Ahad, Oktober 31, 2010

Soksek-soksek akhbar berbahasa Cina!














Bonus kakitangan awam punca defisit


Penganalisis kewangan Yeo Ming Wan dalam halaman sembilan akhbar Nanyang Siang Pao bertarikh 19 Oktober 2010 mengulas mengenai isu pemberian bonus kepada penjawat awam. Katanya, jika kerajaan beri bonus kepada kakitangan awam seluruh badan akan terasa bisa. Apa yang terjejas ialah wang operasi kerajaan, yang sepatutnya RM162.8 bilion akan meningkat kepada RM165.9 bilion.

Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2011 langsung tidak menyentuh tentang isu bonus kakitangan kerajaan. Penulis itu menekankan bahawa bilangan kakitangan kerajaan terlalu ramai dan disebabkan itu, Najib menyatakan kepayahan kerajaan untuk membayar bonus. Penjawat awam adalah seramai 1.2 juta.

''Perdana Menteri menyatakan jika semua kakitangan awam diberi bonus, kerajaan akan membelanjakan sebanyak RM3.1 bilion. Sumber pendapatan kerajaan terhad dan tidak dapat menanggung semua itu.

''Dan beliau berkata sebagai Menteri Kewangan yang bertanggungjawab beliau perlu pastikan pengeluaran tidak melebihi pendapatan,'' tambah Ming Wan.

Jelas penulis berkenaan, sebenarnya dalam Kerajaan Persekutuan sudah lama berlaku pengeluaran melebihi pendapatan. ''Yang paling menonjol ialah pada kemelesetan ekonomi tahun 2008. Kerajaan lancarkan dua pakej pada tahun 2009. Defisit kerajaan sebanyak RM 47.4 bilion dengan nilai tujuh peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Jika bonus mahu diberi juga maka sebanyak RM3.1 bilion duit kerajaan terpaksa dibelanjakan dan ia akan membuatkan kerajaan sesak nafas. Katanya, pemberian satu bulan bonus kepada kakitangan kerajaan umpama satu suntikan pada tempat yang paling lemah di badan.

''Jika kerajaan luluskan peruntukan berkenaan, defisit kerajaan akan meningkat daripada RM45.56 bilion kepada RM48.66 bilion,'' tambah beliau. Kata Ming Wan, dalam kos operasi kerajaan perkara yang perlu dikurangkan ialah pembayaran elaun. ''Elaun pada tahun 2010 sebanyak 22 peratus iaitu RM24.9 bilion. Pengurangan untuk tahun depan akan dilakukan sebanyak 4.9 peratus iaitu kepada RM23.7 bilion. Tetapi kerajaan belum halusi keperluan sebenar untuk mengurangkan elaun tersebut, cuma berdasarkan pengalaman yang lalu,'' katanya.

Dalam pada itu, penulis itu menegaskan sepatutnya kakitangan kerajaan meningkatkan produktiviti. Dalam jangka masa panjang, jika kerajaan mahu perubahan, perhatian perlu diberikan kepada peningkatan produktiviti kakitangan kerajaan yang ramai itu.

Relevan Sejarah sebagai subjek wajib lulus

Timbalan Editor Sin Chew Daily, Tay Ting Hian menulis sebuah artikel yang mempersoalkan mengenai kewajaran subjek Sejarah sebagai wajib lulus seperti yang disiarkan akhbar itu pada 26 Oktober lalu. Tulis Ding Xian orang ramai tertanya-tanya kenapa perlunya Sejarah menjadi subjek lulus dan bukannya bahasa Inggeris, Matematik atau bahasa ibunda?

Subjek Sejarah diakui penting kerana dalam mencapai negara maju dan berpendapatan tinggi, ia adalah perjalanan penting dan boleh menjadi penambah nilai yang sebenar. Tetapi subjek sejarah itu diperlukan untuk politik. Contohnya seperti sejarah pemerintahan kerajaan Melaka, UMNO menerajui negara ini sehingga mencapai kemerdekaan, adanya kontrak sosial dalam masyarakat yang tidak boleh diganggu gugat dan Barisan Nasional telah membawa negara ini menjadi aman dan makmur.

Sejarah ini mungkin mahu diturunkan kepada generasi anak cucu. Di negara-negara maju, bahan sejarah bukanlah pendidikan ideologi mereka. Sebaliknya sejarah itu menjadi bahan inspirasi pemikiran awal rakyat. Mereka tidak menjadikan subjek Sejarah sebagai alat untuk berkhidmat kepada politik. Ia semata-mata untuk pendidikan naluri kemanusiaan dan sebab kewujudan subjek itu semata-mata untuk kemajuan dalam masyarakat mereka.

Sebagai contoh dalam mata pelajaran Sejarah di Amerika Syarikat (AS), diterangkan mengenai orang Eropah yang berhijrah ke tanah besar Amerika. Pelajar-pelajar kemudiannya akan mengkaji bahan sejarah itu dan mencari bahan serta buku rujukan, membuat tesis mengenainya. Inilah baru benar-benar cara mendidik mata pelajaran Sejarah.

Tetapi kita tidak berani memikirkannya. Adakah dalam kaedah mengajar subjek Sejarah itu guru-guru membenarkan perdebatan mengenai sejarah Semenanjung Melayu ini? Tamadun Hindu wujud sebelum tahun 1400 sebelum Masihi atau sejarah selepas tahun 1400 iaitu ketika zaman Parameswara datang ke Melaka?

Sama juga sejarah UMNO, MCA dan MIC. Selain parti ini, adakah sejarah parti-parti lain dimuatkan ke dalam subjek Sejarah. Antaranya pertubuhan dan gerakan sayap kiri serta sejarah sebenar perjuangan untuk kemerdekaan.

Berkenaan kontrak sosial dalam masyarakat pula, pakar sejarah sekali pun tidak faham dan merungkaikan mengenai hakikat ini. Bukankah mewajibkan syarat lulus subjek Sejarah itu akan hanya menggerunkan pelajar? Sedangkan keputusan itu dibuat ketika Perhimpunan Agung UMNO. Bukan diserahkan kepada pakar sejarah untuk dikaji dan dibincangkan. Keputusan dibuat seperti tidak dipolitikkan tetapi orang ramai berasa janggal.

Baju Melayu dan politik

Baju Melayu yang menjadi pakaian rasmi semasa Perhimpunan Agung UMNO minggu lalu mendapat perhatian luar biasa daripada Timbalan Editor Sin Chew Daily, Tay Ting Hian yang menulis mengenainya di ruangan pendapat akhbar itu pada 27 Oktober lalu. Ting Hian menerusi artikel berjudul 'Politik dan pakaian' itu melihat pemakaian baju Melayu termasuk oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membawa mesej tersendiri.

Di sebalik slogan UMNO iaitu 'untuk bangsa, agama dan bahasa' iaitu kata-kata yang 100 peratus tidak lekang daripada perkauman, pasti akan rasa janggal dan diragui keikhlasannya jika ia dilaungkan dengan memakai kot atau batik. Sebab itu tidak pernah kelihatan pemimpin UMNO pada perhimpunan itu tidak memakai baju Melayu.

Jika pada mesyuarat Agung MCA pula, apa yang dapat dilihat ialah pakaian berwarna putih iaitu pakaian seragam parti. Tidak kelihatan baju Cheong Sam atau pakaian Tongshan. Komunis di China yang meniupkan suara perkauman juga semuanya mengenakan kot yang begitu segak semasa perhimpuan agung mereka.

Semasa Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak merasmikan perhimpunan itu, ucapannya berketerampilan. Beliau mahu UMNO bersikap terbuka dan menerima serta menjaga kepentingan kaum lain. Tetapi dalam dua hari berikutnya, walaupun perwakilan berhujah mengenai jasa dan kehebatan yang dilakukan UMNO, apa yang disarankan Najib itu langsung tidak kelihatan.

Walaupun suara dalam perhimpunan itu agak lebih terbuka berbanding sebelum ini, tetapi pada dasarnya ia hanya berpaksikan kaum. Sedangkan Najib semasa ucapan penutup juga, mula menampakkan nilai kaum yang susut. Beliau terpaksa kembali kepada perjuangan asal UMNO. Dua hari selepas Perhimpunan Agung UMNO, Najib kembali ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebagai Perdana Menteri untuk melancarkan konsep perubahan ekonomi negara.

Kali ini beliau hadir dengan mengenakan baju kot Barat, bertali leher kegemaran beliau iaitu berwarna merah. Ucapannya dalam bahasa Inggeris. Ucapan Najib dari sudut isinya memang bertaraf antarabangsa dan cukup global. Kebanyakannya berkisar mengenai peluang komersial dan perdagangan, pembangunan serta daya saing ekonomi untuk masa depan. Hadirin yang ada pada hari itu semuanya sudah semestinya mengenakan pakaian kot ala Barat.

Jika mereka bukan ahli perniagaan sekali pun mereka ini sudah tentu kumpulan profesional. Tidak mungkin dalam majlis seperti itu, ada yang mengenakan baju Melayu dan menggunakan bahasa Melayu untuk berbincang mengenai isu dan masalah kaum.

''Baju kot ala Barat atau baju Melayu sebenarnya keperluan dalam politik. Mengenakan pakaian dan menggunakan bahasa itu semuanya perlu mengikut tempat dan situasi yang sesuai. Jika tidak jelas, ia boleh mencelarukan fikiran kita," tulis Ting Yian.

Suara politik
Taminsari

Khamis, Oktober 28, 2010

PRK N45 Galas : " Amanat Hadi " bergema semula di Galas!

Nik Aziz pernah sebelum ini mengatakan yang kafirkan UMNO adalah angkara militan PAS!

Jika kenyataan Nik Aziz itu boleh diterima mewakili keseluruhan pandangan kepemimpinan Pas, ia jelas membuktikan bahawa selama ini parti itu tidak mengkafirkan UMNO. Ia juga bermakna UMNO, parti yang didokong oleh orang Islam, tidak pernah bercanggah dengan kehendak Islam.

Soalnya mengapa perkara ini tidak pernah diperjelaskan sebelum ini? Mengapa perkara ini dibiarkan berlarutan hingga menimbulkan perpecahan di kalangan umat Islam, berlaku perceraian suami, isteri dan perbalahan anak-beranak yang berbeza parti hinggakan berlaku sembahyang dua imam. Apa yang diketahui umum, pemimpin Pas turut mengkafirkan UMNO.

Ia bukan sekadar inti ucapan di majlis ceramah, malah jelas membuktikan daripada pandangan orang Pas, UMNO adalah kafir. Mengapa hanya selepas PAS bercadang membuka keanggotaan parti itu kepada bukan Islam, pandangan PAS terhadap UMNO berubah. Umum mengetahui salah satu sebab UMNO dicap kafir ialah kerana ia bekerjasama dengan parti lain yang bukan Islam dalam Barisan Nasional (BN).

Sebaliknya apabila PAS cuba rapat dengan parti pembangkang lain yang bukan Islam, mereka menganggap ia dibenarkan oleh Islam kerana tujuannnya ialah untuk menegakkan keadilan!

Apakah UMNO selama ini tidak pernah memperjuangkan keadilan terhadap rakyat? Apakah UMNO tidak pernah memperjuangkan nasib umat Islam? Isu mengkafir UMNO berlarutan agak panjang. Sepatutnya, jika menyedari bahawa isu mengkafirkan UMNO dilakukan oleh pelampau dalam PAS, maka pemimpin parti itu segera memperbetulkan keadaan itu.

Bukankah disebabkan ketika itu Pas melihat isu kafir-mengkafir itu memberi kelebihan politik, maka mereka mengizinkan UMNO dibelasah dengan tohmahan yang tidak sewajarnya dilakukan sesama Islam.

Mengulas kenyataan TPM Tan Sri Muhyiddin Yassin di Galas, beliau sekali lagi mempertikaikan tindakan Pas yang dianggap beliau terus mengeluarkan 'fatwa' sesuka hati berhubung kerjasama UMNO dengan MCA dalam Barisan Nasional (BN).

Katanya, tindakan menganggap kerjasama UMNO dengan MCA adalah salah tetapi dalam masa yang sama 'menghalalkan' kerjasama Pas dengan DAP, membuktikan pemimpin Pas suka membuat 'fatwa' sesuka hati mengikut kepentingan politik mereka.

" Perangai mereka macam biasalah, apa yang mereka buat 'halal' yang kita 'haram', yang dia (buat) masuk syurga, yang kita masuk neraka. Dari segi konteks kerjasama dengan masyarakat apa bezanya antara DAP dan MCA," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis ramah mesra dengan masyarakat Orang Asli di Pos Brooke sempena kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri mengulas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menganggap kerjasama parti itu tidak salah sebaliknya kerjasama antara UMNO dan MCA yang salah.

Dalam ceramahnya malam tadi sempena kempen pilihan raya tersebut, Abdul Hadi berkata, keadaan itu terjadi kerana mendakwa pemimpin UMNO mengikut perangai pemimpin MCA yang bertentangan dengan Islam.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, parti itu sejak dulu lagi berpendapat kerjasama dengan MCA atau mana-mana parti komponen BN lain yang bukan Islam tidak salah sama ada dari segi hukum agama mahupun kepentingan awam.

" Hasil kerjasama yang kita jalin sejak 53 tahun lalu, bermula dengan Perikatan, ia mendatangkan kebaikan kepada negara ". Mereka belajar daripada kita.

" Oleh itu kenapa perlu ada satu pandangan yang berbeza berhubung kerjasama ini," katanya.

Beliau berkata, BN tidak menganggap apa yang dilakukan oleh PAS bekerjasama dengan DAP adalah salah tetapi mempersoalkan kenapa parti itu dahulu menuduh UMNO kafir kerana bekerjasama dengan orang kafir.

" Hari ini 'fatwa' yang sama hendak digunakan tetapi kalau untuk dia tak apa, untuk kita tak boleh," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap masyarakat Islam khususnya pengundi di Galas akan mengambil iktibar terhadap sikap tidak konsisten PAS yang terus mengamalkan pendirian apa sahaja yang dilakukan oleh mereka betul tetapi kalau dibuat oleh BN salah.

Penulis melihat mengapa Abdul Hadi sekali lagi mengeluarkan kenyataan yang meng"ia"kan "Amanat" beliau sebelum ini. Sehingga kini Abdul Hadi masih belum menafikan "Amanat" beliau kecuali Nik Aziz. Adakah ini tindakan terdesak Abdul Hadi untuk meraih UNDI di PRK Galas?

Jika mengikut apa yang dikatakan oleh Nik Aziz bahawa isu kafir-mengafir UMNO adalah angkara pelampau PAS, maka adakah Abdul Hadi juga seorang militan atau pelampau PAS? Setidak-tidaknya, dengan kenyataan Nik Aziz itu jelas menunjukkan dalam PAS sendiri memang wujud kalangan ahli parti itu termasuklah " Presiden "nya bersikap melampau. Islam tidak pernah merestui umat yang bersikap demikian.

Bolehkah PAS menutup kes sembahyang dua imam kerana menganggap tidak sah sembahyang berimamkan orang UMNO. Apakah PAS boleh menafikan hakikat ini? Sekiranya PAS benar-benar ikhlas, mereka sepatutnya mengeluarkan pendirian yang mengatakan UMNO adalah parti yang berjuang mengikut lunas Islam. Tidak perlu lagi parti itu berdolak dalik kerana apa saja isu yang dikemukakan oleh parti itu, adalah semata-mata untuk tujuan politik.

Jika kepemimpinan PAS termasuklah Presidennya Abdul Hadi berfikiran panjang, mereka seharusnya melihat diri sendiri dan bertanding dalam pilihanraya kecil di Galas dengan isu yang lebih munasabah. Bolehkah Amanat Hadi dimansuhkan. Hanya pemimpin-pemimpin PAS termasuk Presidennya sahaja yang boleh memberikan jawapannya?

Wallahuallam.

Suara Politik
Taminsari

Rabu, Oktober 27, 2010

Sandiwara PKR di P185 Batu Sapi : Wan Azizah anggap SAPP sebagai 'pengacau'!

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail menganggap calon Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee sebagai 'pengacau' kepada usaha parti itu untuk memenangi Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi.

Beliau berkata, namun begitu, PKR dilihat masih mempunyai peluang untuk merampas kerusi berkenaan dari Barisan Nasional (BN). "Kita rasa insya-Allah peluang kemenangan itu ada, kita mahu diketahui yang kitalah pembangkang bukan SAPP. SAPP yang menjadi pengacau (spoiler) di sini," katanya.

Beliau ditemui selepas penamaan calon Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi di Dewan Masyarakat Sandakan di sini hari ini.Menurut Azizah, pakatan pembangkang akan berusaha keras menggerakkan jentera pilihan raya bagi memastikan kemenangan calonnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kekuatan yang ada pada BN tidak harus diambil mudah. "Peluang kita dalam segala pilihan raya kecil memanglah tidak mudah tetapi di Sibu kita sudah mendapat kemenangan dan insya-Allah pada kali ini kita doakan kemenangan," katanya.

Dalam pada itu, Seng Giaw berkata, calon SAPP dan BN dilihat tidak mampu untuk membawa perubahan dalam menyelesaikan masalah rakyat. Katanya, hanya calon PKR yang layak mewakili penduduk Batu Sapi di Parlimen bagi menyuarakan masalah mereka.

"Inilah satu peluang bagi pengundi di Batu Sapi untuk menentukan wakil di Dewan Rakyat yang boleh benar-benar mewakili mereka, boleh bersuara untuk masalah-masalah yang dihadapi kerana kedua-dua calon yang lain tidak boleh," katanya.

Sebelum itu : Batu Sapi Pecah Undi Kerja Anwar!

Satu mesyuarat sulit diadakan oleh Anwar bersama Yong Teck Lee mengenai PRK Batu Sapi. Kita disajikan dengan drama kononnya PKR tidak bersetuju dengan SAPP. Episod Anwar marah di Parlimen hanyalah satu lakonan semata mata.

Rundingan berlaku di Sabah dengan pertemuan Teck Lee dan Anwar dirancang secara sulit. Perancangan rapi dilakukan untuk memecahkan undi apabila bertanding di PRK Batu Sapi. Kekuatan PBS di sana dengan kemenangan majoriti 3 ribu amat susah dipecahkan melainkan berlaku pertembungan 3 calon.

Perancangan awal ialah menunjukan SAPP tidak bersama dengan Pakatan,ini bertujuan untuk mencuri undi dikalangan mereka yang pro BN tetapi tidak bersetuju dengan PBS. Kemudian Anwar mengarahkan kalangan SAPP dan PKR membeli kertas pencalonan yang banyak.Ini bertujuan untuk memecahkan undi kepada calon calon bebas tajaan PKR.

Anwar sengaja meletakkan Ansari sebagai calon PKR di Batu Sapi,walaupun menyedari Thamrin adalah pilihan penyokong PKR. Beliau menyedari penyokong PKR yang tidak mahu Ansari sebagai calon akan terus mengundi Teck Lee sebagai calon mereka.

Rundingan tersebut mengariskan sokongan sulit diberikan kepada SAPP jika mereka berjaya menang pada PRK Batu Sapi . Justeru BN harus berhati hati dan harus berkerja keras untuk kemenangan calon BN di sana.

Inilah kerja Anwar yang sanggup berbohong walaupun kepada penyokong sendiri. Untuk sandiwara mereka seterusnya sama-samalah kita tunggu untuk episod terbaru nanti...Wallahuallam.

Suara Politik
Taminsari

Isnin, Oktober 25, 2010

Parti komponen BN tidak menghayati aspirasi nasional!



















Sedang UMNO rancak bersidang, melontarkan pelbagai idea bagi mewujudkan keadilan dan kesamarataan untuk memastikan kemakmuran negara agar bukan sahaja berkekalan tetapi turut dikongsi bersama secara adil, rupa-rupanya iltizam itu tidak dikongsi bersama parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain.

Malah MCA misalnya yang diterajui oleh Presiden mereka begitu sinis memperli Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana mempertahankan Artikel 153 Perlembagaan Negara. Kononnya, perkara itu tidak wajar dibahaskan secara terbuka kerana akan menyentuh sensitiviti kaum. Komentar beliau boleh didengar, disaksikan malah ditulis di dalam semua akhbar pelbagai bahasa, termasuk disiarkan secara langsung oleh rangkaian televisyen negara ketika Datuk Seri Chua Soi Lek diwawancara sempena Perhimpunan Agung UMNO yang sedang berlangsung ketika itu.

Hairan bin ajaib. Itulah yang berlaku kerana jika sebelum ini di dalam pelbagai wacana, program dan mesyuarat tertutup dan terbuka yang dihadiri oleh Presiden MCA ini, beliau tidak pernah lekang mempersoalkan perkara yang sama. Malah dengan licik meminta ia dikaji semula, diberi kelonggaran, dikurangkan kuota dan pelbagai desakan lagi yang beliau sendiri katakan, tidak pula dikupas sebagai menyentuh sensitiviti kaum.

Secara jelas, kita boleh tafsirkan apa yang ingin beliau sampaikan di sini adalah kaum lain sahaja yang mempunyai sensitiviti. Manakala Melayu dan bumiputera adalah sebaliknya, atau bangsa lain boleh mempersoalkan apa saja yang dilakukan oleh kerajaan walaupun sudah termaktub di dalam Perlembagaan. Bangsa Melayu pula seolah-olah tidak sekali-kali boleh melakukan ataupun bertindak mempertahankannya.

Sudahlah kalah teruk di dalam PRU 12, gagal menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam pelbagai pilihan raya kecil yang berlalu, malah diberikan pelbagai insentif untuk kononnya menarik sokongan kaum yang satu ini, tetapi nampaknya mereka ini memang tidak sedar diri.

Kita lihat sahaja bagaimana radikal dan sensitifnya mereka dalam pelbagai perkara yang berkaitan kaum sendiri termasuk pelbagai penghinaan terhadap lagu Negaraku serta bangsa Melayu oleh seorang bekas pelajar negara ini yang menuntut di Taiwan satu ketika dahulu. Hampir semua pemimpin kanan mereka mempertahankan tindakan pelajar berkenaan, sedangkan pada masa yang sama menghentam pengetua sekolah yang hanya bertindak demi mendisiplinkan pelajarnya sehingga ke tahap yang di luar batas rasional.

Kadangkala, sebagai warga negara Malaysia dan berbangsa Melayu, kita sendiri menjadi musykil siapakah sebenarnya yang lebih berhak di negara ini?

Para pemimpin dan pentadbir negara perlu sedar diri dan patut bermuhasabah kenapa agaknya kaum lain menjadi begitu berani dan terlalu mendesak hatta kepada perkara yang tidak masuk akal dan di luar konteks. Mesti ada sebabnya ataupun ada asas yang menjadikan mereka menjadi begitu sehingga melanggar apa sahaja batasan tingkah laku dan semangat setiakawan yang dijanjikan sewaktu menubuhkan Perikatan dan kemudiannya menjadi BN ketika ini.

Ahli politik dan para pegawai kanan dari kaum Melayu sendiri seolah-olah termakan umpan kumpulan radikal ini sehingga mempercayai bahawa kita telah menindas dan menidakkan bangsa lain dalam berkongsi peluang. Sedangkan hakikatnya selama ini, kita sahajalah yang menjadi korban dan sentiasa tertipu dengan pelbagai dakyah mereka.

Bayangkanlah, bangsa asal negara ini, juga penduduk majoriti hanya diperuntukkan keistimewaan sebanyak 30 peratus kek ekonomi. Walhal selayaknya mereka mendapat sekurang-kurangnya 60 peratus. Dengan peruntukan sekecil itupun, nampaknya masih lagi dipertikaikan hatta dituduh mengamalkan dasar perkauman dan perlindungan. Fikirlah secara analitikal siapakah sebenarnya yang ditindas, tertindas atau ditipu?

Agaknya, inilah perkiraan matematik kaum lain sehingga timbangan dacing yang sepatutnya sama sudahpun dilebihkan kepada mereka, namun masih juga tidak berpuas hati sehingga mahu dirampas dacing itu dan dibuang ke longkang.

Bukalah mata dan minda, tinjau sahaja ke seberang tambak sana apa yang berlaku kepada bangsa Melayu yang ditadbir oleh mereka. Apakah semua yang diperoleh mereka di sini mampu diperoleh bangsa Melayu di sana? Tentu pembaca boleh menilainya sendiri tanpa perlu melihat sebarang statistik untuk menyokong, sebab amat jelas terpampang di hadapan mata umpama sudah terang lagi bersuluh.

Sudah tiba masanya, para pemimpin Melayu tidak terlalu takut melanggar sensitiviti kerana apabila orang sudah bersikap kurang ajar memang sepatutnya diajar dengan cara yang sama. Kata orang tua tunduk bukan untuk dipijak, dan jangan dibiarkan anak buah berfikir kita sudah menjadi manusia bacul.

Masa sudah semakin suntuk, tebing sudah mulai runtuh, malah tsunami sudah sekali melanda. Jangan biarkan kita semua digulung dan akhirnya sejarah Melaka akan berulang dalam abad yang berbeza. Kena ada agenda yang ampuh dan perlu keberanian yang bukan kepalang bagi menghadapi perjuangan besar yang bakal menjelang.

Sinsingkan baju, aturkan langkah dan mantapkan gerakan sekiranya tidak mahu rebah di tengah jalan.-UM.

Suara Politik
Taminsari

Henti bahas hak Melayu – PM!

Datuk Seri Najib Tun Razak meminta semua pihak supaya berhenti mempersoal dan membahaskan mengenai hak istimewa Melayu serta pada masa sama mengulangi bahawa ia dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Presiden UMNO, seperti yang ditegaskan beliau baru-baru ini, soal hak istimewa Melayu dan bumiputera adalah sesuatu yang telah terpateri dan terkunci kemas dalam Perkara 153 Perlembagaan dan tidak mungkin dipinda.

“Itulah sebenarnya hakikatnya. Peruntukan-peruntukan mengenai kepentingan orang Melayu dan bumiputera, yang melibatkan soal keistimewaan orang Melayu sudah pun terpateri kemas, telah terkunci, tersimpul mati dalam Perlembagaan negara kita.

“Ia tak boleh dipinda melainkan dengan persetujuan raja-raja Melayu dan saya tak nampak raja-raja Melayu akan pinda peruntukan Perlembagaan ini.

“Soal Perlembagaan ini tak usah bangkit pada sesiapa lagi. Habis, tutup cerita, kita mara ke depan, orang putih kata lets move on. Tak ada apa lagi, dah... dah... dah, habis cerita, tutup buku,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan ketika sesi penangguhan Perhimpunan Agung UMNO Ke-61 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Dalam ucapan dasar Presiden sewaktu merasmikan perhimpunan agung itu Khamis lalu, Perdana Menteri menegaskan, hak istimewa Melayu yang dijamin dalam Perkara 153 Perlembagaan tidak boleh digugat kerana ia tidak mungkin dipinda tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.

Perkara 153 antara lain mencakupi rezab kuota perkhidmatan dan permit untuk orang Melayu.

Dalam pada itu, Najib menyelar parti pembangkang yang memusingkan ucapan dasarnya berkaitan hak istimewa orang Melayu itu dengan kenyataan bahawa UMNO tidak perlu berkuasa kerana kononnya pihak lain pun boleh mempertahankan keistimewaan itu disebabkan ia sudah ada dalam Perlembagaan.

Menurutnya, pandangan pembangkang itu tidak benar sama sekali kerana walaupun ia sudah terkunci kemas, namun kuasa politik perlu berada di tangan UMNO untuk menterjemah prinsip semangat peruntukan Perlembagaan itu.

“Kumpulan yang di sebelah sana, dia pakar pusing, orang putih kata spinning. Dia very good at spinning. Dalam ucapan saya (ucapan dasar), saya tutup dengan mengatakan dalam apa juga keadaan, mesti kita pertahankan (hak istimewa Melayu).

“Inilah masalah kita berdepan dengan pembangkang yang selalu memutar sesuatu kepalsuan untuk mengelirukan rakyat jelata.

“Kita beritahu bahawa UMNO akan menyelamatkan masa depan Melayu dan negara kita yang tercinta. Tak ada orang lain (hendak pertahankan), nak kata dia (pembangkang) boleh... dulu sibuk reformasi, sekarang ini sibuk baling kerusi,” tegasnya.

Sementara itu, Najib pada sidang akhbar kemudian berkata, seandainya isu Perlembagaan masih dibangkitkan oleh pihak tertentu, ia akan hanya bersifat akademik.

“Ia tidak akan mengubah setitik pun. Kita memang ada undang-undang tapi kita akan tengok macam mana ia dibangkitkan, sama ada ia melanggar undang-undang atau (berbentuk) hasutan.

“Tapi, mereka patut faham kalau persoalkan, ia hanya bersifat akademik, buang masa dan `habiskan beras’ sahaja,” katanya.

Bagaimanapun, Najib berkata, parti-parti komponen BN sudah memberi persetujuan supaya perkara-perkara yang bersabit dengan Perlembagaan tidak perlu lagi dibangkitkan oleh sesiapa.-UM.

Suara Politik
Taminsari

Ahad, Oktober 24, 2010

Angka 13 membawa bencana politik?

Tiada lagi esok untuk kita! Kuasa politik kita yang dominan yang diwarisi sejak zaman Melaka dan dipegang kuat selama 54 tahun akan hilang. Berdasarkan realiti dan sentimen politik pengundi sekarang, bencana politik ini akan terjadi pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13. Paling lama, dua tahun saja lagi! Ada orang percaya dan hampir percaya, angka 13 membawa bencana.

Ahli Parlimen DAP, Teo Nie Ching, ketika melawat pejabat Harakah mengatakan, beliau "yakin dan percaya UMNO tidak akan mendapat undi masyarakat Cina pada PRU ke-13." Beliau diundang berceramah dan beri bantuan di dalam surau. Banyak benar kita bercakap tentang Islam tetapi bantuan untuk surau pun, kita minta daripada orang bukan Islam. Di mana maruah kita?

Mungkin Teo terlupa memberitahu Harakah, "Penyokong Pas akan tetap mengundi DAP, kerana mereka percaya DAP lebih baik daripada UMNO. Mereka lebih percaya orang Cina daripada orang Melayu." Pemimpin DAP sudah diundang memberi ceramah dan bantuan dalam surau dan masjid.

Orang Pas sangat bangga. "Tengoklah, Pas berjaya bawa Cina masuk ke dalam surau. Bagi duit pula".

Pemimpin dan penyokong Pas megah kerana pemimpin DAP baca ayat al-Quran semasa kempen pilihan raya. Beri sumbangan untuk majlis berkhatan. DAP tak sokong negara Islam, tetapi menyokong Pas, sebab Pas sekarang bukan lagi 'Parti Islam', tetapi 'Parti untuk Semua'.

Teo mungkin terlupa, "Majlis Syura Pas telah bersetuju dan membenarkan orang bukan Islam bertanding di bawah lambang Pas. Zaman dulu, Pas tuduh UMNO kafir kerana berpakat dengan MCA untuk memerintah, tetapi sekarang 'Pas baru' pimpinan Tok Guru Abdul Hadi dan Tok Guru Nik Aziz boleh ikut memerintah dengan DAP. Di Pulau Pinang, khatib pun mendoakan Lim Guan Eng dalam khutbah Jumaat. Banyak lagi alasan mengapa pengundi Cina tak akan undi UMNO, tetapi pasti akan undi DAP.

Maka kehilangan kuasa Melayu ini bukan suatu dongeng. Ia telah terjadi di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Ipoh dan Petaling Jaya sekarang. Hal ini terjadi disebabkan majoriti pengundi bukan Melayu berada di kawasan bandar.

Kita boleh kira berapa kerusi yang akan dimenangi DAP dan Pas. Seperti yang pernah berlaku di Perak, Pas pun boleh duduk dengan megahnya di bawah bayangan kuasa DAP. Fakta ini, semua tahu. Lebih daripada tahu! Tak payah diulang-ulang. Tak payah diperingatkan oleh Teo Nie Ching "Orang Cina tidak akan undi UMNO."

Akan tetapi masih ramai orang Melayu, termasuk pemimpin politik dan generasi muda, tidak menganggap perubahan ini suatu kecelakaan besar. Orang seperti Datuk Nazri Aziz mungkin tak kisah, sebab beliau "rakyat Malaysia terlebih dulu, barulah orang Melayu". Tok Guru Nik Aziz pun "tak bangga jadi Melayu".

Bagi orang yang sama sikap dengan mereka ini, siapa perintah negara dan jadi Perdana Menteri pun sama saja. Akan tetapi bukankah Datuk Nazri seorang menteri dan Ketua Bahagian serta Ahli Majlis Tertinggi UMNO? Beliau tak wajar lagi memegang semua jawatan itu mewakili parti kebangsaan Melayu. Betullah ramai pemimpin kita yang bercelaru, lantas Melayu pun bercelaru.

Kata Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin, umat Islam di negara ini sudah "tenggelam punca". Tun Mahathir telah banyak kali sangat memberi amaran.

Beliau memerintah negara dan menjadi Pengerusi BN selama 22 tahun. Mengepalai BN bertarung dalam lima pilihan raya. Ada pilhan raya yang BN menang besar dan ada yang hampir hilang kuasa. Beliau kalah di Kelantan, Terengganu dan Sabah. Mengalami dua krisis UMNO yang sangat besar. Pada zamannya, UMNO pecah dua dan diharamkan di mahkamah.

Beliau turut berhadapan dengan raja-raja kerana meminda Perlembagaan. Ada orang Melayu menggelar beliau "Maha Firaun" dan ada orang UMNO kata, dia "diktator". Beliau menangani krisis kewangan yang gawat. Dan macam-macam krisis dan cabaran lagi. Dihadapi dan diselesaikan satu persatu.

Apabila mengundurkan diri tanpa terpaksa atau dipaksa, dan menyerahkan kuasa kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi; BN, UMNO dan negara berada dalam keadaan yang kukuh dan stabil. Bukan dalam masa kekalahan! Maka pemerhatian politiknya tajam dan berdasarkan pengalaman dan fakta yang nyata. Amarannya bukanlah wayang politik dan suka-suka.

Tan Sri Harussani, Mufti Perak, seorang ulama dan bukan orang politik yang telah cuba memperkukuh politik Melayu, akhir-akhir ini ikut prihatin dan mengingatkan: "Jika UMNO dan Pas tidak bersatu, Melayu akan hilang kuasa pada PRU ke-13" dan "Akan berlaku satu bentuk penjajahan baru." Lebih daripada itu, dalam masa dua tahun terakhir ini, beberapa orang Raja Melayu pun, sudah berkali-kali memberi nasihat dan amaran. Tidak pernah Raja-Raja Melayu bercakap politik seperti sekarang. Tidakkah ini alamat keruntuhan kedaulatan institusi Raja Melayu sudah bermula?

Raja Dr. Nazrin bimbang masa depan umat Islam di negara ini yang katanya berada "dalam suasana kritikal, bagaikan tenggelam punca". Katanya lagi, "Penderitaan dan penghinaan yang menimpa sebahagian umat Islam di Palestin, Afghanistan dan Iran, bermula daripada pemesongan di kalangan pemimpin yang rela membuka laluan kepada orang bukan Islam untuk melakukan pencerobohan serta kemusnahan terhadap bumi dan umat Islam sendiri."

Justeru baginda mengingatkan: "Pencerobohan besar bermula daripada perbuatan kecil. Ia mungkin bermula dari surau, madrasah, masjid atau sebuah mimbar. Ia bermula daripada satu ungkapan, ucapan, khutbah, tazkirah atau doa.

"Ia bermula daripada pencerobohan kecil, ketika orang Islam masih belum insaf, berdegil dan sombong mempertahankan ego serta memilih untuk bertelagah. Mereka sebenarnya memberi petanda yang salah, seolah-olah menggalakkan pencerobohan lebih besar boleh dilakukan ke atas umat dan institusi Islam."

Antara perubahan utama yang akan dilakukan apabila pakatan Pas-DAP-PKR memerintah adalah meminda Perlembagaan Persekutuan dan Negeri, mengubah pengagihan jawatan menteri, ketua-ketua jabatan kerajaan, polis dan tentera dan ketua eksekutif GLC, PNB, TNB, dan Telekom Malaysia. Menambah kawasan pilihan raya di kawasan bandar. Mereka juga akan mengadakan semula pilihan raya untuk Dewan Bandar Raya, Majlis Bandaran dan Kerajaan Tempatan. DBKL pasti akan berubah wajah. Maka bermulalah "penjajahan baru" yang disebut Tan Sri Harussani.

PRU ke-12 adalah tsunami politik dan amaran Allah. Malangnya pemimpin politik Melayu-Islam masih terus bertelagah merebut kuasa, jawatan, pangkat dan kekayaan. Sejarah kejatuhan Empayar Rom, Empayar Islam dan kemusnahan kuasa kerajaan-kerajaan Melayu, nampaknya tidak mampu mengajar kita.

Justeru, kecelakaan politik yang akan menimpa kita bukanlah kerana 'nasib' tetapi kerana perbuatan kita sendiri. Maka janganlah kita selalu sedih 'mengenangkan nasib' kerana ini sikap orang yang mengaku tewas sebelum berjuang.

Hakikatnya, asas dan kunci kekuatan Melayu berada di tangan Melayu. Jangan kita lupa bahawa pertubuhan-pertubuhan Melayulah yang menubuhkan UMNO dan sepanjang perjuangan UMNO, di belakangnya bergerak secara konsistan pelbagai macam pertubuhan Melayu, termasuk pertubuhan pegawai kerajaan, penghulu, penulis, wartawan dan guru.

Meskipun adakala mereka tidak sekata dengan UMNO, tetapi mereka tetap setia bersama UMNO. Di situlah kekuatan UMNO. Kekuatan sebenar yang telah terbukti selama setengah abad, bukan kekuatan dalam pesta makan minum berbaju batik aneka warna.-UM

Suara Politik
Taminsari

Sabtu, Oktober 23, 2010

Tubuh Majlis Tertinggi Agenda Bumiputera ( MTAB )!

Najib Tun Razak bersama timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat tangan menyokong usul pada Perhimpunan Agung UMNO 2010 di PWTC, Kuala Lumpur, semalam.

UMNO hari ini mengusulkan penubuhan Majlis Tertinggi Agenda Bumiputera (MTAB) yang berperanan sebagai badan pemantau dan penyelaras agenda golongan itu.

Wakil Kelantan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, majlis yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu bertujuan mewujudkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (BCIC) yang betul-betul berjaya.

Beliau yang merupakan Pengerusi Biro Ekonomi UMNO menjelaskan, majlis itu bakal memainkan peranan pemantauan dan penyelarasan yang dahulunya tugas Kementerian Pembangunan Usahawan secara lebih berkesan kerana dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri.

“Kita benar-benar berharap dengan pengawasan rapi MTAB terhadap agenda membantu Bumiputera di semua kementerian dan jabatan, ekonomi Bumiputera dapat ditransformasikan menjadi ekonomi yang moden dan kompetitif selaras dengan Model Baru Ekonomi (MBE) yang insklusif.

“Untuk tujuan tersebut sebuah pelan Induk Pembangunan Bumiputera perlu dibentuk sebagai panduan dalam pelaksanaan dasar dan memastikan pemantauan dan penyelarasan agenda Bumiputera dapat dilaksanakan secara berkesan,” katanya.

Beliau yang mewakili UMNO Kelantan berkata demikian sewaktu membentangkan Usul Ekonomi pada Perhimpunan Agung UMNO Ke-61 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Awang Adek berkata, kerajaan perlu terus membantu golongan Bumiputera dengan mewujudkan pelbagai tindakan affirmatif yang mesra pasaran untuk membantu mereka yang layak dan mempunyai potensi untuk berjaya.

Katanya, pelbagai bantuan pinjaman perlu diteruskan terutamanya untuk syarikat kecil dan sederhana yang masih dahagakan pinjaman.

“Kita perlu berterima kasih kepada Presiden (Datuk Seri Najib Tun Razak) kerana mengambil tanggungjawab mempengerusikan sendiri Skim Jejak Jaya Bumiputera (SJJB) dan Ekuinas untuk membantu golongan bumiputera supaya lebih maju dalam perniagaan dan meningkatkan lagi pegangan ekuiti dalam sektor korporat,” katanya.

Beliau menegaskan biasiswa, bantuan kewangan dan pinjaman perlu diperbanyakkan kerana pelajaran dan latihan kemahiran amat penting untuk Bumiputera memperbaiki diri dan berjaya dalam persekitaran MBE.

Katanya, bantuan itu bukan sahaja perlu diperbanyakkan oleh kerajaan bahkan syarikat milik kerajaan (GLC) juga perlu turut sama berbuat demikian sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.

“Bagi mereka yang tidak berpeluang memasuki universiti, latihan kemahiran adalah cukup penting, bahkan puluhan universiti kemahiran juga perlu diwujudkan supaya pekerja yang mahir dapat meneruskan pelajaran ke peringkat universiti.

“Mereka ini ramainya terdiri daripada orang Melayu dan Bumiputera yang perlu disediakan ‘saluran kedua’ untuk memasuki universiti melalui latihan kemahiran dan bukannya semata-mata melalui pencapaian akademik seperti kebiasaannya,” katanya.

Sementara itu, Awang Adek berkata memandangkan Wawasan 2020 hanya berbaki 10 tahun sahaja untuk dicapai, orang Melayu dan Bumiputera perlu membuat transformasi untuk mengupayakan diri sendiri.

Katanya, ia bagi memastikan mereka dapat memainkan peranan yang berkesan dalam MBE.

“Kapasiti serta keupayaan orang Melayu dan Bumiputera perlu dipertingkatkan dalam bidang-bidang profesional dan kritikal manakala pemilikan ekuiti dan hartanah mereka perlu dilonjakkan melalui pelbagai agensi amanah dan program baru yang disediakan,” katanya.-UM

Suara Politik
Taminsari

Jumaat, Oktober 22, 2010

TEKS UCAPAN PENUH PRESIDEN UMNO

Melayu...... seharusnya mampu bertarung dengan yang paling kuat!

UCAPAN YAB. DATO’ SRI MOHD NAJIB TUN ABDUL RAZAK SELAKU PRESIDEN UMNO SEMPENA PERHIMPUNAN AGUNG UMNO KALI KE-61, 2010 DI DEWAN MERDEKA PWTC "MENDAYA BANGSA MENERAJU KEMAKMURAN".

Bismillahirrahmanirrahim Rabbi ish-rah-li sadri wa-yassir-li amri wahlul uq-datan min-lisani yaf-qohu qauli. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Yang Berbahagia Pengerusi Tetap, Yang Berbahagia Timbalan Pengerusi Tetap, Yang Amat Berhormat Timbalan Presiden & Puan Sri Norainee Abdul Rahman, YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad & Tun Dr. Siti Hasmah Ali, YABhg. Tun Abdullah Ahmad Badawi & Tun Jeanne Abdullah, Naib Presiden-Naib Presiden, Ketua-Ketua Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Ahli-Ahli Majlis Tertinggi, Ketua-Ketua Komponen Parti BARISAN NASIONAL, Dif-dif Kehormat, Para Tetamu dan Para Jemputan, Para Perwakilan dan Pemerhati, MUKADDIMAH Meng-awali ucapan, marilah kita bersama-sama merenung dua firman Allah SWT. Dalam surah al-Baqarah, ayat 143,berbunyi: "Dan demikian pula kami telah menjadikan kamu umat Islam „umat pertengahan‟ agar kamu menjadi saksi atas perbuatan manusia dan agar Rasul yakni Muhammad menjadi saksi atas perbuatan kamu".

Dalam surah a-li Imran, ayat 159 pula terkandung firman yang menyebut: "Maka disebabkan rahmat dari Allah, kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka akan menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu, maafkanlah mereka. Mohonkanlah ampun bagi mereka dan ber-musyawarah dengan mereka dalam urusan itu". Saudara dan Saudari sekalian,

1. Alhamdulillah, kita merafakkan sepenuh rasa syukur ke hadrat Allah SWT yang telah memberi izin dan inayah-Nya supaya kita berkumpul sekali lagi dalam dewan yang penuh bermakna ini. Ucapan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW selaku pemimpin yang dimuliakan dan sentiasa diambil pengajarannya.

2. Jika dihitung dan dicongak, Perhimpunan Agung kali ke-61 menandakan Dewan Merdeka yang bertuah ini, telah menyaksikan persidangan dilangsungkan sebanyak 25 kali semenjak tahun 1985. Begitulah, UMNO telah bertatih dan berjalan begitu jauh didewasakan oleh waktu.

3. Dalam pada itu, secara sedar atau tidak, selama lebih enam dekad UMNO telah berada di lapangan, menyalakan obor kebangkitan orang-orang Melayu dan membela untung nasib bangsa. Sehubungan itu, dengan tegas kita mahu menyatakan bahawa sepanjang 64 tahun ini, United Malays National Organization atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yakni UMNO, adalah satu-satunya, suluh yang terang-benderang, kepada citarasa dan nurani orang-orang Melayu.

4. Kerana itulah, tidak ada seorang pun dapat menafi apatah lagi menidakkan betapa besarnya pengaruh dan peranan parti keramat ini yang sejak turun-temurun kepimpinannya telah menongkah arus, menghilir pasang, sebagai teraju perubah tanahair.

TALI-TEMALI WAWASAN NEGARA

Saudara dan Saudari sekalian,

5. Apa yang kita perjuangkan hari ini, bukanlah sesuatu yang baru. Sebaliknya ia adalah penerusan kepada aspirasi bangsa Melayu serta rakyat Malaysia di kala kita membuat keputusan untuk menuntut kemerdekaan. Begitulah, semenjak dahulu, tiga prinsip dan pegangan utama kita yang sentiasa konsisten yakni pertama, kesatuan Melayu sebagai teras perpaduan nasional. Kedua, Islam sebagai Addin dan ketiganya kemakmuran negara bertonggakkan keadilan sosial.

6. Jika diimbau sebenarnya, pada awal tahun 50-an, Presiden UMNO ketika itu, Allahyarham Dato’ Onn Jaafar telah mengenengahkan idea untuk membuka pintu keahlian parti kepada orang bukan Melayu kerana beliau melihat realiti, bahawa kemerdekaan, tidak mampu dicapai tanpa kaum-kaum yang ada bersetuju berkongsi kuasa.

7. Namun, rancangan Dato’ Onn pada masa itu adalah terlalu progresif bagi ahli UMNO yang merasakan kedudukan bangsa Melayu masih belum kuat. Hasilnya, ia telah ditentang oleh majoriti ahli dan pemimpin UMNO. Akibat dari itu, Dato’ Onn telah keluar meninggalkan UMNO dan menubuhkan Parti Kemerdekaan Tanah Melayu bagi meneruskan cita-citanya.

Kendati pun begitu, kita orang-orang UMNO ini bak kata pantun: Hidup sebumbung, di bawah teratak, Berlain bantal, satu hati, Bercerai kasih, bertalak tidak, Ibarat rambut, bersimpul mati.

8. Di sudut lain, sekalipun idea Dato’ Onn pada masa itu tidak dapat diterima UMNO, penggantinya, Almarhum Tunku Abdul Rahman yang telah dipilih menggantikan beliau, menyedari peri pentingnya kerjasama politik pelbagai kaum untuk mencapai kemerdekaan. Tunku kemudiannya mengambil strategi yang pada pandangannya adalah lebih realistik dan mampu diterima majoriti orang-orang Melayu serta pelbagai ras dengan mempelopori satu gabungan bitara antara kaum.

9. Kerjasama ini, telah dizahirkan buat kali pertama pada tahun 1955, melalui perkongsian kuasa Parti Perikatan yang mengumpulkan UMNO, MCA dan MIC, masing-masing, mewakili kaum Melayu, Cina dan India. Kemudian pula, pasca tragedi 13 Mei 1969, kepimpinan negara menyedari bahawa, perpaduan tidak mampu dipupuk dengan hanya menggunakan mekanisma politik tanpa disertai asas sosioekonomi bertunjangkan keadilan sosial.

10. Oleh kerana itu, selanjutnya, Allahyarham Tun Abdul Razak telah menggubal dan melaksanakan Dasar Ekonomi Baru dengan matlamat membaikpulih ketidakseimbangan sosioekonomi antara kaum yang sebelum itu hampir memusnahkan keutuhan perpaduan nasional. Pendekatan baru ekonomi ini, sebetulnya telah dimungkinkan dengan kedinamikan sistem pasaran yang dibina oleh Almarhum Tunku sebelum itu.

Saudara dan Saudari,

11. Di sini, suka saya menarik kembali perhatian sebahagian daripada kita dah pihak-pihak yang barangkali terlepas pandang bahawa, matlamat Dasar Ekonomi Baru sebenarnya, adalah, untuk membina perpaduan nasional. Cumanya, alat dasar yang telah digunapakai bersifat sosioekonomi, bukannya politik semata-mata sepertimana yang dilakukan pimpinan terdahulu melalui penubuhan Parti Perikatan.

12. Dalam helaan nafas yang sama, Tun Razak tidak melupakan kepentingan mekanisma siasah sebagai alat memupuk perpaduan. Beliau, telah memperbesarkan Parti Perikatan dan membentuk tapaknya melalui penubuhan Barisan Nasional. Menerusi landasan kerjasama serta perkongsian kuasa antara kaum, ia diperluaskan melalui negeri-negeri Sabah dan Sarawak.

13. Hendaklah jangan kita lupa, jambatan pertama yang dibina antara negeri-negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak merentasi Laut China Selatan adalah jambatan politik Barisan Nasional, yakni 11 tahun selepas penubuhan Malaysia. Ia dimantapkan lagi kemudiannya, dengan kehadiran UMNO di Sabah, bumi di bawah bayu, pada tahun 1991.

14. Sejurus, apabila Dasar Ekonomi Baru tamat pada tahun 1990, Tun Dr. Mahathir, Perdana Menteri pada ketika itu, telah memperkenalkan penyataan arah tuju kebangsaan Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Melalui kertas kerja bertajuk "Malaysia; Melangkah ke Hadapan" yang disampaikannya semasa melancarkan Majlis Perdagangan Malaysia pada 28 Februari 1991, beliau mevisikan bahawa, Malaysia akan menjadi sebuah negara maju dalam tempoh tiga dasawarsa.

15. Pada saat itu, diimpikan menjelang tahun 2020, Malaysia akan menikmati taraf hidup yang sama dengan Amerika Syarikat. Pendapatan per kapita Amerika Syarikat pada masa itu adalah kira-kira dua puluh ribu dolar. Sungguhpun kita tahu, ada pihak yang mengatakan matlamat ini adalah angan-angan Mat Jenin, alasan Tun Dr. Mahathir adalah begitu kemas sekali. Beliau menyatakan dalam tempoh Dasar Ekonomi Baru, pukul rata pertumbuhan tahunan negara adalah 6.7 peratus. Jika dalam tempoh tiga puluh tahun hingga 2020, pertumbuhan boleh ditingkatkan kepada tujuh peratus yakni perpuluhan tiga peratus lebih tinggi daripada pukul rata tahun-tahun 1971 hingga 1990, maka wawasan yang dicitakan tidak mustahil untuk dicapai.


16. Di samping aspek ekonomi, beliau telah menggariskan sembilan lagi cabaran sosio-politik yang perlu dihadapi sebelum Wawasan 2020 boleh direalisasikan. Paling utama adalah, mengukuhkan perpaduan nasional atau matlamat untuk membentuk bangsa Malaysia. Pengalaman Dasar Ekonomi Baru menunjukkan bahawa pengagihan saksama hanya akan berlaku dalam ekonomi yang teguh.

17. Apa yang sangat jelas di sini, bagi memastikan perpaduan nasional, kedua-dua mekanisma, politik dan sosioekonomi harus diguna dan dipertemukan. Ertinya, perpaduan nasional tidak akan ampuh tanpa keadilan sosial manakala keadilan sosial pula tidak mampu dicipta tanpa kestabilan politik serta kemakmuran ekonomi yang berteraskan perpaduan nasional. Ringkasnya, ketiga-tiga elemen tersebut adalah saling melengkapi, saling berkait dan saling mengukuhkan antara satu sama lain.

Saudara dan Saudari,

18. Setelah diamanahkan untuk memimpin parti dan negara kira-kira lapan belas bulan yang lepas, dengan penuh tradisi harmoni kesinambungan kepimpinan UMNO yang diserahkan oleh Tun Abdullah, saya telah membuat keputusan untuk tidak mencipta semula roda tetapi untuk mengambil teladan akan kebijaksanaan dan pandangan jauh pendahulu kepimpinan parti dan negara melalui formula yang dicuba serta telah teruji oleh zaman.

19. Maka, lahirlah falsafah induk 1Malaysia yang merupakan penerusan kepada wawasan pragmatik bapa-bapa kita dalam parti dan kerajaan. Perpaduan nasional adalah sesuatu yang dinamik. Ia harus sentiasa dibajai dan dijaga, jika tidak, ia akan hancur berkecai. Parti Perikatan terbentuk diambang Merdeka bertepatan waktunya, namun pasca tragedi 13 Mei 1969, menyaksikan model ini perlu dipulih rawat melalui Barisan Nasional dan elemen keadilan sosial melalui Dasar Ekonomi Baru.

20. Kesimpulannya, susur galur dan tali-temali usaha yang dipasak oleh Almarhum Tunku disambung oleh Allahyarham Tun Razak melalui Barisan Nasional dan Dasar Ekonomi Baru. Allahyarham Tun Hussein pula dikenali sebagai Bapa Perpaduan yang tegas dan tulus dalam melaksanakan khidmatnya. Kemudiannya Tun Dr. Mahathir meneruskannya dengan konsep Bangsa Malaysia. Disusuli Tun Abdullah yang membina usaha memantapkan modal insan dan mengolah Misi Nasional dalam meneraju negara.

Saudara dan Saudari,

21. Sekiranya perpaduan nasional, kemakmuran dan keadilan sosial adalah saling mengikat dan berpilin, maka, selain 1Malaysia, kita memperkenalkan inisiatif Pelan Transformasi Kerajaan atau GTP dan 6 NKRAnya serta Pelan Transformasi Ekonomi atau ETP untuk membina kemakmuran demi kesejahteraan rakyat.

22. Seperti yang telah dibentangkan sebelum ini, ETP adalah satu pelan yang komprehensif, merangkumi garis-garis besar Model Baru Ekonomi dan lapan prakarsa strategik. Ia juga mengandungi arah tuju yang jelas dengan 12 NKEAnya serta mekanisma pelaksanaan jitu melalui Rancangan Malaysia Kesepuluh dan Rancangan Malaysia Kesebelas.

23. Dalam hubungan ini lagi, Gagasan 1Malaysia juga adalah selaras dengan nilai-nilai Islam dan semangat yang ditunjukkan sirah Rasulullah SAW dalam pembentukan negara dan ketamadunan Islam terawal di Madinah. Masyarakat yang berada di Madinah pada waktu itu, terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, hidup penuh rukun lagi harmoni, berasaskan Perlembagaan yang mengutamakan serta mempertahankan agama serta keadilan kepada semua pihak. Perlembagaan itu juga melindungi kaum minoriti serta memberi kebebasan mengamalkan agama kepada orang-orang bukan Islam.

Saudara dan Saudari,

24. Jelasnya, ini bukanlah impian baru. Inilah impian abadi negara dari dahulu dan selamanya. Ia adalah gagasan Allahyarham Dato’ Onn, cita-cita Almarhum Tunku Abdul Rahman, harapan Allahyarham ayahanda saya, kemahuan Allahyarham Tun Hussein, aspirasi Tun Dr. Mahathir dan kehendak Tun Abdullah Badawi. Pastinya, ia kini menjadi wawasan saya, bersama Tan Sri Muhyiddin dan rakan-rakan dalam UMNO, Barisan Nasional dan juga kerajaan.

25. Saya penuh yakin dan percaya, ia adalah hasrat murni didokong tuan-tuan dan puan-puan yang berada di dalam dewan dan di luar dewan, serta semua rakyat negara tercinta ini. Pendek kata, biar siapapun kita, di mana jua berada, kita adalah 1Malaysia.

KEPIMPINAN DALAM BUDAYA MELAYU DAN UMNO

Saudara dan Saudari sekalian,

26. Di atas semua ini, jika diteliti, dalam budaya Melayu, hal kepimpinan amatlah pelbagai. Mulai daripada kepimpinan rumah tangga, dusun dan kampung sampailah kepada kepimpinan bangsa dan negara. Oleh sebab besar dan pentingnya pengaruh dalam kehidupan, maka para pemimpin diberi kepercayaan dan tanggungjawab memandu umat sepertimana tercermin dalam ungkapan "adat memegang kepercayaan orang, jangan sekali-kali menikam belakang, adat memegang kekuasaan, jangan sekali-kali merosakbinasakan, adat memegang kebebasan, jangan sekali-kali lupa batasan".
27. Makanya, di saat ini, biar apa sekalipun suka duka, pahit maung, kritik cela yang dihadapkan lawan kepada UMNO, tawarikh jelas memperlihatkan bahawa, kita sudah bertahan lebih daripada enam puluh tahun dengan khidmat, jasa dan bakti yang mendalam kepada pembangunan umat Melayu juga negara. Tambahan lagi, kebolehan dan kewibawaan UMNO telah tersanjung tinggi bukan sahaja dirantau sebelah sini malah menjangkau ke seantero dunia.

28. Sememangnya lagi, sejak puluhan tahun, apa yang diperkatakan bukanlah omongan kosong. Terakam jelas dalam catatan negara, parti inilah yang telah menukar perpecahan kepada perpaduan, daripada pemikiran terjajah kepada pemikiran merdeka, daripada tidak percaya kepada kebolehan masing-masing kepada keyakinan mandiri yang membanggakan, daripada berputus asa kepada penuh harapan.

29. Jangan kita lupa, parti inilah yang berperanan merubah orang Melayu daripada bangsa yang tidak berkesedaran politik sebelum Perang Dunia Kedua kepada bangsa yang mampu merebut kemerdekaan dengan siasah hujung lidah menundukkan kuasa besar dunia iaitu pihak British.

30. Tidak cukup dengan itu, tersusun kemas dalam rekod negara, parti UMNO-lah yang telah menggerakkan kesedaran nasionalisma, semangat patriotisma dan demokrasi politik. Dalam gambaran besarnya, terbukti utuh bahawa, kepimpinan UMNO telah berjaya sebagai teraju ulung yang mentransformasikan Malaysia dengan begitu pantas seperti apa yang kita kecapi hari ini.

Saudara dan Saudari sekalian,

31. Menyongsong kisah-kisah pencapaian itu, kita ingin bertanya, apakah jenis bangsa yang berjaya menunjangi perjuangan hebat ini? Apakah sistem nilai yang dipegang? Persoalannya di sini, bukanlah kita ingin termanggu dengan kejayaan-kejayaan lalu, namun, marilah kita menyingkap apakah kekuatan dan apakah faktor yang menjadi asas kepada keutuhan pertubuhan yang bermakna ini.

Dalam konteks ini, sesuai jika saya mengungkap beberapa baris puisi indah oleh Sasterawan Negara, Allahyarham Usman Awang serta bait-bait coretan gurindam daripada seorang tokoh persuratan, Tenas Effendy yang membicarakan tentang Melayu. Pertama sekali dari segi usul dan asalnya disebut: Melayu itu, kaya falsafahnya Melayu itu, orang yang bijaksana Akal budi bersulamkan daya Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu Banjar juga disebut Melayu, Minangkabau memang Melayu, Keturunan Acheh adalah Melayu, Saudara dan Saudari, Tidak lengkap lagi senarai ini sebenarnya: Jakun dan Sakai asli Melayu, Arab dan Pakistani, semua Melayu Mamak dan Malbari serap ke Melayu Malah muallaf bertakrif Melayu Mendakap realiti semasa Malaysia pula: Kadazan, Bajau, India Muslim dan Siam, Melanau, Bidayuh dan berpuluh suku kaum, Kita bersama dalam serumpun,

Di sudut perpaduan dan agama dinyatakan bahawa: Watak Melayu menolak permusuhan Setia dan sabar tiada sempadan Maruah dan agama dihina jangan Hebat amuknya tak kenal lawan. Seterusnya dari perspektif kepimpinan dan amanah, Melayu dimadahkan: Menjadi pemimpin sifatnya agung Syarak dipakai adat dijunjung Hidupnya mengabdi kepada rakyat Taat setia membela umat Akhirnya, disimpulkan Melayu itu: Dijadikan induk kuat berdiri Umat sentosa bertuahlah negeri.

Saudara dan Saudari sekalian,

32. Berdasarkan baris-baris yang saya lafazkan, begitu langsung memperlihatkan betapa, dalam sifat, psikologi, dan sikap atau perwatakan Melayu itu terpamer asas-asas yang membenih nilai kepimpinan murni. Jika digarap lagi, demikianlah orang Melayu, meletakkan martabat tinggi kemuliaan sikap pemimpin dan kepimpinan dalam masyarakat.

33. Terbukti, di sudut leluhurnya, bangsa Melayu itu, sejak sekian lama telah merentas ujian waktu. Keperibadian inilah juga yang menyebabkan Melayu diterima sebagai pemimpin dalam sebuah masyarakat majmuk. Sikap inilah juga menjadi bekal sebagai bangsa yang diamanah menggalas kepimpinan negara.

34. Lebih indah pula, ciri kepimpinan Melayu yang saya utarakan ini, telah dimurnikan dengan tibanya ajaran Islam yang menyeru, mendidik dan mendokong pendekatan wasatiyah. Wasatiyah, adalah suatu kaedah mengamalkan kehidupan individu mahupun masyarakat secara berimbang dan syumul dalam segenap bidang terutamanya dalam soal-soal yang menyangkut perpaduan dan kenegaraan.

35. Sesudah itu, dari masa hingga masa, ajaran Al-Quran serta sunnah disulam dan dijalin kemas dalam anyaman hidup seharian orang Melayu. Sejak itulah juga hingga kini, nilai orang Melayu, padat diwarnai dengan hala cara wasatiyah atau pertengahan. Merujuk para ulama tafsir, disyarahkan bahawa, umat wasatiyah secara tuntasnya adalah umat yang adil lagi berdaya maju, bekerja keras untuk kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.

KEPIMPINAN UMNO – SATU TANGGUNGJAWAB MORAL DALAM PENGURUSAN KAUM

Saudara dan Saudari sekalian,

36. Lanjutan dari itu, seperkara yang amat mustahak untuk diingat adalah, dalam menentukan jatuh bangun sesebuah negara, kita memerlukan corak kepimpinan yang betul dan pemahaman jujur pada wacananya, apatah lagi dalam sebuah negara bitara seperti Malaysia.

37. Sehubungan itu, bersyukurlah bahawa Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, kekal stabil serta bebas daripada sebarang konflik besar. Sayugia, setiap orang perlu menerima hakikat bahawa kepelbagaian kaum adalah satu rahmat dan aset anugerah dari Allah SWT.

38. Sesungguhnya, kemajmukan adalah sumber kekuatan kita selama ini. Begitulah dunia tercipta dan akan kekal selamanya begitu. Apa yang mustahak adalah, bagaimana kita memanfaatkan aset ini bagi menunjangi kejayaan negara.

39. Berkait perkara itulah, semua pihak perlu mengambil sikap berlapang dada, kerana sekalipun kita mengamalkan tindakan afirmatif untuk menjamin keadilan sosial, kejayaan seseorang nyatanya, hanyalah dihadkan oleh kreativiti, inovasi dan kesanggupan individu itu sendiri, untuk bekerja keras serta mengambil risiko.

40. Misalnya, kaum bukan Bumiputera, setelah 39 tahun dasar afirmatif dilaksanakan, masih lagi merupakan kaum yang memiliki kekayaan terbesar. Kita menyedari, ada pihak mendakwa tindakan afirmatif itu sendiri yang mendatangkan kesusahan, akan tetapi, bukti empirikal menunjukkan sebaliknya. Sebenarnya, sikap penerima bantuan, cara pelaksanaan dan landskap di mana tindakan itulah yang menjadi punca masalah.

Saudara dan Saudari sekalian,

41. Sementelahan itu, apabila ada pihak yang mula mempersoalkan tentang kedudukan bangsa Melayu sebagai bangsa yang dilindungi dengan hak-hak tertentu, ianya telah menimbulkan kegusaran serta rasa tidak puas hati, kepada kita yang amat terkenal dengan sikap dan sifat akomodatifnya. Ibarat api dalam sekam, perasaan ini telah mula membara dan mungkin menular sehingga berupaya merosakkan keharmonian perhubungan ras yang telah terjalin semenjak dahulu.

42. Sayang seribu kali sayang juga, setelah lima puluh tiga tahun kita merdeka, hari ini, rakyat Malaysia sedang berhadapan dengan asakan bertalu-talu terhadap teras-teras utama perhubungan kaum yang wujud selama ini. Jika polemik nasional ini tidak ditangani dengan baik, kita berasa amat cuak, kerana, ia berkemungkinan menjadi ancaman kepada perpaduan negara.

43. Sebab itulah, saudara dan saudari, kita perlu sentiasa berwaspada, kita perlu terus mengingatkan diri masing-masing bahawa, kejayaan pertiwi tercinta sememangnya dimungkinkan oleh sumbangan, idea dan pengorbanan pelbagai kaum. Hakikatnya pun, ia bukanlah jasa, mahupun ikhtiar ekslusif satu kaum semata-mata, akan tetapi segalanya merupakan hasil mahsul, tuaian kudrat oleh semua kaum secara kolektif.

44. Apa yang menjadi masalah dalam keadaan ini, ketegangan akan timbul apabila, sejarah dienteng, atau, dilupakan akibat perjalanan masa, atau juga, apabila ada pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mentafsir semula semua itu, supaya sesuai dengan kepentingan serta agenda sempit kelompok masing-masing.

45. Kerana yang demikianlah, pemimpin oportunis, menangguk di air keruh, sebenarnya musang berbulu ayam, bermain api permusuhan dan memanipulasi keadaan, sangat ditolak dalam kepimpinan. Mereka tidak layak digelar pemimpin.

Saudara dan Saudari sekalian,

46. Awaslah, awaslah kita, terhadap saudagar mimpi yang membuai dengan dogengan, menjadi petualang memintal kepalsuan, menenun kebencian, memperdagang fitnah, mengadun madu dengan tuba, meleceh pengorbanan dan tanpa segan silu, mengajak kita menikmati buah khuldi yang bergentayangan di pohon rendah, sehingga sanggup menggadai segala-galanya.
Saudara dan Saudari sekalian,

47. Bertolak dari situlah, bagi bangsa Melayu khususnya, perasaan mereka amat terhiris kerana ikrar budiman yang telah dipateri di ambang merdeka kini diungkit kembali. Sedangkan, berpayung sumpah dan janji itulah kita sanggup membuat pengorbanan terbesar bagi mencapai sebuah kemerdekaan, yakni berkongsi pemilikan Tanah Melayu dengan kaum-kaum yang lain.

48. Serentak dengan itu, penerimaan kerakyatan yang berasaskan prinsip jus soli atau hak tempat kelahiran berbanding prinsip jus sanguinis yakni hak darah dengan sekelip mata telah mentransformasikan landskap sosiopolitik Tanah Melayu untuk selama-lamanya.

49. Dek kerana itu, kita tidak boleh lagi hidup terpenjara kisah nan lalu tanpa melihat ke hadapan. Pokoknya di sini, sepertimana prinsip keutuhan sebarang kontrak yang dibuat di bawah lembayung kedaulatan undang-undang, jika tidak dihormati, maka tiadalah kepastian, walaupun bagi perkara-perkara asas yang telah dipersetujui bersama.

Analoginya di sini, jika ia berlaku dalam bidang perniagaan, maka pihak yang berbuat demikian akan mendapati diri mereka, tidak lagi dipercayai oleh sesiapapun, apabila memungkiri janji.

50. Seterusnya lagi, jika ikrar setia yang telah diwaad, dilanggar sewenang-wenangnya apabila tidak sesuai dengan selera atau kepentingan tertentu, akan hancurlah kepercayaan dan rapuhlah rasa penghormatan di antara kita, kerana, masing-masing akan dihidapi penyakit kesangsian terhadap motif, kejujuran serta keikhlasan terhadap satu sama lain. Hal yang membarah sebegini berbahaya, saya ulang, amat berbahaya kepada sebuah negara berbilang kaum, agama dan budaya seperti Malaysia kerana ia berpontensi menghancurkan segala apa yang dibina sejak lebih lima puluh tahun yang lalu.

51. Satu hal yang pasti, timbal balas dipersembahkan bukan sahaja oleh bangsa Melayu, tetapi juga oleh kaum lain. Ia dimanifestasi melalui muafakat murni iaitu bagi memperoleh kerakyatan, orang bukan Melayu telah sanggup menerima prinsip hak keistimewaan sebagaimana termaktub di bawah peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Kemudian itulah, kewarganegaraan Malaysia pada dasarnya bukan lagi bersifat sama rata dan sama rasa tetapi telah disesuaikan dengan realiti yang ada demi matlamat dan kepentingan jangka panjang nasional.

Saudara dan Saudari sekalian,

52. Inilah sebenarnya asas teras kepada kontrak yang telah dimuafakat bapa-bapa pengasas mewakili kaum masing-masing di ambang kemerdekaan. Ia kemudiannya telah dimaktubkan sebagai kontrak sosial nasional, tertinta dalam perkara dan fasal Perlembagaan Persekutuan yang menjadi undang-undang tertinggi negara. Mahu tidak mahu, kita sewajibnya menghormati persepakatan mulia yang telah dilakukan kerana itulah kunci kepada kelangsungan dan survival kebangsaan.

53. Kini pula, sebagai generasi kepimpinan mutakhir, kita telah diamanahkan untuk menghadapi tuntutan zaman monumental ini sebagaimana generasi kepimpinan pertama yang telah dihadapkan dengan cabaran untuk membina asas kepelbagaian. Oleh itu, adalah amat tidak bertanggungjawab jika kita memilih jalan berpeluk tubuh dan duduk bersimpuh tanpa berbuat apa-apa. Lebih teruk lagi jika ditanggungkan pula beban ini kepada generasi kepimpinan akan datang.

54. Demikian itulah, kita harus membina landasan baru perhubungan kaum di Malaysia dengan mengambil kira dua prinsip penting. Pertamanya, ia haruslah berasaskan masa depan yang dikongsi bersama dan kedua, ia harus mengambil kira faktor sejarah tanpa mengenepikan realiti hari ini serta potensi masa depan.

Saudara dan Saudari sekalian,

55. Sememangnya, manusia tidak wujud dan hidup dalam sebuah utopia. Manusia tidak dapat lari dari realiti dan persekitaran. Malaysia adalah sebuah negara berasaskan keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang sepertimana ideologi kebangsaan yang ternukil dalam panca prinsip Rukun Negara.

56. Seperti yang kita maklum, kedudukan orang Melayu serta Bumiputera dan kepentingan kaum-kaum lain dari segi politik telah termaktub jelas dalam Perlembagaan Persekutuan. Ia terkunci kemas dalam artikel-artikel Bahagian 3 mengenai kewarganegaraan, Perkara 38 berkait Majlis Raja-Raja, Perkara 152 tentang Bahasa Kebangsaan dan Perkara 153 mencakupi antara lain Perezapan kuota perkhidmatan dan permit untuk orang Melayu.

57. Seterusnya, saudara dan saudari, kita mesti memahami dan mengetahui bahawa, pindaan terhadap artikel-artikel ini tidak boleh dilakukan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja mengikut Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan. Ia ditambah kukuh pula oleh Perkara 10 Fasal 4, yang memberi kuasa kepada Parlimen, bagi menggubal undang-undang, melarang perbuatan mempersoal apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau hak kedaulatan yang ditetapkan atau diperlindung oleh peruntukan Bahagian 3, Perkara 152, 153 dan Perkara 181.

58. Sehubungan hal ini, hendaklah kita mengetahui bahawa apa yang menjadi polemik hebat hari ini, sama ada tentang kerakyatan selepas merdeka atau hak istimewa orang Melayu sebenarnya, sudah menjadi perdebatan akademik. Ini kerana, dari segi perundangan, peruntukan-peruntukannya sudah pun tersurat dan sekaligus terpateri kemas.

59. Seandainya mempunyai majoriti dua pertiga dalam Parlimen pun, tidak akan mampu mengubah setitik apa jua, tanpa kebenaran Majlis yang dianggotai sembilan orang Raja-Raja Melayu. Dalam kata laim, sia-sia sahaja jerit pekik untuk menggunakan peruntukan tentang kerakyatan bagi mengancam kaum lain kerana peruntukan yang tertulis ini begitu konkrit sekalipun darurat diisytiharkan, ia tetap tidak boleh disinggung.

60. Di sebalik semuanya, suka tidak suka, ada sebab yang amat kuat mengapa perkara-perkara ini tidak dibenarkan untuk dipinda kecuali dengan perkenan Majlis Raja-Raja. Hikmahnya, adalah supaya peruntukan-peruntukan tersebut di letakkan luar daripada forum perbincangan. Jika dibuka juga kepada perbahasan, maka kita bimbang, kita khuatir, ia akan membangkitkan keresahan serta mengapi-apikan "primordial instinct" atau naluri asal wujud antara etnik.

61. Di atas segalanya, rakyat Malaysia perlu sedar bahawa sejarah telah menunjukkan tidak kira betapa majunya sesebuah ekonomi, betapa berevolusinya sesebuah tamadun, betapa terpelajarnya manusia dan betapa tinggi tahap toleransi, seandai dan sekiranya naluri asal wujud ini tidak diurus dengan baik, kesannya kelak, kita mungkin menyaksikan kezaliman yang sangat dahsyat bakal terjelma, dinyalakan oleh sikap dan disemarakkan sifat tabie manusiawi itu sendiri.

62. Apa yang saya perkatakan ini tidak menghairankan. Di abad ke-20 kita telah dipampangkan dengan kes-kes hukuman tanpa perbicaraan di Amerika Syarikat, tragedi "holocoust" di Benua Eropah, penyembelihan rakyat Palestin di Asia Barat serta penghapusan etnik di Bosnia dan Rwanda. Jadi, bayangkanlah, apakah kesudahannya, jika setiap generasi rakyat Malaysia mengambil pendirian untuk mempersoal kewajaran kontrak sosial kebangsaan yang telah dimuafakatkan pendahulu mereka sebelum ini.

63. Akibatnya, akan lebih pantas terutama dalam dunia tanpa sempadan dengan kecanggihan sistem teknologi maklumat dan komunikasi yang sentiasa berkembang. Pucuk pangkalnya, saudara dan saudari, mengapa mahu diubah apa yang telah berjalan dengan begitu baik. Janganlah yang elok menjadi retak, janganlah yang bersambung menjadi putus.

Saudara dan Saudari sekalian,

64. Merentasi situasi ini, sebagai orang Melayu yang merupakan kaum majoriti, kita mempunyai tanggungjawab kepimpinan untuk ditunaikan. Satu tanggungjawab moral kepimpinan yang melangkaui kepentingan kaum kita sendiri. Tanggungjawab ini secara alami telah tertakdir dan tertanggung ke atas orang-orang Melayu disebabkan kita adalah dalam rumpun majoriti yang membentuk 67 peratus daripada penduduk Malaysia. Seperti yang telah saya bicarakan di awal ucapan tadi, ketentuan ini disahihkan lagi oleh faktor sejarah serta sikap dalaman bangsa itu sendiri.

65. Begitulah, suratan satu bangsa yang terpilih menerajui kemajmukan. Kepercayaan yang terus-terusan diberi oleh kaum-kaum lain sewajibnya menjadi perangsang agar orang-orang Melayu sentiasa memperbaiki diri dan terkedepan sebagai pemudahcara antara kaum.

66. Dalam pengertian lain, di arus kemodenan dan kerancakan globalisasi, soal hak, harga diri dan asal-usul tidak lagi membawa apa-apa makna jika bangsa kita mundur dan ketinggalan. Secara otomatis, rasa hormat, rasa menaruh harap oleh pihak lain kepada kita juga akan luntur. Dek yang demikian, pada saat ini juga kita perlu bingkas bangun dan berlari deras bagi menggapai justifikasi peranan umat Melayu dengan penuh berhemah lagi profesional.

GERAK KERJA UMNO

Saudara dan Saudari sekalian,

67. Menjengah ke hadapan, sebermula Perhimpunan Agung Mac 2009, pelbagai rencana dan perancangan rapi serta strategi telah disusun. Jadinya, kita tidak boleh lagi berlengah-lengah dan membuang masa. Mengatasi semua perkara, tumpuan kita sekarang ini adalah terhadap gerak kerja parti. Gerak kerja UMNO sebagai sebuah parti siasah mesti berubah. Kendati begitu, UMNO harus kekal berpegang teguh kepada tujuan asalnya, sebagai sebuah parti Melayu massa yang mampu mengungkap aspirasi bangsa.

68. Laksamana Hang Tuah menyebut, takkan Melayu hilang di dunia. Begitulah, bangsa Melayu terutamanya dirantau ini, telah menjelajah zaman dan menempuh rangkaian suka duka. Ketahuilah, tahun 2011 yang bakal menjelang bukanlah sembarangan. Ia menandakan genapnya tempoh lima ratus tahun, semenjak kejatuhan empayar Melayu Melaka. Di sini, kita harus mengambil pengajaran kenapa sebuah empayar begitu hebat di Kepulauan Melayu yang menjadi persinggahan perdagangan dua benua telah rebah dijajah Portugis.
69. Ironisnya, banyak pihak hanya menumpukan kepada runtuhnya empayar Melayu ini kerana pengkhianatan dari dalam. Ya, memang benar ini sebahagian sebabnya. Tetapi fakta yang tidak kurang penting untuk diambil iktibar ialah ehwal tentera kedua-dua pihak, masing-masing ternyata memperlengkap persenjataan peperangan untuk era yang berlainan.

70. Maksud saya, pihak Portugis menggunakan senjata yang moden untuk zamannya, dengan senapang dan meriam sedangkan pertahanan Melaka waktu itu masih menggunakan senjata yang sesuai dengan zaman yang telah berlalu. Walaupun keris, tombak dan lembing menjadi lambang kepahlawanan, namun ia ternyata tidak mampu menewaskan bedil dan meriam. Begitulah resam dan ketetapan, sunnah putaran alam.

Saudara dan Saudari sekalian,

71. Oleh yang demikian amatlah mustahaknya Melayu alaf ke-3, Melayu abad ke-21 dipersediakan untuk eranya. Dari begitu obsesi terhadap hak, sebaliknya Melayu abad ke-21 wajib mempersiap siagakan dirinya untuk memanfaatkan hak yang ada. Apa gunanya kuota, rizab dan permit jika segalanya dipersiakan. Apa gunanya peluang jika ia digadai demi keuntungan jangka pendek.

72. Lalu, Melayu abad ke-21 harus gigih membina keupayaan dan kemampuan, bukannya sekadar mendabik perabung-perabung dada bahawa mereka harus berjaya kerana ia adalah hak mereka untuk berjaya. Mahu tidak mahu, Melayu abad ini harus berdepan realiti untuk meraih kejayaan.

73. Kita harus menjadi Melayu yang glokal. Saudara dan saudari, saya ingin bertanya, apa kurangnya bangsa Melayu? Melayu...... seharusnya mampu bersaing dengan yang terbaik. Melayu...... seharusnya mampu bertarung dengan yang paling kuat. Melayu...... mesti menjadi yang terhebat di pentas antarabangsa.

74. Justeru, saya sebagai Presiden UMNO...... tidak mahu..... menerima alasan bahawa anak Melayu masih lemah kesan penjajahan hampir lima kurun. Saya sebagai Presiden UMNO beserta rakan-rakan pimpinan dalam parti juga tidak rela...... melihat bangsa Melayu menjadi bangsa yang meminta-minta, kita tidak mahu...... melihat bangsa Melayu menjadi bangsa yang berpuas hati dengan momokan rezeki secupak tak kan jadi segantang.

75. Dengan tegas, saya ingin ingatkan semua bahawa, pertarungan hari ini adalah pertarungan minda dan kemahiran. Siapa yang berilmu, siapa yang menguasai maklumat, dialah kudrat yang mempengaruhi persekitaran. Oleh itu, janganlah kita mengambil jalan mudah dengan bersifat dogmatik dan berpuas hati dengan bentuk berbanding isinya.

Saudara dan Saudari sekalian,

76. Kepada semua pihak hendaklah menyedari, bukankah apa yang Malaysia capai selama lima puluh tiga tahun kemerdekaan adalah juga hasil usaha dan penerajuan bangsa Melayu? Lantas, kita menjadi lemas dan rimas dewasa ini, apabila kedengaran suara-suara sumbang yang cuba memperlecehkan pencapaian orang Melayu. Benar sekali, amat mudah bagi lidah tidak bertulang membuat nista. Mereka dengan suka-suka menuduh perkhidmatan awam sebagai lubuk ketidakcekapan.

77. Walhal, jika perkhidmatan awam negara tidak kompeten, sudah lama kita menjadi negara gagal, tidak mungkin pula akan berjaya berkembang sebegini dari negara pertanian berpendapatan rendah kepada sebuah negara perindustrian moden.

78. Terbukti lagi selama ini, kita telah berjaya tanpa perlu ada pengkalan tentera asing dibumi bertuah ini untuk memberi payung keselamatan. Kita juga berjaya..... tanpa perlu keabsahan sebagai negara bangsa yang merdeka dan berdaulat dipertikaikan. Kita juga telah berjaya.... bersama pelbagai kaum membina tanah air keramat ini.

79. Diperakui, kita ada kelemahan, namun kita tetap mampu pada setiap masa bangkit mengatasi cabaran kelemahan yang dihadapkan dengan kudrat, acuan dan cara kita sendiri tanpa bergantung kepada negara lain.

Saudara dan Saudari sekalian,

80. Mendepani segalanya, UMNO akan tetap menunaikan amanahnya untuk memartabatkan bangsa, agama dan negara. Kita melakukannya bukan sahaja semata-mata melalui kata puitis yang muluk-muluk bahkan dengan inisiatif, program dan dasar yang konkrit.

81. UMNO tidak sekali-kali akan membiarkan bangsa Melayu menjadi bangsa yang melukut ditepi gantang, bangsa yang menjadi dagang di negeri sendiri. Kita komited untuk melakukan bukan sahaja apa yang terbaik, tetapi apa yang betul demi untuk rumpun Melayu. Kita tidak mampu untuk tenggelam dalam keasyikan lampau. Nyatanya, kita bukan sahaja berhadapan dengan cabaran luar tetapi juga cabaran segelintir anak-anak bangsa yang nampaknya sanggup menggadai segala demi kuasa.

82. Sebagai pengajaran dari semua ini, orang UMNO tidak boleh hilang harapan atau bergundah gulana. Ajaran agama Islam juga sangat melarang kita berputus asa. Kita sebagai ahli parti dan orang UMNO tidak mampu untuk terumbang-ambing di kubang kecewa dalam kekalahan, malah kita juga tidak semudah-mudah nak membiarkan UMNO musnah.

83. Demi, membina masa depan, demi terus mendaya bangsa ini, kita harus melalui tiga fasa pemulihan. Fasa pertama dan terpenting adalah memperakui kelemahan dan masalah yang kita hadapi. Fasa kedua adalah untuk membuat muhasabah dan mencari penawar-penawar yang mustajab memperbaiki kekurangan-kekurangan itu. Fasa ketiga pula adalah memulakan gerak kerja. Apa yang penting, ketiga-tiga fasa ini wajib dilalui dengan penuh ketertiban. Jika tidak, rencana perubahan dan pembaharuan tidak akan berjaya.

PENUTUP

Saudara dan Saudari sekalian,

84. UMNO bukanlah sebarang parti, UMNO lahir daripada suara hati dan aspirasi orang Melayu. Menelusuri perjalanannya, UMNO telah dilanda rentetan dugaan yang besar. Tahun 1951, Presiden dan Pengasas UMNO telah meninggalkan parti. Kemudiannya, PAS telah ditubuhkan oleh salah seorang calon Presiden yang tewas kepada Almarhum Tunku dalam pertandingan menggantikan Dato’ Onn sebagai pemimpin baru UMNO.

85. Menjelang 1969, UMNO dan rakan-rakannya telah hilang buat kali pertama majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat, sekaligus kita dihadapkan dengan rusuhan kaum dan demokrasi terpaksa digantung. Dunia ketika itu, sudah seperti melambai selamat tinggal kepada UMNO. Detik cemas 1987 pula menyaksikan parti berpecah dua dan negara menghadapi insiden ketegangan kaum.

86. Setahun kemudian, pada 1988, kita berasa amat pilu dan begitu bersedih hati, bagai kilat turun menyambar, bagai garuda datang menyerang, hilang sudah tempat berteduh, patah ranting tempat berpaut, dengan sungguh rasa berhiba-hiba dan pilu, kita terpaksa menerima keputusan dan berita, bahawa, parti UMNO yang sangat berjasa dan menggala baktinya ini telah diharamkan.

87. Selanjutnya, di akhir tahun 90an, kita bukan sahaja menghadapi krisis kewangan antarabangsa, kita turut mengalami kemuraman politik apabila ramai orang Melayu telah tidak lagi memberi sokongan. Kita kemudiannya dilintangi oleh tsunami politik pada tahun 2008 yang amat mendebarkan.

Saudara dan Saudari,

88. Alhamdulillah, walau apa pun jua rintangan, walau apa pun jua dugaan, pada setiap yang terus berusaha, tabah dan bertawakkal kepada Allah Yang Maha Kuasa, kemenangan pasti tiba. Syukur, dalam setiap krisis, UMNO telah berjaya bangkit kembali dan pulih dalam keadaan di mana segala faktor yang ada seolah-olah tidak langsung berpihak kepada kita.

89. Semuanya ini kerana ahli-ahli dan pemimpin UMNO terus berpijak di bumi nyata. Semuanya ini juga dimungkinkan kerana ahli-ahli dan pemimpin UMNO tidak pernah sedetik pun pudar keyakinannya terhadap perjuangan benar ini, tidak pernah pula sesaat pun luluh harapan kepada pucuk pimpinan. Pokoknya, pegangan mulia UMNO telah memanfaatkan bukan sahaja orang Melayu tetapi seluruh rakyat Malaysia.

90. Hakikatnya, kitalah parti politik pertama yang berani meluaskan medan pemilihan sehingga melibatkan 140,000 orang ahli. Sebelum kita meminda perlembagaan pun, kita terkenal dengan parti politik yang amat kompetitif pertandingannya.

91. Demikianlah murninya impian kita. Demikianlah tulusnya langkah keramat UMNO. Demikianlah menggunungnya harapan orang-orang Melayu.

92. Makanya, bolehkah kita percaya kemakmuran Malaysia akan terus terpelihara sekiranya parti-parti lawan yang kelam kabut, babrak dan goyah memegang tampuk kuasa? Bolehkah rakyat Malaysia meletakkan kepercayaan terhadap mereka ini yang saban waktu dan saban masa hanya mengidam menduduki pusat pemerintahan? Sanggupkah kita menyerahkan Malaysia tercinta ini kepada penkhianat bangsa dan tanahair?

Sesungguhnya,

93. Kepada saudara dan saudarilah nasib parti kita dipertaruhkan. Dalam genggaman saudara dan saudarilah pembelaan UMNO kita dambakan. Di bahu saudara dan saudari sekelianlah, tergalas, warisan Parti Kebangsaan Melayu Bersatu ini.

94. Ayuh..

Jangankan gerimis, hujan pun mari kita redahi.. Jangankan ribut, taufan pun mesti kita harungi.. Jangankan air bah, gelombang badai pun harus berani kita renangi.. Jangankan gerhana, kelam gelita pun pasti kita terangi..

95. Maka, kepada semua saya berpesan, kepada semua saya beri pedoman, janganlah kita terpalit damak beracun sandiwara lawan yang hanya menempah alam kegagalan. Berpasaklah kepada parti UMNO. Bertetaplah kepada panji-panji Barisan Nasional. Walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa. Saudara dan saudari, walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan!

Demi Islam, Demi Melayu dan Demi Malaysia. Bersamalah Mendaya Bangsa, Meneraju Kemakmuran. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Perhimpunan Agung UMNO kali ke-61, tahun 2010. Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan terima kasih.

Terima kasih kepada UMNO Cawangan Gombak Selatan atas teks ucapan Presiden ini.

Suara Politik
Taminsari

Khamis, Oktober 21, 2010

Kita tidak perlu 'melalak'!















Apakah kepentingan perhimpunan kali ini kepada UMNO?


Ia merupakan satu perhimpunan penting bukan hanya untuk UMNO tetapi juga negara dan rakyat Malaysia secara keseluruhan mengenai hala tuju yang akan dibawa oleh Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi gagasan UMNO.

Kita lihat dalam keadaan masyarakat yang diadun dengan pelbagai sebaran maklumat, keupayaan rakyat menerima benar atau tidak tentang maklumat ini penting bagi pimpinan dalam satu-satu negara itu mengemudikan satu hala tuju yang lebih jelas dan terancang. Bukan hanya dalam konteks pentadbiran parti tetapi lebih-lebih lagi dalam pentadbiran negara.

Ini merupakan satu perhimpunan yang amat penting dalam konteks yang lebih luas kerana ia menjadi landasan menterjemahkan apa sebenarnya yang digubal dilaksanakan oleh pimpinan negara dalam usaha kita mengukuh dan memulihkan ekonomi negara dalam konteks keadaan ekonomi dunia yang begitu merosot.

Dalam pada itu, kedengaran tentang kebimbangan orang Melayu dalam senario ekonomi yang semakin mencabar dalam gagasan kepimpinan baru yang membawa ke arah perubahan.

Ia adalah dari segi bagaimana minda dan cara kita untuk bertindak melaksanakan supaya kepentingan bangsa bukan hanya dapat dikekalkan tetapi ditingkatkan tanpa mengetepikan atau menidakkan keperluan bangsa lain. Ini satu landasan yang amat baik.

Dalam mempertahankan hak Melayu, UMNO dilihat terlampau berhati-hati berbanding kaum lain yang lantang meminta dikaji 30 peratus ekuiti Melayu di konvensyen atau perhimpunan mereka. Bagaimana UMNO hendak menangani perkara ini?

Tidak perlu kita 'melalak' dalam memperjuangkan bangsa. Banyak pendekatannya. Tetapi, pencapaiannya bagaimana. Dengan kita melalak itu, tercapai ataupun tidak? Tetapi, kalau kita susun atur rancangan, program yang membolehkan kita bergerak bukan hanya berlandaskan dengan hak. Jangan ada kebimbangan dalam hal ini.

Orang beranggapan semangat UMNO hanya dilihat berdegar-degar di perhimpunan sahaja? Apabila keluar bagaimana hendak pastikan semangat itu sampai ke akar umbi?

Ini lumrah, semula jadi insan manusia. Tun Dr. Mahathir Mohamad sudah cakap 'mudah lupa'. Tapi apa yang penting dalam perjuangan bangsa, kalau kita lihat, yang kata tentang kita tak bela, tidak lindungi, mereka yang buat lebih teruk. Tentang kedudukan masjid diperalatkan, ada yang berceramah, tentang persoalan supaya Perlembagaan 153 perlu digubal, dia juga, bukan kita. Itu hak kedudukan Bumiputera/Melayu di negara ini.

Tentang kedudukan institusi raja-raja yang merupakan institusi tertinggi kedaulatannya bagi bangsa Melayu dipersoalkan, bukan kita. Mengapa harus mendengar, mengapa harus terpesona, teruja oleh orang yang menyatakan, sedang mereka melakukan sebaliknya.

Berbanding UMNO, daripada kita tak melalak pun, tapi kita lakukannya (perjuangan bangsa) sejak kita merdeka.

Sejauh mana Datuk Seri yakin pemimpin terutama akar umbi UMNO memahami mesej - seandainya mereka gagal kali ini, maka parti akan hilang kuasa?

Kita tak perlu retorik. Apa yang penting kerja. Sudah nyatakan tahun lalu, iaitu kita perlu berorientasikan perkhidmatan. Kita perlu melakukan sebaik-baik mungkin untuk rakyat supaya mereka memahami perjuangan kita.

Tetapi kalau kita tidak menjaga mereka, tidak mesra, bangga diri dengan pangkat dan harta, sudah pasti mereka akan menolak kita.

Begitu juga apabila kita sudah menjadi pembangkang di sesetengah negeri tetapi masih mahu bangun tidur di banglo, jalan-jalan di Kuala Lumpur, naik kereta mewah dan tidak berasa diri pembangkang. Jika sikap ini berterusan sudah pasti kita tidak akan mampu bangkit semula.

Bagaimanapun kalau ahli UMNO, sama ada di peringkat atas atau akar umbi menyedari hakikat betapa hinanya kita kalau tidak ada kuasa seperti mana berlaku di Pulau Pinang, maka kebangkitan itu dapat dilakukan.

Tetapi kita perlu ada sistem bagaimana hendak menterjemahkan tindakan supaya ia sampai ke peringkat akar umbi dan rakyat memahami apa yang kita perjuangkan.

Bagaimana Datuk Seri mahu orang Melayu yang bukan ahli UMNO melihat UMNO sebagai pembela mereka?

Pernah dikatakan, tindak-tanduk kita dalam UMNO, melaksanakan segala apa yang kita lakukan bukan hanya dalam parti kita bahkan dalam pentadbiran kerajaan merupakan gambaran besar yang boleh membentuk persepsi dan pemikiran rakyat bawahan terhadap kita.

Kita selaku parti yang memperjuangkan orang Melayu perlu meyakinkan mereka. Keyakinan tidak akan timbul kalau tidak ada kejelasan. Apabila yakin, orang Melayu sudah pasti akan menerima UMNO sebagai landasan terbaik kepada mereka, biarpun ada Pas dan PKR. Walaupun ia dilihat ada pilihan, tetapi pilihan ke arah mana? Pas ke mana, PKR ke mana? Ini perlu ada penjelasan. Apabila tak dapat diterangkan, maka keyakinan, kepercayaan tidak akan dapat diperoleh.

Penjelasan bukan hanya dari segi pertuturan, tetapi perbuatan kerana perbuatan itu merupakan kebenaran. Orang boleh cakap 'saya akan buat' tapi selagi tak buat, maka kebenaran itu tidak dapat dilihat. Jadi ini yang penting...(-UM )
Wallahuallam.

Suara Politik
Taminsari

Rabu, Oktober 20, 2010

Perhimpunan Agung UMNO yang Ke-64 : Menjulang Perjuangan, Mengisi Harapan!

Muhyiddin Yassin ketika berucap pada majlis perasmian serentak Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di PWTC, malam tadi.

MARILAH kita dahului dengan sembah tahmid kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t. atas nikmat kurniaan-Nya bagi membolehkan kita bersama-sama untuk menyempurnakan Majlis Perasmian Serentak Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) bagi tahun 2010 pada malam ini.

Inilah kemuncak pertemuan para perwakilan daripada tiga sayap penting parti UMNO dari seluruh pelosok tanah air bagi menzahirkan suara akar umbi, yang mahu melihat bangsa dimartabatkan, Islam didaulatkan, negara dipertahankan dan perjuangan parti berkelangsungan. Inilah perhimpunan yang mewakili suara rakyat – suara keramat. Inilah perhimpunan yang mempasakkan muafakat perjuangan.

Pisang sesikat sayur sebelanga

Tanda muafakat makan bersama

Gunung yang tinggi sama didaki

Lurah yang dalam sama dituruni

Hati gajah sama dilapah

Hati kuman sama dicicah

Alang-alang menyeluk pekasam

Biar sampai ke pangkal lengan

Setahun yang lalu saya berdiri di sini di hadapan saudara dan saudari membicarakan tentang kepentingan wahdah atau kesatuan dalam usaha kita untuk menggalas tuntutan perubahan. Kita mulakan langkah perubahan dengan wahdatul fikr (kesatuan minda) untuk memahami aspirasi orang Melayu dan rakyat seluruhnya, dalam suasana landskap politik yang sedang berubah; kita perkukuhkan wahdatul qalb (kesatuan hati) untuk bersama-sama menghayati nilai politik luhur yang disanjung oleh rakyat; kita perteguhkan wahdatul amal (kesatuan tindakan) untuk melaksanakan gerak kerja mendekati rakyat secara kolektif; dan kita bulatkan wahdatul hadaf (kesatuan matlamat) untuk menjayakan hijrah jiwa dan sikap bagi melahirkan para pejuang UMNO yang kukuh iman dan takwanya, utuh nilai moral dan etikanya.

Alhamdulillah, hari ini UMNO telah mula berubah. Telah wujud kesedaran baru dalam minda kepimpinan dan ahli-ahli parti, baik dari segi psikologi dan gerak kerja. Telah berlaku perubahan dalam gaya kepimpinan, pindaan terhadap perlembagaan parti, transformasi dalam kerajaan yang diterajui, pendekatan baru pengurusan ekonomi pertiwi dan kesedaran baru tentang hubungan kaum melalui Barisan Nasional.

Dalam nafas semangat kesatuan dan perubahan ini juga, marilah kita menjengah kembali bagi menghayati matlamat asal perjuangan UMNO seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti. Fasal 3 Perlembagaan UMNO menegaskan bahawa “UMNO adalah sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita Kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara”.

Ini termasuklah:

(i) mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara;

(ii) mendukung dan mempertahankan Perlembagaan Negara, Perlembagaan Negeri-Negeri dan Raja Berperlembagaan;

(iii) menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam, agama rasmi negara serta menghormati prinsip kebebasan beragama;

(iv) mempertahankan kedaulatan rakyat dan keadilan sosial demi mengamalkan sistem Pemerintahan Demokrasi Berparlimen serta memajukan ekonomi rakyat Melayu dan Bumiputera khasnya dan rakyat Malaysia amnya;

(v) menjamin kedudukan Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu) sebagai bahasa rasmi yang tunggal dan Kebudayaan Kebangsaan yang berteraskan Kebudayaan Melayu; dan

(vi) mewujudkan kerjasama antara kaum bagi melahirkan satu bangsa Malaysia yang kuat dan bersatu berasaskan kepada hak-hak asasi manusia dan hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera.

Merenung kembali asas penubuhan parti ini, akan membolehkan kita membuat penegasan semula, dan mengingatkan ahli-ahli dan seluruh warga, khususnya generasi muda, bahawa UMNO adalah sebuah wadah politik yang mempunyai prinsip perjuangan dan idealisme yang murni, namun tetap pragmatik dalam pendekatannya. Meskipun UMNO sebuah parti yang besar dan bertunjang kepada kebangsaan Melayu-Islam, namun sifat keadilan, akomodatif dan inklusif Melayu itu, tidak pernah mengkhianati atau menzalimi kaum atau agama lain yang bernaung di bawah politik Melayu.

Ini berbeza dengan sikap parti-parti pembangkang. Mereka tidak mempunyai landasan perjuangan. Sebab itulah, setiap kali mendengar dentuman guruh politik di langit, maka tiap kali itulah juga mereka bergegas membuang air di tempayan, merubah citra dan pendekatan, sehingga melupakan matlamat asal parti masing-masing. Mereka caca-marba, seperti sesumpah yang kerap bertukar warna, sanggup menjadi penglipur lara, yang mendongengkan cerita.

Matlamatnya mudah, semata-mata untuk mendapatkan laba politik yang sementara sifatnya, hingga sanggup menggadai maruah negara, menjadi pengkhianat di pentas antarabangsa, dan mencerca sesama bangsa. Kepada mereka kita ingatkan pesanan Pak Hamka:

Berapa pula penjual negeri

Mengharap emas perak bertimba

Untuk keuntungan diri sendiri

Biarlah bangsa menjadi hamba

Ada di kalangan mereka yang segan silu untuk berbicara mengenai matlamat parti mereka. Takut kalau-kalau hilang sokongan rakan dan penyokong yang baru. Malah mereka sanggup berdolak dalih. Kepada penyokong setia berkata lain, kepada rakan baru berkata lain. Walaupun berbeza pandangan dan prinsip dalam banyak perkara, mereka sanggup berdiam diri dan mengalah saja. Malah mereka memberikan pelbagai alasan untuk membela rakan-rakan bersekedudukan.

Dulu musuh ketat, dituduh kafir dan keparat, kini jadi sahabat, dipeluk rapat-rapat. Berlumba-lumba mereka membongkar korpus-korpus perbendaharan politik Islam bagi menghalalkan tahalluf siasiy –- persefahaman politik sementara bagi mencapai matlamat sebenar; menggunakan kaedah sirr – merahsiakan niat sebenar dan matlamat perjuangan; serta prinsip maslahah siasah – melakukan sesuatu demi kepentingan politik. Ada pula yang sanggup berpegang kepada konsep taqiyyah – berpura-pura bagi menyembunyikan matlamat utama yang hendak dicapai. Tindakan mereka ini tidak ubah seperti pepat di luar runcing di dalam.

Mengapakah perkara ini boleh terjadi? Apakah rakan-rakan baru mereka sudah berubah prinsip? Apakah rakan-rakan baru ini sudah mula menyokong matlamat parti mereka? Apakah rakan-rakan baru ini benar-benar ikhlas untuk bersahabat? Jawapannya kita semua tahu – tidak sama sekali. Jauh panggang dari api.

Rakan-rakan baru ini masih memusuhi matlamat yang mereka dokong dahulu; masih tegar menolak syariat Islam; masih kuat memusuhi negara Islam; masih alergik dengan perkataan dakwah Islam; masih tebal faham sekularisme; masih sarat dengan cauvinisme yang mewujudkan kebencian sesama umat. Tetapi mengapakah mereka sanggup bersekongkol dengan rakan-rakan baru ini? Jawapannya mudah. Kuasa. Bagi mereka kuasa politik adalah segala-galanya.

Permainan politik ini tidak akan membawa apa-apa keuntungan. Kuasa yang diperolehi cuma sedikit sahaja. Malah mereka tidak boleh berbuat apa-apa pun untuk melaksanakan agenda parti, kerana kelangsungan kuasa mereka bergantung kepada sokongan orang lain. Lama-kelamaan penyokong sendiri sedar bahawa parti yang mereka sokong, pemimpin yang mereka dokong, tidak boleh melaksanakan cita-cita mereka. Parti itu menjadi lemah kerana penyokong tidak lagi bersama mereka. Untuk mempertahankan kuasa yang sedikit, mereka semakin bergantung kepada sokongan parti lain. Tiada lagi roh perjuangan. Yang ada cuma sekelumit kuasa yang kehilangan makna. Pokoknya, parti ini menjadi hamba kepada kuasa.

UMNO tidak begitu. UMNO tetap istiqamah dengan sumpah perjuangan. UMNO tidak pernah tergelincir daripada landasannya. Benar, perubahan politik membawa pembaharuan dalam pendekatan; tetapi ia sama sekali tidak mencabut roh perjuangan dari jasad dan sanubari UMNO. Roh perjuangan tetap mekar dalam sanubari UMNO; dan terpancar dalam setiap tindakan dan pendirian parti. Bagi UMNO, kuasa hanyalah alat untuk mencapai matlamat perjuangan parti yang murni.

Kuasa tidak bermakna jika jiwa perjuangan tercabut dari jasad dan sanubari parti. Apabila UMNO menegaskan tentang kepentingan mempertahankan kuasa politik, ia tidak lain dan tidak bukan semata-mata untuk menegakkan perjuangan parti. Yakinlah, bahawa UMNO tidak akan berganjak daripada landasan perjuangannya yang asal, yang difahami oleh keluarga besar Barisan Nasional.

Kita tidak mahu menjadi parti yang lemah semata-mata kerana terpaksa tunduk kepada kehendak orang lain. Bagi UMNO, mempertahankan perjuangan membela agama, bangsa dan negara adalah prinsip awlawiyat (keutamaan) yang paling besar. Pokoknya, UMNO tidak pernah dan tidak akan menjadi hamba kepada kuasa.

UMNO Cerita Kejayaan

Sepanjang usianya, UMNO tidak pernah diam sebagai parti politik yang statik dan jumud. UMNO telah melalui proses perkembangan dan kematangan sebagai sebuah wadah politik yang sentiasa relevan dengan semangat zaman dan citra rakyat. Sebagai parti yang menerajui pemerintahan, UMNO telah berjaya membawa Malaysia melalui pelbagai fasa pembangunan sosio-ekonomi yang telah memberi manfaat besar kepada rakyat.

Sejarah 53 tahun UMNO menerajui negara sarat dengan bukti-bukti kejayaan. Dari segi pembangunan ekonomi, Malaysia telah bangkit daripada sebuah negara bekas jajahan yang berteraskan ekonomi pertanian untuk berdiri megah sebagai negara perindustrian yang berkembang pesat. Kini, kita telah bersedia untuk mengorak langkah menuju ke ambang negara maju. Bukankah ini satu kejayaan?

Berkat kegigihan dan wawasan jauh kepimpinan UMNO, Malaysia juga telah berjaya mengatasi masalah kemiskinan tegar dan mewujudkan golongan kelas menengah yang besar. Anak-anak desa yang dahulunya dibelenggu kemiskinan, kini menetap di kota-kota besar dengan pendapatan yang lumayan. Anak-anak mereka hari ini tidak lagi dibelenggu kemiskinan malah mendapat peluang pendidikan dan ekonomi yang jauh lebih baik berbanding apa yang mereka terima dahulu. Bukankah ini satu kejayaan?

UMNO juga telah berjaya mengekalkan kestabilan politik dan keharmonian kaum di Malaysia. Di beberapa buah negara majmuk yang lain, konflik kaum mudah meletus dan biasanya berakhir dengan pertumpahan darah. Namun, Alhamdulillah, berkat kebijaksanaan pimpinan UMNO dan parti-parti komponen Barisan Nasional dalam mengurus perbezaan, kita telah menerima perbezaan ras, budaya dan agama sebagai sumber kekuatan, bukan kelemahan. Bukankah ini juga satu kejayaan?

Pencapaian ini bukanlah ibarat “yang pipis datang melayang, yang bulat datang bergolek”. Ia adalah hasil kesediaan UMNO untuk menerima taklif kepimpinan negara sebagai satu pertanggungjawaban yang besar. Dalam sebuah negara pelbagai kaum, tanggungjawab UMNO yang paling utama ialah untuk memastikan formula politik yang diamalkan dapat menjamin kestabilan, keamanan dan perpaduan yang berkekalan.

Politik Melayu Inklusif

Atas dasar ini, UMNO sejak dari awal lagi telah memilih landasan perjuangan sebagai parti nasionalis Melayu yang inklusif. UMNO menerima hakikat kepelbagaian ras sebagai sesuatu yang fitrah dan sahih. UMNO mengakui bahawa dalam sebuah negara majmuk, kerukunan hidup hanya boleh dicapai sekiranya semua kaum mendapat jaminan hak yang sah dan berpeluang mengecap nikmat kemakmuran secara adil. Justeru, UMNO berjuang membela nasib bangsa Melayu dan memartabatkan agama Islam tanpa mengabaikan hak dan kepentingan kaum-kaum lain.

Melalui Jawatankuasa Perhubungan Kaum (Community Liaison Committe) yang ditubuhkan sebelum merdeka, para pemimpin UMNO terdahulu, bersama dengan pemimpin bukan Melayu, telah berunding untuk menentukan hak dan kedudukan kaum-kaum di negara ini selepas merdeka. Mereka berbincang secara jujur dan telus dengan satu tujuan iaitu untuk mencapai kesepakatan dalam membina sebuah negara majmuk yang merdeka dan bersatu padu.

Hasil daripada kesepakatan inilah maka terbentuk terma-terma kemerdekaan yang menjamin kedudukan istimewa orang Melayu dan hak-hak yang sah bagi kaum-kaum lain. Terma-terma ini, yang dirujuk oleh Allahyarham Profesor Tan Sri Ahmad Ibrahim sebagai “kontrak sosial dan perjanjian keamanan” antara kaum, adalah hasil kesepakatan dan jiwa besar pemimpin-pemimpin terdahulu untuk membentuk formula politik kerjasama kaum yang inklusif. Hak dan kepentingan kaum diperjuangkan dalam kerangka kefahaman bahawa semua kaum akan mendapat jaminan hak dan layanan yang adil dalam sebuah negara yang merdeka.

Dalam konteks ini, politik berasaskan kaum yang diamalkan oleh UMNO bukanlah satu bentuk politik perkauman atau politik rasis. Politik rasis bermaksud kita hanya mengutamakan kepentingan kaum sendiri dan menzalimi kaumkaum lain. Parti yang mendakwa tidak berasaskan kaum boleh jadi amat rasis jika ia zalim kepada kaum lain.

Hakikatnya, sepanjang sejarah perjuangan UMNO, parti keramat orang Melayu ini tidak pernah menjadi parti yang rasis. UMNO sentiasa istiqamah dalam memperjuangkan hak Melayu seperti mana yang telah termaktub dalam Perlembagaan dan pada masa yang sama menghormati hak dan kepentingan kaum-kaum lain.

UMNO tidak pernah membolot kekuasaan politik dan nikmat ekonomi untuk kaum Melayu sahaja. Pemimpin-pemimpin UMNO sedar bahawa berkongsi kuasa politik dan nikmat ekonomi dengan kaum-kaum lain adalah jalan terbaik untuk mewujudkan kemakmuran dan keamanan dalam sebuah negara majmuk.

Ini berbeza sekali dengan andaian pelbagai pihak luar dan dalam negara sejurus selepas merdeka, yang telah meramalkan kehancuran negara kita akibat kepelbagaian kaum, agama dan taraf ekonomi. Berkat kepemimpinan UMNO yang dinamik dan toleran, ramalan buruk ini tidak menjadi kenyataan. Sebaliknya, negara-negara jiran yang tidak semajmuk kita telah mengalami dan masih mengalami ketegangan kaum dan agama yang membawa kepada pertumpahan darah.

Salah satu punca kejayaan kita ialah kita menyedari bahawa kesejahteraan ekonomi memainkan peranan penting untuk menjamin keamanan. Inilah yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin besar UMNO apabila mereka mengilhamkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) bagi memecahkan belenggu ekonomi penjajah. DEB berupa dasar pembangunan ekonomi yang menggabungkan penciptaan kekayaan dan pembahagian yang adil.

Berteraskan falsafah dan nilai politik Melayu yang inklusif ini, UMNO telah mencipta kejayaan besar dengan membawa negara kita keluar daripada belenggu ekonomi kolonial yang mencengkam masyarakat pribumi, kepada ekonomi nasional yang mementingkan pembangunan yang mapan dan pengagihan yang adil untuk semua kaum.

Sejak dari awal lagi, pemimpin UMNO mengakui bahawa kejayaan Malaysia sebagai sebuah negara majmuk amat bergantung kepada kewujudan satu model pembangunan ekonomi yang inklusif di mana semua kaum dapat menikmati limpahan rahmat kemakmuran secara adil. Malah, pemenang Anugerah Nobel, Joseph Stiglitz dalam bukunya Making Globalization Work telah mengiktiraf bahawa kejayaan Malaysia mengekalkan keharmonian kaum selama ini adalah hasil kewujudan model pembangunan ekonomi yang komprehensif di mana semua kaum mendapat jaminan hak ekonomi yang adil.

Lantaran itu, kita tidak perlu apologetik apabila memperjuangkan hak dan kepentingan Melayu dan Bumiputera. Sejarah menjadi saksi bahawa apabila UMNO memimpin, bukan sahaja orang Melayu yang mendapat nikmat, malah semua kaum beroleh manfaat. Kita juga tidak perlu apologetik untuk mempertahankan identiti bangsa Melayu, bangga menjadi seorang Melayu, menjunjung adab dan tatasusila Melayu, mempertahankan warisan budaya Melayu, selagi mana kita berlaku adil kepada semua.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Hujrat, ayat 13 yang bermaksud: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).

Jelas dalam ayat ini manusia itu secara fitrahnya dijadikan berbagai keturunan dan berbangsa-bangsa. Tetapi ukuran sebenar kemuliaan seorang insan bukanlah ketaksuban kepada bangsanya, tetapi ketakwaan kepada Allah SWT. Dan sesungguhnya, berlaku adil kepada semua adalah tanda ketakwaan bagi orang-orang yang beriman.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Ma‘idah, ayat 8 yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

Alhamdulillah, berkat wawasan kepimpinan UMNO selama ini, Malaysia bukan sahaja telah mengukir sejarah sebagai negara yang berjaya mengekalkan keharmonian kaum, kestabilan politik dan keamanan negara, tetapi juga telah berada dalam kelompok teratas dalam kalangan negara berpendapatan sederhana tinggi.

Hari ini, di bawah kepimpinan YAB Presiden selaku Perdana Menteri, Malaysia sedang tekun meletakkan asas-asas yang kukuh untuk melangkah ke era baru kemajuan ekonomi, iaitu untuk muncul sebagai negara maju yang berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Berdasarkan pencapaian inilah rakyat telah memberikan mandat kepada UMNO dan Barisan Nasional untuk memerintah. Dengan mandat ini juga, UMNO telah berjaya meneruskan agenda perjuangan politik inklusif yang menjadi kunci kepada kestabilan, keamanan dan kemakmuran negara.

Memperkukuhkan Perpaduan

Cabaran yang dihadapi oleh UMNO seterusnya ialah bagaimana untuk mengekalkan kejayaan dan memperkukuhkan perpaduan. Kunci kepada kejayaan UMNO selama ini ialah kebijaksanaannya dalam mengurus hubungan kaum dan mengekalkan kestabilan politik. Namun hakikatnya, kita tidak pernah sunyi daripada berhadapan dengan isu-isu yang menyentuh sensitiviti kaum.

Walaupun secara umumnya hubungan kaum di Malaysia berada di tahap yang baik, namun masih kedengaran suara-suara yang mempersoalkan hak-hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera, serta hak-hak yang sah bagi kaum-kaum lain. Sekiranya tidak diurus dengan baik, keadaan ini akan menimbulkan persepsi dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum bahawa kedudukan dan hak mereka yang dijamin oleh Perlembagaan semakin terhakis.

Debat perkauman dalam masyarakat juga semakin merumitkan keadaan. Perdebatan tentang isu perkauman tanpa batasan boleh menimbulkan provokasi yang membakar sentimen perkauman. Kita tentu sekali tidak mahu percikan api kemarahan akhirnya menjadi letusan yang memusnahkan segala nikmat keamanan, kemakmuran dan perpaduan yang telah kita bina. Sanggupkah kita menggadaikan segala nikmat yang kita kecapi semata-mata kerana amarah perkauman? Hakikatnya, tiada siapa yang beruntung sekiranya perbalahan bermaharajalela. Kalah jadi abu, menang jadi arang.

Justeru, perasaan curiga antara kaum mesti dibendung segera. Debat perkauman mesti dihentikan, bukan esok atau lusa, tetapi sekarang. Jangan ada mana-mana kumpulan yang mempersoalkan hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera, serta hak-hak yang sah bagi kaum-kaum lain, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Hormatilah dan terimalah keluhuran Perlembagaan yang telah meletakkan asas-asas bagi negara kita. Saya yakin dan percaya, bahawa rasa curiga antara kaum akan dapat diatasi sekiranya semua kaum mendapat jaminan bahawa hak-hak mereka yang telah termaktub dalam Perlembagaan akan dipertahan dan dihormati dalam apa jua keadaan sekalipun.

Kepada orang Melayu dan Bumiputera, saya menegaskan bahawa UMNO sebagai parti teras Melayu, akan terus mempertahankan hak-hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera, kedudukan agama Islam, kemuliaan institusi Raja-Raja Melayu, kedudukan Bahasa Melayu dan memastikan orang Melayu dan Bumiputera mendapat pembelaan sosial dan ekonomi yang seadil-adilnya.

Kepada kaum-kaum lain, UMNO sebagai parti teras kenegaraan tetap menghormati hak kaum-kaum lain seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan. Sebagai sebuah parti politik Melayu yang inklusif, dan berdasarkan rekod perjuangan UMNO selama ini, UMNO akan terus memastikan bahawa, di bawah teraju UMNO, tidak ada satu kaum pun yang akan ketinggalan dalam menikmati rahmat pembangunan dan kemajuan negara.

Saya sedar, ada pihak yang menjanjikan bulan dan bintang kepada kaum-kaum di negara ini. Mereka hanya berjanji. Sedangkan UMNO telah mengotakan janji. Kita telah buktikan selama ini bahawa di bawah teraju UMNO, semua kaum mendapat jaminan hak yang adil.

Di banyak negara bekas tanah jajahan, bangsa majoriti mendominasi kaum minoriti dengan memaksa mereka mengasimilasi, di mana mereka tidak dibenarkan mengamalkan bahasa, budaya dan agama mereka. Sebaliknya, di Malaysia, melalui UMNO, para pengasas negara kita telah memilih dasar yang inklusif, yang menerima dan memberi layanan yang adil kepada semua kaum. Inilah bukti keadilan dan keterangkuman UMNO.

Gagasan 1Malaysia

Selaras dengan pendirian inilah, kita menjunjung Gagasan 1Malaysia yang dicetuskan oleh YAB Presiden sebagai satu gagasan perpaduan yang memberi jaminan hak kepada semua warganegara berlandaskan prinsip-prinsip Perlembagaan dan Rukunegara. Gagasan ini akan mencetuskan kekuatan kita sebagai sebuah masyarakat majmuk yang bersatu padu.

Dalam konteks ini, Gagasan 1Malaysia tidak menolak fitrah kepelbagaian identiti dan budaya kaum yang ada di negara kita, malah menegaskan kepentingan untuk menerima kepelbagaian sebagai sumber kekuatan. Gagasan 1Malaysia yang berlandaskan Perlembagaan dan prinsip penerimaan ini tidak membawa maksud penghakisan identiti atau hak mana-mana kaum, tetapi merupakan satu penegasan terhadap pengukuhan rasa kebersamaan dalam kalangan masyarakat majmuk dengan menerima kepelbagaian sebagai satu fitrah yang murni.

Saya yakin dan percaya, gagasan berpandangan jauh YAB Presiden ini akan menangkap imaginasi rakyat pelbagai kaum dan membawa kita ke hadapan sebagai sebuah negara majmuk yang maju dan bersatu padu.

Kita juga sedar bahawa perpaduan Melayu adalah prasyarat kestabilan politik Malaysia. Perpaduan Melayu tidak boleh dilihat secara terpisah daripada perpaduan nasional. Perpaduan Melayu itu sendiri merupakan teras perpaduan nasional. Untuk itu, UMNO akan terus menerajui perjuangan untuk menyatupadukan bangsa Melayu dan umat Islam.

UMNO akan berganding bahu dengan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan Melayu dan Islam untuk memperkukuhkan perpaduan, menyemarakkan syiar Islam dan memastikan kestabilan politik terus terjamin.

Melangkah Ke Hadapan Dengan Keyakinan

Melangkah ke hadapan, orang Melayu juga perlu mengatasi segala kelemahan yang ada. Manakala UMNO tetap membela hak dan keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera, generasi Melayu dan Bumiputera hari ini dan masa hadapan tidak lagi boleh bergantung semata-mata kepada jaminan politik dan perundangan untuk maju. Ini kerana landskap politik dan ekonomi dunia sudah berubah.

Ledakan maklumat dan teknologi komunikasi telah meruntuhkan sempadan politik dan ekonomi, dan menjadikan dunia semakin global. Dalam dunia yang semakin kompetitif hari ini, kesejahteraan ekonomi, sosial dan politik bangsa Melayu amat bergantung kepada kemampuan diri untuk bersaing dalam dunia tanpa sempadan.

Transformasi ekonomi yang lebih terbuka bukanlah satu proses yang boleh diundur. Mahu tidak mahu, bangsa Melayu perlu lebih dinamis dan bersedia untuk melakukan anjakan minda yang signifikan. Bangsa Melayu mesti bermujahadah untuk meningkatkan kemampuan diri.

Dalam menghadapi realiti ekonomi berasaskan pengetahuan, yang dipacu oleh kekuatan modal insan, pembinaan modal insan Melayu yang berilmu dan berkemahiran tinggi adalah satu tuntutan. Gerakan kesedaran pendidikan di kalangan orang Melayu dan Bumiputera mesti diperhebatkan.

Hanya dengan pendidikan orang Melayu dapat mengasah minda dan menggarap kemahiran untuk bersaing dalam dunia yang semakin mencabar hari ini. Pembudayaan ilmu akan menjadi kunci kepada kejayaan orang Melayu hari ini dan masa depan.

Tindakan afirmatif akan diteruskan dalam pelaksanaan Model Baru Ekonomi dan Program Transformasi Ekonomi untuk memastikan orang Melayu dan Bumiputera mempunyai tempat dalam proses transformasi negara ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi. UMNO tidak akan berpaling daripada landasan perjuangannya untuk memajukan ekonomi Melayu dan Bumiputera.

UMNO tidak akan ragu dan apologetik untuk memperjuangkan pengagihan ekonomi yang adil untuk orang Melayu dan Bumiputera. Namun saya tegaskan bahawa dimensi baru dasar tindakan afirmatif yang dilaksanakan adalah berteraskan kepada keperluan dan kelayakan.

Hanya mereka yang benar-benar layak dan memerlukan sahaja akan dibantu. Begitu juga, peluang-peluang ekonomi akan terbuka luas buat mereka yang gigih berusaha. Sebaliknya, tidak ada ruang buat pengamal rent-seeking yang haloba untuk mengaut laba yang sementara.

Kita juga sedar bahawa perubahan landskap politik telah meletakkan nilai dan etika politik di suatu tempat yang amat disanjung tinggi oleh rakyat. Rakyat amat berharap agar pemimpin dapat mengamalkan nilai-nilai politik luhur seperti kejujuran, keikhlasan, kebertanggungjawaban dan kesungguhan dalam melaksanakan amanah kepemimpinan.

Bahkan, masa depan sesuatu organisasi politik akan ditentukan oleh sejauhmana nilai-nilai yang baik ini dapat diamalkan oleh para pemimpin dan ahli-ahlinya. Justeru, selaras dengan tekad kita untuk melakukan perubahan dan pembaharuan, dan untuk melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan, marilah kita pupuk dan suburkan nilai-nilai luhur ini dalam perjuangan politik kita, dan marilah kita lahirkan pemimpin-pemimpin yang berketerampilan, beretika dan berakhlak mulia.

Saya pasti, jika setiap lapisan pemimpin dan ahli UMNO menjunjung nilai-nilai murni ini, UMNO akan dipandang mulia dan disanjung tinggi oleh rakyat. Ayuhlah:

Kita junjung amanah kepemimpinan

Kita selusuri haluan perjuangan

Kita tekad melakukan perubahan

Kita bawa sinar harapan

Peranan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri

Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO adalah sayap-sayap parti yang sentiasa setia kepada perjuangan parti, sentiasa bersedia untuk berkhidmat kepada parti. Saudara dan saudari tidak pernah jemu menjulang panji-panji parti di setiap medan perjuangan. Dalam setiap pilihan raya, dalam setiap program parti, saudara dan saudari sentiasa menjadi jentera penggerak utama.

Pemuda dengan Jelajah One Malaysianya; Wanita dengan Jalinan Rakyatnya; Puteri dengan Voguenya; kesemua program ini telah digerakkan di atas kudrat dan iltizam saudara dan saudari. Untuk itu, tidak sempurna ucapan saya jika saya tidak mengucapkan syabas dan tahniah di atas kejituan semangat dan daya juang saudara saudari sekalian.

Saya juga percaya, dengan jumlah melebihi 2 juta orang, atau dua pertiga daripada ahli UMNO, Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri adalah sumber kekuatan parti yang mesti diakui. Dengan jumlah sebesar ini, saudari dan saudari adalah masa depan parti yang menjadi harapan rakyat.

Justeru, di samping melaksanakan tugas-tugas tradisi dan rutin dalam parti, saudara-saudari mesti lebih agresif dalam mengisi harapan rakyat yang lebih besar. Ini termasuklah harapan rakyat dalam bidang ekonomi, pendidikan, agama, kebudayaan, kesukanan, khidmat sosial, pembangunan keluarga, pemeliharaan alam sekitar dan hubungan kaum.

Memang benar, selama ini saudara saudari telah melaksanakan sedikit sebanyak aktiviti dan bakti dalam bidang-bidang tersebut. Begitu juga, memang benar, ini adalah tanggungjawab kerajaan yang sedang pun dilaksanakan.

Tetapi rakyat hari ini mahukan sentuhan parti dalam bidang-bidang tersebut. Inilah yang menyebabkan kita harus meningkatkan penglibatan sebagai pemimpin akar umbi dalam bidang-bidang ini.

Kad Skor

Untuk memastikan sentuhan parti dalam bidang-bidang ini dapat dirasai oleh masyarakat, maka ia perlu dilaksanakan dengan lebih tersusun dan sistematik. Lebih daripada itu, ia perlu dinilai untuk memastikan impaknya yang sebenar. Oleh yang demikian saya mencadangkan satu sistem Kad Skor diperkenalkan untuk menilai prestasi setiap lapisan kepemimpinan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri. Kad Skor ini akan menilai keterlibatan dan prestasi saudara saudari dalam bidang-bidang utama yang saya sebutkan tadi.

Dengan adanya Kad Skor ini, setiap pemimpin akan dapat dinilai prestasi masing-masing untuk tempoh dua tahun yang akan datang. Mereka yang menunjukkan prestasi tinggi akan diberikan pengiktirafan dan penghargaan yang sewajarnya. Anggaplah inisiatif ini sebagai salah satu daripada usaha ikhlas kita untuk meningkatkan imej parti dan memperkukuhkan keyakinan rakyat terhadap parti.

Saya yakin sekiranya sistem ini dilaksanakan sepenuhnya, kita akan menyaksikan satu lonjakan baru dalam tahap keaktifan dan keberkesanan gerak kerja saudara saudari. Saya yakin apabila ini berlaku, bukan sahaja sayap-sayap yang akan mengalami lonjakan, malah keseluruhan parti akan menerima kesan yang positif. Dan saya yakin saudara saudari mampu melaksanakannya!

Sesungguhnya, sayap-sayap parti mesti memainkan peranan yang lebih aktif dalam mendokong perjuangan parti. Lebih-lebih lagi, dalam suasana politik yang semakin mencabar hari ini, peranan sayap-sayap parti menjadi lebih penting lagi. Isu-isu dan segala tanggapan negatif yang dilemparkan terhadap UMNO perlu segera ditangkis.

Malah, sayap-sayap parti mesti sentiasa berperanan secara lebih agresif untuk memperkukuhkan UMNO, dan membentuk pandangan positif rakyat terhadap UMNO. Saudara saudari bukan sekadar berada di barisan pertahanan, tetapi di barisan hadapan perjuangan parti.

Tugas kita besar dan cabarannya pun banyak. Pastinya, tugas besar ini boleh dilaksanakan dengan mudah dan berkesan jika kita semua bersatu hati dan berpadu tenaga dalam wadah yang utuh.

Kalau ke bukit sama mendaki

Kalau ke laut sama berenang

Kalau kita bersatu hati

Kerja yang berat menjadi senang

Justeru, saya menyeru kepada saudara saudari supaya merapatkan saf dan memperkukuhkan sayap-sayap parti. Jangan ada walau sekelumit perasaan amarah sesama kita. Jangan ada walau sedikit perasaan iri yang membinasakan. Jangan ada walau setitik perasaan dendam yang memusnahkan.

Yakinlah, bahawa saudara saudari berada pada landasan perjuangan yang benar. Yakinlah bahawa orang Melayu dan Bumiputera menaruh harapan yang tinggi kepada saudara saudari sebagai pelopor perjuangan UMNO. Yakinlah dengan sumpah setia kita bahawa UMNO tidak akan berganjak daripada landasan perjuangan membela agama, bangsa dan negara.

Insya-Allah, jika kita terus istiqamah berada pada landasan perjuangan ini, kita akan sentiasa diberikan kekuatan oleh Allah SWT untuk terus menjulang misi perjuangan suci UMNO.

Marilah kita memperkukuhkan kesatuan hati, memperteguhkan kesatuan minda, memperkuatkan kesatuan amal dan membulatkan kesatuan matlamat dalam wadah perjuangan suci UMNO. Marilah kita memberikan sokongan padu kepada YAB Presiden untuk menjayakan pembaharuan di dalam parti dan kerajaan.

Marilah kita berikan keyakinan, kepercayaan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada YAB Presiden untuk memperkukuhkan parti dan mengangkat martabat perjuangan UMNO.

Saya menyeru saudara dan saudari:


Bangkitlah pertahankan parti!

Bangkitlah menjulang idealisme kita yang murni!

Bangkitlah memerangi segala fitnah dan pembohongan keji yang dilemparkan kepada parti!

Maralah ke barisan hadapan perjuangan! Julanglah panji-panji parti dengan penuh kemegahan dan keazaman! Jangan takut, jangan gentar. Allah bersama kita. La takhaf wa la tahzan, innaLlaha ma‘ana.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim saya merasmikan Persidangan Serentak Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2010.

Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamu‘alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Suara politik
Taminsari