Keadaan itu berlaku kerana seseorang pemimpin khususnya di peringkat bahagian merasakan dirinya sahaja yang layak bertanding dalam pilihan raya. Kalau pucuk pimpinan parti memilih orang lain, maka keputusan itu tidak akan diterima secara terbuka.

Sedangkan keputusan memilih calon bukanlah dilakukan secara membuta tuli tetapi berdasarkan laporan yang diterima oleh pucuk pimpinan daripada pelbagai sumber. Sepatutnya kalau benar mereka berjuang untuk parti dan berhasrat melihat parti mencapai kejayaan dalam pilihan raya maka mereka perlu menyokong calon yang dipilih.

Bagaimanapun keadaan itu tidak berlaku, sebaliknya di sesetengah bahagian, walaupun rakyat sudah memberikan isyarat jelas mereka tidak mahu seseorang pemimpin atau seseorang pemimpin itu mempunyai rekod yang boleh menjejaskan peluang parti mencapai kemenangan, namun pemimpin yang terlibat tetap berdegil. Kalau dia tidak terpilih maka bersedialah menanti tindak balas apabila pilihan raya berlangsung.

‘Penyakit’ ini sama sekali tidak boleh dibiarkan berlaku dalam pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh dan Rompin pada 5 Mei dan 7 Mei ini. Ada sesetengah pemimpin menguar-uarkan kononnya ada penyokong pembangkang mengundinya kalau dia bertanding. Sebenarnya, inilah politik syok sendiri.

Penulis menyatakan demikian kerana sokongan supaya dia menjadi calon ada `udang di sebalik batu’. Penyokong pembangkang tidak akan sewenang-wenangnya memberikan undi mereka kepada mana-mana calon BN biarpun mereka tidak suka kepada calon parti mereka. Janganlah `bermimpi di siang hari’.

Perlu difahami, apabila PRK berlangsung seluruh jentera parti akan `turun padang’ ke kawasan Parlimen terlibat. Mereka akan bertungkus lumus siang malam dan mengaturkan pelbagai program bagi meraih sokongan rakyat. Segala penat lelah mereka tidak harus disia-siakan begitu sahaja akibat tersalah pilih calon atau akibat sabotaj dalam parti.

Pengalaman membuat liputan dalam beberapa pilihan raya kecil memberi pemahaman kepada penulis bahawa unsur-unsur sabotaj masih menjadi salah satu faktor kekalahan calon-calon BN khususnya UMNO.

Seorang bekas calon daripada UMNO yang pernah bertanding dalam sebuah pilihan raya pernah memaklumkan kepada penulis bahawa dia sudah serik untuk menjadi calon lagi walaupun berpeluang menang berdasarkan sokongan rakyat kepadanya.

Tetapi dia sudah patah hati kerana tidak tahan dengan sabotaj yang diterimanya ketika kempen berlangsung.

Fenomena ini tidak boleh dibiarkan dan hanya boleh diatasi dengan ketegasan parti memastikan mana-mana juga pemimpin atau ahli di peringkat bahagian tidak melakukan sabotaj kepada parti khususnya pada PRK Permatang Pauh dan Rompin.

Kedua-dua PRK itu amat penting untuk UMNO. Parti itu berusaha merampas kerusi Parlimen Permatang Pauh daripada PKR manakala di Rompin, UMNO akan cuba meneruskan legasi yang ditinggalkan oleh Allahyarham Tan Sri Jamaludin Jarjis.

Penilaian terhadap sesuatu calon perlu dilakukan secara terperinci. Segala laporan daripada sumber-sumber yang dipertanggungjawab berbuat demikian harus diterima dan bukannya berdasarkan kepada pandangan bahagian sahaja. Jika tidak UMNO perlu bersedia menerima kekalahan yang sepatutnya boleh dielakkan.

Oleh : Zulkeflee Bakar

Suara Politik
Belantan


Tiada ulasan: