Rabu, Julai 31, 2013

Kefahaman agama mensejahterakan negara!


Polemik berhubung pengenalan kursus Tamadun Islam Tamadun Asia (TITAS) pada peringkat pengajian tinggi di negara ini tidak sepatutnya berlaku.

Kepentingan peranan agama dalam proses pembangunan sudah lama disepakati. Namun, realitinya tidak sedemikian. Jelas, polemik ini mengesahkan iaitu masih ada segelintir anggota masyarakat yang masih dalam keadaan keliru berhubung persoalan hubungan agama dan negara sehingga terus mempertikaikan sebarang langkah dan usaha ke arah pengukuhan peranannya dalam proses pembangunan negara kita.

Kelompok masyarakat yang mengkritik pelaksanaan pengajaran TITAS ini boleh dianggap sebagai saki baki kumpulan yang masih belum mampu meninggalkan kesan penjajahan pemikiran dan budaya yang terjadi di negara ini oleh kuasa Eropah beberapa dekad lalu. Memang salah satu daripada warisan penjajahan yang wujud ialah doktrin pemisahan hubungan agama dan negara sebagai satu bentuk pendekatan diyakini penting dalam proses pembangunan sesebuah negara.

Doktrin ini diamalkan oleh kuasa penjajah sepanjang penguasaan mereka di negara ini atas asas pengalaman ketamadunan mereka di Eropah. Sejarah pertembungan agama dan negara dalam ketamadunan Eropah memang dicatat secara meluas dalam teks ilmiah terjadi pada sekitar abad ke-17 dan ke-18. Pertembungan itu membawa masyarakat Eropah ke satu jalan keluar, iaitu perdamaian antara keduanya hanya dapat diwujudkan sekiranya setiap pihak diberikan batasan khusus ruang pengaruh dan pertanggungjawaban. Model ini diguna pakai oleh penjajah di negara ini dalam menjalankan urusan penguasaan mereka.


Kelompok dipengaruhi doktrin ini melihat sebarang bentuk percampuran hubungan dan peranan agama dan negara hendaklah diawasi dan ditegah. Cadangan agar TITAS bukan menjadi subjek wajib adalah antara jelmaan ketidakselesaan mereka atas pembabitan langsung negara dalam urusan membabitkan proses pembentukan nilai dan perspektif agama warganya.

Sekiranya ditinjau, sikap penentangan itu bukan hanya terjadi dalam konteks TITAS saja. Sebelum ini, sudah berlaku beberapa pertembungan yang hampir sama dalam beberapa isu membabitkan soal penerapan nilai agama dalam kehidupan negara seperti dalam aspek perundangan seperti isu pengawalan moral dan cadangan pelaksanaan hukum jenayah syariah di negara ini.

Bagi kelompok yang menganut doktrin pemisahan hubungan dan negara, langkah dan cadangan ini adalah satu bentuk usaha halus negara bagi melaksanakan proses Islamisasi dalam urusan kehidupan kenegaraan secara beransur-ansur. Oleh itu, ia harus diawasi dan ditegah bagi memastikan identiti negara ini kekal mewarisi pemikiran dan kebudayaan ditinggalkan penjajah lalu terutama dalam hal-ehwal urus tadbir negara. Bagi pelopor pemikiran kesatuan agama dan negara, doktrin pemisahan yang dianuti sekelompok masyarakat negara kita sebagai tergambar dalam polemik TITAS harus menjadi ingatan bahawa cabaran mereka dalam usaha mengukuhkan peranan agama dalam kehidupan bernegara masih besar.

Dalam erti kata lain, masih ramai berasa kurang selesa dengan pelbagai acara penerapan nilai agama daripada kalangan masyarakat kita. Tentu ketidakselesaan dan ketidakpuasan hati ditunjukkan itu berpunca daripada kejahilan terhadap hakikat keluhuran agama yang penting dalam memenuhi maksud pembangunan bersifat menyeluruh dan sempurna. Kelompok ini nampaknya gagal memahami dan menghayati, iaitu kedudukan istimewa agama dan peranannya dalam pembangunan warga dan negara pada perspektif masyarakat Muslim.


Nilai ajaran agama yang luhur dan sejagat berfungsi sebagai idea pendorong dalam membentuk masyarakat dan generasi yang progresif dan inovatif. Apabila penentangan berlaku terhadap pelbagai usaha penerapan nilai agama oleh negara, ia menunjukkan kefahaman agama kelompok ini masih berada pada tahap rendah terhadap hakikat agama Islam. Konsep Islam sebagai sebuah tatacara dan sistem nilai bersepadu masih tidak dapat dihayati.

Mereka seumpama masih berada dalam tahap lama menanggapi Islam sebagai satu kegiatan ritual rohani yang tiada berkaitan dengan urusan kehidupan lahiriah yang kompleks kini. Pada mereka, penerapan nilai dan kefahaman agama boleh mengancam dan merencatkan agenda pembangunan sesebuah negara yang menuntut fakta dan penelitian objektif.

Kelemahan berfikir mengenai peranan agama oleh sesetengah kelompok masyarakat ini mendukacitakan. Penentangan terhadap TITAS sebenarnya memberi justifikasi yang lebih kuat agar subjek itu terus diperkukuhkan dalam sistem pendidikan tinggi negara. Kejahilan yang ditunjukkan kelompok ini terhadap peranan kefahaman agama dan peradabannya menggambarkan pengenalan TITAS amat penting dipertahankan. Seharusnya, mereka mencadangkan langkah bagi mengatasi kelemahan yang barangkali wujud dalam pelaksanaan kursus ini dan bukan melemahkannya.

Dalam konteks ini, Kementerian Pengajian Tinggi tidak harus tunduk dengan desakan kelompok ini kerana ia adalah langkah ke belakang. Pendedahan mengenai hakikat keunikan peradaban Islam dan peradaban Asia lain akan mengayakan pengalaman dan mendekatkan persefahaman generasi muda negara. Ia juga akan mengukuhkan penghargaan mereka terhadap peranan agama sebagai wahana yang mensejahterakan negara dan bukan sebaliknya.

Suara Politik
Belantan

Selasa, Julai 30, 2013

Tuduhan untuk menghakis jasa UMNO!

Timbalan Presiden MCA, Liow Tiong Lai (tiga kanan) mendengar taklimat berhubung masalah pengambilan sebahagian tanah SJKC Chin Woo, Kuala Lumpur baru-baru ini. Lazimnya masalah SJKC di seluruh negara mampu diselesaikan dengan kerjasama UMNO/BN.


"Bagi saya yang bukan ahli MCA, PRU-13 saya undi parti pembangkang tetapi saya juga tidak mahu MCA terumbang-ambing kerana pakatan pembangkang masih belum mainstream (terutama sekali PKR) untuk pastikan UMNO tidak monopoli.

"MCA sendiri mahu jaga kepentingan parti dan kepentingan pertubuhan dalam parti, sebab itu perlu patuh dan tunduk mengikut telunjuk UMNO. Jika mahu pertahankan kepentingan orang Cina, terpaksa menentang UMNO umpama durian dengan timun.

"Tetapi, jika MCA masih lagi bersikap konservatif di takuk lama, mengikut telunjuk dan duduk di bawah naungan orang lain untuk mendapat kepentingan yang sedikit, menggadaikan maruah bangsa sendiri, beranikah MCA impikan masyarakat Cina akan kembali kepada mereka? Jika begitu, kita sudah boleh jangka keputusan PRU-14 nanti!''

Apakah perasaan pemimpin UMNO, ahli UMNO dan orang Melayu apabila membaca petikan ini yang disiarkan oleh Utusan Malaysia dalam ruangan Isu-isu akhbar Cina pada 25 Julai lalu. Baca di sini,

Tulisan Tai Boo Kui yang disiarkan oleh akhbar Sinchew Daily bertarikh 23 Julai 2013 itu jelas membuktikan sikap sebenar majoriti masyarakat Cina mengenai kedudukan MCA dalam Barisan Nasional (BN) dan persepsi mereka terhadap UMNO.

Kenyataan seumpama ini seharusnya menjadi cabaran kepada UMNO dan orang Melayu untuk menyedari agenda sesetengah kaum Cina untuk terus menghasut supaya kesepakatan dalam BN diranapkan. Penulis berkenaan sudah pasti antara mereka yang merasai nikmat daripada hasil kerjasama MCA dalam BN yang bermula dengan Parti Perikatan selepas merdeka.


Tetapi seperti diduga jasa-jasa BN dalam memperjuangkan nasib semua kaum semakin mahu dilupakan, malahan keikhlasan UMNO yang menjadi tonggak pemerintahan negara sehingga memungkinkan Malaysia mencapai tahap sekarang dan membolehkan kaum Cina turut menikmati kemakmuran khususnya menguasai bidang ekonomi mahu dilenyapkan.

Adalah jelas melalui penulisan itu, ada desakan supaya MCA tidak terus tunduk kepada UMNO, biar pun hakikatnya ia hanya dakwaan semata-mata. Bagi puak seumpama ini, MCA harus menjadi 'taiko' seperti parti cauvinis DAP dalam pakatan pembangkang.

Mereka mahu MCA bersikap seperti DAP iaitu memastikan parti-parti yang dipimpin oleh orang Melayu khususnya Pas tidak boleh bersuara banyak sebaliknya mengikut sahaja apa kehendak DAP.

Mereka mahu melihat MCA berpolitik seperti DAP yang sentiasa bersedia melakukan apa sahaja asalkan kaum Cina menyokong mereka dan mereka juga mahu MCA bersikap cauvinis seperti DAP untuk memainkan isu-isu yang menyentuh soal perkauman.

Selain itu bagi mereka juga, kepentingan dan hak orang Cina hanya boleh diperjuangkan dan ditegakkan jika MCA menjadi 'taiko' dalam BN dan bukannya membiarkan UMNO menjadi tonggak utama.

Bagi mereka, apa yang dicapai oleh DAP adalah satu kecemerlangan kerana berjaya mempedaya pemimpin-pemimpin Melayu untuk memastikan parti itu dominan dalam pakatan pembangkang, apabila memperolehi kerusi terbanyak dalam pilihan raya umum lalu.


Persoalannya, apakah sentimen seumpama ini wajar disebarkan? Wajarkah perpaduan dalam BN mahu diporak-perandakan semata-mata kerana ada puak merasakan sekarang adalah masa untuk kaum Cina menguasai politik selepas bidang ekonomi berada di bawah takluk mereka.

Sepatutnya, penulis berkenaan berfikiran lebih matang dengan mengkaji satu persatu bagaimana nasib kaum Cina sepanjang berada di bawah pemerintahan BN. Biar pun MCA bukan dominan dalam kerajaan BN namun kepentingan kaum Cina tidak pernah dipinggirkan oleh kerajaan.

Malahan sekolah-sekolah Cina yang menjadi institusi kebanggaan masyarakat Cina terus menerima peruntukan berjuta-juta ringgit setiap tahun, ada kalanya jauh lebih banyak daripada diterima oleh pondok-pondok pengajian Islam, oleh itu apa lagi yang penulis itu mahu?

Mungkin sekali lagi, tulisan ini dianggap rasis tetapi sebelum andaian itu dibuat, apakah penulis rencana berkenaan tidak bersikap rasis apabila menyatakan MCA patuh dan tunduk mengikut telunjuk UMNO sedangkan andaian itu tidak benar sama sekali.

Selama ini konsep perkongsian kuasa di dalam BN berasaskan kepada sefahaman, kesepakatan dan toleransi. Berikutan sikap seumpama itulah rakyat dan negara menikmati kemakmuran. Tetapi malangnya bagi penulis tersebut ia mencukupi.

Adalah diharapkan MCA tidak akan termakan dengan hasutan atau provokasi seumpama ini. MCA tidak boleh bersikap seperti DAP kerana selama ini pun hak-hak kaum Cina yang diperjuangkan oleh MCA tidak dipinggirkan oleh kerajaan.


Kegagalan MCA dalam pilihan raya umum lalu bukan kerana kelemahan sistem perkongsian kuasa dalam BN tetapi disebabkan permainan politik perkauman oleh pakatan pembangkang khususnya DAP yang berjaya meracuni masyarakat Cina supaya tidak menyokong BN.

Sebenarnya yang menggadaikan maruah bangsa sendiri seperti mana dituduh oleh penulis rencana itu bukanlah MCA tetapi puak-puak dalam kalangan masyarakat Cina yang bersedia memainkan isu perkauman demi mencari kuasa politik.

Apa pun, kenyataan seumpama itu harus memberi peringatan kepada pemimpin dan ahli UMNO serta orang Melayu, inilah akibat apabila mereka dilihat semakin lemah akibat percaturan politik sesama sendiri.

Dalam keadaan kita bertolak ansur dan sentiasa bersikap toleransi melalui pendekatan politik yang diamalkan oleh BN rupa-rupanya ada pihak yang mahu bertindak sebagai penghasut bagi mencetuskan perasaan tidak puas hati dalam kalangan komponen BN.

Justeru, UMNO perlu memperkukuhkan lagi kedudukannya dalam persada politik tanah air. Persetankan dengan hasutan-hasutan yang cuba mengganggu gugat hubungan dan kesepakatan dalam BN.

Sebaliknya, UMNO perlu terus istiqamah untuk menjadi payung kepada orang Melayu dan dalam masa yang sama meneruskan dasarnya memastikan kepentingan kaum-kaum lain tidak terjejas.


Sekarang bukanlah lagi masa untuk kita menjaga hati sesiapa, sebaliknya memperkukuhkan kedudukan politik supaya puak-puak yang mahu bertindak sebagai penghasut bagi menghancurkan kerjasama dalam BN ditumbangkan.

Tidak apalah, jika mereka mahu menuduh UMNO menjadi 'taiko' dan parti-parti komponen lain khususnya MCA hanya mengikut telunjuk, itu andaian mereka tetapi yang pastinya UMNO sudah membuktikan bahawa parti itu bukan parti perkauman dan tidak pernah 'membuli' mana-mana ahli-ahli komponen BN.

Sebaliknya apa yang kita saksikan dalam pakatan pembangkang ada yang menjadi 'pak turut' dan ada yang menjadi 'taiko'. Kesudahannya kerjasama mereka tidak akan membawa apa-apa manfaat kepada rakyat dan negara.

Mungkin benar ada kelemahan yang perlu diperbaiki oleh MCA tetapi bukannya dengan bertindak mahu menjadi jaguh kepada kaum Cina secara membuta-tuli.

Ia memandangkan jika seumpama itu jika dilaksanakan, percayalah MCA akan menjadi parti yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran.

Dalam masa yang sama, kita juga percaya ramai yang tidak akan bersetuju dengan pandangan penulis rencana itu yang ternyata cuba memainkan sentimen perkauman semata-mata terlalu taksub mahukan MCA bersikap seperti DAP.

Oleh : Zulkiflee Bakar

Suara Politik
Belantan

Mahfuz Omar nak buat lawak bodoh pulak - Syiah tu kuih buka puasa ka?


Beginilah tahap mentaliti Naib Presiden Pas, Mahfuz Omar yang berkata, beliau tidak tahu-menahu mengenai fahaman Syiah yang bercanggah dengan hukum syarak dan undang-undang Islam.

Dalam maklum balasnya kepada pemberita melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), Ahli Parlimen Pokok Sena itu secara sinis turut melontarkan soalan berhubung apa itu Syiah.

''Syiah itu benda apa? Kuih berbuka puasa? Saya pun tak tahu apa Syiah. Ingat kuih buka puasa. Kawasan saya buat bubur lambuk sahaja,'' katanya ringkas.

Baru-baru ini kerajaan mengisytiharkan Pertubuhan Syiah Malaysia sebagai pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

Tindakan tegas itu adalah rentetan daripada gerakan aktif pertubuhan berkenaan sehingga memudaratkan ketenteraman awam serta mencetuskan keresahan dalam kalangan umat Islam di negara ini yang majoritinya berfahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.


Perisytiharan tersebut dibuat oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berpandukan kepada peruntukan Seksyen 5, Akta Pertubuhan 1966.

Ahmad Zahid turut mengesahkan terdapat beberapa pemimpin dari sebuah parti pembangkang secara aktif terlibat menghebahkan fahaman Syiah di beberapa negeri.

Sabtu lalu, Utusan Malaysia melaporkan dua pemimpin sebuah parti politik dikenal pasti sebagai orang yang bertanggungjawab menyebar dan memberi sokongan politik kepada gerakan fahaman tersebut.

Malah bekas Naib Presiden Pas, Datuk Dr. Hasan Ali menegaskan Pas sukar untuk menafikan bahawa fahaman Syiah tidak wujud di dalam parti itu dan antara puncanya adalah kegagalan pucuk pimpinan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang berita atau aduan mengenai penglibatan pemimpin serta ahlinya di dalam fahaman tersebut.

Beliau berkata, selama ini sudah ada bukti-bukti yang menunjukkan terdapat pemimpin tertinggi Pas mengamalkan fahaman Syiah.

Perkara itu turut ditegaskan aktivis Pas, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin yang memberitahu pembabitan ahli Pas termasuk pemimpin kanan parti tersebut dengan fahaman Syiah bukan suatu perkara baharu tetapi telah berlaku sejak puluhan tahun lalu.


Sementara itu, pemberita gagal untuk mendapatkan reaksi Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berhubung perkara sama.

Suara Politik
Belantan

Selama 47 tahun Lim Kit Siang sanggup 'kenching' ahli DAP semata-mata untuk kekalkan pengaruh 'Dinasti Lim'?



Ahli DAP desak adakan semula pemilihan CEC

Ahli DAP mahu parti itu mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) dan tidak membiarkan parti tersebut dibatalkan pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Naib Pengerusi DAP Cawangan Ladang Paroi, David Dass berkata, selepas hampir tujuh bulan akhirnya Lim Kit Siang membuat pengesahan secara tidak langsung bahawa wujud penyelewengan dan manipulasi undi yang membabitkan 547 perwakilan haram seperti yang didakwa oleh Father Augustus Chen dalam buku The Equity Report.

Menurutnya, Kit Siang langsung tidak berani membuat penafian terhadap semua dakwaan penipuan yang dibongkar oleh Father Chen semasa pemilihan CEC pada 15 Disember 2012.

Katanya, sebagai seorang yang karib dengan Kit Siang, ternyata Father Chen tahu cara politik kotor yang diamalkan oleh Kit Siang.


Beliau berkata, pemimpin DAP dilihat lebih senang membiarkan parti itu dibatalkan pendaftarannya ekoran dakwaan berlakunya penyelewengan dalam pemilihan CEC Disember lalu.

Beliau berkata, Penasihat DAP itu sendiri telah membuat kenyataan kepada sebuah portal berita kelmarin dengan tajuk 'DAP tidak akan terkejut jika pendaftaran parti itu dibatalkan'.

"Beliau secara tidak langsung seperti mengaku berlakunya penyelewengan dalam pemilihan CEC DAP sehingga mendorongnya membuat kenyataan itu," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai Laporan Ekuiti (Penipuan Pemilihan CEC) tulisan Father Chen yang menyatakan secara terperinci penipuan dalam pemilihan CEC sejak 47 tahun lalu.

Katanya, Kit Siang perlu tampil menjawab dakwaan bekas Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong bahawa Father Chen pernah menjadi rakan karib kepada Penasihat DAP itu.

"Sehingga kini Kit Siang masih membisu mengenai laporan itu dan hanya mengesahkan kandungan buku berkenaan," ujarnya.


Kelmarin, sebuah portal berita memetik Kit Siang sebagai berkata, DAP tidak terkejut sekiranya pendaftaran parti itu dibatalkan oleh ROS berikutan skandal penipuan pemilihan CEC Disember tahun lalu.

David mendakwa, pembatalan pendaftaran DAP akan membolehkan pemimpinnya menutup penyelewengan yang berlaku walaupun proses tersebut adalah lebih panjang berbanding jika pemilihan semula diadakan.

"Jika pemilihan semula perlu diadakan 'dinasti Lim' mungkin tergugat dan Lim Guan Eng selaku Setiausaha Agung DAP sendiri mungkin tidak mendapat undi tertinggi seperti yang diperoleh pada Disember lalu.

"Besar kemungkinan Kit Siang akan 'menangis' sekali lagi untuk dapatkan simpati dari mereka yang gulungan Cina yang tidak faham undang-undang," ujarnya.

Dass berkata, sebagai ahli parti, beliau mahu pemilihan semula diadakan dan bukannya membiarkan parti dibatalkan pendaftarannya.

Suara Politik
Belantan

Isnin, Julai 29, 2013

Ummah wajib tentang usaha perlekeh Islam!


Maaflah kalau penulis kata kontroversi berkenaan kenyataan Duta sulung Vatican ke Malaysia, Archbishop Joseph Marino berkenaan penggunaan kalimah Allah oleh orang Kristian di Semenanjung adalah perkara yang secara tak langsung kita sendiri undang. Cuma yang penulis terkilan setakat ini adalah tindak balas rasmi kita terhadap ‘campur tangan’ paderi Roman Katolik itu.

Isu ini timbul apabila Duta Vatican itu berjumpa dengan media massa tempatan. Ikut laporan, dia puji Islam. Yang ini tidaklah timbulkan masalah malah penulis rasa banyak orang Islam berasa sangat seronok. Tapi bagi penulis, itu hanyalah penyedap kata saja. Apa yang duta itu kata kemudiannya yang jadi masalah.

Laporan media massa kata, dia puji hujah Persekutuan Gereja Malaysia atas tuntutan supaya orang Kristian di Semenanjung boleh guna istilah Allah dalam buku dan khutbah mereka. Penulis dah berkali-kali kata, kita orang Islam di Malaysia jangan sekali-kali benarkan kalimah Allah diguna oleh lain daripada orang Islam.

Islam di kaca mata Kristian

Macam mana pun kita janganlah terkejut apabila Duta Vatican itu secara tidak langsung sokong tuntutan orang Kristian hendak guna istilah Allah di Semenanjung. Kita kena ingat dia ini paderi dulu kemudian baru duta. Bagi dia, agama dan akidah lebih penting daripada diplomasi.


Tak kiralah kalau khabarnya dia sudah minta maaf. Dari sudut psikologi dan perang saraf, dia sudah berjaya laksanakan tuntutan agamanya. Kesan kenyataannya terhadap masyarakat Kristian Malaysia dan kita semua sebagai orang Islam sudah pun terasa malah sudah jadi satu isu besar.

Inilah bahayanya kalau kita buat sesuatu dengan tidak betul-betul faham pokok pangkal. Kita boleh berbaik-baik dengan semua negara dan pertubuhan di dunia. Tapi kita kenalah pelajari dan faham betul-betul ideologi dan pendirian negara atau organisasi yang kita hendak berbaik-baik itu.

Penulis bimbang banyak orang Islam di Malaysia tak dalam pengetahuan mengenai agama sendiri apatah lagi agama lain. Ini silap besar. Tak faham agama sendiri satu hal, tapi tak faham agama lain, terutama yang anggap Islam sebagai lawan dan musuh, sangat-sangat berbahaya. Boleh jadi tak banyak orang Islam di Malaysia yang faham organisasi Roman Katolik dan gerakan mubaligh mereka.

Penulis tahulah sedikit sebanyak sebab pernah belajar di sekolah mubaligh Roman Katolik dan penulis baca mengenai politik dan ideologi agama-agama di dunia. Hari ini, orang Kristian di seluruh dunia anggap Islam sebagai saingan dan ancaman paling besar.

Islam makin kuat

Walaupun orang Islam, khasnya di Asia Barat nampak lemah kerana berperang satu sama lain, gerakan Islam global sebenarnya cukup subur dan kuat. Salah satu sebabnya kerana kacau-bilau di negara-negara Islam. Banyak orang Islam yang lari dari negara mereka sendiri kini bertapak di Eropah, Amerika Syarikat dan Australia.


Sebelum itu pun sudah banyak orang Islam termasuklah yang berpelajaran tinggi lari merantau ke negara-negara Eropah, Amerika dan Australia. Di sana mereka mengembangkan Islam. Banyak orang Barat terpengaruh dan tertarik dengan Islam kerana yang menjadi contoh adalah orang Islam yang berjaya seperti doktor perubatan, jurutera dan cendekiawan.

Sebaliknya, amalan dan pengaruh agama Kristian semakin lemah di Eropah dan Amerika akibat gerakan liberal dan antidoktrin agama. Macam yang kita tengok dengan gerakan gay dan lesbian serta perkahwinan sesama jenis semakin berleluasa.

Jadi, dalam kita menjemput Vatican membuka kedutaan di Malaysia, kita haruslah ingat yang tugas utama Vatican adalah untuk mempertahankan dan mengembangkan ajaran Kristian mazhab Roman Katolik di seluruh dunia. Maka tidak hairanlah kalau Duta Vatican di Malaysia sokong tuntutan kalimah Allah digunakan di Semenanjung.

Kalimah Allah ini sebenarnya sudah lama diguna di Sabah dan Sarawak dan kita tidak hendak jadikannya sebagai satu isu. Tapi di Semenanjung, pendirian penulis adalah kita wajib bangkang habis-habisan. Wallahualam.

Suara Politik
Belantan

Kisah sebenar disebalik FITNAH pembangkang mengenai pembelian Kapal Selam Scorpene?


Temuramah Muka Hadapan Akhbar New Straits Times (NST) – Terbit 27 Julai (Sabtu)

Dalam satu temubual bersama Haris Hussain, arkitek pembelian Kapal Selam Scorpene, Jasbir Singh Chahl buat pertama kalinya membuka mulut berkenaan perjanjian yang kononnya penuh kontroversi itu. Di sini, Jasbir Singh Chahl, menyanggah tuduhan Suaram sekaligus memadamkan kaitan antara mendiang Altantuya dan isu pembelian kapal selam Scorpene.

Menyanggah Cerita Dongeng.

Pada tahun 1984, seorang ejen insuran dari Baltimore, Maryland, telah menerbitkan sebuah buku novel fiksyen berkenaan seorang komander kapal selam Russia yang ingin belot kepada negaranya dan memihak kepada Amerika Syarikat. Cerita tersebut memaparkan bahawa kapal selam Russia itu merupakan kapal nuklear tercanggih pada zamannya.

“The Hunt For Red October” judul cerita fiksyen tersebut adalah “kononnya” diinspirasikan oleh kejadian sebenar yang berlaku pada tahun 1975 di atas kapal pemusnah Russia Storozhevoy dan menjadi novel pertama Tom Clancy di peringkat antarabangsa. Presiden Ronald Reagan pada ketika itu menggelarkannya sebagai sebuah cerita dongeng yang hebat.

Di Malaysia pula, kisah kapal selam juga merupakan dongengan yang sering diputarkan oleh beberapa pihak.

Pada tahun 2010, Suara Hak Asasi Manusia (Suaram) telah menfailkan tuduhan di mahkamah Perancis, menyatakan bahawa firma perniagaan Perancis yang bernama DCNS telah membayar RM452 juta sebagai rasuah kepada pegawai kerajaan Malaysia untuk mendapatkan satu kontrak. Tuduhan ini telah menjadi salah satu rentetan tuduhan melampau berkenaan isu Scorpene sehingga melibatkan beberapa pihak yang pada logiknya tidak ada kene mengena dengan hal tersebut.

Bertahun sudah berlalu dan satu jaringan teori konspirasi telah dianyam dan akhirnya kaitan berkenaan perjanjian jual beli kapal selam itu dan Altantuya telah dikaitkan hanya melalui teori. Oleh itu, jangan terkejut sekiranya cerita teori konspirasi ini sealiran dengan mana-mana filem Hollywood. Ini kerana dek penangan pemikir-pemikir tertentu berkenaan teori Altantuya dan Scorpene, maka timbul lah cerita berkenaan korupsi, penipuan, seks dan pembunuhan.

April lalu, satu laporan daripada media arus perdana Sepanyol dan Perancis telah mempersoalkan tindakan taksub dan gila Suaram berkenaan kes tersebut, sehingga media mereka menyifatkan sistem mahkamah Perancis telah dipermain-mainkan oleh Suaram dan konco-konco mereka. Jumaat lepas, Suaram telah mengadakan aktiviti mengutip derma, lantas fitnah dan tuduhan baru pula dilemparkan kepada Kerajaan Malaysia.

Selepas beberapa bulan mencuba, akhbar New Straits Times telah berjaya mendapat satu temubual dengan seorang individu yang menjadi penggerak kepada perjanjian Scorpene ini. Bukan mudah untuk mendapat peluang menemubual individu tersebut. Temubual bersama Jasbir Singh Chahl ini diharap dapat membuka mata seluruh rakyat Malaysia untuk mengetahui tentang kebenaran isu Scorpene.

Sebelum perjumpaan itu dilakukan, Chahl telah menolak untuk membuat apa-apa kenyataan berkenaan kes ini, beliau bimbang akan dikenakan tindakan menghina mahkamah. Sepanjang ini, beliau telah berhubungan dengan pihak penguatkuasa Perancis dan para penyiasat di mana beliau mempunyai bukti untuk setiap kenyataan yang dikeluarkannya.


Semasa berkunjung ke rumah beliau, yang terletak ditengah-tengah Kuala Lumpur, lelaki yang dibesarkan dengan pendidikan Inggeris ini terhenti seketika semasa menyusun cawan-cawan teh yang berada di depannya dan berkata “Saya berani bersumpah di bawah buku suci Guru Granth Sahib, yang saya tidak tahu dan tidak kenal perempuan tersebut, dan dia tidak pernah menjadi sebahagian daripada pasukan kami, saya tidak pernah melihat dia dan dia tidak berada di Perancis pada masa itu, iaitu semasa kami sedang berusaha untuk mendapatkan perjanjian terbaik untuk Malaysia. Saya hanya tahu berkenaan beliau apabila surat khabar menyiarkan berita bahawa mayat beliau telah dijumpai”.

Salah satu daripada cerita dongeng yang telah dijaja dan diterima oleh sebahagian rakyat Malaysia ialah cerita kononnya Altantuya adalah seorang penterjemah kepada Abdul Razak Baginda yang juga telah membantu Chahl untuk mendapatkan projek tersebut.

Perbincangan bermula pada tahun 2000 dan persetujuan telah berjaya dicapai pada tahun 2002. Jikalau benar Altantuya adalah penterjemah Razak Baginda, maka beliau sepatutnya hadir dalam semua mesyuarat sejak tahun 2000.

Akan tetapi, di dalam dokumen rasmi kerajaan Perancis yang telah diberikan kepada New Straits Times, Polis Perancis telah menyatakan bahawa Altantuya tidak pernah datang ke Perancis dari tahun 1999 hingga 2006. Sedangkan sebahagian perjumpaan berkenaan Scorpene telah diadakan di Perancis dan sebahagiannya di Malaysia.

Semua dokumen untuk perjanjian adalah dalam Bahasa Inggeris, “Ini bukanlah sesuatu yang saya katakan, tetapi ia adalah yang dikatakan oleh pihak berkuasa Perancis, polis Perancis dan badan siasatan kehakiman Perancis ,”.

Mengikut keterangan yang dibuat oleh Razak Baginda di dalam mahkamah, beliau hanya berjumpa dengan Altantuya pada lewat tahun 2004. Perjanjian Scorpene telah dirumuskan pada tahun 2002.

Satu lagi tuduhan yang dibuat oleh pro-pembangkang adalah disebabkan oleh pemahaman terhadap Gallic dan cara perlaksanaan syarikat Perancis DCNS menjalankan perniagaan mereka di seluruh dunia.

Pihak pro-pembangkang menyatakan kononnya kerana DCNS adalah syarikat Perancis, maka perjanjian yang diadakan mesti dilakukan dalam bahasa Perancis. Sedangkan di dalam bidang perniagaan pertahanan, Bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa perantara.

Tambahan dengan itu, pasukan Perancis diketuai oleh seorang lelaki Inggeris yang bernama Martin Hill yang juga fasih berbahasa Perancis. Sekiranya, pasukan mereka memerlukan penterjemah, mereka tidak perlu.

“Ini semuanya, adalah masalah peribadi antara Razak Baginda dan Altantuya. Apa sahaja isu antara Razak dan Altantuya tiada kaitan dengan perjanjian Scorpene. Adalah malang untuk kita semua, hal yang berlaku antara mereka berdua dikaitkan dengan perjanjian kapal selam tersebut. Razak Baginda merupakan satu-satunya perkara yang mengaitkan kedua-dua isu tersebut. Walaupun pada asasnya hal Altantuya adalah hal peribadi Razak dan bukannya orang lain”.

Siapakah Jasbir Singh Chahl?

Jasbir Singh Chahl telah memulakan kerjaya beliau di dalam bidang pertahanan, industri minyak dan gas pada umur yang begitu muda. Semasa beliau berumur 20an beliau telah bekerja di London bersama sebuah firma Timur Tengah yang pakar dalam bidang pertahanan dan pembangunan. Di sana beliau diberikan tugas untuk memastikan perjanjian yang bernilai jutaan dollar berjaya dimeterai.

Beliau mempunyai hubungan yang baik dengan kontraktor dari Eropah dan di seluruh dunia. Apabila beliau kembali ke Malaysia pada tahun 1981 beliau amat dikenali di arena korporat Malaysia. Pada tahun 1996 hingga 1998, Chahl bekerja dengan Thomson-CSF International (M) Sdn Bhd, France’s Thomson-CSF (sekarang Thales), Offshore Patrol Vessels (OPV) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia, selain itu beliau juga banyak terlibat di dalam projek berkenaan pertahanan Malaysia.

Hubungan beliau dan Thomson-CSF bertaut semula apabila syarikat tersebut memerlukan kepakaran beliau dalam pembangunan strategik dan maklumat yang boleh digunakan untuk kepentingan Kerajaan Malaysia di dalam beberapa projek pertahanan.

Semasa perbincangan inilah, syarikat tersebut telah mengusulkan untuk memberi fokus kepada penjualan kapal selam di Malaysia. Ini merupakan sesuatu yang syarikat tersebut telah usahakan selama sedekad tetapi mereka tidak berjaya menyaksikan apa-apa perkembangan. Syarikat tersebut berpendapat bahawa masa yang sesuai merupakan satu perkara yang penting untuk dipertimbangkan. Kesemua pihak termasuk TLDM telah berbincang untuk menganalisa, menilai dan membangunkan cadangan untuk membekalkan kapal selam kepada Malaysia, yang menjadi titik tolak kepada pembelian kapal selam Scorpene.

‘Semuanya telah diaudit’

SATU daripada isu utama di dalam perjanjian kapal selam Scorpene adalah berkaitan dengan perkataan “komisyen”.

Khususnya, 115 juta Euro (RM452 juta) yang telah dibayar kepada Perimekar Sdn Bhd, sebuah syarikat yang mengetuai logistik dan latihan pegawai-pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Dan Jasbir Singh Chahl mempunyai masalah besar dengan itu.

“Jumlah itu sebenarnya adalah untuk servis yuran pentadbiran, “ kata Chahl dengan nada geram dan marah.


Para pengkritik telah berjaya untuk menjadikannya hujah yang mudah untuk menunjukkan contoh ketamakan tidak terbatas ; bahawa ia telah berjaya ke tahap yang tertentu, dalam melukiskan gambar yang wang telah dibayar ke tangan pegawai-pegawai kerajaan dan syarikat-syarikat sebagai pemudah cara. Perkara ini membuatkan Chahl merasa jelek.

Untuk makluman, Perimekar, iatu sebuah syarikat yang telah diaudit, dimiliki oleh KS Ombak Laut Sdn Bhd, tabung pencen Tentera Laut, LTAT dan syarikat industri, Boustead di mana kedua-duanya juga telah diaudit.

Yuran tersebut merangkumi pentadbiran projek dan servis-servis integrasi projek, menyelaraskan penglibatan syarikat-syarikat Malaysia dalam program penyertaan industri, termasuk di dalam penyediaan perkhidmatan semasa fasa pembinaan dan memantau prestasi syarikat yang terlibat. Ia juga membantu kontraktor utama mematuhi semua undang-undang dan tatacara yang berhubungan dengan pemberian kontrak tempatan, menyelaras dan memantau latihan anggota TLDM selaras dengan kontrak utama dan selaras dengan harapan kerajaan Malaysian dan TLDM. Ini juga termasuk menyediakan laporan bulanan bagi semua perkara di atas.

Sebahagian besar daripada yuran tersebut adalah untuk penyediaan penginapan dan semua perkhidmatan yang diperlukan untuk latihan kakitangan TLDM dan keluarga mereka di Brest, Perancis, dan Sepanyol untuk jangkamasa enam tahun, termasuklah premium insurans kesihatan dan elaun harian minima 50 Euro setiap seorang. Kos-kos lain termasuklah kos perjalanan pulang ke Malaysia sebanyak tiga kali setahun. Kesemua 145 anggota TLDM, termasuklah 49 pegawai dan tanggungan mereka dirangkumi oleh yuran ini.

“Kita telah difitnah untuk dilihat sebagai orang yang mengaut keuntungan dan goyang kaki, sedangkan pada hakikatnya, terdapat banyak kerja keras yang telah dilakukan

Untuk makluman, keuntungan Perimekar selepas cukai adalah sebanyak RM105,111,191.

“Tawaran komersial tersebut adalah menarik kerana keunggulan program penyertaan industri yang telah kita hasilkan. Program jualbeli dan “offset” yang kami tawarkan sebagai sebahagian daripada keseluruhan tawaran juga berpihak kepada kita.”

“Berdasarkan kekuatan dan kelebihan komersial cadangan itu, kita tidak perlu untuk melobi sesiapa untuk mempengaruhi proses penilaian komersial. Tidak ada sebab untuk kami berbuat demikian.”

“Scorpene merupakan kapal selam bukan nuklear terbaik yang telah negara kita pilih”.

Bagi penulis, pengakuan 'orang tengah' bagi perolehan kapal selam Scorpene, Jasbir Singh Chahl berhubung isu-isu berkaitan kapal selam tersebut serta model Mongolia, Altantuya Shaariibuu jelas membuktikan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan pihak pembangkang melakukan penipuan terancang untuk memburuk-burukkan kerajaan.


Perkara itu ditegaskan beberapa pihak ketika memberi maklum balas terhadap pengakuan Jasbir yang berani bersumpah bahawa beliau tidak pernah berjumpa dan mengenali Altantuya selain model itu tidak terlibat atau berada di Perancis sepanjang proses rundingan pembelian Scorpene.

Menurut seorang pengasas PKR, perancangan untuk 'meruntuhkan' kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui fitnah isu Altantuya serta Scorpene sememangnya telah dirancang pihak-pihak tertentu sejak 2005. Menurut beliau, perancangan ini (fitnah) telah diatur dengan cukup tersusun dan profesional. Ini melibatkan portal berita propembangkang dan pemimpin pembangkang dan perancangan itu berterusan sehingga kini.

Fitnah mengenai Scorpene dan Altantuya pernah dirungkai oleh bekas peguam bela Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Zulkifli Noordin yang mengakui pernah diarah Ketua Pembangkang itu untuk mengada-adakan bukti dalam kes pembunuhan Altantuya.

Suaram ternyata berbohong serta berniat jahat apabila memesongkan fakta sebenar mengenai urusan pembelian kapal selam Scorpene.

Suara Politik
Belantan

Apabila Sisters In Islam mempertikai mufti?


Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh mengambil pendekatan tidak popular apabila dengan tegas melarang empat wanita Islam daripada menyertai pertandingan Miss Malaysia World baru-baru ini. Ketegasan Wan Zahidi telah menyelamatkan satu lagi percubaan memperlekehkan Islam di negara ini selepas beberapa pihak lebih menyelamatkan kuasa politik berbanding Islam.

Sebenarnya larangan terhadap wanita Islam menyertai Miss Malaysia World bukan perkara baharu. Pada 1996 sudah dikeluarkan fatwa yang melarang penyertaan wanita Islam dalam pertandingan ratu yang memakai pakaian mandi yang mendedahkan aurat.

Sepatutnya tanpa fatwa sekalipun, sudah tidak ada wanita Islam yang menyertai Miss Malaysia World di atas sebab yang disebutkan di atas tadi. Tidak perlu menunggu larangan dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama Islam kerana menyertai pertandingan ratu bukanlah suatu yang dapat mempertingkatkan kesucian Islam malah merendah dan sekaligus menghina Islam. Empat peserta Islam itu ialah Sara Amelia Bernard, Wafa Johanna De Korte, Miera Sheikh dan Kathrina Ridzuan.


Salah seorang peserta, Sara Amelia berhujah, selepas fatwa itu dikeluarkan, ada peserta Islam misalnya Rima Fakih pernah memenangi pertandingan itu di Amerika Syarikat (AS) pada 2010 dan Hammasa Kohistani yang beragama Islam memenangi Miss England pada 2006. Dia merujuk penyertaan peserta Islam di luar negara sebagai asas kukuh untuk mewajarkan menyertai Miss Malaysia World.

Dia perlu sedar bahawa ada juga orang Islam yang menjadi pembunuh dan penjahat, tetapi bolehkah kita membuat kesimpulan bahawa perbuatan itu dibenarkan oleh Islam? Bagaimanapun biarlah kerana pandangan itu datang daripada orang yang berfikiran singkat dan bertujuan melepaskan diri.


Tetapi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bertenggek di atas nama Islam dianggotai pula oleh kelompok cerdik pandai, Sisters In Islam (SIS) bukan mempertahankan larangan itu sebaliknya mencabar di segi kesahihan undang-undang. Kenyataan SIS yang disiarkan dalam sebuah portal berita baru-baru ini bukanlah suatu yang memeranjatkan kerana sejak lama dahulu SIS sentiasa memberikan kenyataan yang mencabar pihak berkuasa agama Islam.


Sepatutnya kenyataan SIS yang mempertikai bahawa fatwa melarang wanita Islam menyertai pertandingan itu kerana tidak diwartakan sebagai undang-undang tidak perlu dilayan. Tetapi memandangkan pertubuhan ini menggunakan nama Islam, masyarakat wajar dijelaskan bahawa isunya bukanlah larangan itu menjadi undang-undang atau tidak, tetapi untuk menyelamatkan wanita Islam terjerumus dalam agenda yang mencemarkan Islam.

SIS menganggap larangan atau fatwa yang dikeluarkan pada 1996 itu sebagai tidak Islamik, tidak demokratik dan melanggar hak asasi. SIS sudah tentu menjadi wira dalam isu ini kepada pihak yang mahu menjerumuskan Islam dalam acara yang tidak bertamadun ini. Pihak yang selalu melabelkan orang Islam sebagai konservatif dan anti kemajuan sudah pasti mengiktiraf SIS sebagai agen pembudayaan baharu terhadap Islam.

Untuk makluman SIS, tidak semua larangan dalam Islam itu diwartakan sebagai undang-undang. Apa yang dilakukan oleh seorang peserta Miss Malaysia World adalah perkara asas yang dilarang dalam Islam sekalipun kononnya penganjur berjanji peserta Islam hanya memperagakan pakaian sukan. Sekiranya berjaya ke peringkat Miss World, pernahkah kita melihat peserta akhir berpakaian sukan? Islamik sangatkah penganjur Miss World untuk mengasingkan peserta Islam dan bukan Islam?


SIS menganggap larangan ini sebagai tidak demokratik dan melanggar kebebasan hak asasi manusia. Adakah ini bermakna larangan ke atas orang Islam supaya jangan minum arak atau makan daging babi adalah melanggar hak asasi manusia?

Kalau begitu perbuatan sepasang remaja Cina yang mempromosi sup tulang babi sebagai menu berbuka puasa bukan satu kesalahan kerana makan sup tulang babi tidak diwartakan sebagai undang-undang di mana-mana negeri di negara ini.

Kebebasan

Agak malang kerana SIS memperjuangkan hak asasi keempat-empat wanita Islam kerana Mufti Wilayah Persekutuan telah menghalang kebebasan hak asasi mereka menyertai Miss Malaysia World. Tetapi pada masa yang sama SIS tidak memperjuangkan Islam kerana tidak melihat larangan mufti itu sebagai satu usaha pemurniaan Islam. Adakah bagi SIS empat wanita Islam itu sebagai golongan teraniaya kerana kebebasan mereka telah dihalang sekalipun membuat perkara yang boleh mencemarkan Islam?

Kontroversi ini juga boleh diambil iktibar oleh orang Islam sendiri yang menjadi penganjur pertandingan ratu di negara ini. Barangkali penganjur Miss Malaysia World melihat orang Islam sendiri kerap menganjurkan pertandingan ratu (walaupun bukan berpakaian mandi), jadi apa salahnya dia membuka penyertaan kepada wanita Islam.


Kita patut bertekad supaya perkara-perkara yang tidak menyumbang kepada ketinggian Islam dan tamadun budaya tidak diteruskan lagi. Walaupun tidak ada larangan menganjurkan pertandingan ratu di negara ini, tetapi tidak usahlah diteruskan lagi. Kononnya menghargai kecantikan wanita tetapi caranya memperalatkan secara bertentangan dengan Islam.

Malah tidak ada pertandingan ratu tidak memundurkan masyarakat. Belum ada lagi pertandingan ratu yang dianjurkan di negara ini menyumbang kepada pembangunan manusia. Binalah kesedaran sendiri supaya apabila ada larangan oleh pihak berkuasa, ia tidak dianggap menghalang kebebasan hak asasi.

Kita jangan tunggu SIS kerana syor supaya orang Islam tidak menjadi penganjur ratu tidak diwartakan sebagai undang-undang. SIS tidak akan sokong syor ini kerana selagi tidak dijadikan undang-undang, ia satu pelanggaran terhadap hak asasi manusia. Nampaknya bagi SIS, kebebasan hak asasi lebih penting daripada melarang orang Islam supaya jangan menghina agamanya.

Suara Politik
Belantan

Ahad, Julai 28, 2013

Ada pihak ambil kesempatan politikkan isu kantin sekolah dan mainkan sentimen perkauman?


Kejadian berlaku di sebuah sekolah kebangsaan iaitu SK Seri Pristina, bertempat di Sungai Buloh, Selangor. Ramai yang bingung mengapa hal kantin sekolah di bilik persalinan menjadi begitu heboh. Hal yang pada awalnya tiada apa-apa yang luar biasa bertukar rumit dan menjalar menjadi isu yang dikait-kaitkan pula dengan soal agama dan perkauman.

Hal yang sepatutnya boleh diselesaikan di peringkat sekolah melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menjadi isu emosional yang ditanggapi secara berlebihan. Mengapa, kerana ada orang politik yang tiada kena mengena mahu mengambil kesempatan demi meraih keuntungan politik.

Bukankah hal yang luar biasa untuk seorang pembesar dari sebuah negeri yang nun jauh di sana sanggup menggunakan waktunya untuk mengulas isu ini? Satu demi satu kenyataan dikeluarkan sehingga hal-hal sampingan pun mahu diulasnya. Kenyataan demi kenyataan itu disebar luas seolah-olah beliau begitu signifikan dengan kejadian tersebut.

Anehnya, Menteri Besar Selangor atau Exco yang menjaga hal ehwal pendidikan, tempat di mana sekolah itu berada tidak pula kedengaran mengeluarkan kenyataan. Ketua-ketua parti termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memerintah negeri Selangor juga tidaklah setangkas beliau mahu mengulas hal ini. Jadi, apa halnya?


Motifnya mudah diduga. Sikap seperti ini sudah lama menjadi cara parti ini berkembang. Jalan fikir pemimpin parti ini mudah, mainkan persepsi dan tiupkan sentimen atas apa juga perkara yang boleh menimbulkan keraguan.

Cuba fikirkan sejenak mengapa kumpulan ahli politik ini dan media yang menyokong mereka bersungguh-sungguh mengulas isu kantin di bilik persalinan ini. Mereka seperti sengaja mengesampingkan urutan proses mengapa bilik itu terpaksa digunakan sebagai kantin sejak tiga bulan lalu iaitu sebelum bulan Ramadan lagi.

Segala upaya juga sudah dilakukan agar bilik itu layak sebagai tempat makan untuk sementara waktu bukan sahaja kepada murid bukan Islam tetapi juga semua murid dan kakitangan sekolah itu. PIBG juga sudah maklum tentang hal tersebut.

Apa yang juga jelas, bukanlah ada niat daripada pihak pengurusan sekolah untuk meminggirkan murid bukan beragama Islam yang kebetulan merupakan kumpulan minoriti di sekolah rendah itu. Cuma mungkin keputusan menjadikan bilik persalinan sebagai kantin adalah tindakan yang kurang bijak tetap hal ini masih boleh diperdebatkan.


Jadi, apa halnya yang kecoh sangat. Isu kaum dan agama yang cuba dibangkitkan sebenarnya hanyalah satu cubaan jahat untuk meniupkan api kebencian antara masyarakat.

Ibu bapa yang marah-marah sepatutnya marahkan diri sendiri kerana tidak peka dengan perkembangan sekolah malah mereka sendiri pun mungkin malas menghadiri mesyuarat PiBG. Mengapa pihak berkaitan tidak mempertikaikan keputusan itu sejak mula dilaksanakan tiga bulan lalu adalah persoalan yang menarik untuk diteliti.

Cauvinis

Ada ibu bapa malah membiarkan hal kantin ini dipergunakan sebagai isu politik. Mereka membiarkan diri untuk dijadikan alat kepada kumpulan tertentu terutama dari parti cauvinis itu untuk 'mencucuk' jarum.

Jadilah isu kantin di bilik persalinan sebagai modal kononnya kumpulan minoriti dipinggirkan. Di tangan kumpulan ini, jadilah isu yang mudah bertukar rumit yang kemudian cuba dikait-kaitkan dengan soal kaum dan agama.


Dengan mudah pula kumpulan ini mengaitkannya dengan tindakan-tindakan oleh kerajaan sebelum ini. Tak semena-mena tindakan pantas pejabat Peguam Negara mendakwa pasangan blogger lucah Alvian Tan dan Vivian Lee kerana menghina Islam dijadikan sandaran alasan kerajaan lemah, tidak cekap dan tidak jujur.

Mereka mahu menunjukkan kerajaan pilih bulu dan membuat pendakwaan terpilih. Tak semena-mena pula ada yang mengaitkan dengan pemimpin tertentu. Mereka mengaitkannya dengan kenyataan mengenai Bible oleh Datuk Ibrahim Ali. Begitu juga hal itu dikaitkan dengan kenyataan mengenai kaum India oleh Datuk Zulkifli Noordin yang sudah berkurun-kurun lamanya. Kedua-duanya dikaitkan kerana mereka adalah pemimpin yang memperjuangkan Islam dan nasib orang Melayu.

Mengapakah kelompok ahli politik ini tidak membangkitkan hal-hal yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama yang pernah dilakukan oleh beberapa pemimpin DAP sebelum ini?

Jika benar memperjuangkan kepentingan nasional mengapa kelompok ini berdiam diri dalam isu laporan polis pada Mei lalu tentang seorang guru sekolah menengah di Johor yang menghina orang Melayu? Merekalah sebenarnya jaguh membangkitkan isu-isu terpilih.


Telitilah, ke manakah arahnya hingar-bingar isu bilik persalinan ini? Tetapi inilah resam berpolitik di Malaysia. Dengan dukungan pegawai penyelidik dan sokongan tentera siber mereka, fakta bukanlah perkara penting kerana boleh diputar belit. Mereka akan menyerang dan menimbulkan keraguan dengan berbekalkan fakta yang separuh benar.

Setangkas mereka membuat ulasan, sepantas itulah juga kumpulan ahli politik ini mengelak jika ada isu yang tidak memberi kelebihan kepada kelompok atau kepentingan mereka. Mereka sentiasa ada helah untuk mengalihkan isu.

Paling mudah ialah salahkan kerajaan yang merupakan sasaran mudah untuk meraih simpati. Tidak terlihat pun mereka mahu mencari jalan menyelesaikan masalah apatah lagi meredakan kegawatan yang timbul.



Jika sesuatu isu itu gagal ditangani, jawapannya ialah salahkan kerajaan sedangkan merekalah sebenarnya punca masalah tersebut bertambah rumit, lantas gagal diatasi secara menyeluruh.

Kumpulan ahli politik ini lebih suka masalah terutamanya yang melibatkan sentimen kaum dan agama. Mereka suka bermain di permukaan dan kemudian memelihara sentimen itu agar terus terapung-apung.

Ini kerana, jika terdesak atau sesak-sesak boleh digunakan untuk menimbulkan persepsi tidak baik kepada pihak lawan. Benar-benar politik kantin sekolah!

Suara Politik
Belantan

Apakah kerajaan kita berdaulat?


Pada 19 Julai 2013, Dong Zong dan Jiao Zong (Dong Jiao Zong), dalam sidang akhbarnya di ibu negara, menolak keputusan Kementerian Pendidikan untuk menambah masa pengajaran dan pembelajaran (P&P) Bahasa Melayu (BM) dan Bahasa Inggeris (BI) di SJKC.

Peraturan baru yang melibatkan pelajar Tahun Empat, Lima dan Enam itu, dikatakan tidak sesuai untuk dilaksanakan di SJKC. Persoalan saya, siapakah mereka? Adakah mereka ini kerajaan?

Isu ini telah dibawa berbincang sekian lama, kerajaan telah membuat keputusan, tetapi tidak pernah ada penyelesaian kerana terus menerus ditentang oleh kumpulan ultra kiasu ini. Apa jua usaha kerajaan untuk penambahbaikan dan memartabatkan BM di SJKC dilihat menggugat bahasa Cina (BC). Akhirnya, kita pun mengalah.

Maka tidak hairan, kumpulan pendidik Cina mahukan Kementerian Pendidikan mengkaji semula peraturan baru mengenai waktu P&P BM dan BI di SJKC, yang akan bermula tahun depan.

Saya boleh bersetuju jika SJKC berada di negara China. Malangnya, SJKC berada di Malaysia. Suka atau tidak, SJKC mesti menjunjung Perlembagaan negara. Selaku bapa kepada anak yang berada di SJKC, saya gembira dengan peraturan ini. Laksanakanlah.


Untuk makluman, di bawah peraturan baru ini, waktu pembelajaran BM akan meningkat daripada 80 minit seminggu kepada 270 minit seminggu, manakala bagi BI dari 120 minit kepada 150 minit dan Bahasa Mandarin dikekalkan pada 300 minit. Justeru, apa masalahnya?

Melihat kepada kedudukan BM dalam Perlembagaan, ternyata arahan ini tidak memadai untuk mendaulatkan agenda negara. Sepatutnya ditambah lagi menjadi sekurang-kurangnya 500 minit seminggu. Ini kerana, kerajaan telah bermurah hati membenarkan SJKC beroperasi secina-cinanya. Takkan agenda nasional tidak boleh mengakar?

Kumpulan ini bertegas, P&P BM selama 210 minit dan BI 210 minit sudah mencukupi. Mereka mahu segera bermesyuarat dengan Kementerian Pendidikan bagi menyelesaikan perkara ini. Persoalan saya, jika kerajaan bersetuju, apakah mereka boleh memberi menjamin, selepas ini sebahagian besar produk SJKC akan dapat menulis dan berkomunikasi dengan baik dalam BM dan lulus cemerlang? Jika tidak sekolah ini akan diserapkan ke dalam pendidikan kebangsaan? Kerajaan perlu tegas dalam hal ini.

Perkara ini tidak perlu dimesyuaratkan lagi. Laksanakan terus, jika masih berdegil, tutup sahaja sekolah tersebut atau serapkan dalam sekolah kebangsaan. Lagipun boleh dikatakan tidak ada seorang daripada kalangan mereka yang mengundi BN, walaupun kerajaan memberikan segala bentuk bantuan kepada SJKC termasuk juga Sekolah Persendirian Cina (SPC) yang tidak ada kaitan langsung.

Apakah mereka sengaja tidak sedar kesan daripada SJKC telah mengurangkan P&P dalam BM. Akibatnya, ramai anak Cina tidak boleh menulis, bertutur dan berkomunikasi dalam BM kerana agenda negara dikesampingkan. Mana ada negara di dunia yang mempraktikkan amalan sebegini. Kita semakin melahirkan ramai ultra kiasu, seperti Alvivi dan kumpulan yang menterbalikkan Jalur Gemilang.


Saya amat yakin, walaupun mereka tidak menjelaskan, bahawa bantahan mereka terhadap peraturan kerana ia akan menjejaskan PP bahasa Cina (BC). BM akan mengambil lebih masa, pelajar SJKC akan disusahkan untuk menghafal dan memahami BM, ini akan menjejaskan penguasaan mereka dalam BC.

Apa salahnya jika pelat (kurang pandai) sedikit dalam BC. Tetapi kita baik dalam BM selaku bahasa negara. Kenapa mahu jadi Cina secina-cinanya. Cina di negara China pun tidak secina Cina di Malaysia.

Pendek kata, apa jua penambahan subjek di SJKC yang boleh menggugat atau mengambil sedikit masa subjek BC tidak akan dipersetujui apa jua cara sekalipun.

Keputusan kerajaan ini selaras dengan dasar kerajaan untuk memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI). Nasihat saya kepada Kementerian Pendidikan, jika kita terlalu bertegas kepada Sekolah Kebangsaan (SK), kenapa tidak SJKC.

Apa jua agenda kebangsaan terutama melibat BM mesti dilaksanakan tanpa perlu berbincang lagi. Jika kumpulan pendidik NGO ini tidak bersetuju, itu hak mereka. Usah dipedulikan. Hak bernegara mesti dilaksanakan. Agenda negara mesti diutamakan berbanding agenda bangsa atau kumpulan tertentu.

Kenapa SK boleh patuh dan laksanakan apa jua polisi kerajaan tetapi tidak SJKC? Melayu tetap patuh, tetap taat. Di manakah daulat sesebuah kerajaan itu jika semua keputusannya boleh ditolak mentah-mentah?


Kerajaan menjadi berdaulat apabila sesuatu keputusan dibuat demi kepentingan negara, ia mesti dilaksanakan, suka atau tidak. Jika tidak suka, carilah tempat yang kita suka, tetapi bukan di sini. Nasihat saya, jangan sampai kerajaan yang berdaulat, kelihatan sudah tidak ada daulat.

Justeru, beberapa saranan berikut hendaklah diambil kira demi masa depan negara tercinta. Pertama, laksanakan keputusan yang telah dibuat tanpa menoleh lagi. Keputusan baharu ini dikira amat bertoleransi.

Kedua, Tambah guru BM di SJKC, tanpa perlu patuh kepada syarat NGO ini supaya guru BM mesti mendapat kredit dalam SPM dalam BC.

Ketiga, laksanakan peraturan agar BM dipertuturkan setiap hari. Paling kurang, separuh hari daripada masa persekolahan.

Keempat, segala pengumuman waktu persekolahan dalam BC mesti diterjemahkan dalam BM. Paling baik, BM didahulukan, diikuti terjemahan dalam BC. Itu baru nama bahasa negara didaulatkan.

Kelima, aktiviti-aktiviti BM mesti diperbanyakkan. Misalnya, pertandingan bercerita, berdebat dan menulis karangan dalam BM. Aktiviti ini mesti dilakukan sekerap mungkin. Sediakan hadiah-hadiah yang lumayan. Saya yakin PIBG mereka mempunyai banyak wang untuk menyediakan hadiah ini.

Keenam, Mereka yang gagal BM mesti mengulang sehingga mereka lulus dalam subjek ini. Mereka tidak boleh naik darjah, jika gagal dalam BM. Mereka hanya boleh naik darjah jika lulus BM. Untuk berlaku adil, polisi ini hendaklah juga dilaksanakan di SK. Saya yakin, jika dilaksanakan, keputusan dan perubahan akan berlaku.

Ketujuh, sediakan buku kerja kepada anak-anak ini supaya menambah perbendaharaan kata (vocabulary) mereka setiap hari. Setiap hari perkataan BM mereka mesti bertambah.

Kelapan, ketika waktu cuti sekolah, pelajar-pelajar ini mesti diberikan assignment seperti pergi melawat kampung-kampung Melayu. Pelajar Melayu di SK juga boleh pergi ke kampung-kampung Cina.

Kesembilan, ujian lisan hendaklah diadakan sebelum boleh dibenarkan untuk pergi ke kelas menengah. Perkara ini amat penting bagi memastikan mereka boleh berkomunikasi dengan pelajar Melayu. Masalah yang timbul hari ini ialah apabila mereka tidak dapat berkomunikasi, berlaku inferioriti kompleks. Mereka mahu untuk bertutur dan seterusnya bergaul.

Kesepuluh, signage atau nama-nama, termasuk nama sekolah hendaklah meletakkan BM terlebih dahulu, diikuti dengan bahasa ibunda, dan BI jika perlu. Seperti amalan hari ini, BM hanya berada di tempat ketiga selepas BC dan BI, selepas itu baharulah BM.

Kesebelas, ibu bapa pelajar SJKC mesti membantu anak-anak mereka berkomunikasi dalam BM. Biasa-biasalah menonton dan mendengar saluran TV dan radio dalam BM, terutama siaran berita. Sosialisasi ini amat penting supaya pelajar tersebut tidak terasa asing dalam persekitaran Melayu. Jika saban hari membuka dan mendengar saluran Cina dan Tamil 24 jam, bagaimana sosialisasi ini boleh membantu.

Saya amat yakin, jika kita melaksanakan sebahagian daripada cadangan ini pun sudah cukup untuk membantu anak-anak kita untuk pandai dalam BM.

Jika kita terus bermain tarik tali, sampai bila-bila pun negara ini akan terus bermasalah, sedangkan orang lain telah jauh meninggalkan kita. Kita pula tidak habis-habis membuang masa dan tenaga serta harta benda, memikirkan untuk menyelesaikan perkara yang sepatutnya telah selesai sekian lama, tanpa perlu dibicarakan lagi. Berdaulatkah kerajaan kita sebenarnya?

Oleh : PROF MADYA DR. MOHD. RIDHUAN TEE ABDULLAH

Suara Politik
Belantan

Sabtu, Julai 27, 2013

Kuala Besut : Pas patut cermin diri!

Seorang penyokong Pas memakai penutup hidung yang tertera Pas for All yang berlatar belakangkan poster calon dan bendera Barisan Nasional pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil N01 Kuala Besut, Terengganu, di Sekolah Kebangsaan Nail, pada 24 Julai lalu.

Impian pakatan pembangkang untuk menguasai Kuala Besut memang menggunung tinggi. Kata ketuanya, Anwar Ibrahim beberapa hari lepas, sejarah politik Terengganu akan berubah sekiranya calon Pas menang.

Katanya, kalau kerusi itu beralih arah, baharulah kerajaan Pusat ‘terpinga-pinga’, seterusnya akan pasti memberikan sepenuh perhatian kepada rakyat Terengganu.

Hasrat menggunung itu diperkuatkan lagi dengan kenyataan Naib Presiden Pas, Mahfuz Omar bahawa Kuala Besut boleh mencipta rekod dunia jika berlaku perubahan yang memihak pembangkang.

Keinginan mencanak Pas untuk menakluki DUN Kuala Besut membawa kepada beberapa perbuatan provokasi, antaranya sehingga penyokong mereka sanggup mengedar risalah tertera rayuan “Realisasikan semangat Melayu Bersatu, UMNO & Pas, inilah masanya 16:16." Walaupun di bawah helaian risalah itu terpampang logo empat pertubuhan, Perkasa, MBM, GPMS dan Pekida kononnya sebagai penaja gerak saraf itu, namun semua maklum itu adalah muslihat kader-kader pembangkang.

Apa akan terjadi seandainya BN kalah di Kuala Besut kelmarin? Walaupun Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengatakan pihaknya tidak akan menuntut atau berebut jawatan Menteri Besar, namun sebaliknya cakap-cakap dalam kalangan penyokong mereka memang terang lagi bersuluh mahukan jawatan itu. Antaranya, dengan posisi 16:16, maka kemungkinan akan melibatkan juga campur tangan Sultan Terengganu.

Kata mereka, walaupun DUN tetap kekal dikuasai BN kerana parti kerajaan ada satu undi lagi iaitu Speaker lantikan BN, namun mereka tetap masih boleh mencabarnya. Jika Pas menang di Kuala Besut dan kemudian membuat usul undi tidak percaya kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, maka apa yang akan berlaku ketika itu?

Barangkalilah, sejarah Sidang DUN Perak di bawah pokok seperti yang berlaku pada 3 Mac 2009 boleh berulang kerana pembangkang boleh melakukan tindakan-tindakan yang di luar jangkaan.

Pembangkang boleh melakukan tindakan di luar dugaan untuk menarik perhatian rakyat. Walaupun perkara-perkara seumpama itu sepatutnya tidak perlu dilakukan tetapi tidak mustahil dilakukan oleh pembangkang.

Contoh terbaharu, demonstrasi Blackout 505 - itu juga salah satu cara mereka untuk mengalih perhatian rakyat dan membentuk kebencian rakyat kepada kerajaan.


Namun, malam 24 Julai lalu, kenyataannya di Kuala Besut memihak kepada BN. Ini apabila calon BN,

Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman meraih majoriti 2,592 undi, lebih tinggi berbanding 2,343 pada Mei lalu. Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman memperoleh 8,288 manakala lawannya dari Pas, Endot @ Azlan Yusof mendapat 5,696 undi.

Sejumlah 79.78 peratus atau 14,108 orang daripada 17,683 pengundi di kawasan DUN Kuala Besut menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam pilihan raya kecil kawasan itu.

Dan mahu tak mahu Pas mesti terima hakikatnya bahawa parti itu tidak boleh pandang mudah kepada kekuatan UMNO.

Kalaupun dihidu dari peringkat awal lagi, kekalahan Pas di Kuala Besut memang telah dijangkakan. Perkara ini terang-terangan yang mana semua pihak percaya jangkaan ini.

Jentera Pas sendiri seakan-akan tidak bermaya.

Tidak seperti beberapa siri pilihan raya kecil yang berlangsung sebelum ini yang jelas menampakkan kesungguhan jentera dan petugas parti itu bersemuka dengan jentera dari BN, elemen ini tidak pula berlaku di Kuala Besut.

Kain rentang dan bendera Pas tidak banyak kelihatan berbanding suasana yang bertambah biru didominasi BN. Kumpulan ulama dan jentera muslimah seperti membawa haluan sendiri.

Dikatakan calon pilihan Naib Presiden Pas, Husam Musa itu sendiri berdepan sabotaj parti.

Ramai di Kuala Besut sudah mengagak perkara ini apatah lagi kelibat Pesuruhjaya Pas Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut juga langsung tidak kelihatan membantu jentera parti.

Dipercayai ini ada kaitan dengan rasa tidak puas hati mereka dengan tindakan kepimpinan Pas Pusat yang menolak mentah-mentah calon yang dikemukakan oleh Pas negeri dan kawasan.


Kerana itulah dikatakan Pas Pusat terpaksa membawa Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat yang berusia 82 tahun turun padang membantu jentera meskipun beliau sendiri dalam keadaan cukup uzur.

Sepanduk-sepanduk serta poster yang dinaikkan oleh Pas untuk memburukkan UMNO dan BN hanya menjatuhkan imej Pas di mata penduduk Kuala Besut. Taktik ‘menjanjikan’ pengundi berusia 21 tahun ke atas dengan petrol untuk motosikal secara percuma di saat-saat akhir juga telah memalit persepsi tidak baik penyokong Pas sendiri terhadap parti itu. Malah, kelibat pelajar-pelajar universiti terutama dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, juga tidak banyak membantu.

Pas bergerak bersendirian tanpa DAP yang akur dengan pengundi Cina di Kuala Besut - cuma berjumlah 148 orang manakala India cuma empat orang.

Namun ini sepatutnya tidak menggugat ‘kewibawaan’ Pas yang memang cekap mempraktiskan ‘syurga neraka, pahala dosa’ untuk kepentingan mereka. Pas wajar akui hakikat mereka gagal dalam pilihan raya kecil pertama selepas Pilihan Raya Umum Ke-13.

Tidak perlu bicara pasal undi popular, yang nyata Pas sewajarnya akur pakatan parti itu dengan DAP dan PKR banyak memalitkan imej tidak elok untuk mereka.

Dengan PRU-13 menyaksikan beberapa pemimpin Pas tewas termasuklah Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub, Haron Din selain Mahfuz, yang tidak kalah tetapi kehilangan Kedah selain Nik Abdul Aziz sendiri yang ‘kian terpinggir’, Pas kena mencongak masa depan parti sendiri.

Kemenangan UMNO di Kuala Besut memastikan kestabilan politik negeri terjamin. Memanjatkan syukur! Sidang DUN di bawah pokok tidak berulang di negeri itu.-UMO

Suara Politik
Belantan

Akhbar SinChew Daily sindir UMNO dan masa depan MCA?


Akhbar Sinchew Daily bertarikh 23 Julai 2013 melalui ruangan Sudut Pendapat memaparkan tulisan Tai Boon Kui mengenai masa hadapan MCA yang perlu pisahkan antara politik dan parti.

Pemilihan pusat MCA sudah pun bermula tetapi tidak membawa sebarang makna kerana rata-rata anggap zaman MCA telah pun berlalu dan siapa pun menjadi Presiden tidak begitu penting lagi.

Apa yang boleh dikatakan, keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) telah menunjukkan masyarakat Cina begitu hampa terhadap MCA menyebabkan mereka tidak mahu lagi hiraukan parti itu. Siapa sahaja menjadi Presiden umpama pepatah ‘isi dalam botol tidak ditukar, hanya tukar label botolnya sahaja’, adakah kita boleh harapkan Presiden baharu nanti naikkan MCA ataupun masyarakat Cina di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN) dan UMNO? Tidak mungkin! Kerana berlaku banyak sekatan dan beban.

Bagi saya yang bukan ahli MCA, PRU-13 saya undi parti pembangkang tetapi saya juga tidak mahu MCA terumbang-ambing kerana pakatan pembangkang masih belum mainstream (terutama sekali PKR) untuk pastikan UMNO tidak monopoli. MCA masih lagi berfungsi untuk imbangi kuasa fanatik yang begitu ghairah, kewujudannya masih ada nilai lagi. Tetapi, untuk MCA berubah amat susah kerana mereka terikat dengan kepentingan dalaman serta beban sejarah menyebabkan para pemimpinnya kaku tidak boleh bergerak dan berubah.


MCA sendiri mahu jaga kepentingan parti dan kepentingan pertubuhan dalam parti, sebab itu perlu patuh dan tunduk mengikut telunjuk UMNO. Jika mahu pertahankan kepentingan orang Cina, terpaksa menentang UMNO umpama durian dengan timun. Hakikatnya, masyarakat Cina hanya mahukan keadilan, apabila orang Cina sendiri dapati tiada tempat untuk mengadu, orang yang dilantik walaupun berkedudukan nombor dua tetapi tidak berkuasa, ini yang menyebabkan mereka tidak tahan!

Para pemimpin MCA perlu mempunyai kewibawaan dan keberanian untuk berubah, hindar dan lepaskan beban struktur lama. Saya berpendapat, jalan terakhir, MCA perlu pisahkan antara parti dan politik. Pengerusi parti perlu tumpukan sepenuhnya dengan politik dan ada pasukan sendiri serta konsep politik jelas untuk dapatkan sokongan orang ramai. Barulah dapat angkat muka di bawah keluarga besar BN sebagai rakan kongsi yang berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah.

Ketua Jawatankuasa parti pula diterajui Presiden, tugas utama menjaga kepentingan dan berbincang dalam pengagihan kuasa. Jika konsep politik itu tepat, kepentingan lama dapat diberi jaminan dan pasti tiket undi masyarakat Cina akan kembali semula.


Ini bukan disebut sesuka hati, MCA hari ini memang ramai cerdik pandai tetapi kenapa jatuh ke lembah yang begitu teruk? Sebenarnya, bekas Presiden MCA seperti Datuk Seri Ong Tee Keat dan Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek adalah cerdik pandai yang susah dijumpai tetapi dalam masa singkat mereka tersingkir kerana tidak dapat uruskan sesuatu dengan baik.

Orang yang punyai semangat kuat untuk pertahankan diri habis-habisan seperti Tee Kiat sesuai menjadi Presiden parti dan Soi Lek sesuai menjadi Pengerusi parti yang tiada tolok bandingnya. Jika mereka berdua ini dapat berganding, pasti kekuatan itu amat luar biasa.

Jika mereka dapat jalankan tugas ikut kedudukan masing-masing, serta bekerjasama dengan pemimpin generasi baru seperti Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Datuk Dr. Wee Ka Siong, siapa berani kata MCA tiada nafas baru untuk hidup kembali?

Tetapi, jika MCA masih lagi bersikap konservatif di takuk lama, mengikut telunjuk dan duduk di bawah naungan orang lain untuk mendapat kepentingan yang sedikit, menggadaikan maruah bangsa sendiri, beranikah MCA impikan masyarakat Cina akan kembali kepada mereka? Jika begitu, kita sudah boleh jangka keputusan PRU-14 nanti!

Suara Politik
Belantan

Jumaat, Julai 26, 2013

Wajib lulus TITA demi perpaduan!


Pasca Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), agak sukar untuk orang Melayu menegur isu-isu yang berkaitan dengan orang Cina tanpa dituduh sebagai 'rasis' mahupun mahu 'membalas dendam', apatah lagi jika keputusan dibuat kerajaan yang tidak digemari orang Cina.

Antara keputusan yang terpalit sama adalah mewajibkan Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITA) di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang mempunyai bilangan pelajar Cina lebih ramai daripada IPT awam.

Contoh jelas dalam komen diterbitkan akhbar China Press bertarikh 14 Julai lalu secara sinis menyatakan keputusan itu demi 'kepentingan kaum' ahli politik kelas kedua, kononnya perlu dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan dahulu sebelum TITA boleh diwajibkan di IPT.

Sebenarnya, komen itu menggambarkan situasi masyarakat Cina kini yang terlalu lama hidup dalam kepompong kaum sendiri sehinggakan anak muda mereka tidak mahu atau tidak peduli untuk mempelajari budaya mahupun sejarah etnik lain di negara ini, termasuk bahasa Kebangsaan.

Golongan penentang ini menuduh TITA hanya 'mengagungkan' tamadun Islam ke tahap yang boleh mengislamkan anak-anak muda mereka, sedangkan pelajar didedahkan kepada kepelbagaian tamadun Melayu, Cina, India serta etnik-etnik di Sabah dan Sarawak.

Subjek ini kritikal untuk generasi muda mengenali antara satu sama lain dan membentuk perpaduan terutamanya bagi bekas murid sekolah vernakular yang 'terpisah' daripada masyarakat majmuk.

Mereka akan terus terasing jika ke sekolah tinggi swasta dan IPT swasta dengan hanya bergaul sesama bangsa sendiri, mahupun universiti luar negara khususnya di negara-negara yang mendedahkan mereka kepada bahasa dan kehidupan kaum sendiri sahaja.

Apabila dewasa, golongan muda ini sudah tidak mahu ambil pusing tentang kewujudan kepelbagaian etnik mahupun agama di negara ini dan hasilnya, lahirlah anak muda yang mudah mempermainkan agama dan bangsa lain mahupun mempersenda negaranya sendiri.

Kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan perlu bertegas dalam pelaksanaan TITA jika mahu membentuk perpaduan antara generasi muda negara ini dengan menunjukkan usaha itu demi menyatukan kembali pelajar yang hidup terasing daripada kepelbagaian etnik dan agama lain ketika mereka di peringkat sekolah dahulu.

Profesor Pusat Pengajian Kerajaan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Datuk Dr. Zainal Kling menegaskan TITA bukannya sesuatu yang baharu kerana telah berpuluh tahun dilaksanakan di IPTA sebagai syarat wajib lulus setiap pelajar.

"Ini bukannya penindasan atau dendam, bukan sahaja pelajar Cina tetapi semua pelajar juga diwajibkan lulus TITA. Jika sebab dendam, baik ditutup sahaja IPTS dan sekolah vernakular.

"Kerajaan perlu jelaskan kepada mereka TITA sudah lama diamalkan tanpa masalah di IPTA sebagai sebahagian daripada proses menjadi orang Malaysia sepenuhnya, memahami fahaman orang lain dan bukannya untuk tindas atau ubah agama mereka," katanya.

Beliau menjelaskan, disebabkan kurang pendidikan maka banyak kejadian tidak diingini berlaku kerana anak muda 'kosong' tentang ilmu pengetahuan tamadun lain di negara ini.

Tambahnya, sampai masa untuk diisikan 'kekosongan' itu di IPTS kerana objektifnya adalah meningkatkan kefahaman dan rasa hormat antara rakyat serta menguatkan perpaduan dan persefahaman antara anggota masyarakat.

"Penentangan TITA ini melibatkan elemen cauvinisme Cina yang menentang apa sahaja melibatkan Islam, menolak bila adanya usaha integrasi melibatkan Melayu dan Islam.

"Kementerian perlu bertegas, jika tidak terima arahan ambil sahaja tindakan ke atas IPT terbabit kerana menghalang usaha perpaduan. Ini hal kemasyarakatan antara kita, sepatutnya tahu dan hormati (perbezaan), sebab tidak tahu maka ramai sangat yang langgar (adab)," ujarnya.

Felo Penyelidik Utama Institut Alam & Tamadun Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr. Teo Kok Seong pula melihat TITA sebagai cara formal mendidik persamaan dan perbezaan antara rakyat Malaysia kerana secara tidak formal langsung tiada usaha ke arah itu.

"TITA di IPTS adalah untuk atasi masalah warganegara kita kurang tahu sejarah peradaban negara sendiri. Matlamat akhir usaha ini adalah memupuk persefahaman, perpaduan lebih erat dan membentuk jati diri kebangsaan yang setara untuk semua.


"Lihat sahaja sekarang, mereka yang dari sekolah swasta sebagai warganegara mengaku patriotik tetapi bahasa Melayu tidak fasih, sejarah tidak tahu, asas-asas negara juga terabai seperti kes pasangan yang menghina bulan Ramadan itu," jelasnya.

Beliau berpendapat, selain sikap individu itu sendiri, cubaan 'ringan-ringan' mempersenda Islam turut disumbang kekurangan pengetahuan antara budaya yang amat penting bagi masyarakat majmuk seperti di Malaysia.

Menurutnya lagi, usaha kerajaan mewajibkan TITA adalah untuk menyelaraskan acuan anak muda IPTA dan IPTS agar ada elemen sains sosial untuk membina kemanusiaan dalam setiap pelajar.

"Ini demi keseimbangan sosial, intelek dan kerohanian, aspek kemanusiaan bangsa kerana kita tidak mahu lahirkan profesional berjaya yang tiada nilai-nilai murni mahupun jati diri bangsa Malaysia.

"Kementerian perlu bertegas kekalkan TITAS sebagai subjek wajib lulus kerana nawaitunya jelas bukan untuk Melayukan atau Islamkan anak-anak bukan Melayu, mereka yang menentang itu juga sebenarnya tahu fakta ini," katanya.

Beliau turut mengutuk perbuatan menuduh apa sahaja keputusan yang tidak mengikut kehendak orang Cina dilabel sebagai balas dendam khususnya kalangan kumpulan yang mahu menolak Melayu sebagai bangsa dominan walaupun hak bukan Melayu tidak diabaikan, menolak bahasa Melayu dan banyak lagi.

Jelasnya, golongan itu mahukan Malaysia versi baharu dengan mengangkat kebebasan (mutlak), hak individu (amalan, bersuara), sama rata dan utamakan bahasa Inggeris atas alasan globalisasi.

"Mereka ini akan gunakan orang Melayu sendiri untuk perjuangan semua itu dan walaupun tahu ia bertentangan dengan Perlembagaan, mereka akan sengaja mengada-adakan alasan.

"Jika Melayu terikut-ikut rentak mereka dan mahu berbincang, maka akan dialih daripada isu sebenar. Kerajaan perlu bertegas kali ini, biarlah apa pun akan terjadi kerana selama ini sudah terlalu banyak diberi konsesi tanpa mendapat apa pun daripada mereka," ujarnya.

Kok Seong juga menyatakan kekecewaan terhadap para pemimpin Cina khususnya dalam kerajaan yang mahu TITA dijadikan subjek elektif sedangkan mereka sepatutnya menyokong usaha itu dan menjelaskan objektif serta kelebihannya kepada orang Cina.

"Asal tidak ikut kehendak orang Cina dituduh balas dendam, seorang pemimpin MCA pula jadi 'tukang sapu' sedangkan beliau sepatutnya menyokong usaha ini yang mempunyai agenda lebih besar untuk masa depan negara," tegasnya.

Suara Politik
Belantan