Sabtu, Ogos 30, 2014

Soksek-soksek akhbar berbahasa Cina : Siapakah 'Zhou Yu' PKR?


Akhbar Nanyang Siang Pau bertarikh 26 Ogos 2014 menyiarkan artikel mengenai kenyataan dua pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mengibaratkan kemelut yang berlaku dalam parti itu sekarang seperti kisah The Three Kingdoms dalam sejarah China.

Artikel yang ditulis wartawan akhbar berkenaan, Koh Kok Wei bertajuk 'Siapa panglima Zhou Yu dalam PKR?' disiarkan dalam ruangan Pendapat Yan Lun halaman W3.

Ketika Kongres Nasional PKR Ke-10 di Shah Alam, Selangor baru-baru ini, Timbalan Presiden, Azmin Ali dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd. Akin menyentuh mengenai sejarah China yang berlaku pada zaman Dinasti Han Timur.

Tidak kira sama ada pernah membaca atau tidak sejarah The Three Kingdoms, kedua-dua mereka terlalu berani untuk menceritakannya kepada para perwakilan.

Memang banyak peristiwa yang berlaku ketika era pemerintahan dinasti berkenaan dan salah satunya adalah mengenai peperangan yang terjadi dan kesetiaan para pahlawan.

Azmin mahu para perwakilan mencontohi kesetiaan pahlawan kepada ketua mereka, Sun Liu sehingga dapat mengalahkan tentera lawan yang diketuai Chao Chao. Menurut Timbalan Presiden PKR itu, ahli-ahli perlu bersatu bagi memastikan parti itu terus kuat.

Walaupun Azmin tidak menceritakan sepenuhnya apa yang berlaku ketika pemerintahan dinasti berkenaan, yang pasti ia hanya berkaitan apa yang terjadi sebelum dan ketika pertempuran di Lembah Chi Bi yang disertai pahlawan berkenaan.

Beliau tidak menceritakan apa yang terjadi selepas kemenangan tentera Sun Liu apabila semangat setiakawan di kalangan pahlawan telah hancur dan mereka membawa haluan masing-masing.

Kisah itu tidak diceritakan kerana ia tidak relevan dengan nasihat supaya ahli-ahli bersatu dan gabungan pihak pembangkang dikekalkan.

Dalam pada itu, Shamsul Iskandar dalam ucapannya pula menyebut isu pelantikan Menteri Besar Selangor baharu yang boleh diibarat serupa dengan kisah hulubalang Zhou Yu.

Walaupun Zhou Yu setia kepada Shun Quan, beliau tidak memberi maklumat yang benar kepada ketuanya sehingga timbul ancaman perpecahan di kalangan pahlawan.

Tindakan Zhou Yu itu bukan kerana beliau berniat untuk mengkhianati ketuanya sebaliknya kerana sikapnya yang agak kurang terbuka.

Beliau ialah orang muda yang bijak dan hebat tetapi kelemahannya kerana suka ikut pandangannya sendiri dan tidak dapat menerima hakikat ada orang lain yang lebih bijak daripada dirinya.

Jika begitulah huraian Shamsul Iskandar, pembaca sudah tentu mahu tahu siapakah individu seperti Zhou Yu yang dikatakan berada dalam PKR?

Berdasarkan perbandingan yang Shamsul Iskandar sebut, Zhou Yu PKR pastinya orang dalam yang menerajui dan berkuasa dalam parti itu.

Beliau juga ialah orang muda yang bertindak sebagai pemimpin yang berilmu dan bijak dalam parti.

Ketika isu untuk menukar Menteri Besar hangat diperkatakan, orang itu sudah pasti memainkan peranan penting untuk mempertahankan kepentingan parti dan lantang menentang mereka yang tidak sehaluan dengan Penasihat PKR, Anwar Ibrahim.

Boleh dipastikan bahawa orang itu bukan Azmin dan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Suara Politik
Belantan

Jumaat, Ogos 29, 2014

Buat Anwar dan Wan Azizah : Inilah kriteria untuk menjadi Menteri Besar Selangor?


Seseorang yang ingin menjadi Menteri Besar Selangor perlu memenuhi beberapa kriteria yang ditetapkan dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor.

Selain itu Perlembagaan Persekutuan Malaysia juga memainkan peranan dalam menentukan kelayakan seseorang untuk menjadi Menteri Besar.

Kriteria itu termasuklah seseorang itu adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor. Beliau juga mestilah mendapat sokongan majoriti ahli dewan undangan negeri (DUN).

Beliau juga mestilah seorang Melayu beragama Islam. Kriteria ini sudah dijelaskan apabila terdapat beberapa calon dalam tahun 2008. Pemilihan Tan Sri Khalid Ibrahim mengesahkan pentingnya kriteria ini.

Kriteria ketiga ialah kerakyatan. Kerakyatan di sini bukanlah kerakyatan negeri Selangor tetapi kerakyatan Malaysia. Kerakyatan ini bukan kerakyatan secara naturalisasi, tetapi kerakyatan secara kelahiran.

Mengapa Wan Azizah mempertikaikan hak istimewa orang Melayu

Apakah Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail memenuhi ketiga-tiga kriteria di atas?

Cuba kita lihat latar belakang Wan Azizah. Berdasarkan rekod yang ada, beliau lahir di Singapura pada 3 Disember 1952. Jika demikian beliau bukanlah seorang rakyat Persekutuan Tanah Melayu dan kemudiannya Malaysia kerana beliau bukanlah seorang rakyat Malaysia pada ketika kelahirannya.

Wan Azizah dikatakan seorang anak angkat. Jika ini disahkan benar, besar kemungkinan ibu bapa kandungnya juga bukanlah warganegara Malaysia. Jika ibu bapanya bukan warganegara Malaysia, Wan Azizah ialah seorang warganegara secara proses naturalisasi.

Pihak Jabatan Pendaftaran Negara boleh mengesahkan perkara ini.

Pentingkah kriteria kerakyatan ini? Di negara-negara lain, isu kerakyatan ini adalah amat penting. Seseorang warganegara yang memperolehi kewarganegaraan melalui proses naturalisasi dianggap tidak layak untuk memegang jawatan penting tertentu.


Di Amerika Syarikat, ada beberapa kali isu kerakyatan ini berbangkit. Pernah satu ketika dahulu Henry Kissinger dan Arnold Schwarzenegger dicadangkan menjadi Presiden Amerika Syarikat, tetapi idea ini tidak diteruskan apabila didapati mereka berdua ialah warganegara AS secara naturalisasi.

Jika AS yang kuat memperjuangkan demokrasi dan hak asasi manusia memberi penekanan yang kuat kepada soal kerakyatan, tidak ada sebab Selangor ataupun Malaysia perlu mengetepikan kriteria ini.

Mesti ada kebijaksanaan dalam meletakkan syarat kerakyatan dalam Undang-undang Tubuh Negeri Selangor.

Pihak Istana Selangor dan mungkin juga Kerajaan Selangor sudahpun menjalankan tapisan halus terhadap Wan Azizah dan tentunya, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dimaklumkan mengenai soal kerakyatan ini.

Jika pencalonan Wan Azizah tidak diterima oleh istana, ia bukan kerana beliau seorang wanita tetapi ia adalah berkaitan kerakyatan naturalisasi.

Oleh : DR. MOHD SAFAR HASIM

Suara Politik
Belantan

Apabila Khalid Samad hadapi 'krisis identiti' yang teruk?


Ada kecelaruan minda dan identiti berkaitan parti mana yang dinaunginya, PAS atau PKR?. Keadaan ini berlaku akibat penyakit kurang air dalam otak dan boleh menjadi lebih kronik yang menyebabkan terputusnya " saraf tunjang dalam otak ".

Jika sampai ketahap ini Khalid tidak akan kenal dirinya sendiri. Dia akan kata dirinya adalah ayam, itik ataupun lembu kerbau. Beliau juga akan gagal membezakan jantinanya!

Cara mengubatnya tidaklah terlalu sukar sebenarnya..Orang PAS yang cerdik-cerdik sikit tu, kena ludah muka Khalid Samad sekali lagi dengan kahak hijau, disusuli penampar sedas dua. Lepas tu ok lah tu...!!!

Suara Politik
Belantan

Azmin cadang siar secara langsung kes liwat Anwar?



Cadangan menyiarkan secara langsung rayuan terakhir kes liwat membabitkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar Ibrahim di Mahkamah Persekutuan yang akan didengar pada Oktober ini bukan suatu tuntutan relevan untuk dilaksanakan.

Pengerusi Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, tindakan itu dalam konteks lainnya dianggap mencabar kedudukan tinggi mahkamah sebagai badan kehakiman yang mengamalkan prinsip undang-undang.

Katanya, perkara itu bukan sahaja sukar dilakukan malah tiada satu negara pun di dunia ini yang mengesyorkan atau membenarkan liputan secara langsung dibuat di dalam mahkamah kerana selain menunjukkan ketidakpercayaan terhadap institusi kehakiman, langkah itu dilihat bakal mengundang lebih banyak kemudaratan.



"Saya fikir kita tidak perlu memberi cadangan yang bukan-bukan atau di luar kebiasaan kerana orang ramai yang menonton tidak semua dapat memahami apakah sebenarnya berlaku, mungkin hanya dilihat secara umum sahaja. Tidak mustahil ada pihak tertentu menggunakan siaran langsung tersebut untuk menzahirkan sesuatu yang di luar konteks mahkamah dan mengambil kesempatan.

"Banyak perkara di dalam mahkamah dianggap sulit sehingga ada ketika hakim boleh mengarahkan dewan mahkamah dikosongkan termasuk para wartawan disebabkan menjaga perkara yang mengaibkan atau terdapat perincian perlakuan serta aksi sesuatu perbuatan yang tidak sesuai untuk tontonan umum tetapi itu semua hanya hujahan, bukan suatu yang sudah terbukti benar," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali ketika berucap dalam Kongres PKR ke-10 yang menuntut prosiding kes liwat Anwar dijalankan secara langsung supaya rakyat dapat menjadi hakim.

Suara Politik
Belantan

Khamis, Ogos 28, 2014

'Lawak jenaka' di kongres PKR?

Lengang... banyak kerusi tidak dipenuhi semasa Kongres Parti Keadilan Rakyat (PKR) berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor, kelmarin.

Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ke-10 di Shah Alam yang berakhir kelmarin memaparkan pelbagai kenyataan melucukan oleh pemimpin-pemimpin parti itu.

Selain ia usaha mempromosikan Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail kononnya sebagai calon Menteri Besar (MB) Selangor yang paling sesuai dan layak, kongres itu juga menjadi medan untuk mempertahankan penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Adalah sesuatu yang aneh apabila masalah dalaman PKR khususnya pemilihan parti yang berlangsung penuh kontroversi termasuk adegan tumbuk-menumbuk, membaling kerusi dan dakwaan berlakunya penipuan undi tidak diberi perhatian serius oleh pemimpin dan ahli PKR.

Ucapan pemimpin-pemimpin parti itu lebih dikategorikan sesi membodek, mempertahankan perkara yang tidak sewajarnya dan tidak memaparkan realiti sebenar.

Berikut penulis paparkan antara hujah-hujah pemimpin PKR yang boleh dianggap hanya menjadi bahan jenaka kepada rakyat berbanding apa yang sebenarnya berlaku;


* Wan Azizah yang sudah tidak sabar- sabar lagi untuk menjadi MB Selangor dengan lantang mengkritik kepimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim seolah-olah beliau seratus kali lebih baik daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang itu jika menjadi pemimpin nombor satu negeri tersebut.

Presiden yang dianggap hanya sekadar menjadi 'penghias organisasi' dan muncul setahun sekali untuk berucap, mengecam Abdul Khalid kerana tidak menggunakan dana kerajaan negeri sehingga mengabaikan kebajikan rakyat.

Wan Azizah menggambarkan seolah-olah rakyat Selangor berada dalam keadaan cukup teruk dengan dibelenggu pelbagai masalah di bawah kepimpinan Abdul Khalid.

Kalaulah soal mengabaikan kebajikan rakyat menjadi perhitungan utama Wan Azizah kenapakah beliau tidak bertanya secara jujur siapakah sebenar yang menyebabkan rakyat Selangor kini berada dalam keadaan terabai?

Bukankah suaminya yang bertanggungjawab mengatur 'Langkah Kajang' sehingga memungkinkan perebutan kerusi MB Selangor tercetus. Jika benar beliau seorang Presiden parti yang berkuasa kenapa tidak menghalang suaminya daripada berbuat demikian?

Kenapakah Wan Azizah tidak menolak cadangan Anwar supaya beliau bertanding di Kajang dan seterusnya mengelakkan amalan nepotisme berlaku?


* Rafizi Ramli tidak boleh marah kalau beliau dilihat 'pengampu' nombor satu kepada Anwar. Tindakan beliau mencabar mana-mana pemimpin dan ahli PKR yang menentang nepotisme meninggalkan parti itu membuktikan betapa mentahnya pemikiran politik individu yang kononnya diiktiraf pakar strategi PKR itu.

Sepatutnya Rafizi membentangkan fakta kenapa tindakan Anwar membenarkan isterinya menjadi Presiden parti dan calon MB Selangor serta anak mereka Nurul Izzah menjadi Naib Presiden tidak boleh dianggap nepotisme memandangkan kalau amalan itu dilakukan oleh Barisan Nasional (BN), Rafizi antara orang yang paling lantang mengkritik. Tetapi apabila perkara itu berlaku dalam PKR, Rafizi berhujah seperti kanak-kanak sekolah.

Malah Rafizi juga seolah-olah lupa siapa dirinya apabila memberi amaran kepada Abdul Khalid supaya tidak membubarkan DUN.

Rafizi sepatutnya tidak takut kalau DUN dibubarkan kerana bukankah PKR boleh menggunakan 'kebijaksanaan' beliau untuk mengatur strategi bagi memastikan Selangor terus berada di tangan pakatan pembangkang?

Rafizi sebenarnya tidak berkemampuan berbuat demikian kerana 'otak strategi' beliau selama ini sememangnya dipertikaikan oleh ahli-ahli PKR.

Namun memandangkan beliau rapat dengan Anwar dan bersedia mempertahankan pemimpin PKR tersebut sehingga sanggup mencabar keluar parti jika mana-mana ahli tidak bersetuju dengan kepimpinan parti, Rafizi terselamat.

Bagaimanapun dalam kalangan rakyat, Rafizi tidak mempunyai kredibiliti dan integriti sehebat Abdul Khalid.



* Hujah Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamarudin lebih melucukan apabila beliau dilaporkan berkata, UMNO akan kalah 56-0 jika pilihan raya diadakan di Selangor.

Kenyataan itu boleh dianggap hanya satu khayalan, tidak berpijak di bumi nyata dan untuk menyedapkan hati sahaja.

Ini memandangkan jika pilihan raya di negeri itu diadakan, PKR bukan sahaja tidak akan mampu mempertahankan kerusi sedia ada malah pakatan pembangkang juga berkemungkinan akan kehilangan kuasa.

Ini memandangkan pakatan pembangkang bertahan di Selangor kerana kredibiliti Abdul Khalid, sekarang beliau sudah dipecat daripada parti itu secara tidak terhormat dan PKR mahu meletakkan Wan Azizah yang rakyat negeri itu amat memahami sejauhmanakah kemampuan beliau untuk memimpin.

Oleh itu tidak perlulah Zuraida bermimpi di siang hari sebaliknya menerima hakikat bahawa rakyat negeri tersebut tidak boleh diperbodohkan dengan sewenang-wenangnya .

Tambahan pula PKR kini mempunyai hubungan cukup dingin dengan Pas yang merupakan penggerak utama kepada kempen pilihan raya pakatan pembangkang.

Ahli-ahli Pas pasti tidak akan melupakan kenyataan-kenyataan pemimpin PKR yang memperlekehkan pemimpin Pas dalam isu perebutan kerusi MB Selangor.

Begitulah serba sedikit catatan mengenai kongres PKR yang jelas membuktikan perjuangan untuk rakyat hanyalah sekadar retorik politik bagi memuaskan nafsu politik pemimpin parti tersebut.

Pemimpin PKR berhujah seolah-olah parti merekalah yang paling sempurna, tindakan politik mereka yang paling bijak dan merekalah paling sesuai untuk memerintah Selangor dan negara ini.

Hakikatnya, PKR hanyalah sebuah parti yang sedang dilumuri pelbagai masalah sama ada luaran mahupun dalaman tetapi kebijaksanaan pemimpinnya bersandiwara memungkinkan segala keburukan mampu ditutupi dan segala kepalsuan mampu dilindungi.

Tetapi percayalah sikap hipokrit pemimpin PKR tidak akan bertahan lama kerana rakyat semakin memahami wajah sebenar parti yang ditubuhkan melalui demonstrasi jalanan tersebut.-UMO

Suara Politik
Belantan

KETUM kata kerusi MB Selangor milik PKR?


KETUM (Ketua Umum) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar Ibrahim hari ini berkata, kerusi Menteri Besar Selangor adalah milik parti itu dan ini harus dihormati parti lain dalam konteks semangat Pakatan Rakyat.

"Ia adalah kerusi dan keputusan PKR dan ia harus dihormati dalam semangat Pakatan Rakyat,'' katanya ketika ditanya sama ada beliau bimbang Pas akan mengemukakan nama lain sebagai calon Menteri Besar Selangor.


Anwar berkata, Pas turut serta dalam proses membuat keputusan ketika mesyuarat majlis pimpinan Pakatan Rakyat pada 17 Ogos lepas.

"Kita tidak pernah mempersoalkan isu berhubung calon Pas untuk menjadi Menteri Besar Perak, Kedah atau Kelantan tetapi apa yang lebih penting dalam pemikiran saya ialah semua itu sudah dipertimbangkan sebelum mesyuarat dan diputuskan pada 17 Ogos,'' katanya.

Suara Politik
Belantan

Selasa, Ogos 26, 2014

Pas Selangor sokong keputusan Sultan Sharafuddin!


PAS Selangor menyambut baik keputusan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini yang menangguhkan untuk menerima peletakan jawatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor sehingga pelantikan baharu ditentukan.

Setiausahanya, Mohd. Khairuddin Othman dalam satu kenyataan yakin rakyat negeri itu juga menyambut baik keputusan baginda.

"Pas Selangor yakin cadangan calon Menteri Besar yang akan diserah kelak akan dapat diterima oleh istana dan sehingga selesainya pelantikan baharu itu, kesemua empat Exco kita akan terus kekal dan berkhidmat untuk rakyat negeri ini," katanya.



Abdul Khalid hari ini menghadap Sultan Sharafuddin bagi menyembah hasrat meletak jawatan sebagai Menteri Besar di Istana Bukit Kayangan di sini, susulan kemelut politik negeri itu.

Susulan itu, baginda turut menitahkan agar setiap pemimpin parti dalam pakatan rakyat mencadangkan lebih daripada dua nama sebagai calon menteri besar baharu bagi memudahkan baginda membuat pilihan calon yang layak untuk jawatan itu.

Suara Politik
Belantan

Khalid Samad kena ludah?



Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad hari ini disembur dengan air, diludah dan ditampar beberapa kali oleh seorang lelaki ketika sedang melalui tangga utama Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta di sini.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu turut dilemparkan kata-kata kesat oleh beberapa lagi individu yang datang bersama-sama lelaki tidak dikenali itu yang dikatakan telah menunggu Khalid di lobi beberapa minit sebelum kejadian.

Kumpulan tersebut terus mengekori Khalid hingga ke tempat letak kenderaan dan terus meludah beliau walaupun Khalid telah memasuki keretanya.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 1 petang, dua jam selepas Khalid didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan mengeluarkan pernyataan menghasut berkaitan dengan kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan selepas jaminan RM4,000 dibayar oleh rakannya.

Suara Politik
Belantan

Mampukah imej dan maruah Pas dipulihkan?


Hari ini jika diizinkan Allah SWT, segala teka-teki tentang kedudukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar (MB) Selangor akan diketahui.

Pada masa yang sama pemimpin-pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) semakin teruja kerana merasakan Presiden mereka, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang sebelum ini dilihat sekadar 'penghias organisasi' bakal menggantikan Abdul Khalid.

Walaupun dalam hati kecil, mereka memahami Wan Azizah tidak layak untuk menduduki jawatan yang cukup penting di Selangor itu, namun disebabkan atas kehendak Anwar Ibrahim, mereka terpaksa akur.

Tambahan pula, mereka melihat tiada apa-apa lagi halangan untuk Wan Azizah menjadi MB Selangor memandangkan beliau mendakwa disokong oleh 30 ADUN melalui satu akuan bersumpah.

Tetapi mereka tidak harus lupa, pakatan pembangkang yang turut disertai oleh Pas dan DAP hanya berhak mencalonkan nama sahaja, kata putus terletak di bawah budi bicara Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Baginda mempunyai kuasa mengikut undang-undang tubuh negeri sama ada hendak memperkenan atau tidak pencalonan yang dibuat oleh parti-parti yang terlibat.

Namun, walau siapa pun yang menjadi MB Selangor ia tetap tidak mampu memadam maruah Pas yang tercalar sepanjang kemelut itu berlaku.

Walaupun Pas cuba menunjukkan mereka mempunyai sedikit kebebasan dengan turut mencalonkan Azmin Ali tetapi kepimpinan parti itu mempunyai tanggungjawab berat bagi memulihkan parti itu yang kini cukup popular dengan gelaran 'PPU' -Parti Pusingan U.


Sekali lagi perlu ditegaskan ia bukanlah salah kelompok ulama yang berada dalam parti tersebut tetapi ia akibat keghairahan segelintir kelompok bukan ulama yang terlalu 'berkiblatkan' kepada Anwar, PKR dan DAP.

Kelompok ini semakin menampakkan wajah sebenar mereka dan ia seolah-olah 'menjelma' sepanjang krisis di Selangor berlaku.

Menyedari bahaya inilah Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nasrudin Hassan secara terbuka menegur segelintir pemimpin yang hanya berselindung di sebalik perjuangan Pas namun sebenarnya tidak setia dan menyokong kumpulan lain.

Tegas Nasrudin, perjuangan sebenar memerlukan istiqamah, iaitu aktif dan komited berdasarkan kasih sayang kepada jemaah bukannya secara bermuka-muka atau melibatkan diri dalam jemaah tetapi hati bersama kumpulan lain.

Persoalannya mampukah kepimpinan Pas menyingkirkan kelompok seperti itu yang dianggap hanya memakai kopiah dan menyarung baju Pas tetapi hati lebih PKR daripada PKR dan lebih DAP daripada DAP?

Perlu diingat kelompok ini sudah lama bertapak dalam Pas dan mereka hanya menunggu masa sahaja untuk menguasai Pas seterusnya memastikan Pas benar-benar berada di bawah telunjuk PKR dan DAP.

Seorang penulis blog pro-Pas secara terus-terang mencoretkan bahaya yang sedang menanti Pas jika gelombang pemimpin seumpama itu tidak disekat.

"...(mereka) sudah mula merangka untuk merampas kedudukan yang lebih penting iaitu Presiden. Manakala peranan Mursyidul Am Pas pula akan dikecil dan dikurangkan. Malah sudah ada perancangan untuk menjadikan Mursyidul Am hanyalah sebagai simbol semata-mata tanpa sebarang peranan mahupun kuasa berbanding sekarang."


Berdasarkan maklumat yang diterima oleh penulis melalui rakan-rakan dalam Pas, mereka mengakui perancangan itu sememangnya boleh berlaku jika ahli-ahli Pas terus leka dan tidak menyedari ancaman tersebut.

"Masalahnya, kepimpinan dan ahli Pas terlalu ingin berpegang kepada tahaluf siyasi. Pegangan inilah yang mewujudkan keberanian kepada segelintir pemimpin Pas yang 'berkiblatkan' kepada PKR dan DAP untuk menjayakan agenda mereka.

"Kalaupun hendak berkawan dengan kedua-dua parti itu, janganlah sampai maruah Pas tergadai dan inilah yang terjadi sekarang apabila Pas tidak konsisten dalam menolak Wan Azizah sebagai MB Selangor secara total," kata seorang pemimpin Pas ketika dihubungi.

Di peringkat akar umbi Pas, mereka tertanya-tanya kenapa kepimpinan Pas seolah-olah terlalu tunduk kepada kehendak PKR dan DAP melalui bantuan segelintir pemimpin Pas sendiri.

Hujah kononnya pendirian Pas dalam isu MB Selangor menunjukkan parti tersebut tidak mahu mengkhianati sekutunya hanyalah alasan dangkal kerana menegakkan pendirian dan prinsip sendiri, bukanlah satu pengkhianatan sebaliknya demi mempertahankan maruah sendiri.

Sudah ada andaian Pas kini hanya dilihat pelayan yang memberi khidmat kepada PKR dan DAP. Mereka berada di bawah telunjuk kedua-dua parti itu dan dalam jangka panjang akan berada dalam pelukan kekuasaan PKR dan DAP.

"Ada yang berkata, kita tidak boleh terlalu prejudis dengan PKR dan DAP, bahkan kita mesti menerima mereka dengan sepenuh hati kerana mereka telah membantu Pas.

"Itu mimpi yang seringkali dimomok-momokkan oleh para pemimpin PKR dan DAP memandangkan hakikat sebenar adalah sebaliknya.


"Tidak ada cara bagi kita jikalau mahu menguatkan jemaah ini, melainkan menghapuskan terus golongan pengkhianat dan bermuka-muka. Kita sudah biasa kalah dan tidak mengapa untuk kita kalah lagi. Sebaliknya kita sudah biasa menang mempertahankan pendirian dan maruah kita. Justeru, mengapa kita harus biarkan pencabulan maruah dilakukan oleh golongan pengkhianat tersebut.

"Mereka tidak seharusnya dibiarkan berada di dalam jemaah ini. Walaupun mereka mungkin memegang beberapa kerusi DUN dan Parlimen, kewujudan dan kemenangan mereka sebenarnya tidak mendatangkan sebarang erti kepada Pas. Apa guna kita menang angka dan jumlah kalau kita sebenarnya ditarik hidung dan dipaksa menyembah pihak lain."

Kenyataan itu sememangnya tepat kerana berbanding PKR dan DAP, Pas jauh lebih berwibawa mempunyai ramai ahli dan mencatatkan rekod cemerlang dalam arena politik tanah air.

Tetapi jumlah yang ramai itu sekarang sekadar menjadi 'hamba politik' kepada PKR dan DAP manakala rekod cemerlang pula semakin tercalar akibat politik 'pak turut' yang diamalkan oleh Pas.

Kepimpinan Pas mempunyai tanggungjawab berat untuk memulihkan maruah parti tersebut yang tercalar namun janganlah menaruh harapan tinggi kerana sudah terbukti sebelum ini, ketegasan dan keberanian Pas akan tersimpan rapi di dalam jubah dan kopiah apabila berhadapan dengan PKR dan DAP.

Oleh : Zulkiflee Bakar

Suara Politik
Belantan

Isnin, Ogos 25, 2014

Pas Selangor cuba mengelak lagi, nafi kenyataan Khalid Samad cabar kuasa Sultan lantik MB Selangor?



PAS Selangor dan PAS Pusat hari ini sepakat menjauhi kenyataan Khalid Samad kelmarin yang berpandangan Sultan Selangor tidak sepatutnya diberi kuasa mutlak melantik menteri besar.

"Ia bukan menggambarkan pendirian PAS," kata mereka, sebaliknya berkata ia adalah pandangan peribadi ahli Parlimen Shah Alam itu.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan Ketua Penerangan PAS Selangor Zaidy Abdul Talib berkata kenyataan Khalid tidak mewakili pandangan rasmi parti.

"Pendirian PAS seperti yang terkandung dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor, di mana Tuanku merupakan kata pemutus dalam pelantikan menteri besar,"kata Mustafa sebagaimana dilaporkan Haramkahdaily hari ini.

Khalid sebelum ini dilihat cuba meletakkan kritikan jahat itu dibahu pengguna media sosial. Katanya, komuniti netizen mula membangkitkan perkara itu ekoran krisis menteri besar di Selangor selepas PAS menyerahkan dua nama kepada Pakatan Rakyat (PR) untuk dipersembahkan kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"Kita tidak sepatutnya memberikan kuasa mutlak kepada Sultan untuk menentukan menteri besar, kerana ini sistem raja berperlembagaan," katanya ketika ditanya mengapa PR tidak menyerahkan dua nama calon menteri besar kepada sultan.

Khalid Samad juga cuba mengaitkan nama Tun Mahathir dalam isu ini. "Pengguna Internet, ahli akademik dan Tun Dr Mahathir Mohamad yang kata seperti ini," dakwa Khalid pada sidang media di pejabatnya di Shah Alam.

Pakatan memutuskan menghantar nama Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, sedangkan sebelum itu PAS mencalonkan dua nama iaitu Dr Wan Azizah dan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

Pakatan kemudiannya sepakat menghantar hanya nama Dr Wan Azizah selepas Azmin memutuskan menarik diri demi memberi keutamaan kepada keputusan parti.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu berkata, meskipun mereka menghantar lebih daripada satu nama kepada sultan, pemerintah itu tetap hanya akan memilih satu nama.

Apakah rakyat Shah Alam dan Selangor menyokong desakan Khalid Samad ini! Sampai bila Khalid mahu bersikap biadap dengan Tuanku Sultan Selangor. Jika sebelum ini beliau mempertikaikan kuasa Sultan terhadap Majlis Agama Islam Selangor sehingga membuatkan baginda Sultan murka, kini mempertikaikan kuasa Sultan melantik MB pula!

Sama-samalah kita tunggu dan lihat apa yang akan berlaku selepas ini. Wallahuallam.

Suara Politik
Belantan

Hadi nafi istana campur tangan?


Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menafikan sebarang campur tangan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sehingga mendorong parti itu turut menamakan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu.

Setiausaha Politiknya, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Sultan Sharafuddin tidak mengeluarkan sebarang titah kepada Abdul Hadi berhubung kemelut kedudukan Menteri Besar Selangor ketika baginda menerima menghadap Presiden Pas itu.

Menurut Ahmad Samsuri, kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kaiat sebelum ini adalah tidak tepat dan mengelirukan sehingga menimbulkan pelbagai tanggapan.

"Pihak Pejabat Presiden Pas ingin membetulkan maklumat yang telah ditulis secara tidak tepat oleh Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kaiat seolah-olah wujud titah arahan tertentu Tuanku Sultan mengenai isu Menteri Besar kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Maklumat yang tidak tepat ini pula telah dipetik oleh media sosial dan arus perdana beberapa hari lalu dan telah mengundang kekeliruan," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Suhaizan sebelum ini dilaporkan berkata, Pas menamakan Azmin sebagai salah satu calon untuk jawatan Menteri Besar Selangor selain Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Ismail selepas Abdul Hadi menghadap Sultan Selangor.

Ketua Pemuda Pas itu berkata demikian dalam satu kenyataan akhbar bagi mempertahankan langkah partinya yang membuat pusingan U dalam isu Menteri Besar Selangor.

Menurut Ahmad Samsuri, Abdul Hadi telah memohon menghadap pada hari raya keempat sempena Aidilfitri dan tidak ada sebarang titah arahan daripada baginda mengenai isu berkenaan.

Suara Politik
Belantan

Ahad, Ogos 24, 2014

Hadi akui ahli Pas ada masalah 'mental'?


Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengakui parti itu kini berhadapan dengan masalah sikap dalam kalangan mereka yang tidak beradab dalam ‘berjemaah’.

Menurut Abdul Hadi, mereka itu bukan sahaja lantang kerana cuba bertindak mendahului pemimpin tetapi juga mahu agar pemimpin mengikut apa-apa langkah yang mereka mahukan.

Abdul Hadi membayangkan gambaran itu melalui kenyataan berkias dalam sedutan video yang dimuat naik dalam Facebook rasminya petang ini.

“Kalau sembahyang berjemaah, ada adab sembahyang berjemaah. Antaranya imam boleh baca kuat, makmum tak boleh baca kuat. Kalau kata ‘amin’ tak apalah. Ini (baca) Fatihah sama kuat dengan tok imam juga.

“Kemudiannya, rukuk dan sujud tak boleh dahului imam. (Mereka) ini pintas rukuk dan sujud dulu (daripada imam). Ini yang berlaku.


“Jadi kita kena ada adab-adab berjemaah. Kadang-kadang (apabila) berasa lambat sudah, nak suruh beri salam deras (segera), suruh tok imam beri salam deras, ini masalah yang kita hadapi,’’ katanya.

Kenyataan beliau difahamkan merujuk kepada kemelut politik yang berlaku di Selangor apabila pendirian beliau dan Majlis Syura Ulama disanggah oleh beberapa pemimpin pro Anwar Ibrahim (Anwarinas) berhubung kedudukan menteri besar.

Sebelum ini, dua Ahli Dewan Undangan Negeri Pas di Selangor memutuskan menyatakan pendirian mereka menyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Ismail walaupun pucuk pimpinan tertinggi Pas belum membuat keputusan mengenai perkara tersebut.

Langkah yang mereka ambil dengan kesediaan untuk dipecat daripada parti dibuat sebelum Jawatankuasa Pas Pusat bermesyuarat dan memutuskan pendirian rasmi pada 17 Ogos lalu.

Bagaimanapun, Pas akhirnya turut menamakan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali bersama Azizah sebagai calon dan pakatan pembangkang kemudiannya memutuskan nama Wan Azizah sebagai calon tunggal.

Ekoran itu, Pas Terengganu mengingatkan pergolakan politik di Selangor perlu dijadikan pengajaran besar kepada Pas untuk ‘menapis’ barisan kepimpinan sebelum diberi kepercayaan agar mereka memikul agenda parti dengan sentiasa taat dan setia kepada presiden dalam apa jua keadaan.

Pesuruhjaya Pas negeri, Satiful Bahri Mamat menegaskan, mereka tersasar daripada ‘akhlak berjemaah’ tidak perlu dan tidak layak diberi amanah dengan dilantik menjadi pemimpin kepada ‘Harakah Islamiyah’ pada masa akan datang.

Suara Politik
Belantan

#MH17 : 3 jenazah selamat tiba.


Pesawat komersial MH19 yang membawa tiga jenazah mangsa nahas MH17 selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) dari Schiphol, Amsterdam, jam 6.53 pagi tadi.

Kumpulan kedua jenazah itu adalah terdiri daripada penyelia penerbangan kabin MH17, Mohd Ghafar Abu Bakar dan pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Ng Shi Ing manakala identiti jenazah ketiga tidak didedahkan atas permintaan ahli keluarga.

Difahamkan ketiga-tiga jenazah diletakkan di dalam keranda dan dua kandi yang berisi abu mayat.

Upacara Istiadat Penghormatan Jenazah bermula pada jam 8.30 pagi tadi, dengan tempoh bertafakur selama seminit diumumkan serentak di seluruh negara tepat jam 8.41 pagi

Difahamkan, jenazah Allahyarham Mohd Ghafar akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Kosas, Ampang, Selangor manakala abu mayat mendiang Ng akan dibawa ke Xiao En Bereavement Care Sdn Bhd, di Cheras, Kuala Lumpur.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman hadir menyambut ketibaan jenazah berkenaan. Turut hadir beberapa menteri Kabinet dan dif-dif kehormat serta keluarga mangsa.-BH

Suara Politik
Belantan

Sabtu, Ogos 23, 2014

Kesal memfitnah, Nurul Izzah mohon maaf kepada Raja Nong Chik?

Nurul Izzah menangis sewaktu membuat kenyataan memohon maaf kepada Raja Nong Chik

Kes saman bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin terhadap Nurul Izzah Anwar dan dua yang lain, selesai selepas Ahli Parlimen Lembah Pantai itu mengemukakan kenyataan maaf secara terbuka di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Saman itu berhubung kenyataan fitnah yang didakwa dikeluarkan Nurul Izzah berhubung pembelian tanah di Bukit Kiara.

"Saya kesal dengan kenyataan itu dan berjanji untuk tidak akan mengulangi kenyataan tersebut atau apa-apa kenyataan berkaitan dengan penerbitan kenyataan saya itu," katanya ketika membacakan kenyataan maaf itu.

Nurul Izzah berkata, terdapat kesilapan di dalam kenyataan media yang dibuat olehnya pada petang 4 Mei tahun lalu, sehari sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang telah menjejaskan nama baik dan reputasi Raja Nong Chik sebagai seorang ahli politik, akauntan bertauliah, ahli perniagaan, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar ketika itu, serta ahli keluarganya.

Terdahulu, peguam M. Reza Hassan yang mewakili Raja Nong Chik berkata, kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan berdasarkan terma penyelesaian yang dipersetujui, dan defendan pertama (Nurul Izzah) akan membacakan kenyataan maaf beliau di mahkamah terbuka. - BERNAMA

Peguam Edmund Bon mewakili Nurul Izzah dan peguam A. Lourdes Abishegam yang mewakili Mkini Dotcom Sdn. Bhd., pemilik portal berita Malaysiakini serta wartawan Malaysiakini, Lu Wei Hoong juga mengesahkan penyelesaian kes itu.


M. Reza turut memaklumkan mahkamah bahawa anak guamnya akan menarik balik saman terhadap wartawan Malaysiakini berikutan defendan kedua (Mkini Dotcom) akan menyiarkan kenyataan Nurul Izzah itu di laman sesawang Malaysiakini dalam tempoh tujuh hari.

Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamed merekodkan penghakiman persetujuan tanpa sebarang perintah kos dan memerintahkan defendan kedua menyiarkan kenyataan maaf itu.

Sebelum prosiding itu berakhir, Hakim Nik Hasmat mengucapkan tahniah kepada pihak berkenaan yang menyelesaikan kes berkenaan secara baik.

Pada 17 Julai tahun lalu, Raja Nong Chik memfailkan saman terhadap Nurul Izzah serta dua lagi kerana mendakwa Nurul Izzah mengeluarkan kenyataan fitnah dan palsu berhubung pembelian tanah dalam sidang akhbar di Bangunan Bakti, Taman Tun Dr. Ismail di sini, iaitu sehari sebelum PRU-13.

Dalam pernyataan tuntutannya, Raja Nong Chik mendakwa kenyataan Nurul Izzah diterbitkan dalam laman sesawang Malaysiakini pada hari sama iaitu 4 Mei tahun lalu.

Beliau mendakwa, penerbitan kenyataan itu menyebabkan reputasi dan maruahnya sebagai ahli politik, bekas menteri dan senator yang dihormati di negara ini telah terjejas teruk.

Sementara itu, di luar mahkamah, Raja Nong Chik memaklumkan pemberita bahawa beliau bersyukur kerana akhirnya kes berkenaan dapat diselesaikan.

"Alhamdulillah, setelah hampir setahun kes ini dapat diselesaikan dan sempena bulan yang baik ini (bulan Syawal), saya mengambil keputusan untuk tidak meneruskan kes dan meminta pampasan.

"Saya juga berpendapat kita harus bersatu kerana negara kita kini dalam suasana berkabung sempena memperingati tragedi MH17," katanya.

Suara Politik
Belantan

Sama-sama berdoa, mengenang mangsa #MH17.


Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru seluruh rakyat Malaysia agar bersatu dalam menghadapi suasana sedih pada Hari Perkabungan Negara bagi memperingati tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lalu.

Perdana Menteri turut meminta rakyat supaya sama-sama mendoakan dan mengenang mangsa-mangsa tragedi tersebut.

"Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya bersatu dalam menghadapi saat-saat memilukan ini dan sama-sama berdoa.

"Tiada kata-kata yang mampu menggambarkan kesedihan yang dirasai ketika melihat jenazah dibawa pulang, doa dan harapan saya mengiringi mangsa dan keluarga MH17," katanya menerusi akaun Twitter beliau hari ini.

Sementara itu, Najib dalam laman Facebooknya berkata, seluruh rakyat Malaysia turut bersimpati dan sama-sama berdoa dengan waris serta kenalan mangsa-mangsa tragedi pesawat MH17.

Menurut beliau, seluruh negara berkabung di atas pemergian mereka dan jenazah mangsa tragedi itu mula dibawa pulang ke tanah air hari ini.

"Bulan lalu, sebanyak 43 rakyat Malaysia terkorban di timur Ukraine. Hari ini, kita berkabung di atas pemergian mereka. Hari ini, kita membawa mereka pulang.

"Simpati dan doa kita kepada para waris dan kenalan semua mangsa. Hari ini, kami semua bersama anda," katanya.

Najib menghadiri Istiadat Penghormatan Jenazah Tragedi Pesawat MH17 di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Pesawat khas yang membawa 20 jenazah rakyat Malaysia itu mendarat di KLIA pada pukul 9.54 pagi sebelum dihantar ke lokasi yang ditetapkan keluarga masing-masing untuk dikebumikan atau disemadikan.

Suara politik
Belantan

Jumaat, Ogos 22, 2014

Jenazah mangsa MH17 disambut dengan istiadat penuh ketenteraan, seluruh negara berkabung!

Ketibaan pesawat yang membawa jenazah 20 warga Malaysia selamat mendarat di KLIA

Pesawat khas Malaysia Airlines yang membawa jenazah 20 warga Malaysia mangsa nahas pesawat Penerbangan MH17 tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 10 pagi tadi.


Keranda jenazah mangsa tragedi sedang diturunkan dari pesawat khas dan diusung oleh pasukan tentera

Kesemua jenazah itu telah disambut dengan satu istiadat penuh ketenteraan sebagai tanda penghormatan.

Yang Di Pertua Agong bersama-sama Perdana Menteri dan menteri Kabinet turut sama bertafakur bagi memberi penghormatan terakhir kepada mangsa tragedi pesawat #MH17.



Datuk Seri Hishammuddin Hussein memeluk ahli keluarga mangsa tragedi

Kakitangan Penerbangan Malaysia (MAS) termasuk kru teknikal, pramugari dan pramugara berkumpul di hadapan Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, hari ini untuk menzahirkan rasa simpati pada majlis penghormatan jenazah



Detik rakyat bertafakur seketika diseluruh negara



Konvoi kenderaan jenazah yang membawa mangsa tragedi MH17 dibawa keluar selepas upacara penghormatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, hari ini.

Di bawah adalah maklumat pergerakan jenazah mangsa nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17:

1. Mastura binti Mustafa:
Laluan: KLIA-LRUS-Tol Senawang-Jln Seremban-Kuala Pilah-Masjid Taqwa, Paroi-Tanah Perkuburan Paroi.

2. Ahmad Hakimi Hanapi:
Laluan: KLIA-L/raya Elite-L/raya Putrajaya-Lebuh Persiaran Perdana-Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin-Lebuh Precint 20

3. Hamfazlin Sham Mohamed Arifin:
Laluan: KLIA- L/raya Elite-L/raya Max-Susur Bukit Jalil-L/raya MRR2-Wangsa Maju (Rumah Jenazah)-Tanah Perkuburan Gombak

4. Nur Shazana Mohamed Salleh:
Laluan: KLIA-L/raya Elite-L/raya Putrajaya-L/raya Persiaran Perdana-Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin - Lebuh Precint 20

5. Dora Shahila Kassim:
(akan diberitahu kemudian oleh PDRM)-Tanah Perkuburan Bukit Kiara, Damansara

6. Foo Ming Lee:
Laluan: KLIA- L/rata Elite-L/raya Max- Jalan Kuchai Lama-Nirvana Sg Besi

7. Karamjit Singh Karnail Singh:
Laluan: KLIA-L/raya Elite-L/raya KESAS-Susur Seksyen 20-Nirvana Shah Alam

8. Ng Qing Zheng:
Laluan: KLIA-L/raya Elite-L/raya Max-Jalan Kuchai Lama-Nirvana Sg Besi

9. Mabel Anthony Samy:
Laluan: KLIA-L/raya Elite-L/raya Max-Jalan Kuchai Lama-Nirvana Sg Besi

10. Paul Rajasingam Sivagnanam:
Laluan: KLIA-L/raya Elite-L/raya Max-Jalan Kuchai Lama-Nirvana Sg Besi

11. Elisabeth Ng Lye Ti:
Laluan: KLIA-L/raya Elite-L/raya Max-Susur Bukit Jalil-L/raya MRR2-Bulatan Kuari-Xiao En Bereavement

12. Lee Hui Pin:
Laluan:KLIA- L/raya Elite- L/raya Kesas-Susur USJ-Rumah Mangsa

13. Angeline Premila Rajandaran:
Laluan:KLIA- L/raya Elite-L/raya Kesas-Susur Banting/Klang-Jln Ampuan Rahimah -Rumah mangsa

14. Ariza Binti Ghazalee:
Laluan: KLIA-TUDM Kuching-Jalan Lapangan Terbang-Jalan Tun Jugah-Jalan Tun Razak-Jalan Marikan Salleh-Jalan Tun Sallehudin-Bulatan Bersik-Bulatan Mahkamah-Bulatan Sesco-Jalan Sarawak Golf Club-Jalan Masjid Negeri-Bulatan Semariang-Jalan Sultan Tengah (Tanah perkuburan)

15. Muhammad Afif Bin Tambi:
Laluan: KLIA-TUDM Kuching-Jalan Lapangan Terbang-Jalan Tun Jugah-Jalan Tun Razak-Jalan Marikan Salleh-Jalan Tun Sallehudin-Bulatan Bersik-Bulatan Mahkamah-Bulatan Sesco-Jalan Sarawak Golf Club-Jalan Masjid Negeri-Bulatan Semariang-Jalan Sultan Tengah (Tanah perkuburan)

16. Rahimmah Noor:
Laluan: KLIA-LTAS Ipoh (Charlie C130) LTAS-Jalan Persiaran Azlan Shah-Jalan Azlan Shah-Jejantas Jalan Gopeng-Jejantas Pantai Puteri-Jalan Tambun-Jalan Tambun Ampang-Tanah Perkuburan Kg Masjid Lama Tambun, Ipoh.

17. Chong Yee Pheng:
KLIA-LTAS Ipoh -Jalan Persiaran Azlan Shah-Rumah

18. Azrina Binti Yakob:
Laluan: KLIA -LTAS Ipoh (c)-LTAS-LP Tekah, Taiping, Jalan Tekah-Masjid Al Hidayah Assam Kumbang-Tanah Perkuburan Masjid Al-Hidayah, Jalan Muzaffar Shah, Assam Kumbang, Taiping.

19. Mohd Ali Md Salim:
Laluan: KLIA-IKBN Pagoh (LP-Helikopter)-IKBN-Jalan Pagoh-Pekan Pagoh-Jalan Sengkang-Jalan Kg Raja (Tanah Perkuburan)

20. Hasni Hardi Bin Parlan:
Laluan: KLIA-LP Padangan B Sek.Tinggi Segamat (Helikopter)-Masjid Jamek Segamat-KM185-198 Jalan Johor Bahru-Seremban-Tanah Perkuburan Islam Batu 8, Kg paya Luas, 85100 Batu Anam, Segamat Johor.

10 lagi jenazah warga negara Malaysia yang sudah dikenal pasti tetapi masih berada di Amsterdam kerana perlu melalui proses tertentu dan akan diusahakan untuk dibawa pulang secara berperingkat-peringkat bermula hari Ahad ini.

Lebih 1,000 orang menunaikan solat jenazah bagi dua anak kapal MH17, Allahyarham Ahmad Hakimi Hanapi serta Allahyarhamah Nur Shazana Mohamed Salleh di Masjid Putra di Putrajaya, sebentar tadi.

Jenazah Allahyarham Hasni Hardi Parlan selamat tiba di Padang B berhampiran Sekolah Tinggi Segamat, hari ini.

Jenazah Ariza Ghazalee & anak lelaki, Muhammad Afif Tambi dlm perjalanan pulang ke Sarawak


Isteri Allahyarham Ahmad Hakimi, Sharifah Asma'a Syed Alwi Al Junied kelihatan bersama - sama anakanda beliau. Semoga beliau tabah dan sabar menghadapi dugaan ini.

Isteri kepada pembantu juruterbang, Allahyarham Ahmad Hakimi menyiram air ke atas pusara suami tercinta sambil mendukung satu-satunya putera mereka, Abderrahman.


Jenazah Mohd. Ali Mohd Salim diusung ke dalam masjid IKBN Pagoh, Johor untuk disembahyangkan

Adik ni merayu kepada semua yang ada dia nak tengok muka mama dia walaupun sedikit, nak peluk dan nak minta maaf sempena Hari Raya, tapi keranda tak boleh dibuka. Sungguh sebak hati ini mendengarnya. Ya Allah, Kau berilah ketabahan kepada anak ini dan Kau ampunilah segala dosa ibunya serta tempatkan lah dia di dalam jannah-Mu.



#MH17 dalam ingatan...Salam takziah dan Al-Fatihah...

Suara Politik
Belantan