Jumaat, Oktober 31, 2008

Artikel Pilihan : Ancaman kepada Melayu

Entah mengapa sejak kebelakangan ini sudah timbul ‘keberanian’ luar biasa daripada pelbagai pihak untuk mempertikaikan apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Antara perkara yang semakin lantang menjadi perdebatan atau perbahasan ialah mengenai Perkara 153 berhubung keistimewaan orang Melayu.

Walaupun pihak-pihak yang berbuat demikian amat memahami ia sesuatu yang sensitif namun mereka tidak mempedulikan itu semua.

Sebaliknya satu demi satu hujah mereka keluarkan bagi menggugat apa yang sudah terpahat dalam Perlembagaan. Persoalannya wajarkah perkara seumpama itu terus menjadi pertikaian? Tidakkah ia sepatutnya dihormati memandangkan ia adalah satu Perlembagaan negara?
Dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR dan NORAINI ABD.RAZAK, Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Sham Rahayu Ab. Aziz secara terus terang menyifatkan, apa yang terjadi sekarang kerana orang Melayu dilihat lemah.

Malah katanya, kegagalan orang Melayu untuk berhujah mengenai intipati apa yang terkandung dalam Perlembagaan juga menjadi punca pihak lain mampu mempertikaikan apa yang sudah diperuntukkan.

Selain itu pada pandangan Dr. Sham Rahayu sikap generasi baru yang mahu memperjuangkan kesamarataan antara kaum juga turut menyebabkan segala yang ditetapkan oleh Perlembagaan mengenai orang Melayu semakin ‘terancam’.

Mingguan: Kenapa sejak kebelakangan ini perkara-perkara dalam Perlembagaan terus dipertikaikan?

DR. SHAM RAHAYU: Kalau kita mengkaji sentimen sesetengah pihak pada masa ini ia memang menunjukkan mereka mahu melihat apa yang ada dalam Perlembagaan dan kemudian mempertikaikan kewujudannya tanpa mahu memahami kenapa ia diwujudkan. Apa yang sepatutnya orang ramai lakukan ialah bertanya kenapa sesuatu perkara dalam Perlembagaan itu diwujudkan, contohnya dalam soal hak keistimewaan orang Melayu yang terkandung dalam Perkara 153.

Kalau melihat sejarah bangsa kita dan pembentukan Perlembagaan sesetengah perkara itu harus diterima, ertinya tidak boleh dirobek atau diubah semata-mata untuk mengikut perubahan semasa. Bagi saya, dalam demokrasi ada ruang bagi membolehkan perkara dalam Perlembagaan diperbincangkan tetapi bukan sampai ke tahap yang boleh menggugat Perlembagaan itu sendiri. Ini termasuklah perbincangan yang menjurus ke arah provokasi seperti hendak membuang peruntukan Perlembagaan yang sedia ada.

Apakah peruntukan Perkara 153 dalam Perlembagaan itu keterlaluan melindungi orang Melayu sehingga menjejaskan bangsa-bangsa lain?

DR. SHAM RAHAYU: Kalau kita mengkaji Suruhanjaya Reid, ia mengatakan kalau kita mengambil hak Melayu secara tidak terancang ia boleh meruntuhkan pembinaan bangsa dan negara. Atas sebab itu saya tidak bersetuju jika ada pihak mengatakan bahawa Perkara 153 memberi kelebihan melampau kepada orang Melayu.

Ini kerana sistem tersebut mesti bergerak dengan hak-hak munasabah terhadap bangsa lain. Suruhanjaya Reid merujuk salah satu terma Perlembagaan ialah menjaga kedudukan Melayu dan Islam serta menjaga hak-hak munasabah terhadap bangsa lain, jadi apabila kita menjaga kepentingan Melayu ini tidak bermakna kita mengabaikan bangsa lain. Untuk membina sebuah negara yang aman dan damai serta mewujudkan kestabilan politik kita memerlukan kesaksamaan dan keadilan.

Tetapi apa yang ditonjolkan seolah-olah orang Melayu mendapat segala-galanya sedang bangsa lain tidak mendapat apa-apa?

DR. SHAM RAHAYU: Saya berpendapat mengikut Perlembagaan orang Melayu diberi sedikit kelebihan atau keistimewaan tetapi dari segi aplikasinya mungkin tidak begitu ketara. Adalah tidak adil untuk mengatakan orang Melayu mendapat segala-galanya. Cuba lihat siapa yang mengawal ekonomi kita?

Kalau kita mengkaji laporan Suruhanjaya Reid mengenai Perlembagaan, kelebihan kepada orang Melayu diberikan sejak 1948. Pada tahun itu, orang British sendiri tidak pernah menyentuh soal Melayu dan Islam. Ini kerana ia menjadi subjek yang terlalu sensitif kepada British. Namun dalam masa yang sama terdapat terma bahawa bangsa lain tidak diabaikan.

Kenapa baru sekarang semua ini hendak dipertikaikan sedangkan ia sudah termaktub dalam Perlembagaan?

DR. SHAM RAHAYU: Punca utama kerana orang Melayu tidak pandai berhujah, kita tidak memahami sejarah sendiri. Kelemahan orang Melayu sekarang ialah tidak memahami kenapa diwujudkan keistimewaan dalam Perlembagaan. Atas sebab itulah kalau kita lihat ada di kalangan orang Melayu sendiri menentang Perkara 153.

Kalau kita merujuk pembinaan bangsa, adalah jelas semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum berhak untuk merasa bangga menjadi rakyat negara ini tetapi ia tidak bermaksud kepentingan Melayu harus dilunturkan. Kita memahami sejarah menunjukkan Malaysia adalah sebuah negara yang dianggotai oleh pelbagai bangsa tetapi kita tidak boleh mengenepikan kerangka asas pembinaan negara ini iaitu orang Melayu.

Seharusnya kita memberi pemahaman kepada bangsa lain kenapa terdapat peruntukan tertentu mengenai Melayu dan Islam dalam Perlembagaan. Dalam soal Perkara 153 bukan mudah ia ditarik begitu sahaja. Ini kerana ia mempunyai hubung kait dengan peruntukan-peruntukan lain seperti keistimewaan raja-raja.

Kalau soal Melayu hendak ditarik balik apa yang raja ada lagi? Sedangkan institusi raja-raja bertanggungjawab terhadap dua perkara iaitu Melayu dan Islam. Institusi raja-raja dibentuk oleh Perlembagaan dengan tujuan mewujudkan kestabilan politik. Tetapi kalau soal Melayu ditarik dalam Perkara 153, ertinya raja pun tidak akan wujud. Keadaan itu kalau berlaku sudah tentulah akan menjejaskan kestabilan politik negara. Bagaimanapun kalau boleh soal mengenai Melayu ini tidaklah dibincangkan dalam suasana terlalu panas atau penuh provokasi. Tetapi dalam masa yang kita sudah tidak mampu menyembunyikan segala-galanya di bawah karpet. Masyarakat kita sudah mengetahui isi kandungan Perlembagaan. Oleh itu orang Melayu terutama pemimpin kita harus pandai berhujah dan memahami Perlembagaan tanpa sentimen politik.

Kita harus pisahkan antara isu politik dengan isu Perlembagaan. Kita perlu berbincang soal Perlembagaan secara akademik dan intelektual bukan provokasi. Saya lihat dari semasa ke semasa semakin banyak peruntukan Perlembagaan mengenai orang Melayu diganggu gugat. Dahulu ia bermula dengan Perkara 152 iaitu mengenai bahasa Melayu dan sekarang Perkara 153 pula. Kalau pencabulan ini terus dibiarkan, ia akan menyebabkan porak peranda kerana sistem pentadbiran negara dan kestabilan politik akan terancam.

Dalam soal pemain dalam menjayakan peruntukan sedia ada, apakah ia berpunca dari kelemahan pelaksanaan?

DR. SHAM RAHAYU: Saya bersetuju kalau orang mengatakan masalah kita bukan dengan sistem tetapi pemain. Bagi saya membiarkan peruntukan-peruntukan itu dibincangkan secara provokatif mendatangkan masalah lebih besar. Dalam soal ini pemain harus memastikan peruntukan itu dijalankan sebagaimana yang dimaksudkan dalam Perlembagaan. Selain itu, mereka juga harus memantau sejauh mana peruntukan itu dilaksanakan.

Para pemain dalam sistem ini perlu berubah dan melihat balik apa yang mereka buat itu bertepatan dengan tujuan atau objektif Perlembagaan atau tidak. Ini bagi mengelakkan Perlembagaan hanya menjadi kosmetik.

Kalau Perlembagaan itu hendak dihormati ia harus dilaksanakan, masalahnya tidak ada penguatkuasaan jika ia dilanggar. Walaupun Perlembagaan bukanlah kanun keseksaan tetapi kita sudah membina satu konvensyen atau adat Perlembagaan yang harus dihormati.
Atas sebab itu kita memerlukan penguatkuasaan yang tegas ke atas pencabulan Perlembagaan. Kalau kita dilihat lemah dalam soal ini sudah pasti ada pihak yang akan melakukan provokatif untuk menolak apa-apa yang termaktub dalam Perlembagaan.

Di kalangan generasi muda adalah jelas mereka tidak menghiraukan mengenai pencabulan Perlembagaan ini?

DR. SHAM RAHAYU: Tidak dapat dinafikan bahawa generasi baru memperjuangkan kesamarataan. Saya setuju dengan pandangan bahawa akibat daripada perjuangan inilah berlakunya pencabulan Perlembagaan. Justeru kita harus melihat agenda di sebalik tindakan berkenaan.

Adakah asas kesamarataan itu menjadi benda yang kukuh? Kenapa kita analogi sistem kesamarataan kita dengan barat. Apa yang ada di negara kita terlalu unik. Sepatutnya kita pergi kepada keadilan bukan kesamarataan.

Saya rasa faktor utama yang menyebabkan kekeliruan ini berlaku kerana orang tidak faham apa konsep keadilan dalam sistem Perlembagaan kita. Kalau hendak bagi semua orang sama rata itu tidak adil. Lihatlah sejarah bangsa mana-manapun sudah pasti ada sesetengah golongan harus diberi keutamaan. Apa yang diberikan oleh Perlembagaan kepada orang Melayu tidaklah melampau. Jadi tidak perlulah lagi dipersoalkan mengenai hak keistimewaan orang Melayu ini. Bagi saya mereka yang membangkitkan isu berkenaan mempunyai agenda politik.

Kenapa orang Melayu selalu dilihat bersalah apabila mempertahankan hak Melayu?

DR. SHAM RAHAYU: Apologetik. Orang Melayu terlalu berdiplomatik dengan sifat kemelayuan, sedangkan Melayu sebenarnya kuat dan hebat, tetapi sekarang ini kita terlalu apologetik. Sikap apologetik dan diplomatik, sikit-sikit minta maaf menyebabkan orang naik tocang. Sikap ini kalau dilakukan terlalu kerap orang akan bosan. Saya rasa faktor utama mengapa hak orang Melayu di sisi Perlembagaan sering dipersoalkan ialah tidak tegas dari segi penguatkuasaan dan sifat apologetik. Inilah dua karakter yang menyebabkan Perkara 153 dipijak, menyebabkan kedudukan orang Melayu dipijak sehingga orang Melayu rasa bersalah dan malu untuk mengaku kita sebenarnya ada keistimewaan.

Sekarang ini ada pula Melayu liberal yang juga mahu supaya diwujudkan kesamarataan?

DR. SHAM RAHAYU: Kelompok ini yang menjadi racun, saya sebut ini adalah Melayu yang makan Melayu, Melayu yang menjadi racun kepada Perlembagaan. Tidak mustahil mereka yang mencetuskan semua ini. Mereka yang nak jadi juara memperjuangkan hak sama rata, tanpa memahami sejarah Perlembagaan secara semangatnya. Mereka melihat Perkara 153 itu seolah-olah membawa pandangan buruk kepada Melayu, mereka rasa keistimewaan itu macam bantuan kepada orang cacat, benda yang buruk kepada orang Melayu. Ini menjadikan orang memijak Perlembagaan. Mereka ini tali barut yang menjadikan Perkara 153 dan orang Melayu sendiri bencikan keistimewaan Melayu. Kita tidak menafikan perkembangan mutakhir ini menunjukkan wujud dua Melayu iaitu Melayu liberal dan Melayu Perlembagaan..

Kita lihat suara untuk kesamarataan ini semakin berkumandang tetapi ia seolah-olah menjurus kepada bidang tertentu sahaja?

DR. SHAM RAHAYU: Masalah ini tidak akan selesai selagi kumpulan yang tidak berpuas hati ini menyatakan dengan jelas apa sebenarnya yang mereka mahukan. Kita lihat dalam pengambilan anggota polis terbuka kepada semua kaum tetapi adakah kaum bukan Melayu berminat menyertainya. Kita tidak pasti apa benda dan sektor mana yang mereka inginkan. Kalau nak juga keistimewaan Melayu ditarik balik tunjukkan bahawa keistimewaan ini telah menafikan mereka daripada mendapat hak-hak yang munasabah termasuk dari sudut ekonomi dan politik. Tunjukkan, barulah kita fikir Perlembagaan itu layak diubah.

Adakah Doktor melihat ada agenda lain di sebalik timbulnya cakap-cakap mengenai hak keistimewaan orang Melayu ini?

DR. SHAM RAHAYU: Saya melihat isu bukan agenda saja-saja atau demi kepentingan bangsa tetapi lebih kepada agenda politik. Sepatutnya semua pihak mesti membezakan antara politik dengan Perlembagaan. Jika kita lihat kedudukan bukan Melayu terutama dari sudut politik dan ekonominya amat memberangsangkan dan bukan sedikit kalangan mereka yang kaya raya di sebalik wujudnya Perkara 153 ini. Saya tidak nampak apa salahnya dalam sistem itu, cuma mekanisme itu yang perlu dilihat balik dan saya rasa Perkara 153 tidak boleh dikompromi dalam membina bangsa Malaysia. Kita tidak boleh potong Perkara 153 sampai bila-bila pun, kerana bangsa kita memerlukan safeguard (pengawalseliaan) iaitu Perlembagaan untuk mengawal Melayu.

Kita mesti ingat di dunia hanya di Malaysia yang wujud Melayu begini, di Indonesia sudah tidak ada, di Afrika Selatan juga tidak ada identiti Melayu sebegini. Kita yang masih tulen dan mempunyai keistimewaan kalau hendak dilihat Melayu di Singapura apa agaknya yang mereka ada.

Mungkinkah semua ini berpunca daripada kelalaian di pihak pelaksana Perlembagaan itu sendiri?

DR. SHAM RAHAYU: Saya tidak fikir kerajaan semasa begitu prihatin dengan apa yang terkandung dalam Perlembagaan. Jika diikutkan misalnya Perkara 152 mengenai kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tetapi kerajaan memperkenalkan dasar pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Walaupun untuk menarik balik dasar itu melibatkan kerugian dari aspek perbelanjaan kewangan tetapi kalau hendak menghormati Perlembagaan kita kena kembali kepada dasar lama. Jika tidak orang akan melihat dasar Kabinet bercanggah dengan Perlembagaan, bercanggah dengan sejarah dan kehendak Suruhanjaya Reid itu sendiri.

Saya percaya jika banyak sangat orang persoalkan sesuatu dasar yang ada kait mengait dengan Perlembagaan maka pasti ada silapnya. Semua pihak patut lihat balik apa yang tak kena dan sepatutnya kita pulihkan perkara-perkara yang tidak betul ini secepat mungkin.

Berikut petikan Perkara 153 Perlembagaan

Perkara 153. Perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit dan sebagainya bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak.

(1) Menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini.

(2) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, tetapi tertakluk kepada peruntukan Perkara 40 dan peruntukan Perkara ini, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini dan undang-undang persekutuan mengikut apa- apa cara yang perlu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan untuk memastikan perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak apa-apa perkadaran yang difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agong daripada jawatan dalam perkhidmatan awam (selain perkhidmatan awam sesuatu Negeri) dan daripada biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan yang seumpamanya atau kemudahan khas lain yang diberikan atau diadakan oleh Kerajaan Persekutuan dan, apabila apa-apa permit atau lesen dikehendaki oleh undang-undang persekutuan bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan, maka, tertakluk kepada peruntukan undang-undang itu dan Perkara ini, daripada permit dan lesen itu.

(3) Yang di-Pertuan Agong boleh, bagi memastikan, mengikut Fasal (2), perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak jawatan-jawatan dalam perkhidmatan awam dan biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain, memberikan apa-apa arahan am yang dikehendaki bagi maksud itu kepada mana-mana Suruhanjaya yang baginya Bahagian X terpakai atau kepada mana-mana pihak berkuasa yang dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi pemberian biasiswa, danasiswa atau keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain itu; dan Suruhanjaya atau pihak berkuasa itu hendaklah mematuhi arahan itu dengan sewajarnya.

Jangan prejudis kepada perkara 153Senarionya sekarang Melayu cuma mempertahankan hak dalam Perlembagaan tetapi pada masa yang sama bukan Melayu menuntut tambahan hak, adakah ini bermakna akan berlaku kesamarataan yang sekali gus menjejaskan hak orang Melayu?

DR. SHAM RAHAYU: Apa yang kita faham akan sampai satu tahap di mana demokrasi seumpama barat yang menekankan kesamarataan akan berlaku di negara ini. Tetapi untuk proses tersebut menjadi kenyataan tidak diketahui bila masanya. Saya percaya tempoh 51 tahun biar pun ada pihak yang berpendapatan sudah tiba masanya untuk kesamarataan namun hakikatnya tempoh tersebut belum mencukupi. Paling penting untuk kita fikirkan ialah apabila tiba masa tersebut apa akan jadi kepada Perlembagaan kita?

Bukankah ketika itu Perlembagaan akan menjadi kosmetik?

DR. SHAM RAHAYU: Itu yang saya maksudkan. Kalau sampai ke tahap itu pasti akan timbul cadangan supaya Perkara 153 dimansuhkan daripada Perlembagaan. Mungkin kita akan sampai ke satu tahap di mana orang Melayu sendiri rasa tidak perlu lagi keistimewaan atau pun sampai satu tahap kerajaan kata kita tidak mampu mempertahankan Melayu lagi, mungkin satu kerajaan lain yang akan berkata begitu, maka ketika itu lepaslah orang Melayu macam anak ayam. Apabila berlaku keadaan seperti itu tentunya akan menimbulkan ketidakstabilan politik. Sebabnya saya melihat sejarah, mungkin orang kata apa yang dah berlaku biarkan berlalu, tetapi ada juga yang berkata, jika kita tidak belajar dari sejarah maknanya kita akan mencipta sejarah kejatuhan kita.

Walaupun Perlembagaan kita dikatakan living document, boleh berubah dari semasa ke semasa tetapi sebenarnya kesamarataan itu yang Suruhanjaya Reid mahu. Kalau kita baca semula laporan Suruhanjaya Reid sampai satu tahap tidak akan ada beza antara kaum-kaum di negara ini. Saya rasa ia terlalu ideal. Sampai macam mana kulit saya tidak akan jadi putih macam orang Cina, orang India tidak akan jadi sawo matang macam orang Melayu. Masalahnya sampai ke satu tahap kita bimbang Perlembagaan menjadi perhiasan dan ini yang perlu dimainkan oleh pihak yang menjaga Perlembagaan ini.

Jangan sampai satu tahap sama rata dan itu boleh membahayakan Perlembagaan dan kestabilan politik kita. Kita mencipta satu bentuk sistem Perlembagaan yang unik dan tiada mana-mana contoh Perlembagaan di dunia yang mempunyai ciri-ciri Perlembagaan kita. Cuma Malaysia sahaja di dunia ini ada Yang di-Pertuan Agong. Apabila saya baca laporan Suruhanjaya Reid saya tertanya-tanya adakah mereka faham keadaan di Malaysia ini atau mereka menggunakan minda Inggeris untuk menilai bangsa-bangsa yang ada.

Boleh Doktor berikan contoh wujudnya minda Inggeris dalam Suruhanjaya Reid?

DR. SHAM RAHAYU: Contohnya mereka berkata keistimewaan orang Melayu untuk substantial number of years – banyaknya itu amat subjektif, adakah 50 tahun cukup untuk membina bangsa kita, adakah 50 tahun cukup untuk orang Melayu matang. Kalau diikutkan sekarang memang orang Melayu itu matang tetapi dari segi keupayaan yang sebenar bolehkah orang Melayu berdiri. Sebab itu Perkara 153 ini tidak boleh dilepaskan kerana menyedari orang Melayu belum sampai ke tahap itu. Saya tertanya-tanya apa sangat yang bukan Melayu hendak sebenarnya. Adakah mereka tidak mendapat peluang pekerjaan, adakah mereka tidak mendapat kepentingan ekonomi, apa sangat yang disusahkannya tentang Perkara 153 ini. Lebih menyedihkan lagi apabila ada orang Melayu sendiri tidak mahu mempertahankan kedudukan Melayu.

Adakah ia mungkin disebabkan oleh kaum-kaum lain percaya bahawa kaum Melayu diberi keistimewaan keterlaluan sehingga hak menjejaskan hak mereka?

DR. SHAM RAHAYU: Kalau hendak kata mereka tidak mendapat legitimate interest (perkataan yang digunakan dalam Suruhanjaya Reid), kita sendiri lihat kedudukan kaum-kaum lain di Malaysia sekarang ini. Adakah mereka tidak diberi peluang sedangkan mereka boleh ‘survive’ malah dalam banyak bidang mereka amat berjaya. Kalau Melayu tidak diberi kedudukan ini adakah Melayu boleh survive, itu yang penting dan mesti kita tengok.
Saya juga tertanya-tanya adakah selama ini negara kita tidak aman dengan adanya keistimewaan orang Melayu. Adakah kita tidak gembira berada di Malaysia hanya kerana adanya 153 ini. Persoalannya apa susah sangat dengan 153.

Dalam buku Chinese Dilemma dan Chinese Contributions mereka bangkitkan tentang peranan mereka, sememangnya kita terima peranan mereka membangunkan Bank Negara misalnya, tapi mereka kena ingat ini adalah negara mereka dan itu adalah sumbangan mereka. Apa yang mereka tidak dapat di negara ini. Sistem pendidikan misalnya kita lihat Singapura hanya ada satu sistem, tetapi di sini semuanya ada. Perpaduan bangsa kita seperti yang dikatakan oleh Syed Naquib Al-Attas umpama jalur-jalur besi yang tidak boleh nak dicairkan kerana adanya prejudis. Adakah 153 menjadi satu isu untuk mereka prejudis kepada Melayu, saya rasa itu tidak adil untuk bangsa Melayu.

Sepatutnya mereka kena tunjukkan sejauh mana benarnya Dasar Ekonomi Baru telah menyekat legitimate interest mereka, kalau Lim Kit Siang kata orang Cina tidak diberi peluang sila perjelaskan peluang apa.

Suara Politik - UM

Masalah Sebenar Kaum India di Malaysia

Negara dikejutkan dengan kematian mendiang Tan Sri M.G.Pandithan pada bulan April yang lalu. Jasa M.G.Pandithan akan tetap dikenang dan diingati disanubari seluruh rakyat berketurunan India yang berpendapatan rendah ( bawahan ) yang menganggap mendiang sebagai " Pejuang Rakyat " bagi mereka. Walaupun keadaan kesihatan M.G.Pandithan tidak berapa mengizinkan sebelum itu, namun mendiang tetap teguh berdiri di belakang Barisan Nasional terutamanya samasa PRU ke-12 yang lepas walaupun parti IPF yang dipimpin oleh mendiang bukanlah parti komponen Barisan Nasional. Satu pendirian yang mana saya rasa harus dihormati oleh semua parti-parti politik di Malaysia

Semasa hayat, M.G.Pandithan dilihat begitu gigih cuba merapatkan jurang antara kaum India yang berpendapatan rendah dengan golongan pertengahan dan atasan didalam masyarakat itu. Semasa didalam MIC sehingga digugurkan dan kemudian menubuhkan parti IPF, mendiang tetap konsisten memperjuangkan nasib kaum India yang berpendapatan rendah tanpa rasa jemu dan putus asa. M.G.Pandithan dan IPF berdiri teguh dibelakang Barisan Nasional didalam setiap pilihanraya walaupun IPF bukanlah parti komponen BN. Walau pun ada usaha-usaha M.G.Pandithan untuk membawa IPF menyertai Barisan Nasional, namun ianya ditentang keras oleh MIC. Seperti mana yang kita tahu memang terdapat jurang yang besar diantara MIC dan IPF. Perbezaan ketara antara golongan atasan dan bawahan. Kalau kita imbas kembali kepada keputusan PRU ke-12 yang lalu, terdapat ramai dikalangan ahli-ahli IPF yang mengundi parti pembangkang untuk menyatakan rasa tidak puas hati kepada MIC dan bukan nya BN. Ini diakui sendiri oleh ahli IPF di Teluk Intan, Perak selepas tamat pilihanraya. Walaupun terdapat sedikit kelembutan sejak akhir-akhir ini dari MIC untuk berbaik-baik dengan IPF, namun ianya masih tidak dapat direlisasikan lagi.

Disini sebenarnya masalah kaum India dinegara kita. Masih lagi terdapat " jurang yang besar " sesama mereka. Dalam erti kata lain masyarakat India di Malaysia masih kuat lagi mengamalkan apa yang dikatakan " amalan sistem kasta " sepertimana yang masih diamalkan lagi di negara India itu sendiri. Perkara ini memang tidak boleh dinafikan. Kita boleh lihat sendiri cara-cara golongan sederhana atau tinggi ( kasta atasan ) berinteraksi dengan golongan bawahan ini ( berpendapatan rendah ). Golongan atasan pada kebiasaan akan memandang rendah akan golongan bertaraf rendah ( bawahan ). Sebab itu mendiang Tan Sri Pandithan sentiasa berusaha keras cuba merapatkan jurang perbezaan ini. MIC mewakili kaum India manakala IPF juga mewakili kaum yang sama. Cuma yang berbeza adalah " darjat ". MIC sepatutnya boleh menerima ahli-ahli IPF menjadi ahli mereka jika mereka memikirkan untuk mendapat sokongan dan menambah kekuatan parti dari kaum India, tetapi sebaliknya tidak. Apabila IPF memohon untuk menjadi komponen Barisan Nasional, mereka membantah. Yang menjadi batu penghalangnya adalah amalan kasta atau darjat ini.

Tan Sri Pandithan cuba meleraikan " batu halangan " ini telah menjadi amalan bagi kaum India di Malaysia sejak turun temurun, tetapi usaha mendiang dipandang sepi oleh ketua-ketua masyarakat India. Walaupun kaum India mewakili penduduk minoriti iaitu lebih kurang 2 juta dari penduduk Malaysia, namun pemimpin-pemimpin kaum India tidak boleh duduk semeja untuk berbincang.

Sebenarnya masalah masyarakat India hendaklah diselesaikan sendiri oleh orang-orang India seperti ketua-ketua masyarakatnya. Dato' Sri Samy Vellu mungkin telah cuba sedaya upaya semasa beliau didalam kabinet. Malangnya, masalah yang terbesar dikalangan pemimpin-pemimpin India adalah kerana mereka tidak boleh bersatu. Mereka bertelagah sesama sendiri. Yang menjadi mangsa adalah Barisan Nasional dan UMNO. Orang Melayu dan UMNO tentu masih ingat apa yang dituntut oleh kumpulan Hindraf. Mereka menuduh BN yang ditunjangi oleh UMNO menindas kaum India di Malaysia. Mereka mengatakan yang UMNO dan BN tidak membantu untuk mengatasi masalah kemiskinan masyarakat India. Apabila masalah dalaman mereka tidak boleh diatasi oleh mereka sendiri, pada masa yang sama mereka cuba menuding jari dengan menyalahkan UMNO dan BN gagal membantu mereka.

Walaupun terdapat ramai dikalangan kaum India yang sudah berjaya menjadi kaya, menjadi golongan professional seperti doktor, peguam, jurutera dan lain-lain lagi, mereka gagal bersatu untuk membantu kaum India yang hidup dibawah paras kemiskinan ataupun kemiskinan tegar. Mereka tiada persatuan-persatuan kebajikan yang boleh menolong dan mengurangkan beban golongan yang miskin. Kalau adapun tak banyak. Masing-masing ego dengan kekayaan atau kepandaian masing-masing. Lebih-lebih lagi jika ada diantara mereka yang terdiri dari golongan atasan.

Sebab itu kita boleh lihat dimana yang kaya dari golongan berdarjat tinggi akan bertambah kaya, manakala yang miskin dari golongan berdarjat rendah atau bawahan akan menjadi bertambah miskin. Yang kaya agak sukar untuk membantu golongan miskin. Mereka tiada kata sepakat dalam mencari jalan untuk membantu kaum mereka sendiri. Selagi ikatan " darjat atau kasta " ini tidak terlerai, selagi itu lah masyarakat India akan berdepan dengan masalah kemiskinan tegar dan masalah-masalah lain kerana dikalangan orang-orang India sendiri tidak bersatu. " Sistem kasta " inilah yang sebenarnya menjadi batu halangan atau duri dalam daging kepada masyarakat India di Malaysia untuk bersatu dalam memajukan bangsa mereka sendiri. Hakikatnya orang India sendiri yang gagal membantu kaum mereka sendiri.

Mungkin diatas sebab-sebab inilah Tan Sri Pandithan bertindak keluar dari parti MIC dan menubuhkan parti IPF kerana kecewa dengan tindak tanduk MIC tidak mahu membantu golongan miskin dikalangan penduduk keturunan India. Contohnya penduduk-penduduk India di estet-estet diseluruh negara. Sesungguhnya kehilangan mendiang Tan Sri Pandithan akan diratapi oleh seluruh masyarakat India yang berpendapatan rendah dan golongan bawahan di Malaysia. Menurut bekas Naib Presiden MIC itu, beliau akan menghembuskan nafas terakhirnya sebagai ahli IPF dan terus berjuang untuk mempertabatkan golongan-golongan kaum masyarakat India bawahan.

Antara kata-kata M.G.Pandithan semasa di perhimpunan Agung IPF tidak lama dulu ketika menjemput Dato' Sri Samy Vellu merasmikan Mesyuarat Agung IPF selepas 20 tahun meninggalkan MIC. '' Saya akan berjuang dalam IPF sehingga ke akhir titisan darah saya. Ada pihak berkata Pandithan akan menjual parti, membubarkan IPF setelah kembali berdamai dengan Samy Vellu. Ini semua tidak benar. '' Hari ini saya jawab kesemua tuduhan yang dilemparkan ke atas saya. Pandithan akan mati sebagai ahli IPF dan tidak akan membubarkan parti ini sehingga akhir nyawa saya,'' katanya . Antara kata-kata lain mendiang yang menyentuh hati adalah, " Bukan pilihan saya untuk lahir dalam keluarga berkasta rendah, ini semua ditentukan oleh Tuhan yang juga menentukan siapa yang akan dilahirkan sebagai Melayu, Cina atau India. Malangnya manusia tidak menyedarinya." semasa terlantar dihospital suatu ketika dahulu.

Semuga usaha murni mendiang Tan Sri Pandithan akan diteruskan oleh isteri mendiang dan juga ahli-ahli IPF yang lain dalam membantu golongan-golongan yang berpendapatan rendah dan juga kemiskinan tegar. Dan didalam usaha memantapkan lagi Barisan Nasional, diharap hasrat dan permohonan IPF untuk menjadi salah satu komponen Barisan Nasional akan diterima dengan tangan terbuka. Sekurang-kurangnya ada suara mereka di dalam parti pemerintah untuk membantu masyarakat kaum India yang daif. Kepada MIC, lupakan persengketaan anda dengan IPF. Terimalah IPF dengan se adanya. Bersatulah demi kebaikan semua masyarakat India di Malaysia. Ini cuma satu pandangan ikhlas dari penulis sebagai rakyat Malaysia untuk melihat semua rakyat Malaysia dapat hidup dengan aman damai dan bersatu dalam memakmurkan negara.

Taminsari
Shah Alam.

Khamis, Oktober 30, 2008

Biarlah Berlentur, Tetapi Tidak Patah..

Sejarah sentiasa mengajar kita tentang perjalanan nasib bangsa dan negara. Peperangan dunia dan darurat dalam negara kita, misalnya telah mencabar kekuasaan pemerintah imperial Jepun dan Inggeris di Tanah Melayu. Sekaligus juga perhubungan di antara kaum dan individu yang telah diperlaga-lagakan dalam percaturan kuasa imperial itu mencapai tahap pertentangan yang amat serius dan genting.

Orang Melayu, seperti juga orang Siam-mereka berkeyakinan tentang hak mereka ke atas negaranya sendiri sejak dari dahulu serta desakan hebat kuasa imperial Jepun, tidak berasa silu untuk bersama dalam perjalanan kuasa zaman Jepun itu. Apa lagi adanya layanan yang lebih baik dan untuk kesejahteraan bersama serta janji perlanjutan kuasa pemerintahan selepas perang, maka kehadiran Jepun membuka kesempatan yang amat berharga bagi orang Nelayu untuk kembali berkuasa di tanah airnya sendiri.

Kuasa imperial Inggeris tidak memandang keadaan zaman Jepun daripada rasa simpati yang sama atau sebagai tindakan yang wajar oleh orang Melayu lalu mereka menjadikan kerjasama dengan Jepun itu sebagai sebab utama untuk menakluk semula Tanah Melayu dengan sepenuhnya.Dengan mentafsir kerjasama Raja-Raja Melayu dengan Jepun sebagai pembelotan besar dan jenayah serius zaman perang terhadap kuasa imperial Inggeris, maka orang Melayu seluruhnya diancam dengan kejatuhan dan kehilangan kuasa oleh penaklukan ke atas negaranya melalui Malayan Union tanpa mereka sendiri menyedari akan perlucutan terhadap hak dan kuasa Melayu ke atas Tanah Melayu, bumi tanah air bangsa Melayu oleh tindakan Malayan Union itu.

Selama dua tahun orang Melayu tidak mempunyai negara sendiri, menjadi pelarian dan gipsi dalam negara mereka. Kuasa mereka telah lebur sama sekali hanya dengan satu tandatangan. Sejarah politik orang Melayu hapus di muka bumi dengan hanya persepsi serong imperial Inggeris di London terhadap orang Melayu.

Sejarah awal abad 19 yang membelahkan negara Melayu menjadi utara dan selatan khatulistiwa hanya dengan keputusan perjanjian Inggeris dan Belanda di Eropah pada tahun 1824 telah berulang lagi. Untuk pertama kalinya slogan `Melayu Hilang di Dunia"menjadi kenyataan yang amat pahit dan hampir kekal dan abadi.

Saat-saat selepas perang pula menyaksikan penindasan kuasa `belalang’ Bintang Tiga di padang yang kosong terhampar luas dan menghijau. Gerombolan penjahat golongan pendatang dengan idealogi asingnya telah turun dari segenap hutan untuk membunuh orang Melayu dengan rasa dendam dan hasad yang amat membencikan.

Dengan alasan bahawa Melayu telah bersubahat dengan Jepun serta dengan niat untuk menyebar idealogi baru, mereka membalas dendam dengan amat zalim. Tidak terkira ramainya bilangan orang Melayu yang terbunuh kerana tanggapan yang sama bahawa Melayu belot dengan Jepun.

Dalam negara sendiri, Melayu dituduh belot. Di manakah kuasa Melayu itu mempertahankan hak mereka? Selama tiga minggu, mereka menakluk dan dengan sedaya upaya yang termampu olehnya cuba menghapuskan kuasa Melayu kerana sifat orang Melayu itu sendiri yang terlalu lurus serta tidak bersedia untuk mengambil alih kuasa pemerintahan negara mereka dengan kekosongan yang ditinggalkan oleh Jepun.

Selama itu juga orang Melayu dimandikan dengan darah. Selepas itu mereka langsung dipupuskan oleh gagasan Malayan Union. Demikianlah sejarah penghapusan dan permandian darah orang Melayu kerana kelemahan diri dan perpecahan kepemimpinan politik pada zaman yang amat mencabar dan mengancam.

Orang Melayu bukan sahaja terbelah oleh yang moden dan yang tradisi, yang loyal dan yang repubalikan bahkan antara yang paling miskin dengan yang paling kaya serta antara yang paling berkuasa dan yang paling daif dan tidak berkuasa. Kini saat-saat mencabar yang mungkin lebih hebat dan tajam daripada sejarah silam itu sedang kembali berlegar di hadapan mata kita dengan ancaman perpecahan dan kehanduran yang tidak memungkinkan untuk bangun kembali lagi.

Ancaman yang demikian hebat sehingga tidak lagi perlu kepada suatu kuasa asing dan luar untuk mencapai matlamat kehancuran bangsa ini tetapi cukup dengan perbalahan dan pertentangan politik serta perjuangan sepenuhnya setiap `hantu politik’ antara satu sama lain dan bagaimana pada zaman dahulu orang mempertaruhkan dan menggadaikan tanah, daerah, jajahan atau negeri untuk berjudi dan bersabung ayam antara mereka sendiri.

Itulah bayangan yang sedang melintas di hadapan kita hari ini. Kita mungkin menggadaikan bangsa dan negara kita jika perjuangan politik yang terlalu sengit berlaku antara peribadi dan puak orang Melayu membawa kepada keruncingan konflik dalam masyarakat sendiri. Kita bukan Amerika atau Inggeris untuk menggunakan nilai dan prinsip demokrasi yang terlalu ekstrim untuk mencari dan menemui keputusan kepada perbalahan serta pertelingkahan politik kita sehingga tiba ke hujung lojik demokrasi itu.

Kita masih terkandung di dalam lingkungan nilai dan pertimbangan budaya yang meminta perundingan serta muafakat dalam proses mencari penyelesaian dan bukannya persaingan serta peraduan yang sengit serta genting untuk mencari dan menemui titik perhubungan. Dekad 80-an pula ternyata adalah suatu tempoh yang amat mendebarkan jantung dan seluruh hidup kita. Kita sentiasa bimbang menyaksikan sekian banyak kemelut dan pergolakan dalam masyarakat. Satu demi satu gegaran dan gempa sosio-politik meledak sehingga menggoncangkan seluruh binaan masyarakat kita sehingga ke akar umbinya.

Daripada awal dekad ini lagi sebenarnya sudah berterusan persinggitan antara golongan muslim dan kafir yang memfragmenkan idealogi serta iktikad bangsa sampai ke lunas-lunasnya . Kemudian bertiup pula ribut taufan Perlembagaan yang meruntuk akar umbi keutuhan bangsa dan masyarakat sehingga boleh menumbangkan pendiriannya.

Jurang antara individu dan puak terus meluas dalam merangkaikan fragmentasi tafsiran idealogi dan perjuangan agama yang amat berdarah dalam peristiwa Memali. Suasana goyah dan kemelut itu berlangsung dalam dengan menonjolnya nilai-nilai baru dan amalan prinsip demokrasi pemilihan para pemimpin sehingga mengenepikan tradisi pemilihan pucuk pimpinan Kerajaan.

Persaingan individu atas prinsip demokrasi dan akhirnya pembuangan puak-puak politik benar-benar meretak dan membelah masyarakat. Segala ini berlaku sebagai satu gelojak hanya dan semata-mata dalam masyarakat meskipun dalam seluruh konteks bangsa Malaysia yang lebih luas dan yang menjadi lingkungan hanya menjadi saksi berkecuali terhadap pergolakan itu.

Persoalan ini seolah-olah sebagai suatu permainan dan persabungan `jaguh-jaguh’ dan `galak-galak’ jantan milik Pak Kaduk dan Lebai Malang yang nanti akan menerima nasib ' ayam menang, kampung tergadai’ berlaku dalam suatu gelanggang bangsa Malaysia yang bergemuruk bersorak-sorai melihat Si Kaduk dan Si Lebai Malang bergaduh.

Kita sedang mendengar sorak dan sorai dan kita akan menang sorak tetapi alah sabung dalam jangka panjang ketika bersaing dengan orang lain dalam dunia yang terlalu pesat berubah dan membangun.Ketika kita sedar dan bangun dari tersungkur kerana pergaduhan itu, maka dari debu-debu kehancuran itu, kita yang masih mamai kerana bertumbuk akan melihat orang lain mencebek, mencekam dan menindas kita menjadi hamba dan ulun dalam negara sendiri.

Bukan pertama kali dan bukan tidak mungkin orang menguasai kita seperti sejarah telah mengajar kita tentang segala kemungkinan penjajahan dan penaklukan itu. Jika setiap hari kita terus mengutamakan matlamat diri lebih daripada matlamat bangsa dalam perjuangan kepimpinan politik ala demokrasi maka selama itu kita akan terus terdorong ke jurang kehancuran dan mungkin terjerumus ke dalam `bottomlesspit’ perhambaan dan sekali lagi pupus dalam kesinambungan sejarah.

Keadaan ekonomi, politik dan kemajuan dunia hari ini lebih-lebih lagi meminta kita memperteguhkan organisasi formal kita serta pengurusan masyarakat, bangsa dan negara. Justeru itu di dalam konteks negara kita, tidak ada tempat untuk menggunakan prinsip persaingan berkerat rotan, berpatah arang kerana akhirnya prinsip ini adalah prinsip kehancuran diri dan bangsa. Biarlah berlentur tapi tak patah, menyebar tetapi tidak berpecah-belah.

Taminsari
Shah Alam

LAGU WARISAN

Anak kecil main api
Terbakar hatinya yang sepi
Airmata darah bercampur keringat
Bumi dipijak milik orang
Nenek moyang kaya raya
Tergadai seluruh harta benda
Akibat sengketa sesama kita
Cinta lenyap di arus zaman
Indahnya bumi kita ini
Warisan berkurun lamanya
Hasil mengalir ke tangan yang lain
Pribumi merintis sendiri
Masa depan sungguh kelam
Kan lenyap peristiwa semalam
Tertutup hati terkunci mati
Maruah peribadi dah hilang
Kini kita cuma tinggal kuasa
Yang akan menentukan bangsa
Bersatulah hati bersama berbakti
Pulih kembali harga diri
Kita sudah tiada masa
Majulah dengan gagah perkasa
Janganlah terlalai teruskan usaha
Melayu kan gagah di Nusantara.

Wahai anak bangsaku, hayatilah lagu warisan ini dengan sebaik-baiknya. Ingatlah bahawa kita bangsa Melayu adalah pewaris sebenar kepada tanah pusaka bumi tercinta ini. Sama-samalah kita berjuang mempertahan dan mengekalkannya.

Taminsari
Shah Alam

Rabu, Oktober 29, 2008

Artikel Pilihan : Melayu tidak pernah minta hak bukan bumiputera !

MCA melalui naib presidennya, Datuk Liow Tiong Lai meminta kerajaan menghapuskan syarat pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputra dalam syarikat-syarikat senaraian awam bagi memastikan ia terus bersaing. Ini adalah satu lagi suara sumbang daripada MCA yang menyentuh hati masyarakat bumiputera di negara ini.

Apa lagi yang mereka mahu supaya masyarakat Cina kembali menyokong parti itu yang kalah teruk dalam pilihan raya umum Mac lepas. Masyarakat bumiputera khususnya orang Melayu tidak pernah pun menyentuh dan meminta orang Cina memberikan hak mereka kepada bumiputera. Perhatikan sahaja ratusan ribu syarikat milik persendirian dan sendirian berhad milik seratus peratus orang Cina di negara ini yang berkembang maju dan langsung tidak dipersoalkan oleh orang Melayu.

Kita tidak perlu meneliti rekod Pendaftar Syarikat (RoC) mengenai ekuiti masyarakat Cina di negara ini. Cuba kita lihat sekeliling dengan memandu kereta dan melawat ke serata bandar besar dan kecil di seluruh Malaysia, lihat siapa yang pemilik perniagaan dan kekayaan di negara ini.

Dengan ini saya pinta kerajaan supaya tidak tunduk dengan permintaan MCA kerana hanya mahu popular di hati masyarakat Cina. Ekuiti 30 peratus dalam syarikat awam adalah tidak seberapa jika dilihat dalam konteks ekuiti saham keseluruhannya. Ini adalah satu cara kerajaan meningkatkan ekonomi bumiputera setaraf dengan kaum bukan bumiputera.

Bagi sesebuah syarikat untuk berdaya maju ia bukan kerana ekuiti pemegang sahamnya tetapi adalah dari segi pengurusannya. Pihak pengurusan mesti mematuhi etika pengurusan yang baik bagi memajukan syarikat.

Contoh terbaik ialah apa yang berlaku dalam krisis kewangan Amerika Syarikat sekarang. Syarikat-syarikat yang besar seperti Lehman Brothers, AIG, Bear Sterns dan Merrill Lynch pun boleh tumbang walaupun mengamalkan pasaran bebas.

Walaupun bumiputera memegang ekuiti 30 peratus, pihak pengurusannya masih lagi dipegang oleh kaum bukan bumiputera. Bumiputera adalah pemegang saham yang pasif. Pernahkah orang Melayu bertanya berapa ramaikah kaum bumiputera yang memegang jawatan pengurusan di syarikat-syarikat seperti Resort World, Sunway, IOI Berhad, Public Bank dan banyak lagi.

Di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pula kaum bumiputera lebih kelihatan memegang jawatan tertinggi dalam syarikat. Pernahkah orang Melayu bertanya, berapa ramaikah kaum bumiputera memegang jawatan pengurusan pada peringkat pertengahan. Sebagai seorang yang pernah bekerja dalam syarikat GLC yang terbesar di negara ini, saya tidak merasakan bahawa saya memegang jawatan kanan dalam syarikat itu kerana status saya seorang bumiputera.

Bumiputera sepatutnya mendapat jawatan yang lebih kerana ekuiti syarikat-syarikat GLC dipegang oleh majoritinya bumiputera seperti Permodalan Nasional Berhad, Tabung Haji, Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan beberapa institusi yang lain. Tetapi pihak pengurusan tidak pula menyisihkan kaum bukan bumiputera dalam syarikat-syarikat GLC.

Saya cadangkan MCA pergi membuat lawatan ke syarikat-syarikat GLC untuk mengetahui keadaan sebenar. Kalaupun peratusannya lebih, ia adalah di peringkat bawahan seperti kerani dan pengawal keselamatan. Sepatutnya syarikat-syarikat awam bukan GLC yang ekuitinya 30 peratus dipegang oleh bumiputera, pihak pengurusannya harus juga mengandungi 30 peratus kaum bumiputera. Tetapi ini tidak pun berlaku.

Lebih banyak syarikat awam bukan GLC yang tersenarai di Bursa Malaysia berbanding dengan syarikat-syarikat GLC. Kaum bumiputera tidaklah setamak itu dan menuntut haknya. Kaum bumiputera telah banyak bertolak ansur. Saya minta MCA tidak mengungkit perkara-perkara yang telah pun dipersetujui dalam Dasar Ekonomi Baru sebaliknya bekerjasama memperbaikinya. Kesan buruk ekonomi dunia bukannya daripada polisi pegangan ekuiti sesebuah syarikat, sebaliknya adalah daripada manusia-manusia yang tamak.

Dengan ini saya minta pucuk pimpinan negara supaya tidak tunduk dengan tekanan dan ugutan daripada mana-mana pihak. Semua masyarakat di negara ini berhak menikmati kekayaan dengan saksama. Jika kerajaan tunduk dengan permintaan ini, saya percaya negara akan kembali seperti sebelum merdeka di mana sektor ekonomi akan dimonopoli oleh satu kaum sahaja.

ESA ADAM
Suara Politik
Taminsari

Benarkah Wujud Kontrak Sosial?

Presiden MCA, Tun Tan Siew Sin, dilaporkan dalam akhbar tempatan bertajuk "Tun Tan Answers Critics on special Previleges" dalam pada 30 april 1969, berkata:

" The Malays, through UMNO, were generous enough to relax the citizenship laws of this country to such extent that within 12 months of independence, 90 percent were still non-citizens after nearly 100 years of colonial rule in the Malay States. In return for this major concession. the MCA and the MIC agreed to continue the policy of preserving the special position of the Malays while at the same time upholding the legitimate interest of other communities.”

"[Orang Melayu menerusi UMNO bermurah hati melonggarkan syarat-syarat dalam undang-undang negara ini sehinggakan dalam masa 12 bulan selepas kemerdekaan, 90 peratus penduduk bukan Melayu telah menjadi warganegara. Ini berbeza dengan keadaan sebelum merdeka di mana 90 peratus daripada mereka masih tidak diiktiraf sebagai rakyat Tanah Melayu walaupun hampir 100 tahun hidup di bawah pemerintahan penjajah. Sebagai membalas kemurahan hati orang Melayu, MCA dan MIC bersetuju meneruskan dasar memelihara dan menghormati kedudukan istimewa orang Melayu dan dalam masa yang sama mempertahankan kepentingan-kepentingan sah kaum lain.]”

- Sumber Tan Sri Khalid Awang Osman, Malaysia - An Anthology, Vantage Press, New York, hal. 38-39.

Ucapan Presiden MIC Merangkap Menteri Kerjaraya, Pos Dan Telekom,Tun V.T. Sambanthan Di Dewan Rakyat Pada 1 Jun 1965.

"Now, in 1955 we won the elections with a great majority. Then we obtained freedom in two years time. During this period, we had to discuss citizenship and various other things. Now what did the Malays do - since we are speaking on racial lines - what did the Malay leadership do? The had 88 percent of the electorate still with them. What did they do with citizenship?If we look around in Asia and East Asia, particularly, you will find that my race the indian race, is not welcomed in Ceylon, is not welcomed in Burma.

Look at my brother Chinnese race, it is not welcomed in Thailand, in Vietnam, in Cambodia, in all the other areas. What help do they get for citizenship in all these territories? In Burma, as we know, Indian have been send packing, in Ceylon they refused them citizenship and in Burma it is likewise. I know it, you know it. And yet in Malaya what happened? Here we found that the Malay leadership said, "We shall tkae them unto ourselves as brothers, we shall give them full opportunity to live in this country, we shall give them every opportunity to become citizens." And so, in 1957, for the whole year, we waived language qualifications, and tens of thousand of Indians, Chinnese, Ceylonese and others became citizens...

As I said, it has been my great good fortune to have born in this country. Where else can you find a more charitable, a more polite, a more decent race than Malay race? Where else can you get such politically decent treatment for any immigrant race? Where else in the history of the world? I ask you. These are the facts. Who are you to safeguards us? I am 10 percent minority race here. But I am happy here.

"[ Pada tahun 1955 kita telah memenangi pilihan raya dengan majoriti yang tinggi, selanjutnya mendapat kemerdekaan dalam masa dua tahun kemudian.Dalam jangka masa itu kita terpaksa berbincang dan menangani pelbagai perkara termasuk soal kewarganegaraan. Persoalannya di sini, apakah yang dilakukan oleh Orang Melayu memandangkan kita bercakap menyentuh perkauman? Apakah yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Melayu? Mereka mempunyai 88 peratus daripada pengundi menyokong mereka. Apakah yang mereka putuskan mengenai isu kewarganegaraan? Jika kita lihat di serata negara Asia dan Asia Timur, kita akan mendapati kaum India tidak akan diterima di Ceylon dan juga tidak diterima di Burma.

Dan lihat saudara kita kaum Cina, mereka tidak diterima di Thailand, Vietnam, Kemboja dan di negara-negara lain.Dan apakah bantuan berhubung kewarganegaraan yang mereka perolehi di semua wilayah tersebut? Di Burma, seperti yang kita semua sedia maklum, kaum India telah diusir keluar, di Ceylon mereka tidak diberikan taraf warganegara seperti juga di Burma. Saya tahu dan anda juga tahu dan dalam pada itu apa yang sedang berlaku di Malaya?

Di sini kita mendapati pemimpin Melayu berkata, " Kita akan menerima mereka sebagai saudara, kita akan berikan mereka sepenuh peluang untuk meneruskan kehidupan di negara ini, kita akan beri mereka peluang untuk menjadi warganegara." Dan seterusnya pada tahun 1957, dengan tidak mengambil kira kebolehan berbahasa (Melayu) ribuan orang India, Cina dan Ceylon menjadi warganegara.Seperti yang saya nyatakan, saya amat bernasib baik kerana dilahirkan di negara ini.

Di manakah anda boleh berjumpa bangsa yang lebih prihatin, bersopan-santun dan tertib selain dari Bangsa Melayu. Di manakah anda boleh mendapat layanan politik yang baik untuk kaum pendatang? Di manakah dalam sejarah dunia? Saya bertanya kepada anda. Ini adalah fakta. Siapakah anda untuk menjaga keselamatan kami? Saya adalah kalangan 10 peratus kaum minoriti di sini. Tetapi saya amat gembira di sini."]

- Sumber Tan Sri Khalid Awang Osman, Malaysia - An Anthology, Vantage Press, New York, hal. 60

Taminsari

Selasa, Oktober 28, 2008

Artikel Pilihan : Sah Anwar Pembohong

ANWAR, kalau dalam UMNO dulu, menipu dan mungkir janji dah jadi budaya. Ingatkan bila dah keluar UMNO dan bersama PKR dan PR beliau dah berubah lebih-lebih lagi bila selalu berdamping dengan para ulama di dalam PAS. Rupa-rupanya budaya tersebut telah menjadi darah daging beliau hingga sukar untuk dibuang.

Satu dunia tahu yang Anwar berjanji dengan rakyat Malaysia bahawa kerajaan persekutuan Pakatan Rakyat akan dibentuk pada 16 September, 2008. Anwar dah janji dengan DAP, Anwar dah janji dengan PKR, Anwar dah janji dengan PAS dan ahli-ahli mereka bahawa kerajaan akan bertukar pada 16 Sept. Habis semua orang gelabah lebih-lebih lagi UMNO. Habis semua orang mengharap lebih-lebih lagi pemimpin yang kemaruk pangkat dalam PAS. Dah ada dikalangan pemimpin PAS sendiri dah mula pasang angan-angan nak jadi menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Terlalu banyak masa dan tenaga dibuangkan untuk berbincang berkenaan pembentukan kerajaan baru sehingga PAS hampir atau dahpun berpecah. Hinggakan wala' dan taat kepada pemimpin sendiripun dah beralih arah. Hinggakan pandangan Presiden sendiripun dipertikaikan. Hinggakan matlamat menegakkan negara Islam pun dikesampingkan. Dan yang lebih parah....hinggakan ayat AlQuran pun sanggup di "tapi" kan.

Bila Dato' Mustafa Ali membuat kenyataan bahawa tidak akan terbentuk kerajaan PR pada 16 September, maka terloncat-loncatlah budak suruhan Anwar dan Husam menyerang Dato' Pa. Kununnya mungkin nak jadi hulubalang Anwar dengan harapan Anwar akan jadikan mereka sebagai kroni beliau agaknya. Yang paling sedih ialah bila Husam gunakan pengaruhnya untuk mempengaruhi Tok Guru Nik Aziz agar sama-sama menyerang Dato' Pa. Peristiwa ini tidak akan dapat dilupakan sampai bila-bila.

Akhirnya, bila tiba 16 September, 2008 tidak ada apa-apa pun yang berlaku. Tidak terbentuk pun Kerajaan Pakatan Rakyat seperti yang dijanjikan oleh Anwar dan seperti yang diharapkan oleh jutaan rakyat Malaysia. Yang ada hanya beberapa siri sidang media Anwar yang sering dihadiri oleh kumpulan Erdogan PAS yang terhegeh-hegeh nak jadi menteri. Bila orang tanya pasal kerajaan PR dia hanya jawab... I have the numbers, I have the numbers! Bila orang tanya siapa dia yang nak lompat tak boleh jawab, kununnya strategi... takut kena kacau.

Seribu satu alasan dan dalih diberikan. Dan seperti selalu beliau masih berjaya meyakinkan sebahagian besar penyokong PR untuk percaya kepada alasan-alasannya... termasuk dua tiga kerat yang kempunan nak jadi menteri dalam PAS. Entah ilmu apa yang di pakai Anwar sampai orang boleh percaya kepada cakap dia walau ditipu berkali-kali.

Kemudian dengan muka tak malu terpaksa mengiakan pendapat Dato' Pa apabila Anwar terpaksa meminta Pak Lah buat sidang parlimen tergempar untuk nak bawa usul undi tak percaya terhadap Perdana Menteri. Satu tarikh baru diberikan iaitu 23 September untuk Paklah buat sidang parlimen tergempar, kalau tidak........

Akhirnya bila tiba 23 September... tidak ada apa-apa juga yang berlaku. Yang ada hanya "berlakun". Memang Anwar pandai berlakun. Kesalahan diletakkan kepada Paklah kerana tidak memanggil sidang parlimen tergempar. Sekali lagi rakyat Malaysia termasuk PAS kena tipu.

Satu persoalan disini....betulkah Anwar ada majoriti ahli parlimen yang dah melompat dan bersama PR? Siapa yang boleh confirm? Macam-macam versi yang Anwar berikan kepada PAS. Sekejap kata dah cukup kuota muslim. Sekejap kata dah cukup bilangan yang melompat tapi masih tak cukup bilangan ahli parlimen muslim. Yang pastinya beberapa nama yang Anwar berikan kepada PAS kununnya dah setuju nak melompat adalah ternyata TIPU. Tak perlulah saya dedahkan disini siapa nama-nama tersebut. Cukup jika saya katakan Anwar "don't have the numbers" atau hanya "hope to have the numbers".

Tetapi, apa yang menghairankan ialah macam mana Husam dan kumpulan erdogan dalam PAS yang kununnya pandai sangat berstrategi boleh percaya bulat-bulat kepada cakap Anwar dan masih memberi kepercayaan yang tinggi kepada Anwar walaupun dah ditipu berkali-kali.
Dan yang paling menyedihkan ialah bila mereka menyalahkan Tuan Guru Hj Hadi sebagai punca tidak boleh terbentuknya kerajaan baru PR. Kununnya disebabkan oleh syarat majoriti muslim yang diberikan oleh Tuan Guru Presiden dan keengganan Tuan Guru Presiden untuk menandatangani surat persetujuan lah yang menjadi punca kegagalan kerajaan PR.

Dalam mesyuarat Lujnah Politik PAS yang terakhir (sebelum sidang Parlimen) pun kumpulan erodogan ini masih yakin bahawa kerajaan baru pasti akan ditubuhkan sebaik sahaja sidang parlimen bermula. Hinggakan masing-masing sibuk berbincang tentang portfolio menteri yang PAS akan dapat (termasuklah Khalid Samad sehingga baru-baru ini melalut-lalut buat kenyataan dalam akhbar Sinar - siapa yang beri dia mandat untuk bercakap macam tu pun tak tau).

Yang hairannya DAP tidak pula sesibuk atau terlalu optimis membabi buta seperti (kump erdogan) PAS tentang penubuhan kerajaan baru tersebut. Dan bila Karpal Singh dan Lim Kit Siang buat kenyataan bahawa mereka tidak begitu selesa dengan adegan lompat melompat ni - tidak ada pulak golongan "erdogan" dalam DAP yang bangun menentang kenyataan pemimpin mereka. Nampaknya DAP lebih menghormati pemimpin dan lebih memahami konsep wala' kepada pemimpin berbanding PAS.

Walaubagaimanapun saya bersetuju bahawa jika sekiranya benar Anwar ada sokongan majoriti ahli parlimen, 13 Oktober adalah tarikh yang sepatutnya kerajaan persekutuan Pakatan Rakyat terbentuk. Kalau dah lebih daripada separuh ahli-ahli Parlimen telah berpihak kepada Anwar dan Pakatan Rakyat pada masa itu dan kurang daripada separuh sahaja dimiliki oleh BN maka apa lagi dalih dan alasan untuk tidak membuat undi tak percaya terhadap Paklah dan membentuk kerajaan PR. Kalau dah sebelum ini bersungguh-sungguh nak minta Paklah buat sidang parlimen tergempar - sekarang bila parlimen dah bersidang buatlah dan buktikanlah yang Anwar "have the numbers"!!!

Namun, hampeh....pada tanggal 13 Oktober, 2008 bila sidang parlimen bermula, tidak ada apa-apa pun yang berlaku melainkan ucapan pembahasan bajet oleh Anwar yang meleret-leret sehingga kebanyakan ahli parlimen BN (yang sepatutnya dah jadi ahli parlimen PR) keluar dari Dewan sebab boring.nKemudian Anwar buat kenyataan lain dalam ceramahnya di Kota Bharu bahawa kerajaan PR akan dibentuk sebelum Hari Raya Haji pulak.

Jadi, apakah kesimpulannya dan kesudahannya??? Apa lagi muslihat Anwar.Secara nyata dan jelas Anwar telah berulang kali menipu dan berbohong kepada PAS, DAP dan seluruh rakyat Malaysia sehingga negara kita jadi tak keruan baik dari segi politik dan ekonomi. Berilah apapun terma dan nama.... strategi, taktik, perang psikologi, political game dll - yang jelasnya Anwar MENIPU dan BERBOHONG.

Suara Politik
Taminsari

Perpecahan Bawa Kehancuran!!

"Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya- jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya" (Surah An-Nissa’-Ayat 59)

Demi Melayu dan demi Islam, tanganilah segera perpecahan yang sedang melanda umat Melayu hari ini. Memang segala yang telah berlaku ke atas orang Melayu ini mempunyai sebab-musababnya. Tetapi, perlu diingat bahawa memang sudah menjadi hukum alam ini bahawa sebab-sebab itu sebenarnya telah diatur oleh Allah Ázza Wa Jalla.

Begitulah hakikatnya di sisi Islam. Kalau Islam menuntut setiap umatnya supaya hanya Allah sahajalah yang kita sembah, Islam juga menuntut supaya kepada Allah sahajalah kita memohon pertolongan. Oleh itu, usahakanlah perdamaian antara Melayu dan Islam di negara ini. Ikhtiarkanlah. Segala daya usaha itu dijalankan seiringan dengan restu dan hidayat yang dipohonkan dari Allah yang maha besar lagi maha sempurna.

Waspadalah, dalam sesuatu pertelingkahan, setiap pihak yang terbabit akan mengatakan bahawa dia berada di pihak yang benar, sedangkan kebenaran itu hanya satu. Bukannya dua atau tiga. Dan kebenaran itu pula datangnya dari Allah SWT jua. Beginilah seharusnya perlawanan Melayu sesama Melayu hari ini berakhir. Kembalilah ke pangkal jalan. Berdamailah pemimpin Melayu dan selesaikanlah masalah perpaduan Melayu dan ketuanan Melayu ini dengan penuh bijaksana.

Berwaspadalah, kalau menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan bersepah. Berhati-hatilah, kalau membunuh ular, kayu pemukul janganlah sampai patah, ular dipukul biarlah mati, tanah terpukul usahlah pula sampai lekuk.

Melayu harus berpadu. Melayu mesti bersatu.Melayu harus bersatu dan berpadu dalam politik dan seluruh aspek kehidupan yang sewajarnya. Perlu diingat bahawa hanya UMNO dan BN sahaja yang menjamin kesejahteraan masa depan.

Taminsari
Shah Alam

Artikel Pilihan : Zulkifli Nordin “The Loose Canon”

Sejak dikaitkan dengan cerita akan tinggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) ekoran tindakannya yang dilihat tidak sehaluan dengan parti itu terutama dalam soal kebebasan, Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu, Zulkifli Nordin semakin menunjukkan ‘belangnya’ yang sebenar.

Zulkifli yang dikecam banyak pihak yang memperjuangkan soal kebebasan termasuk kalangan pimpinan PKR sendiri kerana melakukan demonstrasi membantah forum ‘Masuk Islam’ yang dianjurkan oleh Majlis Peguam Ogos lalu kerana forum tersebut cuba untuk mencampuri urusan agama Islam, hari Khamis melepaskan ‘peluru penaburnya’ yang terkena kepada semua pihak.

Baik kerajaan mahupun pembangkang termasuk parti yang diwakilinya iaitu PKR, semua tidak terlepas daripada ‘serangan’ beliau yang tajam dan tepat pada sasarannya. Ini jelas apabila beliau melahirkan rasa kesalnya kerana PKR menyoal ketuanan Islam dan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) pula menuntut dibenarkan orang Islam keluar daripada agama Islam dan mahu agama Islam mengikut agama-agama lain. Serentak dengan itu beliau menyifatkan pihak kerajaan dan pembangkang seolah-olah tidak mempertahankan Islam.

Sedangkan katanya, kekuatan orang Melayu terletak pada agamanya tetapi hari ini orang Melayu serta Islam telah diserang oleh pelbagai pihak. ‘‘Tindakan itu seolah-olah menunjukkan Islam tidak wujud langsung, mereka mem pertikaikan adab, hal ehwal agama Islam, mempertikaikan soal azan serta tulisan jawi dan menghantar memorandum supaya tulisan jawi tidak dilaksanakan,” katanya. Kenyataannya itu jelas merujuk kepada tindakan rakan parti pembangkangnnya yang membangkitkan isu-isu yang disebutkannya itu.

Tambahnya, terdapat juga pihak yang mempertikaikan tentang kuliah-kuliah di masjid yang kononnya mengganggu mereka. Dalam nada tegas Zulkifli berkata, “Walaupun ada suara yang kata saya menyokong parti lain bila bersuara begini tapi saya hanya berjuang untuk Islam. Saya tidak peduli orang nak kata apa kerana saya hanya menjawab kepada Allah”. Kelantangan Zulkifli itu menyebabkan tidak ada kalangan Ahli Parlimen pembangkang yang bangun dan cuba menyanggah pendiriannya.

Namun, selepas ini apakah kelantangan beliau di Dewan Rakyat akan menerima nasib yang sama dengan tindakannya menghadiri perhimpunan membantah forum ‘Masuk Islam’ anjuran Majlis Peguam iaitu dipanggil memberi keterangan kepada Jawatankuasa Disiplin PKR. Atau akan bersuarakah golongan yang memperjuangkaan kebebasan termasuk soal agama dalam PKR dan pakatan pembangkang berhubung pendirian Zulkifli itu. Paling menarik PAS sendiri sebagai parti yang menggunakan nama Islam tidak mempunyai wakil yang berani bangun mempertahankan Islam seperti mana yang dilakukan oleh Zulkifli.

Sumber : Agenda Daily

Isnin, Oktober 27, 2008

Sudah Lebih Setengah Abad PAS Memusuhi UMNO !

Dalam menuju alaf baru ini, banyak perkara yang patut diambil kira oleh masyarakat Malaysia. Di samping berusaha berusaha menjadi sebuah negara yang serba membangun dalam bidang ekonomi, teknologi maklumat, sains dan teknologi, soal-soal dasar survival negara patut menjadi suatu hal penting dalam agenda kita. Dalam hal ini, orang Melayu perlu berbuat sesuatu untuk menguatkan perpaduan mereka, walaupun dalam masa yang sama perbezaan pendapat politik di antara mereka tetap ada. Perpecahan mutlak di antara mereka akan membawa kehancuran kepada kedudukan dan kuasa politik yang dimiliki.

Perpecahan di antara golongan kanan dan kiri Melayu antara 1946-1948 dan perpecahan ulama UMNO daripada badan induknya untuk membentuk Parti Islam Se-Malaya pada 1951, patut menjadi teladan. Soal mementingkan pendapat sendiri ataupun menegakkan kepentingan sekumpulan kecil pemimpin Melayu sehingga perpecahan politik Melayu menjadi begitu ketara, patut dielakkan.

Tanpa parti yang mengutamakan kepentingan Melayu sebagai modus operandinya, seperti di Singapura, nasib orang Melayu pada masa depan akan terancam. Tanpa ada parti yang kuat untuk menjadi wakil orang Melayu dalam setiap pilihanraya kebangsaan,kuasa politik yang tinggal sedikit ini akan musnah. Atas kesedaran ini UMNO dapat terus bertapak selama 62 tahun dalam politik negara ini.

Pergelutan politik Melayu secara tegas bermula dengan perebutan kuasa sebagai wakil politik Melayu kepada British, apabila Malayan Union diperkenalkan pada Januari 1946. Golongan kiri dan kanan cuba sedaya upaya bekerjasama dengan British supaya penjajah itu menerima mereka sebagai wakil orang Melayu. Malah, ada pihak telah bekerjasama dengan Parti Komunis Malaya demi untuk mengalahkan lawannya walaupun kepentingan bangsa Melayu menjadi taruhannya.

Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang ditubuhkan pada Oktober 1945 di Ipoh , Perak atas anjuran Parti Komunis Malaya, cuba menyatukan orang Melayu dalam politik. Dalam dasar Malayan United Front, Parti Komunis Malaya cuba menyatukan semua bangsa di Tanah Melayu untuk menyokong ideologi komunisme sebagai satu alternatif kepada sistem politik beraja yang dimiliki oleh masyarakat dan kerajaan negeri-negeri Melayu.

British pula cuba memperkenalkan sistem kerajaan republik dan unitary state kepada Tanah Melayu melalui Malayan Union. Segala sistem politik Melayu yang diterima oleh British sebelum Perang Dunia Kedua dihapuskan dengan meletakkan seorang Gabenor yang bertanggungjawab terus kepada Raja England.
Tekanan dua kuasa besar ini menyedarkan orang Melayu dan Raja-Raja Melayu terhadap perlunya mereka bersatu tenaga dalam sebuah gerakan politik yang bersifat kebangsaan. Soal parokialisme atau kenegerian yang menguasai politik orang Melayu selama ini cuba dilupakan. Seruan untuk bersatu itu mengatasi sempadan politik yang menguasai orang Melayu Semenanjung sejak awal kurun ke 20. Kongres Melayu 1946 di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru pada 1-4 Mac 1946 di bawah pimpinan Datuk Onn Jaafar, menjadi benteng perpaduan Melayu yang memeranjatkan British dan pemerhati politik masa itu.

Perhimpunan bangsa Melayu yang paling bersejarah itu bersetuju menubuhkan UMNO, yang dirasmikan di Istana Besar Johor Bahru pada 11 Mei 1946. UMNO dengan itu menjadi suara padu orang Melayu menentang Malayan Union. Parti radikal Melayu iaitu PKMM turut sama hadir untuk menubuhkan UMNO di Johor Bahru. Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Presiden PKMM sama-sama menandatangani Piagam UMNO 1946, Perlembagaan UMNO yang pertama. Inilah perpaduan yang pertama dan terakhir bangsa Melayu yang pernah dicatat oleh sejarah.

Namun , perpaduan ini tidak disenanagi oleh Parti Komunis Malaya. Berbagai-bagai helah dilakukan untuk memecahkan perikatan UMNO-PKMM ini. Melalui beberapa pemimpin kedua PKMM, Parti Komunis Malaya menjalankan jarumnya untuk menjadikan PKMM sebuah parti yang sentiasa tidak puas hati dengan pucuk pimpinan UMNO.

Hal pertama yang dibangkitkan ialah soal pendekatan politik UMNO. Pendekatan politik UMNO yang sederhana dan suka berunding itu dianggapnya kolot. Keduanya, UMNO dibidas kerana tidak menuntut kemerdekaan penuh daripada British; matlamat UMNO yang hanya mahu status quo tradisional Melayu ( kedudukan peribumi dan pengembalian takhta Raja-Raja Melayu ) dihidupkan semula sebelum menuntut kemerdekaan, dianggap terlalu remeh.

PKMM lebih suka sebuah republik dan kerakyatan sama rata kepada semua penduduk Tanah Melayu. UMNO dituduh tidak progresif. PKMM juga membangkitkan soal ketidakadilan UMNO dalam memberi undi/suara kepada parti besar dalam pengundian UMNO, ini tercetus dalam dalam soal pemilihan bendera UMNO. PKMM juga mempersoalkan kepimpinan UMNO yang terus dikuasai oleh golongan feudalis dan bukan rakyat biasa. Kesemua sungutan PKMM disebarkan dalam akhbar rasminya Pelita Malaya, yang berpusat di Kuala Lumpur. Musuh utamanya ialah Majlis yang menjadi jurucakap UMNO.

Parti Komunis Malaya secara terbuka menyokong PKMM dengan menuduh UMNO memanjangkan penjajahan British, tidak progresif dan feudalistic. Melalui desakannya, PKMM menarik diri dari UMNO pada Jun 1946, setelah hanya tiga bulan bekerjasama. Selepas penarikan itu, kerjasama di antara keduanya dipertingkatkan. UMNO dibidas bukan sahaja oleh Pelita Malaya, tetapi juga oleh Malaya Tribune yang memang bersimpati dengan gerakan radikal dan komunisme.

Pengaruh Parti Komunis Malaya terus mencengkam PKMM apabila kepimpinan Dr. Burhanuddin yang sederhana tidak disenanginya. Melalui dua kumpulan berbeza, iaitu kumpulan komunis PKMM dan golongan radikal Melayu PKMM, Parti Komunis Malaya berjaya meletakkan Ishak Mohamad sebagai Presiden PKMM manakala Dr. Burhanuddin hanya menjadi penasihat. Dengan kepimpinan lebih radikal, PKMM lebih cergas menentang UMNO.

Keupayaan UMNO bersama Raja-Raja Melayu meminta British membubarkan Malayan Union dan menggantikannya dengan Persekutuan Tanah Melayu merancakkan permusuhan PKMM dengan UMNO. Dengan sokongan AMCJA ( All Council of Joint Action ) yang berpusat di Singapura yang diketuai oleh Tan Cheng Lock dan Parti Komunis Malaya, PKMM mengubah nama kepada PUTERA. Dengan nama dan kerjasama itu, golongan anti UMNO menegakkan prinsip demokrasi dan kerajaan republik serta membidas Perjanjian Persekutuan tidak demokratik dan progresif.

Kerakyatan jus soli kepada orang Melayu dianggap satu diskriminasi kepada bangsa lain. Kedudukan istimewa Melayu dipersoalkan. Pemulangan takhta dan negeri kepada Raja-Raja Melayu juga dibantah. Perjanjian Persekutuan 1948 dianggap pro-Melayu. Ia juga dianggap tidak progresif kerana kerana suara rakyat dan pilihanraya tidak diperkenalkan.

Konsep Malayan Malaya menjadi pegangan PUTERA dan sekutunya. Mereka mengemukakan perlembagaan 10 perkara untuk menentang UMNO, Raja-Raja Melayu dan British yang dinamakan Perlembagaan Rakyat. Ternyata prinsip utama sistem politik Melayu sebagai dasar politik Tanah Melayu ditolak oleh PUTERA-AMCJA-Parti Komunis Malaya, dan mendesak sistem politik sama rata diwujudkan. Kegagalan mendapatkan kedudukan politik sama rata itu telah menyebabkan pemulauan perniagaan diadakan diseluruh Tanah Melayu dan Singapura.

Bagaimanapun, ini gagal mengubah pendirian British, Raja-Raja Melayu dan UMNO. Perjanjian Persekutuan 1948 yang ditandatangani oleh Raja-Raja Melayu pada 21 Januari 1948 itu mengesahkan kejayaan UMNO dan mengetepikan PKMM/PUTERA sebagai wakil politik orang Melayu dalam kerajaan British. Parti Komunis Malaya yang gagal mendapatkan kuasa melalui cara perlembagaan, mengadakan pemberontakan bersenjata. British dan orang Melayu menentangnya sehingga 1960. Kekuatan perpaduan orang Melayu sederhana secara langsung mengalahkan golongan radikal kiri.

Parti Komunis Malaya juga menggunakan ulama yang bekerjasama dengan PKMM untuk menentang kekuatan perpaduan orang Melayu dalam UMNO. Berpusat di Gunung Semanggol, Padang Rengas, Perak, kumpulan radikal agama dan PKMM menubuhkan beberapa organisasi ekonomi, pelajaran dan agama untuk memberi alternatif kepada UMNO. Kepada golongan ulama radikal ini, UMNO hanya memperjuangkan kepentingan pembesar dan Raja-Raja Melayu tanpa membela nasib rakyat bawahan yang masih miskin, kurang pendidikan dan terbiar.

Walaupun ini tidaklah begitu tepat kerana UMNO juga mempunyai program-program untuk membaiki pendidikan, ekonomi, perniagaan dan soal kebajikan yang lain, tetapi bagi golongan radikal ini adalah pentas politik alternatif untuk menentang UMNO. Penubuhan Hizbul Muslimin sebagai sebuah parti politik Islam pada Mac 1948, memang merupakan tandingan terbuka kepada UMNO. Perpecahan Melayu kepada fahaman kanan, kiri/ radikal serta ulama menguntungkan Parti Komunis Malaya. Dengan begitu yakin ia melancarkan pemberontakan kerana kelemahan perpaduan orang Melayu.

Pengharaman parti-parti radikal Melayu dan Parti Komunis Malaya pada Julai 1948 dibawah Undang-Undang Darurat, telah meninggalkan parti UMNO sebagai parti tunggal dan penting untuk orang Melayu. UMNO cuba menyatukan semula orang Melayu dengan membuka pintunya kepada bekas-bekas ahli API, PKMM, AWAS, BATAS, sebagai ahli UMNO. Kemasukan mereka menyebabkan slogan Hidup Melayu ditukar kepada Merdeka pada awal 1951 sebagai tanda perubahan matlamat perjuangan UMNO. Keduanya, UMNO menubuhkan Perikatan Pemuda UMNO pada 1949 dengan tujuan menyatukan semua tenaga pemuda Melayu ke dalam UMNO. Ini juga melahirkan satu arena politik baru bagi bekas-bekas penyokong golongan radikal/kiri.

Ketiganya, menyerap semua tenaga ulama, terutama yang beraliran radikal ke dalam UMNO. Persidangan ulama pertama dan kedua diadakan di kuala Lumpur dan Muar pada tahun 1950 dan 1951. Dalam persidangan di Kuala Lumpur, Persatuan Ulama Malaya ditubuhkan bagi memberi cadangan untuk kemajuan masyarakat Melayu. Ini termasuklah soal penyelarasan pentadbiran Islam, penubuhan Universiti Islam dan lain-lain lagi.

UMNO dengan itu telah menjadi parti yang sempurna sebagai tonggak politik Melayu. Namun, perbezaan idea dan permainan politik British, bukan Melayu dan rebutan kuasa pemimpin memecahkan UMNO kepada tiga parti besar. Datuk Onn meninggalkan UMNO untuk menubuhkan IMP. Persatuan Ulama Malaya pimpinan Ahmad Fuad membawa diri sebagai sebuah organisasi politik ulama dan dalam Mesyuarat September 1951 di Seberang Perai, persatuan itu menjadi Parti Islam Se-Malaya (Pas). IMP kemudian menjadi Parti Negara, yang menjadi lemah dengan kematian Dato Onn pada 1962. Namun, Pas kekal sebagai parti saingan UMNO hingga kini.

Perpecahan memang tidak akan menguntungkan survival bangsa Melayu terutama dalam masyarakat majmuk yang menggunakan sistem demokrasi dan Parlimen sebagai alat pentadbiran dan politiknya. Keterbukaan yang tidak bertempat, perebutan kuasa dan kelalaian kepada perjuangan utama, tanpa mengambil kira kehidupan generasi Melayu akan datang dan perpecahan yang berlarutan akan menjadi senjata makan tuan kepada orang Melayu. Semangat bulan Mac 1946 patut menjadi indeks politik masyarakat Melayu Malaysia. Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.”

Taminsari
Shah Alam.

Jumaat, Oktober 24, 2008

Hak Milik Tanah : Mengapa MB Perak Tidak Mengutamakan Orang Melayu?

Macam ada sesuatu yang tak kena apabila Ir. Datuk Seri Mohd.Nizar ditabalkan sebagai Menteri Besar Perak selepas kemenangan Pakatan Rakyat di negeri Perak. Langkah pertama beliau setelah dilantik sebagai MB Perak adalah samada dipaksa ataupun tidak untuk menerima perlantikan kebanyakkan ahli-ahli Exconya yang terdiri daripada wakil DAP ( 6 orang ), PKR ( 3 orang ) dan Pas ( 1 orang ). Manakala kerusi Speaker DUN negeri Perak pula hendaklah diwakili oleh DAP. Kalau dilihat kepada keputusan pru ke-12 yang lalu, kemenangan Pakatan Rakyat di Perak sebenarnya di dominasi oleh DAP.

Mengikut adat istiadat negeri Perak, Menteri Besar hendaklah terdiri daripada orang Melayu yang beragama Islam dan perlantikannya hendaklah mendapat perkenan baginda Sultan Perak. DAP walaupun kecewa dan tiada pilihan pada awalnya, tetapi setelah satu “ Perjanjian Kinta “ diadakan telah bersetuju untuk menamakan Mohd.Nizar ( Pas ) untuk menjawat jawatan Menteri Besar Perak. Walaupun PKR juga sebenarnya berkelayakan, mengapa mereka diketepikan? Hanya Pakatan Rakyat sahaja yang dapat menjawapnya.

Adakah DAP melihat Mohd.Nizar sebagai seorang yang senang di cucuk hidungnya untuk ditarik kemana-mana dalam menjalankan segala agenda-agenda tersembunyi mereka setelah mendapat kuasa. Mungkin sebahagian daripada “ perjanjian “ yang telah dipersetujui membuatkan Mohd.Nizar sebagai MB Perak tidak boleh membuat keputusan sendiri sebagai kuasa MB, sebaliknya semua perkara yang ingin dibuat perlu diperakukan oleh semua Exco Perak terlebih dahulu. Lihatlah betapa cantiknya barisan ahli-ahli Exco yang disusun oleh DAP.

Jika melihat kepada perkembangan politik di Perak sekarang siapakah yang sebenarnya berkuasa. Menteri Besar atau DAP? Sebagai seorang yang professional, adakah Mohd.Nizar tidak melihat dirinya dan Pas dipergunakan oleh DAP. Adakah disebabkan hendak berkuasa sehingga sanggup mengenepikan perjuangan Islam yang diwar-warkan.

Ini dapat dilihat seawal pemerintahan Pakatan Rakyat di Perak, pemberian geran kepada beberapa kampung baru ( walaupun dah lama ) dilihat satu tindakan proaktif oleh sebuah kerajaan yang baru dibentuk. Tetapi hakikatnya, siapa yang memperolehi untung yang lebih. Peratusan penduduk kampung baru di Perak mengikut pecahan kaum adalah Cina ( 80% ), Melayu dan India sama-sama berkongsi ( 20% ). Terdapat seramai 60,000 penduduk kampung baru di seluruh negeri Perak. Jika dilihat kepada peratusannya, hanya berapa kerat sahaja orang Melayu yang dapat?

Dimanakah rasionalnya memberikan status hak milik kekal 999 tahun kepada lot-lot tanah di “ kampung baru “ berbanding dengan status hak milik 99 tahun kepada penduduk di Rancangan Kampung Tersusun ( RKT ) yang mana mengikut peratusan pecahan kaum Melayu adalah ( 44% ), Cina ( 38% ) dan India ( 18% ). Dijangkakan seramai 77,700 penduduk negeri Perak yang menyertai ( RKT ). Adakah cara pemberian status hak milik tanah ini bermotifkan politik?

Walaupun ianya masih lagi diperingkat cadangan dan sedang diperbahaskan di Dewan Undangan Negeri tetapi kelulusannya sudah hampir pasti apabila melihat kepada peratusan wakil Pakatan Rakyat di DUN dan ahli-ahli Exconya. Ini membuktikan ketidaktelusan kerajaan negeri Perak untuk bersikap adil dalam pengagihan status hak milik tanah kepada semua penduduk tanpa mengira kaum dan kawasan tertentu sahaja. Mengapa ( RKT ) tidak diberi status hak milik kekal 999 tahun. Adakah oleh kerana peratusan penduduk di ( RKT ) adalah orang Melayu, maka tidak layak untuk diberikan status hak milik yang sama dengan “ kampung baru “. Sikap pengagihan hak milik tanah secara terpilih hanya memperlihatkan kerajaan negeri mempunyai agenda politik yang tersirat.

Tindakan yang dibuat oleh Mohammad Nizar Jamaludin itu bukan sahaja bercanggah dengan semangat orang Melayu, malah mengenepikan mereka yang sepatutnya turut layak mendapat hak yang sepatutnya. Kenapa hanya “ kampung baru “ sahaja yang layak dan tidak kepada semua penempatan lain termasuk Rancangan Kampung Tersusun (RKT), kampung-kampung Melayu tradisional di pinggir bandar dan kawasan-kawasan lain di negeri Perak. Saya cabar Mohd. Nizar untuk memberikan status hak milik yang sama dengan Kampung Baru iaitu 999 tahun kepada ( RKT ) di kawasan DUN Pasir Panjang yang dimenanginya. Jangan lupa ( RKT ) Kampung Datuk Seri Kamaruddin, ( RKT ) Kampung Pundut, ( RKT ) Lekir, ( RKT ) Kayan, ( RKT ) Teluk Muruh dan lain-lain lagi dikawasan yang berhormat.

Jangan ingat orang Melayu akan duduk diam dan tidak membantah jika kepala mereka dipijak dan hak mereka dinafikan serta diabaikan oleh pemerintah. Sebagai seorang Melayu yang memegang tampuk pemerintahan negeri Perak, sepatutnya Mohd Nizar memberi keutamaan kepada orang Melayu dahulu. Kalau ada penyokong Pakatan Rakyat mengatakan kuasa penentu adalah ditangan Menteri Besar, mengapa Mohd Nizar mengikut telunjuk DAP. Adakah untuk menjaga hati DAP sehingga sanggup menjadi pengkhianat kepada orang Melayu di Perak.

Mengapa baru tak sampai empat bulan memerintah, agenda “ hak milik tanah “ menjadi keutamaan DAP dan Pakatan Rakyat kalau tidak ada udang disebalik batu. Jangan kata rasional memberi hak milik kekal itu dibuat berdasarkan prinsip keadilan dan ia mengikut peruntukan yang dibenarkan oleh Kanun Tanah Negara, tetapi ingat yang anda sedang menghiris perasaan orang Melayu di negeri Perak.

Taminsari
Shah Alam,

Bahaya Gula

Harga minyak naik, jangan naik minyak pula. Nanti gula yang banyak dalam badan kena sakit jantung pula. Sesekali tu kita refresh lah sedikit. Lapangkan fikiran untuk kita terus berdebat. Saya bukanlah doktor untuk bersyarah tentang kesihatan, tetapi saya rasa elok kita renungkan untuk kebaikan bersama.

Saya amat terperanjat dengan pengalaman membaca buku tentang GULA. Amat menyedihkan dan saya amat risau tentang masyarakat di Malaysia yang terancam secara senyap. Bagi saya GULA seperti racun!
Sedikit persoalan tentang gula.

Apakah sebenarnya gula?
Gula adalah makanan tanpa khasiat yang paling banyak dimakan dan memudaratkan. Gula cuma menambah kalori dan akan disimpan sebagai lemak di dalam tubuh. Ia tidak langsung berzat malah akan menyingkirkan zat yang sedia ada dalam tubuh. Gula juga adalah penyebab utama kegemukkan!

Adakah badan kita perlukan gula?
Tidak perlu langsung! Ini kerana tubuh kita akan menukarkan banyak sumber makanan yang lain kepada glukosa apabila badan perlukan tenaga.
Apakah kesan jika ambil gula berlebihan?

1. Melemahkan sistem imunisasi (melawan penyakit)
2. Menganggu imbangan galian dalam tubuh
3. Menyebabkan kanak-kanak menjadi hiperaktif, gelisah dan nakal.
4. Menyebabkan kanak-kanak rasa mengantuk dan mengurangkan kecergasan
5. Menjejaskan pencapaian kanak-kanak dalam pelajaran
6. Meningkatkan paras trigliserid
7. Melemahkan daya tahan tubuh terhadap jangkitan bakteria
8. Merosakkan buah pinggang
9. Mengurangkan kolesterol yang baik (HDLs)
10. Mengalakkan pertumbuhan kolesterol bahaya (LDLs)
11. Mengurangkan kromium dalam badan
12. Mengurangkan kuprum dalam badan
13. Menganggu serapan kalsium dan magnesium oleh sistem badan
14. Menyebabkan kanser payu dara, kanser ovari, kanser prostat dan kanser dubur
15. Menyebabkan kanser kolon (usus besar) dan wanita amat berisiko tinggi
16. Faktor kepada kanser pundi hempedu
17. Meningkatkan pasar glukosa dalam darah dengan cepat
18. Melemahkan penglihatan
19. Meningkatkan paras serotonin yang menyempitkan pembuluh darah
20. Penyebab hipoglisemia
21. Penyebab perut berasid
22. Meningkatkan paras adrenalin dikalangan kanak-kanak
23. Meningkatkan risiko penyakit jantung koronari
24. Mempercepat proses penuaan, kulit berkedut, uban pada rambut
25. Membawa kepada ketagihan alkohol
26. Merosakkan gigi
27. Penyumbang utama kegemukkan
28. Meningkatkan risiko penyakit Crohn dan kolitis berulser
29. Penyebab bengkak saluran usus dikalangan pesakit gastrik
30. Penyebab artritis
31. Penyebab lelah
32. Pembentukan batu dalam ginjal
33. Penyebab jangkitan yis atau kandidiasis
34. Penyebab pembentukan batu karang hempedu
35. Penyebab sakit jantung iskemik
36. Penyebab sakit apendiks
37. Meransang tanda-tanda multiple sclerosis
38. Penyebab pendarahan
39. Penyebab Vena Varikos
40. Meningkatkan tindak balas glukosa dan insulin kepada pengamal pil cegah hamil
41. Penyebab sakit gusi
42. Penyumbang kepada Osteoporosis
43. Penyebab air liur menjadi berasid
44. Penyebab kemerosotan sensitiviti Insulin
45. Penyebab kemerosotan toleransi Glukosa
46. Mengurangkan hormon tumbesaran
47. Meningkatkan kolesterol dalam badan
48. Meningkatkan tekanan darah sistolik
49. Menyebabkan struktur protein bertukar hingga menganggu serapan protein oleh
tubuh
50. Penyebab alergi terhadap makanan
51. Penyumbang kepada sakit kencing manis
52. Penyebab keracunan darah semasa hamil
53. Penyebab ekzema kepada kanak-kanak
54. Penyebab penyakit kardiovaskular
55. Melemahkan struktur DNA
56. Penyebab Katarak
57. Penyebab Emfisema
58. Penyebab arteriosclerosis
59. Penyebab pembentukan radikal bebas dalam aliran darah
60. Merendahkan kemampuan enzim
61. Penyebab kehilangan keanjalan tisu serta fungsinya
62. Penyebab sel hati terbahagi dan ini akan meningkatkan saiz hati
63. Meningkatkan lemak dalam Hati
64. Membesarkan saiz buah pinggang
65. Memberikan tekanan tinggi kepada pankreas dan akan merosakkannya
66. Meningkatkan retensi cecair dalam badan
67. Penyebab sembelit
68. Penyebab rabun jauh
69. Penyebab lapisan rerambut
70. Penyebab hipertensi
71. Penyebab sakit kepala
72. Menganggu kemampuan berfikir
73. Penyebab kemurungan
74. Meningkatkan tindak balas insulin
75. Penyebab penapaian bakteria dalam usus
76. Penyebab ketidak seimbangan hormon
77. Meningkatkan risiko darah beku dalam badan
78. Meningkatkan risiko sakit Alzheimer

Kenapa sesetengah makanan yang senarai bahan-bahannya tiada ditulis gula tapi masih manis? Jangan terpedaya! Gula biasanya akan dinamakan dengan nama lain seperti;

Glukosa , Fruktosa , Laktosa , Maltosa , Sukrosa , Sirap Glukosa , Sirap maple , Molases , Sirap hitam , Sirap kencana , Dektrosa , Sorbitol
Berapa banyak gula yang ada dalam makanan dan minuman?

1. Minuman bergas 500ml - 14.4 sudu teh
2. Minuman dalam tin tanpa gas 350ml - 9.6 sudu teh
3. Minuman coklat malt dalam tin 125ml - 5.5 sudu teh
4. Kek buah-buahan 40g - 3.5 sudu teh
5. Bijirin sarapan bersalu madu 220g - 10.1 sudu teh
6. Ubat batuk botol kecil di farmasi - 15.8 sudu teh
7. Aiskrim coklat sepotong saiz biasa - 7.7 sudu teh
8. Sundae restoran makanan segera - 10.3 sudu teh
9. Rempah ayam segera satu pek - 4.7 sudu teh
10. Minuman berkultur satu botol kecil - 2.7 sudu teh
11. Susu pekat manis dalam tin kecil - 35.5 sudu teh!

Kenapa Malaysia diletakkan sebagai pengguna terbanyak gula di dunia?

Ini boleh dikira rekod dunia! Walaupun pasukan bola sepak kita tidak berjaya, namun kita nampaknya masih dikenali di dunia. Rakyat negara kita adalah paling gemuk di Asia dan mempunyai pesakit Kencing Manis yang paling ramai di dunia! Bangga? Kita sebenarnya dalam diam diancam. Macam api di dalam sekam. Lihatlah orang yang paling kaya di Malaysia! Taukeh gula! Negara kita seperti darurat apabila gula disorokkan baru-baru ini. Minggu ini gula naik 20 sen lagi. Robert Kouk tak kena penyakit kencing manis ke?

Semasa saya di Jepun, gula kilo tiada dijual, amat sukar untuk jumpa gula. Susu pekat manis jauh sekali. Tapi di Malaysia, kita sebenarnya terancam dengan keadaan dan sosio-ekonomi. Minum teh tarik di kedai mamak, disogok iklan-iklan makanan segera hingga menyebabkan anak kita merengek meminta untuk dibelikan set yang didatangkan bersama minuman bergas (gula 9 sudu teh!). Berhati-hati. The tarik mamak dah naik 10 sen lagi.

Akhir sekali saya ingin menyarankan agar kita semua ambil tahu tentang kesihatan diri sendiri. Jika kita sakit, bukan sahaja diri sendiri susah, tetapi kita akan menyusahkan orang lain yang bergantung kepada kita. Sekurang-kurangnya kita mulakan dengan tidak makan gula! Selangkah demi selangkah!

Taminsari
Shah Alam.

Khamis, Oktober 23, 2008

Nasib Melayu Singapura - Pengajaran Untuk Kita Renungkan Bersama!!!

Extracted from Singapore Straits Times on 10 Aug 2008.

By Nur Dianah Suhaimi (ndianah@sph.com.sg)

As a Malay, I've always been told that I have to work twice as hard to prove my worth. When I was younger, I always thought of myself as the quintessential Singaporean. Of my four late grandparents, two were Malay, one was Chinese and one was Indian. This, I concluded, makes me a mix of all the main races in the country. But I later realised that it was not what goes into my blood that matters, but what my identity card says under 'Race'. Because my paternal grandfather was of Bugis origin, my IC says I'm Malay.

I speak the language at home, learnt it in school, eat the food and a lesser Singaporean than those from other racial groups. I grew up clueless about the concept of national service because my father was never enlisted. He is Singaporean all right, born and bred here like the rest of the boys born in 1955. He is not handicapped in any way. He did well in school and participated in sports. Unlike the rest, however, he entered university immediately after his A levels. He often told me that his schoolmates said he was 'lucky' because he was not called up for national service.

'What lucky?' he would tell them. 'Would you feel lucky if your country doesn't trust you?' So I learnt about the rigours of national service from my male cousins. They would describe in vivid detail their training regimes, the terrible food they! were served and the torture inflicted upon them - most of which, I would later realise, were exaggerations. But one thing these stories had in common was that they all revolved around the Police Academy in Thomson. As I got older, it puzzled me why my Chinese friends constantly referred to NS as 'army'. In my family and among my Malay friends, being enlisted in the army was like hitting the jackpot.

The majority served in the police force because, as is known, the Government was not comfortable with Malay Muslims serving in the army. But there are more of them now. Throughout my life, my father has always told me that as a Malay, I need to work twice as hard to prove my worth. He said people have the misconception that all Malays are inherently lazy. I was later to get the exact same advice from a Malay minister in office who is a family friend.

When I started work, I realised that the advice rang true, especially because I wear my religion on my head. My professionalism suddenly became an issue. One question I was asked at a job interview was whether I would be willing to enter a nightclub to chase a story. I answered: 'If it's part of the job, why not? And you can rest assured I won't be tempted to have fun.' When I attend media events, before I can introduce myself, people assume I write for the Malay daily Berita Harian. A male Malay colleague in The Straits Times has the same problem, too. This makes me wonder if people also assume that all Chinese reporters are from Lianhe Zaobao and Indian reporters from Tamil Murasu.

People also question if I can do stories which require stake-outs in the sleazy lanes of Geylang. They say because of my tudung I will stick out like a sore thumb. So I changed into a baseball cap and a men's sports jacket - all borrowed from my husband - when I covered Geylang. I do not want to be seen as different from the rest just because I dress differently. I want the same opportunities and the same job challenges. Beneath the tudung, I, too, have hair and a functioning brain. And if anything, I feel that my tudung has actually helped me secure some difficult interviews. Newsmakers - of all races - tend to trust me more because I look guai (Hokkien for well-behaved) and thus, they feel, less likely to write critical stuff about them.

Recently, I had a conversation with several colleagues about this essay. I told them I never thought of myself as being particularly patriotic. One Chinese colleague thought this was unfair. 'But you got to enjoy free eduation,' she said. Sure, for the entire 365 days I spent in Primary 1 in 1989. But my parents paid for my school and university fees for the next 15 years I was studying. It seems that many Singaporeans do not know that Malays have stopped getting free education since 1990. If I remember clearly, the news made front-page news at that time.

We went on to talk about the Singapore Government's belief that Malays here would never point a missile at their fellow Muslim neighbours in a war. I said if not for family ties, I would have no qualms about leaving the country. Someone then remarked that this is why Malays like myself are not trusted. But I answered that this lack of patriotism on my part comes from not being trusted, and for being treated like a potential traitor. It is not just the NS issue. It is the frustration of explaining t non-Malays that I don't get special privileges from the Government. It is having to deal with those who question my professionalism because of my religion. It is having people assume, day after day, that you are lowly educated, lazy and poor.

It is like being the least favourite child in a family. This child will try to win his parents' love only for so long. After a while, he will just be engulfed by disappointment and bitterness. I also believe that it is this 'least favourite child' mentality which makes most Malays defensive and protective of their own kind. Why do you think Malay families spent hundreds of dollars voting for two Malay boys in the Singapore Idol singing contest? And do you know that Malays who voted for other competitors were frowned upon by the community? The same happens to me at work.

When I write stories which put Malays in a bad light, I am labeled a traitor. A Malay reader once wrote to me to say: 'I thought a Malay journalist would have more empathy for these unfortunate people than a non-Malay journalist.' But such is the case when you are a Malay Singaporean. Your life is not just about you, as much as you want it to be. You are made to feel responsible for the rest of the pack and your actions affect them as well. If you trip, the entire community falls with you. But if you triumph, it is considered everyone's success.

When 12-year-old Natasha Nabila hit the headlines last year for her record PSLE aggregate of 294, I was among the thousands of Malays here who celebrated the news. I sent instant messages to my friends on Gmail and chatted excitedly with my Malay colleagues at work. Suddenly a 12-year-old has become the symbol of hope for the community and a message to the rest that Malays can do it too - and not just in singing competitions. And just like that, the 'least favourite child' in me feels a lot happier. Each year, come Aug 9, my father, who never had the opportunity to do national service, dutifully hangs two flags at home - one on the front gate and the other by the side gate. I wonder if putting up two flags is his way of making himself feels like a better-loved child of Singapore.

This is what the Pakatan Rakyat want the Malays to be.....let's think about it!!!

Taminsari

Sejarah Perjanjian Pangkor Berulang Lagi ?

Perjanjian Pangkor merupakan satu perjanjian yang ditandatangani pada 20 Januari 1874 antara Sir Andrew Clarke di pihak Inggeris dan Raja Abdullah ibni Sultan Ja'afar Mua'azzam Shah. Perjanjian ini memberi kebenaran untuk Inggeris mencampuri urusan negeri Perak.

Dengan perjanjian ini ianya telah membuka kepada campur tangan Inggeris secara rasmi dalam urusan negeri Melayu. Perjanjian ditandatangani di atas sebuah kapal yang dinamakan HMS Pluto di Selat Dinding iaitu di kawasan perairan antara Lumut dan Pulau Pangkor.

Setelah perjanjian ditandatangani kemudiannya Gabenor Sir Andrew Clarke dengan berani telah bertindak menurunkan Sultan Ismail yang bersemayam di Tanjong Belanja, Parit dari pangkat Sultan dan membenarkan Sultan Ismail memakai gelaran "Sultan Muda" sahaja dengan memberi pencen seribu ringgit tiap-tiap bulan. Manakala Che Ngah Ibrahim tidak lagi diakui sebagai pemerintah Larut. Ini adalah kesan dari Perjanjian Pangkor yang pertama. Bagaimana pula dengan Perjanjian Pangkor Kedua?

Setelah UNMO dan Barisan Nasional (BN) tewas di negeri Perak, Pakatan Rakyat yang diketuai oleh DAP telah membuat satu perjanjian dengan Pas mengenai perlantikan Menteri Besar. Ianya adalah surat perjanjian antara DAP dan wakil Pas bagi membolehkan Pas menjadi Menteri Besar. Ini adalah disebabkan mengikut adat istiadat negeri Perak, Menteri Besar hendaklah dilantik dari kalangan orang Melayu yang beragama Islam. Menurut beberapa orang penyokong Pas, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin (MB Perak) telah menandatangani surat ini secara terpaksa. Di kalangan pemimpin Pas yang tahu tentang surat perjanjian ini enggan mengulas lanjut tentang perjanjian ini kerana ianya memalukan pihak Pas sendiri.

Kalau Perjanjian Pangkor pertama ditandatangani di atas sebuah kapal Inggeris di perairan Selat Dinding, di mana pula “Perjanjian Pangkor Kedua” ini ditandatangani dan mengambil tempat? Mungkinkah di atas bekas kapal korek lombong bijih yang ada berselerak di Lembah Kinta? Hanya Pas dan DAP sahaja yang tahu.

Perjanjian Pangkor Kedua ini ditandatangani di antara Nga Kor Ming (Pengerusi DAP Perak) dengan Mohd. Nizar Jamaluddin (DUN Pasir Panjang). Walaupun ada wakil Melayu dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), tetapi mengapa beliau tidak dilantik untuk menjadi Menteri Besar. Adakah disebabkan tidak mendapat perkenan Sultan Perak atau DAP sendiri yang tak berkenan.

Antara isi kandungan “Perjanjian Pangkor 2” ialah :

1 ) Mohd. Nizar Jamaluddin sebagai MB Perak tidak boleh menyebut Perak akan menjalankan
pemerintahan Islam.
2 ) Mohd. Nizar Jamaluddin sebagai MB tidak boleh menyebut mana-mana terma yang
berkaitan dengan Pas atau bahasa Arab seperti Hudud, Qisas dan lain lain lagi.
3 ) Mohd. Nizar Jamaluddin sebagai MB tidak boleh membuat keputusan sendiri sebagai kuasa
MB sebaliknya semua perkara yang ingin dibuat perlu diperakukan oleh semua Exco Perak
terlebih dahulu.
4 ) Pembahagian Exco yang diputuskan adalah 6 wakil Exco DAP, 3 wakil Exco PKR dan 1 wakil
Pas. DAP juga menuntut Speaker DUN Perak dari wakil DAP.

Jika dilihat perkembangan politik di Perak sekarang siapakah yang sebenarnya berkuasa. Menteri Besar atau DAP. Lihatlah apa yang telah berlaku apabila bila Karpal Singh (Pengerusi DAP) telah mula berani mencabar Sultan dan tidak menghiraukan lagi undang-undang.

Sehingga sekarang Karpal Singh masih berdegil untuk memohon maaf kepada Sultan Perak malah mencabar rakyat untuk membuat seberapa banyak laporan polis jika mereka suka. Beliau dengan riak dan bangganya mempertahankan apa yang beliau telah buat. Apabila Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahan kenyataan Karpal Singh membuatkan beliau lebih naik “tocang“.

Apa yang Menteri Besar, Mohd. Nizar buat? Hanya berdiam diri kerana sudah terikat dengan perjanjian? Di mana letaknya maruah sebagai Menteri Besar? Rakyat tahu keris sebagai simbol tanah melayu yang mempunyai kuasa beraja dan sultan. Kalau Datuk Seri Hishammuddin boleh mohon maaf kerana menghunus keris semasa perhimpunan Agong UMNO, mengapa Karpal Singh yang menghina Sultan ini tidak boleh mohon maaf?

Bukankah tindakan Karpal ini lebih “racist” dari itu? Adakah Mohd. Nizar sedar yang beliau adalah Menteri Besar boneka dipergunakan oleh DAP demi kepentingan politik mereka. Contohnya pemberian geran kepada beberapa kampung baru (walaupun dah lama) dilihat satu tindakan proaktif oleh sebuah kerajaan yang baru dibentuk. Tapi hakikatnya, siapa yang memperolehi untung yang lebih. Berapa kerat Melayu yang dapat?

Kuota hartanah orang Melayu dirampas adalah yang terbaru. Menteri Besar Perak mengumumkan untuk menjual semua kuota-kuota hartanah Melayu yang tidak terjual di semua kawasan perumahan di Perak. Adakah ini gara-gara dari desakan DAP? Banyak status tanah di Pulau Pinang telah ditukar kepada “ freehold “, Perak dan Selangor bila pula ?

Selepas ini apa lagi. Inilah terjadi apabila kuasa diletak di hadapan, Pas sanggup menggadai perjuangan asal Islam dan sanggup duduk semeja, tidur sebantal dengan DAP, janji boleh berkuasa walaupun hanya sebagai boneka. Inilah yg berlaku sekarang. Apakah Pakatan Rakyat terus akan berkuasa dan seterusnya membolehkan DAP bermaharajalela di bumi Dato Maharajalela ini? Tepuk dada tanya selera. Hanya rakyat negeri Perak sahaja yang tahu akan jawapanya.

Taminsari
Shah Alam

Ketuanan Rakyat

Inilah agenda terbaru dari DAP dan Pakatan Rakyat setelah mereka berjaya menguasai lima negeri di Semenanjung tanah air. Mereka dengan bangganya melaungkan Ketuanan Rakyat. Orang Melayu samada dari Pas ataupun PKR begitu berbangga bersorak gembira apabila DAP melaung-laungkan tentang Ketuanan Rakyat ini tanpa disedari itu adalah satu umpan dari DAP untuk menguasai tampuk pemerintahan negara. Ingatlah orang Melayu, jangan menang bersorak nanti kampung tergadai.

Adakah kita masih ingat ketika perhimpunan Pakatan Rakyat di Stadium Perak pada bulan April yang lepas setelah lebih sebulan Pakatan Rakyat berjaya memerintah negeri Perak. Pengerusi Pemuda Sosialis DAP, Nga Kor Ming dengan bangganya dan angkuh tanpa rasa segan silu mengherdik UMNO dan Barisan Nasional. Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Taiping meminta semua yang hadir pada majlis itu termasuklah Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Menteri Besar Kedah Azizan Abdul Razak, Hassan Ali dan Husam Musa menghentikan amalan politik berasaskan perkauman seperti yang diamalkan oleh Barisan Nasional ( BN ). Katanya, parti politik berasaskan perkauman sudah tidak releven dan UMNO, MCA dan MIC hanya layak diletakkan dimuzium untuk tatapan umum. “ UMNO dan BN boleh masuk kubur. Negara Malaysia untuk semua, ini negara Cina, negara Melayu dan juga negara India dan kita tidak bicara tentang ketuanan Melayu tetapi ketuanan rakyat” katanya.

Lancangnya mulut Nga Kor Ming berkata-kata seolah-olah tidak berpijak di bumi yang nyata. Siapa sebenarnya bersikap perkauman. DAP atau BN? Tepuk dada tanya selera. Bercakap biarlah berlapik sedikit. Jangan cuba nak membangkitkan kemarahan orang Melayu. Jangan ingat baru dapat memerintah 5 negeri dengan bantuan Pas dan PKR dah besar kepala. Anda sebenarnya telah melukakan perasaan Raja-Raja Melayu dan orang Melayu apabila anda mempersoalkan tentang ketuanan orang Melayu. Anda sepatutnya kena minta maaf secara terbuka kepada orang Raja- Raja Melayu dan juga orang-orang Melayu. Jangan lupa kepada sejarah pembentukan Persekutuan Tanah Melayu. Orang Melayu dah banyak berkorban untuk membolehkan bangsa Cina , India dan bumiputera lain menetap dan menjadi warganegara di negara ini. Hormatilah sedikit perasaan orang Melayu.

Yang masih hangat diperkatakan sehingga sekarang adalah apabila rakan anda Pengerusi DAP, Karpal Singh dan Pengerusi DAP negeri, Ngeh Koo Ham yang mencabar titah Sultan Perak dengan mengeluarkan kenyataan bahawa sultan tidak berhak melantik semula pegawai kerajaan termasuk di Jabatan Agama Islam Perak (JAIP). Ini yang dinamakan kurang ajar dan biadap. Karpal Singh sebagai berkata, sebarang kenyataan yang dibuat oleh Sultan Perak perlu mendapat nasihat daripada pegawai undang-undang dan sultan tidak berhak untuk memecat atau menukar mana-mana pegawai kerajaan termasuk di JAIP. Istana Perak menyifatkan perbuatan Mohammad Nizar menukar Datuk Jamry telah membelakangkan kedudukan Sultan Perak sebagai ketua Agama Islam dan Raja Muda selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak ( MAIAMP ). Ingat kedaulatan Raja mengatasi kedaulatan DAP yang mahu 'mengDAPkan' Perak.

Orang Melayu akan mempertahankan kedaulatan Raja-raja Melayu dan hak orang Melayu itu sendiri. Adakah Nga Kor Ming tahu sejarah bagaimana DAP ditubuhkan di Malaysia? Siapa yang sebenarnya bersikap perkauman? DAP ditubuhkan bagi menggantikan PAP (Singapura) yang dipimpin oleh Lee Kuan Yew. Penasihat DAP sekarang, Lim Kit Siang adalah setiausaha politik kepada Lee Kuan Yew pada masa itu. PAP dan Singapura ditendang keluar Malaysia pada tahun 1965 kerana mereka ingin menguasai politik Malaysia dan menentang hak-hak orang Melayu. Konsep " Malaysia Malaysia " Lee Kuan Yew menghina orang Melayu dan menimbulkan rasa kebencian dan jijik orang Melayu terhadap PAP. Ingat Kor Ming, orang Melayu tak buta sejarah. Untuk menyatukan bekas-bekas ahli PAP selepas Singapura keluar Malaysia pada tahun 1965, maka ditubuhkan DAP. Apa beza sikap perkauman PAP dan DAP? Hanya nama yang berubah daripada PAP ( People Action Party ) kepada DAP ( Democratic Action Party ). DAP terus menjadi parti yang didominasi oleh orang Cina yang meneruskan perjuangan “ Malaysian Malaysia “ dan mempersoalkan hak-hak istimewa orang Melayu.

Dan yang terbaru Lim Kit Siang masih lagi sampai kehari ini mempersoalkan ketuanan dan hak orang Melayu. Sebenarnya Kit Siang tidak perlu sibuk-sibuk mengeluarkan kenyataan berkaitan ketuanan Melayu kerana tanah ini hak orang Melayu, jadi, tiada siapa yang berhak boleh mempertikaikannya. Tak perlulah membuat kenyataan di Parlimen yang mendakwa rakyat hari ini telah bosan dengan konsep ketuanan dan kedaulatan Melayu. Lim Kit Siang perlu ingat masih ramai dan majoriti kaum Melayu dan bukan melayu yang anti-DAP masih mendukung ketuanan dan Kedaulatan Melayu yang termaktub di dalam perlembagaan.

Ingat Nga Kor Ming, DAP kekal menjadi pembangkang sehingga hari ini kerana DAP masih lagi berjuang menentang martabat Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan kebangsaan. Menentang perjuangan Pas untuk menjadikan Malaysia sebagai Negara Islam Pas. DAP sebenarnya adalah seteru besar bangsa Melayu, ( bukannya KeADILan, bukannya Pas, bukannya MCA, UMNO atau MIC). Justeru itu, DAP adalah masalah terbesar dalam pembinaan bangsa atau nationhood Malaysia.Pas sepatutnya rasa tercabar bila pemimpin DAP dengan berani dan terus terang menyanggah cita-cita Pas untuk menegakkan menubuhkan negara Islam cara Pas. Tetapi pada masa yang sama menyokong ladang- ladang babi di Melaka, negeri Sembilan dan Selangor. Pelik tapi benar. Inilah kenyataan nya. PAS sanggup perjudikan matlamat perjuangan semata-mata mahu bergabung dengan DAP. Pas begitu mudah memaafkan Karpal Singh yang bermati-matian mempertahankan ideologi DAP dan meminta supaya melangkah mayatnya dahulu sebelum tertubuhnya negara Islam Pas. DAP semata-mata ingin menangguk peluang keemasan diatas kebebalan segelintir orang Melayu, sanggup terima Pas dan PKR dalam Pakatan Rakyat untuk menghancur dan memecahbelahkan undi orang melayu pada PRU-12 yang lepas.

DAP masih tetap dengan slogan “ Malaysian Malaysia” dan mahukan Malaysia mengamalkan sistem meritokrasi. Pas, walaupun sebelum pilihanraya yang lepas mengatakan menarik balik slogan penubuhan negara Islam dan menukar kepada negara berkebajikan, hakikatnya takkan begitu mudah slogan ini digugurkan kalau tidak ada udang di sebalik batu! PKR pula, tidak lain dan tidak bukan tetap mengatakan Anwar Ibrahim adalah sesuci-suci umat dan hanya Anwar sahaja yang layak jadi Perdana Menteri ! DAP bertambah-tambah naik “ tocang “ apabila Anwar Ibrahim mengistiharkan apabila Pakatan Rakyat dapat memerintah, tiada lagi ketuanan Melayu. Yang ada hanyalah ketuanan Rakyat. Kata-kata Anwar itu senada dengan DAP iaitu semasa berucap di perhimpunan Black 14 di ibu negara sempena menyambut hari pembebasan beliau untuk boleh berpolitik semula. Apa bezanya “ Malaysian Malaysia “ dan “ Ketuanan Rakyat “ ? Sama sajakan. Inilah yang hendak diperjuangkan oleh Anwar Ibrahim sekarang ini. Ustaz Hadi pun ada bercita-cita untuk menghapuskan hak istimewa orang melayu jika berjaya memerintah pada PRU-2004 yang lalu.

Telah nyata DAP mahu menjadikan Malaysia, Malaysian Malaysia yang bangsa bukan Melayu jika dapat majoriti boleh berkuasa dan menjadi Perdana Menteri dan akan menghapuskan kedudukan institusi Raja-raja Melayu dan Hak keistimewaan orang Melayu. Inilah yang hendak dilaung-laungkan oleh DAP dan PKR sebagai Ketuanan Rakyat. Maka rakyat tentunya dapat melihat mana yang baik dan mana yang buruk. Parti-parti pembangkang berhempas-pulas mencari ikhtiar untuk menghapus pengaruh UMNO sehingga mengorbankan nilai-nilai dan adat resam masyarakat kita serta sanggup mengenepikan nilai-nilai Islam sendiri. Mereka rela melihat kedaulatan Raja-raja Melayu dipermainkan oleh DAP dengan sikap kurang ajar mereka.

Jelaslah Pakatan Rakyat lebih merupakan eksploitasi kegawatan politik Melayu untuk kepentingan DAP. DAP ternyata tidak restu penubuhan Negara Islam. Seseorang itu tidak harus membenci Anwar Ibrahim tetapi kerana dia telah tersesat maka sebagai umat Islam sepatutnya berdoa agar dia kembali ke pangkal jalan dan bertambah keimanannya. Keadilan wujud hanya untuk menebus Anwar Ibrahim sebelum ini bukannya untuk rakyat jelata jauh sekali untuk pembangunan ekonomi dan negara.

Rakyat berdoa agar lebih banyak kedurjanaan dapat diungkap dan dibersihkan agar Bangsa Melayu dapat berdiri kukuh memartabatkan Agama Islam , mempertahankan kedaulatan Raja-raja Melayu dan Hak-hak istimewa orang Melayu. Berdasarkan kenyataan pemimpin DAP itu, sebenarnya kedudukan orang Melayu dan Islam kini berada di ambang bahaya jika pembangkang memerintah. Dalam apa jua hal pun, DAP tetap mahu menunjukkan dialah " abang besar " kepada parti pembangkang lain. Sementara Pas dan PKR ( dominan Melayu yang hanya mahu melihat kehancuran Melayu ), ikut apa sahaja kehendak DAP. DAP kata hitam, hitamlah. Dan DAP kata putih, maka putihlah.

Hakikatnya Malaysia adalah sebuah negara Islam dan keadaan apa pun, hak bukan Islam tetap terpelihara. Kebebasan beragama sudah dinikmati oleh bukan Islam sejak merdeka lagi di bawah peruntukan Perlembagaan Persekutuan Perkara 8 fasal 1. Perkara 3 fasal 1 pula sudah termaktub bahawa agama Islam adalah agama rasmi di Malaysia tetapi agama lain bebas diamalkan dengan aman dan damai.

Sekarang telah nyata bahawa semua parti tersebut hanya bekerja untuk mendapatkan kerusi dalam pilihan raya dan bukan untuk membela maruah negara. UMNO akan terus bekerja untuk menghalang kemaraan mereka yang boleh mengancam keselamatan agama, bangsa dan negara. Oleh itu, demi perjuangan dan masa depan politik bangsa Melayu, rakyat perlu bersatu padu dan memberikan sokongan pada pihak yang benar-benar memperjuangkan kepentingan bangsa, agama dan negara.

Taminsari
Shah Alam.